Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, September 20, 2008

Al-Fatihah untuk ibu & Ayah...

Di kala aku termenung di ketinggian Sintok yang bergelar Puncak Vista, aku melihat keidahan permandangan Sintok yang berdiri megah. Hampir semua orang tahu dan kenal bila mendengar nama Sintok, yang dulu sejarahnya merupakan tempat persembunyian komunis, kini megah berdiri dengan kehebatannya sebagai tempat menuntut ilmu di peringkat tinggi. Aku bersendirian melihat kehijauan dan kehebatan ciptaan Ilahi sebagai nikmat yang sememangnya perlu disyukuri oleh setiap hambanya.
Di puncak Vista itu aku teringat kampung halaman aku di tanah kebanggaan Cik Siti Wan Kembang, teringat keindahannya, teringat juga kisah aku sewaktu aku sedang membesar dahulu yang mana hampir separuh hidupku dahulunya aku membesar di hutan hijau yang menyegarkan. Aku teringat senapang aku yang menjadi teman aku masuk ke hutan dahulu. Di kala itu juga aku teringat Ayah dan umie aku yang sanggup bersusah payah membesarkan aku. Aku menitis air mata bila mengingatkan sejarah pengorbanan seorang ayah dan seorang ibu. Aku tahu bahawa jasanya tidak dapat ku balas walaupun aku menjadi jutawan, (menjadi raja mustahil), berpangkat dan sebagainya lagi. Mereka tidak pernah mengajar aku untuk hidup bersenang lenang kerana aku tahu bahawa mereka juga hidup susah. Namun kerana pengorbanan seorang ayah dan seorang ibu, ialah mereka ingin melihat anaknya berjaya. Mereka tidak pernah meminta untuk dibalas, untuk menanggung dan menjaganya bila anaknya ini besar dan berjaya kelak, tetapi aku tahu bahawa apa yang mereka inginkan ialah kejayaan yang aku perlu kecapi.
Ayah, engkaulah pewira dalam keluagaku. Keluarga orang yang susah, engkaulah pejuang yang membela nasib kami semua. Aku tahu bahawa engkau tidak pernah tidur lena untuk membela dan membesarkan kami. Engkau tidak pernah jemu untuk bekerja bagi menyara nafkah dan tanggungan kamu, demi melihat anak-anakmu hidup dan membesar. Aku tahu wahai ayah sekiranya engkau berkerja dan tidak menyara hidupku, sudah lama engkau menjadi jutawan dan sudah lama hidup senang lenang, tetapi pengorbananmu untuk melihat aku membesar dengan sempurna engkau sanggup menjadi susah demi anak-anakmu. Namun bagiku aku tidak mampu membalas segala jasamu ayah. Apa yang aku inginkan ialah aku ingin menjadi anakmu yang soleh demi membahagiankan hidupmu sebelum engkau pergi mengadap Rabbul I'zzati.
Umie, engkaulah mujahidah dalam keluargaku. menjadi pembela pada kami anak-anak. Aku tahu semua kisahmu, bermula saat aku dilahirkan. Aku tahu engkau menanggung kesusahan demi kesusahan daripada mengandungkan aku sampailah usia aku pada hari ini. Umie, anakmu tahu engkau tidak pernah bahagia dan hidup senang sebelum anak-anakmu senang duhulu daripadamu. Aku tahu bahawa engkau tidak pernah tidur sewaktu aku kecil dahulu. Aku tahu bahawa engkau tidak pernah kedekut untuk memberikan susu sewaktu aku lapar dahulu. Semuanya aku tahu umie...Jasamu aku tidak mampu untuk membalas sekalipun aku mampu hidup seribu tahun. Namun apa yang aku harapkan ialah, aku menjadi anakmu yang tahu erti budi dan pengorbanan agar aku tidak melupakan segala jasa baikmu umie.
Untukmu ayah dan umie, aku sedekahkan Al-Fatihah setiap pagi dan petang semoga Allah swt merahmati kisah perjalanan hidup mu, kisah pengorbanan yang telah engkau curahkan, sejarah penderitaan yang engkau rasakan, sejarah demi sejarah yang engkau tanggung dalam membesarkan hidupku.

Tuesday, September 16, 2008

Apa yang ada pada JARI....

