Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Tuesday, October 28, 2008

Al-Fatihah untukmu ayah & ibu...

Dikala aku termenung di ketinggian Sintok yang bergelar Puncak Vista, aku melihat keidahan alam buana Sintok yang berdiri megah. Hampir semua orang tahu dan kenal bila mendengar nama Sintok, yang dulu sejarahnya merupakan tempat persembunyian komunis, kini megah berdiri dengan kehebatannya sebagai tempat menuntut ilmu di peringkat tinggi. Aku bersendirian melihat kehijauan dan kehebatan ciptaan Ilahi sebagai nikmat yang sememangnya perlu disyukuri oleh setiap hamba-Nya. Di puncak Vista itu aku teringat kampung halaman aku di tanah kebanggaan Cik Siti Wan Kembang, teringat keindahannya, teringat juga kisah aku sewaktu aku sedang membesar dahulu yang mana hampir separuh hidupku dahulunya aku membesar di hutan hijau yang menyegarkan. Aku teringat senapang patah aku yang menjadi teman aku masuk ke hutan dahulu.
Di kala itu juga aku teringat Ayah dan umie aku yang sanggup bersusah payah membesarkan aku. Aku menitis air mata bila mengingatkan sejarah pengorbanan seorang ayah dan seorang ibu. Aku tahu bahawa jasanya tidak dapat ku balas dan membayar segala jasa mereka berdua walaupun aku menjadi jutawan (menjadi raja mustahil), berpangkat dan sebagainya lagi. Mereka tidak pernah mengajar aku untuk hidup bersenang lenang kerana aku tahu bahawa mereka juga hidup susah. Sekiranya makanan yang ada terlalu sedikit, aku tahu bahawa ayahku sanggup berlapar demi aku membesar. Namun kerana pengorbanan seorang ayah dan seorang ibu, ialah mereka ingin melihat anaknya berjaya. Mereka tidak pernah meminta untuk dibalas, untuk menanggung dan menjaganya bila anaknya ini besar dan berjaya kelak, tetapi aku tahu bahawa apa yang mereka inginkan ialah kejayaan yang aku perlu kecapi. Aku masih teringat lagi sekiranya aku sakit, engkaulah ayah yang menyapu ubat dan mengurut aku agar aku cepat sembuh.
Ayah, engkaulah pewira dalam keluagaku. Keluarga orang yang susah, engkaulah pejuang yang membela nasib kami semua. Aku tahu bahawa engkau tidak pernah tidur lena untuk membela dan membesarkan kami. Engkau tidak pernah jemu untuk bekerja bagi menyara nafkah dan tanggungan kamu, demi melihat anak-anakmu hidup dan membesar. Aku tahu wahai ayah sekiranya engkau berkerja dan tidak menyara hidupku, sudah lama engkau menjadi jutawan dan sudah lama hidup senang lenang, tetapi pengorbananmu untuk melihat aku membesar dengan sempurna engkau sanggup menjadi susah demi anak-anakmu. Namun bagiku aku tidak mampu membalas segala jasamu ayah. Apa yang aku inginkan ialah aku ingin menjadi anakmu yang soleh demi membahagiankan hidupmu sebelum engkau pergi mengadap Rabbul I'zzati.
Umie, engkaulah mujahidah dalam keluargaku. Menjadi pembela pada kami anak-anak. Aku tahu semua kisahmu, bermula saat aku dilahirkan. Aku tahu engkau menanggung kesusahan demi kesusahan daripada mengandungkan aku sampailah usia aku pada hari ini. Umie, anakmu tahu engkau tidak pernah bahagia dan hidup senang sebelum anak-anakmu senang duhulu daripadamu. Aku tahu bahawa engkau tidak pernah tidur sewaktu aku kecil dahulu. Aku tahu bahawa engkau tidak pernah kedekut untuk memberikan susu sewaktu aku lapar dahulu. Aku tahu bahawa engkau tidak pernah mengungkit dalam membesarkan aku. Aku tahu engkau tidak pernah meminta bayaran. Semuanya aku tahu umie. Jasamu aku tidak mampu untuk membalas sekalipun aku mampu hidup seribu tahun. Namun apa yang aku harapkan ialah, aku menjadi anakmu yang tahu erti budi dan pengorbanan agar aku tidak melupakan segala jasa baikmu umie. Untukmu ayah dan umie, aku sedekahkan Al-Fatihah setiap pagi dan petang semoga Allah swt merahmati kisah perjalanan hidup mu, kisah pengorbanan yang telah engkau curahkan, sejarah penderitaan yang engkau rasakan, sejarah demi sejarah yang engkau tanggung dalam membesarkan hidupku.
Wahai ayah aku tahu bahawa syurga itu di bawah telapak tanganmu, oleh itu aku memohon keampuanan darimu, halalkanlah segala makan minumku yang engaku tanggung aku dari tapak kakiku ini sebesar daun gelanggan. Wahai umie, aku tahu bahawa syurga itu di bawah tapak kakimu, aku sujud memohon keampunan darimu, halalkanlah segala jasamu bermula aku dikandunganmu sampailah pasa suatu hari yang roh aku berpisah dengan jasadku ini.

