Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Thursday, March 26, 2009

Burung Menjadi Guru.....

Semasa aku menetap di utara semenanjung tanah air yang tercinta, aku sering terdengar kicauan burung setiap pagi selepas solat subuh, kicauan disahut pula oleh kokokan ayam hutan dan unggas serta mawas-mawas di hutan Sintok kerana hostel aku yang berada di Bukit Kachi. kicauan burung-burung yang keriangan di waktu pagi itu membuatkan diriku terfikir, adakah ini merupakan nikmat Tuhan yang ingin mengajar aku supaya bangkit awal dari tidur dan kejutkan rakan-rakan yang lain untuk sama-sama bangkit menunaikan kewajiban pada yang Esa. Atau adakah kicauan burung itu merupakan zikirnya kepada Allah swt sebagai Tuhan yang menjadikan kita semua. Dalam fikiran aku itu juga mengajar diriku bahawa aku perlu tingkatkan amal ibadah aku dengan berzikir sepertimana riuhnya kicauan burung dikala dingin.

Namun dalam lamunan aku itu juga, aku teringatkan sejenak saat ketika kecil, yang mana aku suka membela burung dan pelbagai jenis burung yang aku miliki. Namun setelah aku meninggalkan kampung halaman, hanya tinggal beberapa jenis sahaja, itupun ayah aku menjaganya. Walau bagaimana pun, aku tetap suka dan sayangkan burung-burung kerana ia antara binatang yang banyak mengajar aku erti kehidupan. Masih lagi teringat dikala kecil dahulu, aku suka sangat melastik burung dan setiap burung yang berjaya dilastik itu aku akan bakar bersama kawan-kawan aku. Sekarang baru aku terfikir bahawa burung yang dijadikan oleh Allah swt itu adalah sejenis makhluk yang menjadi pelbagai manfaat kepada manusia, antaranya ia adalah sumber rezeki kepada manusia, ia mengajar manusia dalam proses kehidupan sepertimana kisah gagak yang mengajarkan Qabil menanam mayat saudaranya habil, begitu juga peristiwa penggalian telaga zam zam oleh Abdul Mutalib juga diajarkan oleh seekor burung gagak. Di sini menjelaskan kepada kita bahawa burung ini bukan hanya sebagai sumber rezeki tetapi ia adalah menjadi guru kepada manusia yang berfikir tentang ayat-ayat Allah swt.

Bila mengenangkan kicauan burung-burung hutan Sintok, aku mula bertanya kepada rakan-rakan aku tentang burung itu. Adakah burung itu ada di kampungnya? Mereka berkata memang burung sedemikian ada di kampung mereka. Aku rasa bangga kerana burung tersebut bukan sahaja di Sintok, tetapi juga di Kelantan, Pahang, Johor dan lain-lain lagi. Aku juga teringat semasa aku pergi melawat rumah Kak Long aku di Putrajaya suatu ketika dahulu, aku juga mendapati burung tersebut juga ada di Putrajaya. Jadi adakah burung yang sama yang berada di tempat yang berbeza atau burung yang spesisnya sama. Namun dalam pemerhatian aku itu, aku sedar bahawa burung itu dijadikan oleh Allah swt dalam keadaan yang cukup sempurna dengan keriangannya di waktu pagi dan petang.

Bagi kebanyakkan orang Cina, falsafah burung inilah yang mereka pegang kerana burung ini keluar mencari makan pada awal pagi lagi kerana burung dengan rahmat Allah swt kurniakan padanya ia dapat tahu bahawa rezeki akan banyak pada waktu pagi. Ini kerana sekiranya waktu tengah hari, ulat akan masuk ke sarangnya kerana kepanasan matahari dan sekiranya burung keluar pada lewat tengah hari maka burung tersebut akan kelaparan. Inilah yang dijadikan falsafah bagi kebanyakkan masyarakat cina. Namun begitu, dalam agama Islam pun, Nabi Saw tidak menggalakkan ummatnya tidur di waktu pagi dikala selepas subuh iaitu semasa waktu matahari naik ke kepala. Ini kerana rezeki kita akan kurang pada hari tersebut dan sememangnya kerana di waktu pagilah amat sesuai untuk setiap makhluk keluar mencari rezeki yang halal lagi baik.