1. Cuba tengok jari anda. Genggam kuat2 & angkat ke atas sambil laung.."Allahu Akbar". Itulah Rukun Islam yang mesti dijunjung, mesti dilaksanakan tanpa memilih mana yang kita suka sahaja.

2. Straight kan jari ke depan dlm keadaan terbuka & Renung dalam-dalam. Itulah kewajipan solat lima waktu dan jangan kita abaikan. Kerana inilah peringatan Allah terhadap kita yang bergelar hambaNya.

3. Put your hand on the table, perhatikan. Start dari jari kelinking yang kecil & kerdil, macam manusia & apa benda pun akan bermula dari kecil then membesar & terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Whatever we do semua start dari kecil. Kegagalan mendidik kita pada usia muda akan memberi kesan yang besar dan bermakan pada masa depan.

4. Then tengok jari kedua, jari manis. Macam tu jugak la dengan usia remaja..semuanya sweet.. manis macam jari manis. Masa remaja kita selalu diduga dengan cabaran & dugaan. Hanya iman & takwa akan tunjukkan jalan kebenaran.

5. Jari ketiga jari yang paling tinggi, jari hantu ibarat alam dewasa kita. lebih kurang dalam 30 tahun la, kita dah punya status & ekonomi & career yang stabil but in the same time we should be careful sebab masa ni la banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu jealous dan macam2 hantu lagi. Kalau gagal kawal emosi khuatir kita masuk ke perangkap nafsu dan syaitan. So kita kena la lipat gandakan ibadat agar segala macam hantu tidak datang mengganggu hidup kita.

6. Jari telunjuk - Jari inilah yang mengungkap satu dan Esanya Allah SWT ketika solat. Genggam kesemua jari kecuali telunjuk see how gagahnya telunjuk sebagai penunjuk arah, jadi contoh & tauladan pada jari-jari lain. Macam itu jugak dengan kita perlu jadi role model to the new generation.. jadi pembimbing yang kaya dengan idea bernas & a great mind.

7. Lastly renung la ibu jari.. besar/gemuk & pendek compare to the others but it shows maturity and greatness yang membanggakan. Kalau ada ibu jari semua urusan lancar tapi bayangkan kalau takde ibu jari... nak gengam/pegang something cukup susah.. nak pegang sudu pun susah. To young generation, nak buat apa2 rujuk la kat orang tua yang kaya dengan berpengalaman. Kalau kita patuh pada petunjuk mereka, then boleh la kita say "good" or "yes" sambil thumbs up itulah rahsia kejayaan kita.

See all ur fingers and renung/fikir dalam2. Dimana anda sekarang.... Bagaimana sempurnanya ciptaan Allah untuk mengajar kita dalam makna jari. Itulah pengajaran yang tersirat di sebalik jari....

Saturday, September 13, 2008

Kasyaf...