Kedudukan Orang Yang Berilmu...

Firman Allah swt yang bermaksud:
" Allah swt mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu dari kalangan kamu beberapa dahjat ketinggian"

Ibnu Abbas pernah berkata:"Di antara darjat-darjat yang paling hampir dengan darjat kenabian ialah darjat orang-orang yang beriman dan darjat orang yang berilmu. Darjat di antara orang yang beriman dengan orang yang berilmu itu bezanya 700 darjat lebih tinggi darjat orang yang berilmu. Setiap darjat itu pula bezanya ialah 500 tahun perjalanan".

Huraian Ibnu Ad-Daudi:

Sesungguhnya kita tidak mampu untuk mencapai darjat kenabian kerana jawatan seorang nabi itu bukan boleh diisi sewenang-wenangnya oleh manusia. Nabi itu adalah utusan pilihan Allah swt untuk memimpin manusia ke jalan yang lurus lagi benar. Yang membawa manusia mengenali Tuhan pencipta langit dan bumi serta segal isinya. Ada pun jawatan seorang nabi itu tidak lagi boleh diisi setelah datangnya Rasulullah saw yang bernama Muhammad, kerana beliau merupakan utusan yang terakhir yang membawa kebenaran Agama dan memansuhkan mana-mana agama yang ada di dunia ini.

Oleh kerana jawatan seorang nabi itu tidak lagi boleh diisi oleh ummat manusia yang lain maka marilah kita berusaha untuk menjadikan kedudukan diri kita dekat dan paling hampir dengan kedudukan darjat para nabi-nabi Allah swt. Kedudukan yang paling hampir dengan darjat para nabi ialah hendaklah kita menjadi orang yang beriman kepada Allah swt dengan sebenar-benarnya kerana darjat orang yang beriman sangat dekat dengan Allah swt malah hampir dengan darjat kenabian. Manakala kedudukan orang yang berilmu pula jauh lebih tinggi daripada kedudukan orang yang beriman kerana kebiasaannya orang yang berilmu inilah yang akan beriman dan patuh serta taat kepada perintah Allah swt. Oleh yang demikian marilah sahabat-sahabat semua, jadikanlah diri kita sebagai seorang yang mempunyai ilmu dan pengetahuan serta beriman kepada Allah swt.