Berbalik kepada perjalan aku dan burung, aku juga teringat tentang burung yang mengajar aku semasa aku bermusafir ke Kelantan semasa cuti semester baru-baru ini. Semasa dalam perjalanan ke sana, aku singgah rehat di Pulau Banding, iaitu di tengah-tengah hutan di negeri Perak di bahagian Banjaran Titiwangsa yang menghubungkan antara Perak dan Kelantan. semasa aku rehat di Pulau tersebut, seperti biasalah aku suka melihat gelagat binatang-binatang yang ada di situ. Maklumlah di situ merupakan kawasan hutan tebal dan aku telah banyak terserempak dengan pelbagai binatang liar semasa pulang ke Kelantan, antaranya ialah gajah liar, harimau yang melintas di hadapan aku semasa drive, kumpulan beruk, ayam hutan, seladang, lembu hutan dan banyak lagi. Semasa aku rehat, aku melihat sepasang burung hutan yang cantik warna dan bulunya, jadi disebabkan aku tidak pernah melihat burung seperti ini sebelum ini, ia menjadi tarikkan perhatian aku untuk melihatnya dengan penuh perhatian. Aku memerhati sepasang burung ini dan dalam pemikiran aku bahawa burung ini adalah sepasang suami isteri kerana mereka terbang bersama-sama untuk mencari makan bersama-sama. Lama aku termenung memerhatikan gelagatnya aku tiba-tiba aku lihat salah seekor burung tadi menemui makanan dan pada masa yang sama aku lihat ianya memanggil burung yang satu lagi untuk makan bersama. Yang menjadi kepelikkan dan pengajaran kepada aku ialah mereka berkongsi makanan yang mereka jumpa dan jarang benda ini berlaku dalam kumpulan burung melainkan makanan yang dicari untuk anak-anak mereka sahaja yang mereka akan sanggup kongsi pada yang lain. Tetapi kali ini tidak, mereka makan bersama-sama.


Melihat perkara seperti itu berlaku, aku terus mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana Dia mengajarkan aku perjalanan hidup ini melalui sepasang burung yang menjadi guruku. Aku terfikir bahawa hidup ini jangan pentingkan diri sendiri dan jangan sombong. Sekiranya kita bersahabat, jangan fikir kita sahaja yang inginkan kesenangan tetapi tidak pada sahabat kita atau jika sahabat mengalami kesusahan maka kita jadilah orang pertama yang ingin menolong. Perkara ini teramat penting di dalam hidup berumah tangga, iaitu jangan pentingkan diri sendiri sahaja yang mana suami dengan cara suami dan si si isteri dengan caranya. Maksud ini terlalu luas kerana apabila di katakan jangan sombong itu bukan sahaja dalam perkara yang memberi keuntungan semata-mata tetapi juga kita jangan sombong untuk menegur sahabat atau suami dan isteri kita jika mereka melakukan kesilapan.

Burung tadi mengajar saya bahawa dalm hidup ini tidak perlu berkerja teruk untuk mendapatkan rezeki yang banyak sehingga lupakan kewajipan-kewajipan yang lain terutamanya hak Allah swt. Dalam mencari rezeki ini kita perlu berusaha bersama-sama terutama bila berumah tangga dan sekiranya rezeki yang dapat itu tidaklah banyak tetapi ia sudah memadai untuk hari itu dan yang penting jangan lupa hak-hak yang lebih penting untuk kita tunaikan. Jangan sekali-kali kita berusaha mencari rezeki yang halal tetapi meninggalkan perkara-perkara yang wajib dan sekiranya perkara yang wajib itu kita tinggalkan maka rezeki yang kita perolehi itu juga adalah haram, seperti sekiranya kita tinggal solat dan sebagainya.