Secara kasar terdapat tiga cara untuk kita menguasai ilmu bagi memudahkan yang tersirat disuratkan. Cara yang pertama adalah berdasarkan ilmu psikologi, yang kedua berdasarkan ilmu firasat dan yang ketiga berdasarkan ilmu kasyaf.
Cara yang pertama adalah melalui bidang psikologi iaitu melalui ilmu jiwa. Berdasarkan penelitian dan pemerhatian individu atau kelompok masyarakat tertentu, tentang tabiatnya, wataknya, kehendak-kehendaknya, satu rumusan tersirat dapat dikesan. Ilmu dalam bentuk ini tidaklah terhad kepada orang Islam sahaja. Orang kafir pun mampu menguasainya juga. Malahan pada masa ini orang Barat didapati lebih mendalami ilmu ini berbanding dengan kemampuan yang ada pada kita. Pengamatan yang dibuat oleh sarjana-sarjana barat, kajian yang telah dijalankan, jenis kaedah dan teknik yang digunakan telah membantu mereka untuk membaca dan memahami perasaan, sikap dan tingkah laku manusia.
Ilmu firasat merupakan satu cabang daripada ilmu makrifat. Ia adalah jalan atau kaedah kedua bagi membolehkan kita membaca yang tersirat untuk disuratkan. Ilmu firasat lebih merupakan gerak hati, rasa di mana seseorang dicampakkan ilham ke dalam hatinya oleh Allah S.W.T. untuk memahami perkara-perkara yang tersirat. Ianya bukan ilmu yang berasaskan pemikiran, renungan, pengamatan atau kajian. Ianya diperolehi dengan secara tiba-tiba, jatuh ke dalam hati insan itu. Dia akan merasa senang hati, seronok, tenang atau terhibur apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang akan membuahkan kebaikan kemudiannya. Atau merasa perasaan meluap, kebencian, tidak sedap hati dan sebagainya apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang akan mengakibatkan terjadinya keburukan.
Ilmu yang didapati dari bentuk ini berbeza dari psikologi. Ilmu psikologi adalah hasil pembacaan, pengamatan, kajian dan hasil kerja-kerja akal, manakala ilmu firasat adalah gerak hati yang dicampakkan oleh Allah. Sebab itulah mereka yang memperolehi ilmu firasat tidak menghadapi masalah keletihan akal kerana ilmunya lahir dari pacaran hati yang terikat dengan tali keimanan, yang digariskan atas syariat Allah walaupun ianya dapat menghasilkan ilmu yang banyak.
Kaedah yang paling berkesan dan pratikal sekali yang boleh diperolehi oleh manuasia dalam menilai dan memahami perkara-perkara yang tersirat dengan tepat ialah melalui ilmu kasyaf (pandangan tembus), iaitu sebahagian dari ilmu makrifat juga. Di mana insan tadi, Allah akan mengangkat hijabnya hingga dapat melihat alam roh dengan sebenar-benarnya. Sehinggakan apabila melihat seseorang, ia boleh melihat sama ada orang itu berkepala babi atau berkepala kambing atau berkepala ular dan sebagainya. Pasti secara lahirnya sifat-sifat itu akan terpapar pada tingkah laku peribadi tersebut. Malah bukan itu sahaja, ada yang dapat melihat pokok-pokok bertasbih, ayam membaca al-Quran dan sebagainya yang mana ini semua dianggap pelik bila diukur dengan kaca mata lahiriah.
Kasyaf terbahagi kepada empat jenis iaitu ;
1. Kasyaf yang berlaku kepada para Rasul, Nabi dan Waliyullah. Mereka ini telah terbina imannya, telah berjaya bermujahadah melawan nafsu dan syaitan serta tipu daya dunia hingga dapat menjadikan ianya hampir dengan Allah serta tergolong dalam kumpulan para kekasih Allah. Mereka ini tidak terpaut dan tidak terasa hebat dengan kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah. Pengabdian mereka kepada Allah bukanlah kerana ganjaran syurga, atau takut dengan neraka, apatah lagi kerana dunia yang penuh tipu daya ini, tetapi adalah semata-mata kerana ianya hamba Allah. Tegasnya mereka adalah orang-orang yang dikurniakan kasyaf kerana hati mereka telah bersih dan bulat sepenuhnya mencintai Allah.2. Dalam jenis kedua pula, Allah berikan kasyaf kepada seseorang itu sebagai modal untuk menyakinkannya akan kebesaran Allah dan tentang keesaanNya. Dengan pemberian ini menjadi penyebab untuk ia taat kepada Allah selaras dengan syariat Allah.
Inilah yang terjadi kepada orang-orang tertentu sebagai “rezeki” dari Allah kepada mereka. Contohnya, seperti yang telah terjadi kepada wali-wali besar Ibrahim Adham, Bisyru Al Hafi, Malik bin Dinar dan lain-lain. Mereka asalnya adalah orang awam, tetapi setelah dikurniakan kasyaf sebagai cara didikan terus dari Allah, maka mereka terdorong untuk membuat perubahan besar dalam hidup mereka, iaitu semata-mata berbakti kepada Allah.
Ibrahim Adham yang asalnya seorang raja, gemar berburu pada hari Jumaat. Beliau tidak menghiraukan “pantang-larang” umat Islam yang sangat memuliakan hari Jumaat sebagai hari yang dikhususkan untuk beribadat.