Wahai sahabat sekalian,

Ingatlah sesungguhnya dunia ini milik orang yang berilmu. Dunia hari ini tidak lagi mengukur kekuatan sebagai penguasa, tetapi orang yang berkuasa di dunia hari ini ialah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Malah teori ini sudah lama dan ianya bermula sejak Adam as diciptakan lagi. Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat yang ke 30 - 33 yang bermaksud : " Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, Sesungguhnya Aku (Allah swt) ingin menciptakan sejenis makhluk di bumi ini sebagai khalifah". Malaikat berkata : "Tidakkah kamu ingin menjadikan padanya (bumi) mereka itu akan membuat kerusakkan dan pertumpahan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji dan menyucikan Kamu". Firman Allah swt : " sesungguhnya Aku (Allah) lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui." Dan Dia ajarkan kepada Adam beberapa nama, kemudian Dia perlihatkan kepada Malaikat, sebutlah kepada Ku semua nama benda ini, jika kamu orang yang benar." Mereka (Malaikat) menjawab, maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau-lah yang Maha Bijaksana." Dia (Allah swt) berfirman, "Wahai Adam, beritahulah kepada mereka nama-nama itu, setelah dia (Adam) menyebut nama-nama itu, Dia (Allah swt) berfirman : " Bukankah telah Aku katakan kepadamu bahawa Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan".

Wahai sahabat sekalain,
Di sinilah bukti yang mengatakan kemulian seorang yang berilmu pengetahuan dan sesungguhnya dunia dan alam sekelilingnya adalah milik kurniaan Allah swt untuknya. Orang yang berilmu dimuliakan oleh penduduk langit dan juga penduduk bumi sepertimana ayat al-Quran tadi menjelaskan pengetahuan Adam as mengetahui lebih daripada pengetahuan para Malaikat.
Manakala di dalam surah yang lain Allah swt berfirman yang bermaksud : "Katakanlah wahai Muhammad, adakah sama orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan itu dengan orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan".
Di dalam surah an- Naml ayat yang ke 38 - 40 yang bermaksud : Dia Sualaiman berkata kepada pembesarnya "Siapakah di antara kamu yang sanggup membawa singgasananya(Singgasana Ratu Balqis) kepadaku sebelum mereka datang kepadaku untuk menyerah diri." * Ifrit dari golongan jin berkata, "Akulah yang akan membawanya kepadamu sebelum engkau berdiri dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku kuat melakukannya dan dapat dipercayai."* Seorang yang mempunyai ilmu dari Kitab berkata,"Aku akan membawa singgasannya itu kepadamu sebelum mata kamu berkedip,"maka ketika dia (Sulaiman) berkedip, dia melihat singgasana itu terletak dihadapannya", dan dia pun berkata, "ini adalah nimat kurniaan Tuhanku, untuk menguji aku, apakah aku bersyukur atau aku kufur. Barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya dan barang siapa yang kufur, sesungguhnya Tuhan-ku maha Kaya lagi maha Mulia.
Jelaslah kepada kita bahawa sesungguhnya orang yang berilmu mampu melakukan apa sahaja dengan nikmat kurniaan Tuhan-nya. Ini dijelaskan yang mana orang yang memiliki ilmu pengetahuan daripada Kitab Allah swt mampu memindahkan istana Ratu Balqis yang terletak di Saba' iaitu di negeri Yaman, dipindahkan ke Palestin oleh orang yang ada ilmu dari kitab Allah swt iaitu kitab Taurat dan Zabur.
Wahai sahabat sekalian,
Kemukjizatan al-Quran jauh lebih hebat, namun adakah kita sebagai ummat nabi Muhammad ini mengamalkan kitab wasiat darinya untuk panduan hidup kita? Di dalamnya terdapat ilmu yang tidak terbatas dan tiada bandingnya. Oleh itu kembalilah diri kita semua ke pada wasiat nabi yang agung itu.
Sekian, Sekadar peringatan untuk diriku yang jahil lagi hina..
(ibnu ad-daudi el_farouq)

Friday, October 24, 2008

Panduan Imam Ghazali Agar Kita TIdak Sombong....

Beberapa panduan Imam Al-Ghazali supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh:-

1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

2. Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia suda lama beribadat.

3. Jika berjumpa denga orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahiu.

4.Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.

5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan di dalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.


Cermin diri - membentuk keperibadian mulia.

1. Senyum itu tanda kemesraan, diberi kepada manusia dianggap sedekah. Ketawa itu lambang kelalaian. Selalu dilakukan hati akan mati. Dibuat di hadapan manusia menghilangkan maruah diri.

2. Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri, kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak mengulanginya lagi.

3. Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.

4. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang yang mukmin.

5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bermujadalah yakni bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.

6. Orang yang sudah hilang sifat marah - dayus, cepat melahirkan sifat marah - lemah mujahadah. Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.

7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan lahir sifat tawadhuk, malu, khusyuk, takut, hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan.

8. Jika kita mengingati dosa, kita tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.

9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan ALLAH, ini adalah hakNYA pula.

10. Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.

Monday, October 20, 2008

Tidak Perlu Berfikir Bila Mati.....

Wahai sahabat sekalian, di sini saya ingin membahaskan tentang peranan kita sebagai manusia untuk menghadapi hari-hari yang berlalu agar perjalanan hidup kita dirahmati Allah swt. Jadi terlebih dahulu marilah kita perbanyakkan kesyukuran kepadaNya di atas kerahmatan yang tidak dapat tidak semua manusia merasainya.
Di ruangan kali ini saya ingin menjelaskan peranan manusia di dalam menuju ke alam yang lain suatu masa nanti. Kita sebagai manusia tidak perlu bersusah payah untuk memerah otak untuk berfikir bilakah kita akan mati. Cukuplah sahaja kita tahu dan wajib mengimani bahawa mati itu tetap akan berlaku ke atas hidupan di alam ini. Yang hidup pasti akan mati, tetapi kita tidak perlu tahu bilakah kita akan mati dan tiada seorang pun manusia yang tahu bilakah dia akan mati. Ini kerana perkara berkaitan dengan mati ini juga merupakan salah satu daripada perkara-perkara ghaib yang wajib kita beriman dengannya.
Jadi apa yang saya ingin tekankan di sini ialah kita sebagai insan yang pasti akan mati seharusnya berfikir apakah persediaan dan bekalan yang kita ingin bawa setelah kita mati untuk kita mengadab bertemu dengan Allah swt di hari akhirat nanti. Oleh itu saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk kita memikirkan sudahkah kita bersedia dengan bekalan yang cukup untuk kita bawa mengadab Allah setelah kita mati. Marilah kita semua tingkatkan ibadah seharian kita dan hendaklah kita beramal dengan penuh keikhlasan agar segala ibadah kita akan diterima olah Allah swt. Untuk mendapat ibadah yang ikhlas kita wajib beramal dengan ilmu yang dikurniakan Allah kepada kita. Kata imam Al- Ghazali, orang yang beribadah tanpa ilmu adalah sia-sia kerana ibadahnya itu hanyalah ikutan semata-mata. Oleh itu ilmu itu penting dalam konsep penerimaan ibadah oleh Allah swt. Kita hendaklah melakukan ibadah seolah-olah kita akan mati selepas ibadah ini sahaja dan ibadah ini merupakan ibadah yang terakhir dalam hidup kita. Jadi kita buatlah ibadah tersebut dengan sebaik yang mungkin.
Sahabat sekalian, kita tidak perlu melakukan banyak ibadah sekiranya ibadah yang kita lakukan itu tidak ikhlas, kerana ibadah yang kita lakukan itu sudah pasti tidak akan di terima olah Allah swt. dan sudah pasti ibadah itu sia-sia. Lebih baik kita melakukan ibadah yang sedikit atau sekadar kemampuan kita tetapi apa yang penting ialah ikhlas di hati kita yang mana kita melakukan ibadah itu bukan kerana yang lain melainkan ianya adalah perintah Allah swt ke atas kita. Jangan sesekali kita melakukan ibadah kerana syurga, ataupun kerana kita takut terhadap neraka Allah swt tetapi lakukanlah kerana ianya adalah perintah Allah swt. sepertimana firman Allah swt yang bermaksud :" sesungguhnya Aku (Allah swt) tidak jadikan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah kepadaKu".
Oleh yang demikian sekali lagi saya ingin memperingati diri saya dan rakan-rakan sekalian agar kita sama-sama memikirkan tentang apakah persediaan kita untuk bertemu dengan Allah swt. Marilah kita beribadah kerana ibadah itu adalah perintah Allah swt kepada kita sebagai hambaNya dan bukan ibadah yang kita lakukan itu hanya untuk mendapat balasan syurga semata-mata atau kerana kita tidak mahu di azab dalam neraka Allah swt.
Sekian sekadar renungan bersama.