Aku juga terfikir tentang pengajaran yang diberikan oleh burung itu kepada aku dalam konteks pendidikan. Bahawa semasa menuntut ilmu pengetahuan, kita jangan sekali-kali kedekut ilmu sehingga tidak mahu mengajar orang lain untuk pandai seperti mana kita pandai. Kita tidak mahu memberitahu orang lain tentang idea kita. Tapi biasalah kebanyakkan sifat orang melayu tidak mahu melihat orang lain berjaya, biar kita jer yang berjaya. Inilah yang berlaku dalam sistem pendidikan negara kita yang mana, orang yang pandai diasingkan daripada bercampur dengan pelajar yang kurang pandai. Bagi mereka orang yang pandai ini takut menjadi tidak pandai setelah bercampur dengan orang yang tidak pandai. Inilah masalah besar kepada rakyat negara ini dan jika di fikir balik bilakah orang yang tidak pandai itu mampu menjadi pandai kerana mereka bercampur sesama mereka di dalam golongan kurang pandai. Bagi saya, semasa belajar janganlah kedekut ilmu dan jikalau boleh, ajarlah kawan-kawan kita supaya mereka berjaya sepertimana kita berjaya dan kejayaan kita itu tidak sedikit pun kurang sekiranya kita membantu rakan-rakan kita untuk berjaya bersama kita.
Setelah aku memerhati sedemikian lama pada burung tersebut, aku melihat jam pada fon aku dan sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Aku terpaksa tinggalkan burung tersebut kerana perjalanan aku masih jauh lagi. Aku kemudian mendapatkan barang-barang aku dan menghidupkan enjin motor aku untuk teruskan perjalanan. Semasa dalam perjalan, aku turut bertemu dengan binatang-binatang lain yang ada di tepi jalan, maklumlah jalan yang aku lalui itu adalah jalan lebuh raya timur barat yang menghubungkan Kelantan dengan Perak. Semua orang tahu yang lebuh raya itu tidak sah kalau tidak jumpa dengan gajah sekiranya kita lalu. Dalam perjalanan aku terserempak dengan sekumpulan beruk yang melintas jalan. Niat dihati hendak berhenti sahaja motor aku untuk tengok gelagat sekumpulan beruk tersebut, namun disebabkan aku tidak memiliki sebarang senjata untuk mempertahankan diri sekiranya aku diserang nanti menyebabkan niat aku terbatal sahaja.

Setelah lebih 1.30 jam aku drive, tibalah aku di destinasi yang dituju. Lebih kurang pukul 12.15 tengah hari aku sampai di rumah dengan selamat dan aku bersyukur panjang kerana Allah swt memudahkan perjalanan aku. Di rumah aku turut menemui burung yang spesisnya sama yang aku temui semasa di tasik Banding pagi tadi, namun burungnya yang berbeza. Aku cuba memerhatikan gelagat burung tersebut untuk melihat, adakah burung di tasik Banding sama dengan burung di Pangkal Jenereh. Bila lama kau perhatikan, semuanya adalah sama dari segi gelagat kehidupan tapi perbezaan tetap wujud kerana burung pun bukan burung yang sama cuma spesis je yang sama. Dari segi konsep mencari makan, dua burung tadi berbeza namun dari segi gelagat untuk makan adalah sama yang mana suka berkongsi dengan rakan yang lain. Aku buat kesimpulan awal bahawa disebabkan berbeza ini adalah kerana mereka hidup di kawasan yang berbeza dan perbezaan burung itu adalah berpunca daripada persekitaran. Jadi pengajaran yang aku dapati adalah, faktor persekitaran juga memainkan peranan dalam mendidik diri kita. Di tempat yang baik akan mendidik diri dan jiwa kita ke arah kebaikkan dan sekirannya persekitaran yang kurang baik, risiko untuk menjadi kurang baik adalah lebih tinggi peratusannnya. Ini kerana kehidupan kita diadaptasi oleh persekitaran.