Suatu ketika sedang ia berburu, tiba-tiba ia mendengar satu suara ; “Wahai Ibrahim Adham! Adakah kerana ini Allah menjadikan kamu?” Ibrahim Adham terpinga-pinga. Dia tidak dapat melihat siapa dan dari mana suara itu datang. Ia pun meneruskan pemburuannya. Tetapi sekali suara itu bergema. Akhirnya, hati beliau tersentuh dan insaf atas kelalaiannya selama ini.
Ia pun meninggalkan kemewahan, dan cara hidupnya sebagai raja. Ia berkelana dan hidup sebagai seorang sufi. Mulai saat itulah darjatnya meningkat hinggalah mencapai taraf wali.
3. Kasyaf yang dikurniakan Allah kepada seseorang kerana berkat guru atau ibubapanya ataupun kerana sesuatu amal yang telah dikurniakan kasyaf jenis ini sebenarnya belum bersih lagi jiwanya. Ia hanya menerima berkat dari seseorang lain yang ada hubungan rapat dengannya. Kasyaf jenis ini juga merupakan modal awal yang sangat tinggi nilainya kepadanya untuk hampir kepada Allah. Jika ia anggota sebuah jemaah Islamiah, maka ia merupakan saluran kepada berita-berita ghaib yang sangat besar manfaatnya kepada seluruh anggota jemaah.
Hal ini dapat dicontohkan dengan kasyaf yang dikurniakan mukasyafah waktu sebelum bertaraf wali. Dengan mukasyafah itulah ia dapat merasai kebesaran Allah dan menjadi pendorong kepada dirinya berubah menjadi wanita solehah dan akhirnya menjadi seorang wali. Mengapakah Allah memilihnya? Ini disebabkan barakah dari ibunya yang sering mendoakan kesejahteraan anaknya (Rabi’atul Adawiyah). Jadi kasyaf yang diberikan padanya bukanlah hasil mujahadah tetapi sengaja Allah campakkan barakah doa seorang ibu kepada anaknya!
4. Dalam jenis keempat pula Allah memberi ilmu kasyaf kepada seseorang lebih merupakan satu ujian ke atasnya. Adakah ia akan mudah terasa hebat dengan kekasyafannya atau terasa seronok dengan kebolehannya. Dengan kekasyafan ini akan tergambarlah watak-watak terpendam pada orang itu seperti keikhlasannya dalam ibadahnya, tentang rasa kehambaannya kepada Allah serta akhlak baik dan uruknya. Ini merupakan perangkap ke atas dirinya dalam menguji sifat kehambaan yang ada pada dirinya.
Bagi para wali mereka tidak mudah tertipu dan tidak mudah terperangkap dengan ilmu kasyaf yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Contohnya, kita boleh lihat pernah suatu ketika, di waktu Syeikh Abdul Kadir Al Jailani sedang berzikir dan bermunajat dengan Allah. Ketika itu datanglah satu cahaya dan bersuara ; “Wahai Syeikh Abdul Kadir Al Jailani, engkaulah kekasihku. Mulai sekarang telah halal apa yang diharamkan ke atasmu.”
Syeikh Abdul Kadir Al Jailani terus melontar kasutnya ke arah cahaya itu dan berkata ; “Pergilah, wahai syaitan yang terkutuk!”
Mendengar itu, suara tadi (syaitan) pun berkata ; “Engkau hebat! Telah ramai wali yang telah aku sesatkan dengan cara ini. Ini sudah tentu berkat ketinggian ilmumu.”
Mendengar itu, Syeikh Abdul Kadir Al Jailani pun terus berkata lagi ; “Jangan engkau cuba menipu aku sekali lagi. Aku selamat dari tipu dayamu bukan kerana ilmuku tetapi kerana rahmat Allah!”
Inilah bentuk ujian kasyaf yang dikurniakan kepada Syeikh Abdul Kadir Al Jailani sama ada ia tertipu atau tidak. Alhamdulillah wali besar itu mendapat pimpinan Allah dan sentiasa dapat mengekalkan sifat kehambaannya walaupun kedudukannya di sisi Allah sangat tinggi.
Begitu juga dengan Rabi’atul Adawiyah, walaupun dianugerahkan dengan kehebatan-kehebatan pada dirinya, dia tidak pula terasa kagum hingga hilang sifat kehambaannya kepada Allah. Di antara karomah-karomahnya ialah dia boleh melempar tikar sejadah ke udara dan bersembahyang di atasnya. Tetapi perkara ini adalah terlalu kecil baginya. Alam kenyataan telah membuktikan ini adalah perkara biasa pada burung yang sentiasa boleh berterbangan di udara.
Sebaliknya tidak dapat kita nafikan melalui sejarah, dapat kita lihat ramai para wali yang sudah terpesona, tertipu, sudah terasa “hebat” dengan kebolehan hingga tipu daya ini membawa mereka ke kancah kekufuran. Mereka telah gagal dalam ujian yang berbentuk kerohanian ini. Kasyaf yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka ini menyebabkan mereka lupa, takabur dan sombong.
Terdapat satu kisah tentang seorang wali yang bernama Syeikh Bersisa yang sudah begitu lama beribadah kepada Allah tetap di saat akhirnya terpedaya dengan tipu daya syaitan sehingga melanggar syariat Allah. Beliau mempunyai banyak kelebihan-kelebihan sehinggakan anak muridnya telah boleh terbang bagaikan burung di udara tetapi akhirnya mati kufur. Rupa-rupanya tersingkap rahsia bahawa Bersisa menerima nasib sedemikian kerana hatinya kurang dengan rasa syukur. Sebab itulah kurniaan kasyaf bukanlah jaminan untuk selamat dunia dan akhirat tetapi sebagai pendorong sahaja untuk lebih membaiki diri.
Wallahu A’lam….