Thursday, October 16, 2008

Yang Pantas Lebih Jauh Kehadapan.

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana dipanjangkan usia kita pada saat ini untuk sama-sama meningkatkan amal ibadah kita kepadaNya. Ingatlah wahai sahabatku, umur kita semakin pendek dan usia kita semakin meningkat. Apakah dosa kita semakin berkurang atau amal kita semakin bertambah??? Marilah kita semua memikirkannya....
Aku banyak menghabiskan masa hidupku untuk mengkaji tentang alam ciptaan Alah swt. dan di situ aku banyak belajar ilmu Allah swt dan mengenaliNya melalui salah satu di antara dua ayatNya. sepanjang perjalanan aku itu, aku melihat pelbagai gelagat-gelagat kehidupan manusia kerana ciptaanNya yang amat agung itu iaitu sifat manusia yang unik dan pelbagai yang mana manusia mempunyai sifat semua sifat-sifat yang ada pada makhluk Allah yang lain. Manusia mempunyai sifat Allah swt, mempunyai sifat malaikat, sifat manusia, sifat haiwan, sifat syaitan dan banyak lagi sifat-sifat yang unik ini.
Dalam perjalanku itu, aku banyak melihat ada manusia yang bersungguh-sungguh mencari kemewahan dunia, bagaikan mereka semua itu mahu hidup kekal buat selama-lamanya. Mereka ini sanggup menipu sama sendiri untuk kepentingan diri sendiri. Ada yang sanggup bermusuh malah ada yang berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Namun dalam perjalan itu juga aku bertemu dengan manusia yang menghabiskan masa untuk mengabdikan diri kepada Allah swt, alhadulillah.
Aku masih teringat lagi semasa aku dalam perjalan pulang ke kampungku dengan mengguna motor kesayangan aku. Dalam perjalanan itu aku, aku melihat ada kenderaan lain yang memotong aku dengan begitu megah, gagah, laju dan jauh meninggalkan kenderaan aku. Aku terfikir di situ ada hikmah kejayaan. Bagiku itu petunjuk Allah swt untuk diriku dan dikongsi bersama dengan sahabat yang lain. Di situ ada hikmahnya yang mana sekiranya kita ingin berjaya, kita perlu kuat, gagah untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejyaan hidup di dunia ini. Selain itu sekiranya kita ingin berjaya kita seharusnya lebih mendahulu rakan-rakan kita yang lain barulah kita dahulu sampai ketempat kejayaan. Usaha yang gigih, berfikiran yang jauh mendahulu sahabat-sahabat yang lain dan kita mesti bertawakal kepada Allah swt kerana di situ ada konsep kejayaan.
Orang yang kuat, pasti berjaya kerana mereka yang kuat dan gigih berusaha pasti mereka akan mendapat seperti mana yang mereka usahakan. Ini sepertimana firman Allah swt yang bermaksud : " dan di atas manusia itu tidaklah melainkan apa yang mereka usahakan". Oleh itu di sini pula timbul konsep tawakal kepada Allah swt. Kita seharusnya bertawakal kepada Allah swt kerana Allah swt lah yang memberi kejayaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Dalam perjalanan aku itu aku terjumpa dengan pelbagai gelagat manusia di atas jalan raya. Ada yang memandu dengan tidak sabar sekali sehingga merisaukan dan boleh membahayakan kepada kehidupan orang lain. Manakala ada juga yang memandu dengan penuh kesabaran sehinggakan mereka banyak memberi laluan kepada orang lain yang lebih memerlukannya. Di sini menggambarkan kepadaku bahawa inilah kehidupan manusia yang sebenarnya. Kita melalui jalan yang sama untuk tiba di akhirat suatu hari nanti, untuk bertemu dengan Allah swt. Namun di dalam perjalan itu banyak kita melihat dan berjumpa dengan gelagat manusia, ada di antara mereka yang tidak sabar dengan ujian Allah swt. Ada yang sanggup menipu, bermusuh dan menganiayai diri orang lain hanya untuk kepentingan diri mereka. Ada yang baik dan bersabar di dalam perjalanan mereka dan mereka inilah orang yang beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.
oleh yang demikian aku pun sampai di rumah aku dengan selamat semasa balik cuti raya baru-baru ini. Alhamdulillah......