Akhir kalam daripada penulis, didiklah diri kita untuk menjadi insan yang sempurna walau pun kita tahu bahawa kita sebagai manusia adalah tidak sempurna. Namun usaha kita ke arah kesempurnaan itu akan kita perolehi.

Sekian

Rozlan Daud
Machang Kelantan
"Hidup ini simple, tapi complexs."

Thursday, March 12, 2009

Kita Berbeza, Namun Aku dan Kau Ada Keistimewaannya..

LELAKI
Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya.
Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggung jawab ke atas ibunya

Sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya.

Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya.
WANITA

Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki.

Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.
Saksinya kurang berbanding lelaki.

Menerima pusaka kurang dari lelaki.

Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya.

Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri.

Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita.

Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak.

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di muka bumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).
Di akhirat kelak, seorang lelaki akan menanggung terhadap 4 wanita ini:

- Isterinya.

- ibunya

- anak perempuannya

- saudara perempuannya.
Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki ini:

- suaminya

-ayahnya
-anak lelakinya dan

- saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja:

1) sembahyang 5 waktu
2) puasa di bulan Ramadhan

3) taat suaminya dan

4) menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Oleh yang demikian maka adillah Allah swt menjadikan lelaki dengan kekuatannya dan memberikan kemudahan kepada perempuan dengan kekuatan yang mereka miliki. Maka kesemuanya akan ditanya oleh Allah swt suatu hari nanti.

Tuesday, March 10, 2009

Menuntut Ilmu Sambil Berdahwah.....

Pendakwah Muda dari UUM & USM


Baru-baru ini, Rakan Masjid dan Kelab Perkim Universiti Utara Malaysia bersama dengan Skuad Pemantapan Aqidah (SPAQ), Universiti Sains Malaysia telah mengadakan satu sesi pembelajaran luar kuliah yang belajar dan terus membuat amali secara latihan untuk menguji dan melatih diri untuk berhadapan dengan kemelut masalah sosial dunia di kalangan remaja hari ini. Kem yang berlansung selama dua hari itu bermula pada 7 - 8 Mac 2009 di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bakar Arang, Sungai Petani itu cukup memberi pengalaman yang bermakna dalam hidup penulis dan sesiapa yang mengikutinya. Ini kerana setiap apa yang dipelajari terus dipraktikan dan bukan sekadar teori semata-mata.

Kem Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-Isu Sosial (LANDAS) yang di pimpin oleh Ustaz Kamaruddin Bin Kasim merupakan suatu latihan ilmiah dan praktikum kepada sesiapa yang mengikuti program tersebut. Kem ini adalah bertujuan untuk menangani masalah sosial di kalangan remaja terutama remaja yang berusia lingkungan belasan tahun dan fokus kali ini adalah di sekitar bandar Sungai Petani. Program bermula pada jam 2.30 ptg yang mana setaip ahli berkumpul di Masjid Abu Bakar As-Siddiq dan peserta diberi sedikit taklimat berkaitan program dan beberapa skill dan kemahiran untuk memantapkan lagi diri peserta untuk berhadapan dengan remaja di lapangan nanti. Taklimat yang disampaikan oleh ustaz Kamaruddin sendiri yang merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang menangani gejala sosial di kalangan remaja.

Usataz Kamaruddin menyampaikan taklimat ringkas kepada para peserta.