Tuesday, September 9, 2008

Penghijrahan Ke Utara...

Aku membawa diri melintasi sempadan negeri menuju ke utara semenanjung tanah air. Hatiku melihat mentari terbenam di ufuk barat, tatkala itu hatiku juga terfikir macam mana keadaan bila sang mentari muncul di ufuk timur, adakah cahayanya menyinari alam ini dengan baik ataupun redup dan mendung di pagi hari ataupun cerah pada awalnya dan hujan di tengah hari.


Di saat aku sampai di salah sebuah tempat di utara, kali ini aku mengenangkan diri aku yang masih lagi dalam keadaan gelap tanpa bantuan cahaya, membawa diri untuk mencari ilmu di negeri orang. Keadaan menjadi bertambah resah bila aku perhatikan orang-orang yang berada di sisi aku jauh lebih beruntung berbanding diri aku yang serba kekurangn ini. Aku melalui hari demi hari dalam langkahku menimba ilmu pengetahuan tanpa menghiraukan orang lain kerana hatiku ini tidaklah sehebat kawan-kawan sekeliling aku. Dalam fikiran aku, mereka ini jauh lebih beruntung daripada aku, jauh lebih hebat daripada aku. Namun hatiku tabah menghadapi dugaan hidup ini kerana aku masih ingat lagi pesanan ayahku kepada anaknya ini sebelum aku memulakan langkahku lagi, katanya: "wahai anak yang baik, dalam hidup ini kita tidak dapat memilih untuk hidup sama ada untuk lahir dalam kaya ataupun miskin,lahir dalam keadaan senang ataupun susah. Tetapi setelah kita hidup, kita mesti menghabiskan hidup ini hingga ke langkah yang terakhir. Kita tidak diberi apa-apa keistimewaan semasa dilahirkan tetapi kitalah yang akan berusaha untuk mendapatkan keistimewaan itu bila kita hidup nanti". Aku termenung mengingatkan pusaka itu, kerana ayahku tidak memiliki harta yang bertimbun untuk diwarisi kepada anaknya melainkan pusakannya adalah nasihat. Dengan pusaka yang ayah berikan itu yang membuatkan hati aku bertambah sengat untuk meneruskan perjuangan ini walaupun aku tahu ianya amat dan teramat sukar.