Sunday, October 12, 2008

PENGHAYATAN DAN PERJUANGKAN ILAHI....

Di sini saya ingin mengajak pembaca semua untuk mengenali Tuhan atau Ilahi. Maka di sini juga saya ingin mengajak semua untuk mempercayai pada Tuhan. Mengenali Tuhan dan mempercayaiNya merupakan dua benda yang berbeza. Ini kerana mengenali merupakan suatu perbuatan untuk mengetahui, manakala mempercayai merupakan suatu perbuatan mengakui. Orang yang percayai, tidak semestinya dia mengenalinya, tetapi orang yang mengenalinya mesti mempercayainya. Hari ini kalau kita tanya pada orang kafir sekalipun, apakah mereka tahu dan percaya adanya Tuhan, tentu mereka akan menjawab kami tahu dan percaya. Namun mereka tidak mengenali Tuhan tersebut dan dengan itulah bagi mereka Tuhan seolah-olah sudah tidak ada dalam kehidupan mereka. Mereka tidak merasakan peranan Tuhan di dalam kehidupan atau dengan kata lain tidak memperduli kepada Tuhan. Bagi mereka sama sahaja sama ada Tuhan itu ada ataupun tiada.
Namun bagi mereka yang kenal Tuhan barulah jiwanya hidup semula. Tuhan itu Maha Berkuasa, Menghidupkan, Mematikan, Menghukum, Mendengar, Melihat, Maha Besar, Maha Agung, Penyelamat, Penjaga, Pelindung, yang memberikan nikmat, yang menurunkan rahmat, dan memberikan hikmah, yang mewujudkan apa saja di dunia ini maupun di akhirat.
Tidak ada satu butir debu pun yang wujud tanpa sepengetahuan Tuhan. Besarnya Kuasa Tuhan itu, bila Dia berkata jadi maka jadilah, Tuhan berkata wujud maka wujudlah, Tuhan berkata hidup maka hiduplah, Tuhan berkata mati maka matilah, Tuhan berkata sihat maka sihatlah, Tuhan berkata sakit maka sakitlah. Itulah Dia, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dan menciptakan manusia.
Tidakkah manusia merasai takut terhadap Tuhannya, atau merasai ingin mencintai Tuhannya?Padahal baru sedikit kita melihat sifat-sifat yang ada pada Tuhan. Jadi kalau manusia ini hatinya sudah merasakan kehebatan Tuhan, barulah datang cinta dan takut pada Tuhan. Bila dia akan berbuat hal yang terkecil sekalipun dia akan berpikir dan bertanya pada Tuhan, apakah Tuhan suka atau tidak. Inilah ubat pertama kepada manusia dan pertama kepada penyakit-penyakit yang dicetuskan oleh manusia di dunia ini. Kalau manusia sudah cinta dan takut kepada Tuhan, manusia tidak berani lagi melakukan hal-hal negatif dan menyusahkan. Walaupun undang-undang, peraturan dan hukuman itu diperlukan, tapi itu adalah jalan terakhir.
Bagi manusia yang sudah terlalu jahat yang bila diberi peringatan pun tak berkesan lagi. Maka terlalu keliru bila hendak membaiki manusia tersebut dengan menggunakan peraturan, undang-undang ataupun hukuman. Sedangkan yang membuat peraturan dan undang-undang itu pun manusia juga. Apakah yang menghukum itu tidak bersalah? Tidak jahat jugakah? Apakah dia tidak menimbulkan masalah?