Peserta diberi kemahiran berkomunikasi, resapan kasih sayang melalui sentuhan dan banyak lagi kemahiran-kemahiran yang lain untuk berhadapan dengan remaja yang bermasalah ini. Setelah tamat sesi taklimat, setiap peserta program terus ke lapangan untuk berhadapan dengan remaja dan lokasi pada petang itu adalah di sekitar Centre Square (CS) Sungai Petani. Fokus utama adalah di tingkat 5 yang mana terdapat pusat Karaoke dan tempat menonton wayang. Kaedah yang telah digunakan oleh peserta ialah menggunakan teknik "hemoi" yang tidak diajar oleh mana-mana universiti di dunia ini. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpilan untuk bergerak bersama-sama semasa bersembang dengan remaja sambil berdakwah kepada mereka. Hasil pemerhatian kami sepanjang sesi latihan itu, rata-rata pengunjung CS pada hujung minggu adalah terdiri daripada remaja berusia 13 hingga 16 tahun yang mana merupakan pelajar sekolah. Kemudian peserta di bawa pula ke setesen bas Sungai Petani bagi melihat gelagat remaja di tempat tersebut. Sepanjang di setesen bas, peserta banyak menjumpai botol-botol arak dan gam yang dihisap oleh remaja, namun remaja yang menghisap tidak pula ditemui.

Manakala di sebelah malam pula, sesi post mortem untuk mengetahui apa masalah yang dihadapi oleh setiap peserta sepanjang pengalaman yang diperolehi sejak petang tadi. Manakala Ustaz Kamaruddin mengajar sedikit kemahiran yang terbaik untuk setiap peserta bagi berhadapan dengan remaja. Selepas taklimat sebelah malam, peserta sekali lagi ke lapangan iaitu tumpuan utama di jalan Legenda Height yang mana merupakan tempat remaja lepak sepanjang malam. Kira-kira jam 1.03 pagi, peserta berjumpa dengan sekumpulan remaja yang lepak dan mabuk kerana minum arak. Peserta berpeluang untuk berbual dengan kumpulan remaja tadi dan mendapat sendiri sedikit maklumat berkaitan remaja yang minum arak di jalan tersebut.


Rozlan menunjukkan botol arak yang di temui di Jalan Lagenda Height

Asma' memerhati label botol arak yang dijumpai di setesen bas SP.


Muslimat dari UUM tengah memerhati gelagat remaja di Jalan Lagenda Height

Sekitar jam 2.15 pagi, peserta kembali ke tempat penginapan masing-masing yang mana peserta lelaki kembali ke masjid dan berehat di sana, manakala untuk muslimat pulang ke rumah yang disewa khas oleh ustaz Kamaruddin.

Kira-kira jam 9.00 pagi Ahad, kami yang merupakan peserta dari UUM berangkat pulang. Alhamdulillah kami semua selamat sampai di uum kira-kira jam 12.00 tgh hari dan bagi pihak UUM, penulis mengucapkan jutaan Terima Kasih kepada Ustaz Kamaruddin yang banyak membantu dan semua pihak yang terlibat dalam meberi sedikit pengorbanan untuk melihat generasi masa depan adalah generasi yang cemerlang dalam Agamanya. Bagi penulis, pengalama satu hari satu malam ini merupakan suatu yang baru dan tidak dapat dilupakan dalam kenangan memori hidup penulis dan jika dibandingkan satu hari itu adalah sebanding dengan separuh hayat penulis.


Peserta dari UUM bersarapan pagi di RFC Alor Star.

Insyaallah jika diberi peluang dan ruang, penulis akan kembali turun padang bersama Ustaz Kamaruddin dan sahabat-sahabat yang lain lagi.

Sekian Wallahu A'lam

Rozlan Daud
Machang, Kelantan
"Berikan Manfaat Kepada Orang Lain"

Sunday, March 8, 2009

Teks Khutbah Jumaat

Teks Khutbah Jumaat yang bertajuk "Palestin Mengajak Kamu Kembali Kepada Islam" ini, telah disampaikan oleh penulis di masjid Bukit Kachi, Universiti Utara Malaysia pada 06/03/09. Teks tersebut adalah sepertimana berikut:

Khutbah Jumaat
Palestin Memanggil Kamu Kembali Kepada Islam
(06 Mac 2009/09 Rabiul Awal 1430H)

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Bertaqwalah kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu semua dalam keadaan Islam. Bertaqwa dalam erti kata kita melaksanakan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, kerana taqwalah yang akan menjadi bekalan untuk kita mengadap Allah swt nanti. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan tergolong di kalangan hamba-Nya yang akan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Mimbar Jumaat pada hari ini membicarakan tentang, “Palestin Memanggil Kamu Kembali Kepada Islam”.