Dalam meniti hari-hari sebagai seorang pejuang dalam keluarga orang yang susah ini, aku melihat bagaimana sukarnya untuk hidup. lantas teringat di benak pemikiranku tentang pesan guruku semasa belajar di Perlis dahulu, katanya " hidup ini macam lautan, ada manusia melihatnya macam gelombang yang begitu mencabar. Manakala ada orang yang melihatnya (hidup ini) ke dalam sedikit, iaitu di dalamnya terdapat ikan-ikan yang boleh memberi manfaat kerana dalam hidup ini ada manusia yang hanya mencari untung semata-mata. Ada juga manusia yang melihat hidup ini jauh ke dalam lautan lagi iaitu di dasar laut itu terdapatnya mutiara yang menjadi rebutan kepada manusia sehingga sanggup bermusuh-musuhan sesama sendiri demi mendapatkannya. Manakala ada yang jauh lebih hebat dan ia melihat lautan ini jauh di bawah dasar lagi iaitu di dalam lautan terdapatnya minyak petroleum yang jauh lebih berharga". Namun, bagi aku hidup ini bukanlah semudah apa yang kita ucapkan kerana ianya sungguh kompleks yang menyaksikan keajaiban demi keajaiban, membuktikan keagungan kuasa Tuhan yang Maha Mencipta.


Setelah dua tahun aku di negeri Perlis, aku mula berhijrah ke Kedah, salah sebuah negeri yang juga terletak di utara tanah Melayu dahulunya. Aku menyambung belajar diperingkat yang lebih tinggi sedikit. Di sini aku banyak belajar apa yang aku belum ketahui sebelum ini. Di sini juga aku menemui pelbagai corak kehidupan dan bagaimana aku ingin mencorak kehidupan aku nanti. Aku bertemu dengan perlbagai keadaan manusia dan boleh dikatakan aku berjumpa manusia dari pelbagai jenis sehingga boleh dikatakan dari A sampailah ke Z. Sekali lagi mencabar diri aku untuk menjadi insan yang sempurna kerana di sekelilingku ramai manusia yang mempunyai pelbagai gelagat hidup. Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Namun dalam penitian hidup ini redha dan berserah kepada Allah swt, dan akhirnya aku dipertemukan dengan Nur yang merupakan titik permulaan dalam menyinari hidupku. pertemuan itu bukanlah suatu yang dirancang ataupun tidak terancang tetapi ia sengaja diperlakukan untuk tujuan menguji kejenihan cahaya Nur tadi. Maklumlah kata orang cahaya dari aliran agama ini memang tinggi nilainya dan aku teringin untuk menguji tahap kesucian dan kejernihan kilauan cahayanya dan aku memang mendapti cahayanya memang unggul sehinggkan sampai saat ini aku belum lagi menemui cahaya yang setanding dengan cahayanya. Aku mengharapkan Nur ini menyinari hidupku buat selama-lamanya.


Di saat aku menuji ketelusan cahayanya....

Setelah lama aku melihat sinarnya si Nur tadi, aku mula tertarik untuk mengujinya agar aku tidak tertipu oleh cahayanya itu dan aku mengharapkan cahayanya itu benar-benar dapat menyinari hidupku. Ujian demi ujian aku tujukan padanya dan kesemuanya itu menunjukan bahawa cahayanya tetap menyinari dan tidaklah malap seperti sesetengah cahaya yang aku uji sebelum ini. Aku menetapkan empat puluh ujian untuk menguji kejernihan dan kesucian cahaya Nur agar suatu hari nanti aku tidak menyesal. Aku cuba untuk memadam langsung cahayanya agar ia terus melupaku namuan sangkaan aku silap kerana semakin diuji semakin pula cahayanya menyinari hidup ku. Lantas aku berdoa agar Tuhan kurniakan Nur itu kepada ku untuk menjadi milikku buat selama-lamnya. Kini Nur mendampingi aku sudah hampir dua tahun. Aku merasakan masih tiada lagi cahaya setanding dengan Nur. Nur di Ufuk Timur aku mengharap kau tetap menyinari hidupku walau di mana jua sekali pun.

Thursday, September 4, 2008

Hubungi Saya

Kepada semua pembaca yang ingin berkongsi artikel, idea, pengalaman dan sebarang ilmu pengetahuan ataupun persoalan bolehlah email kepada saya di alamat el_farouq14@yahoo.com ataupun cendikiawanislam@yahoo.com. Oleh yang demikian, manfaatkanlah peluang yang ada untuk mencapai redha Ilahi.

Sekian Terima Kasih

Monday, September 1, 2008

Kelebihan Bulan..