Kadang-kadang orang yang ada kuasa ditangannya itu mereka membuat lebih banyak kesalahan daripada rakyat yang tidak memiliki kekuasaan. Apakah yang akan terjadi pada dunia bila yang berkuasa yang menimbulkan masalah. Siapa yang akan memikirkan masalah mereka? Tapi kalau merujuk pada Tuhan, Tuhan kita semua, maka sesungguhnya rakyat itu Tuhan juga yang jadikan, orang besar pun Tuhan yang jadikan. Kalau rakyat tidak dapat melawan kuasa Tuhan, orang besar pun tidak dapat juga melawan. Akhirnya orang kecil ataupun orang besar, sama-sama takut dengan Tuhan. Inilah jalan keselamatan untuk manusia. Inilah jalan kedamaian untuk manusia. Inilah jalan keharmonian untuk manusia.
Kalau begitu dunia hari ini perlu kembali mempromosikan Tuhan. Setiap manusia di dunia ini perlu memperjuangkan Tuhan. Supaya orang kenal Tuhan. Supaya manusia cinta dan takut kepada Tuhan. Inilah pil yang paling mujarab, inilah kaedah yang paling berkesan. Inilah formula-formula yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat.
Pada kenyataannya, hari ini umat Islam bila hendak memperjuangkan Islam, syariat diperjuangkan lebih dahulu daripada memperjuangkan Tuhan. Padahal sepatutnya Tuhan yang dikenalkan lebih dahulu. Coba baca sejarah Rasulullah, Baginda menggunakan masa selama 13 tahun untuk menanamkan iman dan tauhid. Dengan kata lain Tuhan yang Esa itu diperkenalkan terlebih dahulu kepada umat Arab Jahiliah. Sebab Tuhan adalah segala-galanya. Bila kita mengenalkan syariat lebih dahulu, orang menerima Islam tidak secara suka rela tetapi dengan cara terpaksa.
Misalnya seorang anak hanya disuruh untuk ambil air, siram bunga, tidak diceritakan dulu mengapa dia mesti berkhidmat atau membantu orang tua. Sebab itu dia mengerjakan tugas secara terpaksa. Semestinya sebelum menyuruh seorang anak menyiram bunga diceritakan dulu bahwa bunga ini kepunyaan ayah yang telah terlalu banyak jasa, memelihara dan mencari rezeki untuk dirinya. Sebab itu sudah sepatutnya dia berkhidmat kepada ayahnya. Kalaulah si anak diceritakan hal ini tentulah akan dibuat dengan senang hati.
Begitu juga untuk memperjuangkan Tuhan, semestinya dikenalkan dahulu tentang Ketuhanan itu sebelum memperkenalkan syariat. Bukan hanya sekedar menghafal dan tahu sifat-sifat Tuhan, wujud, qidam, baqa', melainkan mengenal Tuhan hingga dihayati, sehingga timbullah rasa cinta dan ingin berkhidmat sebagaimana seorang anak dengan ayahnya tadi. Bila sudah kenal dan cinta maka Tuhan akan dirasakan sebagai tempat bertanya, merujuk dan terasa akrab.
Dalam bab aqidah ini pula, Allah pun memberitahu manusia tentang para malaikat yang peranannya sungguh penting di alam ini. Merekalah yang menjadi wasilah Tuhan. Keberadaan mereka di alam ini sungguh menjadi bukti lagi kebesaran kerajaan Tuhan. Tapi apakah kita sudah betul2 mengenali peranan penting malaikat ini?
Penanaman aqidah melalui didikan dan asuhan sangat diperlukan, diantaranya yang berkait dengan malaikat ini agar manusia dapat merasakan peranan mereka dalam kehidupan kita.
sekian...

Monday, October 6, 2008

Kisah Sahabat

SAHABAT....
Pernah tak sahabat renungkan pada embun yang melitupi sarang labah-labahdipagi-pagi hari ?Pernahkah sahabat perhatikan itu?
Pernahkah sahabat perhatikan akan erti yang tersirat disebalik kejadian Allahitu?