Pada hari ini, umat Islam sedunia dihidangkan dengan pusingan seterusnya kekejaman regim Zionis ke atas umat Islam di bumi Palestin. Kekejaman yang melampaui batas fikiran manusia, yang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membenarkan apa yang dijelaskan oleh al-Quran, tentang kehancuran dan kemusnahan besar-besaran pusingan kedua yang dicetuskan oleh kaum Yahudi ini.

Firman Allah SWT:
“Dan telah Kami nyatakan kepada Bani Israil di dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau” [al-Israa' 17: 4]

Ahli mufassirin kontemporari bersetuju bahawa kerosakan pertama yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi ini adalah semasa mereka bermastautin di bumi Yathrib. Mereka menguasai politik, ekonomi dan sosial di kota tersebut, bongkak dengan impian mereka bahawa Nabi akhir zaman akan diutuskan sekali lagi daripada keturunan mereka, dan seterusnya memanfaatkan kejahilan kaum Aus dan Khazraj lalu melaga-lagakan dua kelompok kaum Arab ini hingga berperang sesama sendiri dalam tempoh yang amat panjang.

Kerosakan pertama ini mencapai kemuncaknya, apabila mereka secara rasmi menolak Kenabian Rasul akhir zaman, tatkala diutusnya Muhammad bin Abdullah ke kota Yathrib di dalam peristiwa Hijrah. Meleset sekali impian mereka, apabila Allah swt telah menetapkan bahawa penutup segala Nabi lagi Rasul, diutuskan daripada kaum Arab berketurunan Ismail as., iaitulah Junjungan Mulia Nabi Muhammad saw.

Firman Allah SWT:
“Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat keras serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (untuk menyerang dan mengusir kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang benar-benar berlaku” [al-Israa' 17: 5]

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKALIAN,

Misi kaum Yahudi yang tidak pernah jemu menyebarkan kerosakan di muka bumi biar pun telah diberi peluang berkali-kali oleh Rasulullah saw, disempurnakan oleh umat Islam dengan pengusiran mereka dari bumi Khaybar pada bulan Muharram tahun ke-7H.

Semenjak itu, kaum Yahudi hidup berpeleseran dan sukar diterima di mana-mana sahaja penempatan di muka bumi, di bawah mana-mana kuasa pemerintah, disebabkan oleh perilaku mereka sendiri yang tidak henti-henti mencetuskan kerosakkan di muka bumi.

Namun, di sepanjang sejarah itu, kuasa pemerintah Islam jugalah, dengan keluasan rahmat dan toleransinya menghulurkan bantuan bersyarat kepada kaum Yahudi, termasuklah semasa mereka berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai di bumi Andalus pada 1492 oleh kuasa Kristian. Kerajaan Islam Turki Othmaniyyah mempelawa mereka untuk mendapat perlindungan duduk di bawah pemerintah Islam, tetapi Yahudi tetap Yahudi, mereka menjadi duri dalam daging hingga akhirnya berperanan sebagai kelompok terpenting yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Othmaniyyah. Yahudi yang hidup sebagai talam dua muka, menjadi lubang kebocoran bagi negara Islam terakhir itu, hingga legasi Islam ribuan tahun, tamat secara rasminya pada tahun 1924.

Kejatuhan kerajaan Islam terakhir itulah, menjadi titik utama terlepasnya bumi Palestin dari wilayah Islam. Sehingga kini, bumi Palestin itu terus bermandi darah, setiap anak yang dilahirkan, adalah sudah tersurat bahawa mereka bakal menjadi mangsa kekejaman penjajah Zionis yang terus menerus membelakangkan kemanusiaan, menghancurkan apa dan siapa sahaja yang menghalang cita-cita mereka untuk mewujudkan negara Zionis dari tebing Furat ke Sungai Nil.