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa. (at-Taubah : 36).
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis.
Abu Bakrah menceritakan bahawa Nabi SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata: Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (riwayat Imam Ahmad).
Bulan dalam bahasa Arab disebut Al-Syahru yang bermaksud zaman atau masa iaitu merujuk kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan dirasmikan penggunaan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah:
lMuharram erti diharamkan, kerana ia adalah bulan pertama daripada empat bulan yang diharamkan berperang dalam Islam.
lSafar pula ertinya kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
lRabiulawal dan Akhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau.
lJumada Ula dan Jumada Akhir, erti Jumada itu ialah membeku di mana waktu ini biasanya berlaku musim sejuk yang menyebabkan air membeku. Asal perkataan Jumada ialah ‘Jamada’ yakni membeku.
lRejab pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka mengadakan gencatan senjata di bulan ini sebagai memuliakannya.
lSyaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rejab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.
lRamadan bererti panas, kerana kebiasaannya pada waktu dahulu pada bulan ini berlaku cuaca panas.
lSyawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja Tasyawwala yang bermaksud sedikit atau berkurangan.
lZulkaedah merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari ‘Qa ‘ada’ yakni duduk.
lZulhijjah pula dikaitkan dengan kebiasaan kaum Arab ke Kaabah menunaikan haji pada bulan ini.
Berdasarkan makna setiap bulan yang dinyatakan pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Termasuklah juga dengan bulan Syaaban.
Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Sebabnya hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.
Sebagai Muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya.
Memanfaatkannya
Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Di mana ada saat-saat tertentu yang mempunyai fadilat yang khusus dan jika tidak diambil kesempatan untuk memanfaatkannya akan berlalu begitu sahaja serta tiada peluang lagi untuk dikembalikan.
Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya.
Antaranya: Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah SAW ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Abu Salamah r.a. pula berkata: Aku pernah bertanya Aisyah r.a. tentang puasa Rasulullah s.a.w. lalu dijawab: Bahawa Nabi berpuasa sehingga kami berkata memang ia berpuasa dan ia berbuka sehingga kami berkata memang ia berbuka, dan aku tidak pernah melihatnya berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban, ia pernah berpuasa sebulan pada bulan Syaaban dan pernah juga ia berpuasa sedikit pada bulan Syaaban. (riwayat Muslim).
Di dalam riwayat yang lain Ummu Salamah r.a berkata: Aku tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa berturut-turut melainkan pada bulan Syaaban dan Ramadan. (riwayat Tirmidzi).
Aisyah r.a. juga meriwayatkan bahawa bulan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW berpuasa ialah bulan Syaaban kemudian disambung ke bulan Ramadan. (riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Bagi mereka yang ingin berpuasa di bulan Syaaban sebaiknya dimulakan dari awal bulan Syaaban. Ini kerana terdapat larangan berpuasa dihujung Syaaban bagi mereka yang tidak pernah berpuasa di awalnya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa.
Berdasarkan hadis ini para ulama menyatakan adalah ditegah jika seseorang berpuasa di hujung Syaaban kerana ingin menyambungnya terus dengan puasa di bulan Ramadan.
Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya. Antaranya:
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi SAW: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekelian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. (riwayat Nasai dan Ahmad)
Abu Musa al-Asyaari pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah melihat (amalan hamba-hamba-Nya) pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan dosa semua makhluk-Nya (hamba-Nya) kecuali syirik dan orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya). (riwayat Ibnu Majah)
Abdullah bin Amru juga pernah meriwayat bahawa Rasulullah bersabda: Allah melihat kepada makhluknya pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan hambanya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh. (riwayat Imam Ahmad)
Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu Ramadan.
Pelaksanaan ibadah bulan Syaaban adalah satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu kecuali nas yang menggalakkan berpuasa sunat.
Oleh itu, di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir, qiamullail dan sebagainya.
Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu Ramadan. Pada kebiasaannya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hari raya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya.
Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Persiapan sama ada dari sudut ruhiah yakni dengan membiasakan diri dengan puasa dan ibadah lain di samping persiapan fizikal seperti menghias rumah, menyediakan pakaian baru dan mengadakan ruang khusus untuk beribadat di rumah.
Bulan Syaaban juga elok dijadikan saat untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.

My Picture