SAHABAT...
Ibrah sarang labah-labah itu adalah cinta sejati seorang hamba pada Allah...
Dan cintanya yang sejati terhadap manusia kerana Allah....

SAHABAT...
Pernahkah sahabat perhatikan pada labah-labah yang sedang membina sarangnya?
Begitu tekun labah-labah ini
dan begitu khusyuk dan bersungguh-sungguhnya dia....
Dia melakukannnya dgn penuh susah payah dan penuh kesukaran....
Bukanlah mudah membina struktur sekompleks sarang labah-labah yang dibinanya daripada gentian protein yang terhasil dari badannya sendiri...

SAHABAT...
Bukan mudah....
Tapi dilaluinya juga kesusahan itu...
kerana apa?
Kerana itulah " sunnatullah "..
Kerana itulah fitrah seekor sang labah-labah...
Kerana hendak menjadi pengajaran kepada akal manusia yang mahu berfikir...

SAHABAT...
Begitu juga sifat cinta yang sejati...
Cinta yang terbina dari iman yang hakiki...

*sumber drpd - ija (kisah sahabat)
editor - el_farouq.

Sunday, October 5, 2008

Berlalunya Ramadhan Membawa Jutaan Erti.....

Telah tiba hari kemenangan bagi setiap ummat Islam tidak kira siapa pun dia baik seorang yang berada mahupun yang tidak berada, baik kaya mahupun miskin, baik yang muda mahupun yang tua, semuanya akan menyambut hari kemenangan ini. Tarikh 1 Syawal merupakan hari kemengan bagi ummat Islam dan dengan sebab itulah Allah swt mengharamkan pada hari ini berpuasa kerana hari ini perlu disambut dengan keriangan dan kesyukuran kepada Allah swt di atas kemenangan ketika kita bertarung sepanjang bulan Ramadhan.
Bulan Ramadhan merupakan bulan mentarbiah jiwa dan spiritual serta roh dan jasad untuk mengabdikan diri kepada Allah swt semata-mata. Ini kerana pada bulan Ramadhan yang lalu kita bertarung habis-habisan melawan hawa nafsu kita yang tidak terbatas yang telah menguasai diri kita selama 11 bulan yang lalu. Jadi kedatangan Ramadhan mampu mengembalikan kita kepada keadaan fitrah yang asal dan pada hari ini kita menyambut hari raya fitrah sempena dengan keadaan diri kita yang bersih setelah kita melalui tarbiah Ramadhan selama sebulan yang lalu. Namun apa yang mengharapkan diri kita ialah selepas Ramadhan ini diri dan jiwa kita hendaklah sepertimana keadaan di dalam bulan Ramadhan malah lebih baik lagi, jika sepanjang Ramadhan yang lalu kita solat berjemaah di masjid, maka selepas Ramadhan juga tetap berjemaah di masjid. Inilah yang dikatakan kita menjalaini dan mendapat NUR Ramadhan. Namun apa yang mengharapkan kita ialah kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan tahun hadapan kerana Ramadhan tahun ini sudah pergi meninggalkan kita dengan membawa amalan-amalan kita untuk dihisab oleh Allah swt dan dengan sebab itu kita mengharapkan agar setiap amalan kita diterima oleh Allah swt. Oleh itu marilah kita semua memohon kepada Allah swt agar dipanjangkan umur kita dalam keadaan sihat dan segalanya baik agar kita bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan dan dapat beramal dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. Marilah kita membaca Doa :
"Ya Allah ya Tuhan kami, kembalikanlah Ramadhan kepada kami ini beberapa tahun lagi, bahkan sepanjang hayat kami, inilah harapan kami Ya Allah".
Akhir kata marilah kita sama-sama mencari rahmat Allah swt kerana rahmatNya sangat luas di bumi ini agar kita semua mendapat keampunan dan keredhaanNya. Insyaallah...
selain itu rebutlah puasa 6hari di bulan ini kerana sesiapa yang berpuasa sepanjang bulan Ramadhan dan di tambah dengan 6 hari di bulan Syawal seperti ia berpuasa sepanjang tahun (maksud Al-hadis)..

My Picture