Inilah ’sumbangan’ Yahudi.
“Kerosakan demi kerosakan”.

Dan Allah SWT telah menetapkan, bahawa kitalah pada hari ini yang berdepan dengan kerosakan besar-besaran untuk pusingan kedua, sebagaimana yang telah dicatatkan di dalam ayat yang saya bacakan tadi.

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,

Apakah tindakan kita? Apakah cukup dengan hanya menggelengkan kepala, menanti isu ini pudar daripada siaran media selepas seminggu dua atau pun berbulan-bulan, dan kemudian menggelengkan kepala lagi untuk pusingan yang seterusnya?

Nabi saw bersabda:
Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah saw pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim]

Sesungguhnya, kita mempunyai 3 bentuk tindakan yang menanti perlaksanaannya.

Tindakan pertama, adalah dengan MENGECAM.

Kita boleh dan perlu untuk membuat kecaman. Membantah dan menyuarakan penentangan kita terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin. Sama ada kecaman itu dibuat dalam bentuk demonstrasi aman, ucapan dan syarahan, khutbah dan penulisan. Kecaman ini menjadi bukti yang kita sangat perihatin terhapad saudara seagama kita di bumi Palestin.
Manakala Tindakan kedua yang mesti kita lakukan untuk bertindak terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin adalah dengan MENCEGAH.

Mencegah boleh berlaku dalam beberapa bentuk.
Cegahan pertama adalah pada usaha mengelakkan diri untuk menjadi mangsa kepada kemungkaran itu. Ia mungkin boleh diertikan sebagai tindakan untuk berhijrah meninggalkan tempat di mana kemungkaran itu berlaku. Ia mungkin berupaya menyelamatkan diri kita buat sementara, tetapi ia tidak akan dapat menamatkan kemungkaran itu daripada terus menerus berleluasa. Dan segala puji bagi Allah, saudara kita di bumi Palestin tidak bertindak melarikan diri. Jika mereka tidak punya semangat yang kuat untuk mempertahankan diri dan maruah Islam, sudah pasti mereka bertempiaran lari menjadi pelarian di bumi asing.

Namun Allah anugerahkan bumi itu dengan manusia yang kental jiwa. Mereka terus bertahan. Biar pun hanya dengan lastik dan batu, berundur tidak sekali-kali! Sama ada menang, atau syahid fi sabillah.

Pencegahan yang kedua pula, boleh diertikan dengan tindakan kita mengekangkan diri daripada menjadi sebahagian daripada kemungkaran itu. Kita harus bertindak untuk menghalang diri daripada menjadi sebahagian daripada kekuatan regim Yahudi di bumi Palestin. Dan tindakan ini boleh dijustifikasikan dengan kempen boikot barangan atau produk Yahudi. Secara individu, kita boleh menyekat diri daripada menggunakan barangan dan perkhidmatan daripada syarikat-syarikat yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi regim Yahudi itu.

Firman Allah SWT berkenaan dengan hal ini:

“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu (Yahudi) kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya” [Al-Israa' 17: 6]

Di era kerosakan kedua oleh kaum Yahudi ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kekuatan mereka adalah hasil yang diperpanjangkan kepada mereka berupa harta kekayaan dan sumber tenaga manusia. Ayat ini amat jelas menunjukkan kepada kita, bahawa regim Zionis hari ini menjadi kuat hasil sokongan luar yang mereka terima terutama daripada Amerika Syarikat.

Menurut Laporan daripada American News melalaui laman web www.ifamericansknew.org menjelaskan bahawa regim Zionis yang menjajah bumi Palestin menerima bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan Carribean.

Maka tindakan memboikot barangan dan perkhidmatan serta tindakkan menghentikan penggunaan matawang Dollar adalah tindakan pencegahan yang berkesan dan memberi tekanan kepada sumber kewangan rejim Yahudi ini. Kita seharusnya menggunakan barangan alternatif yang lain daripada kita menggunakan barangan Yahudi. Ini kerana kita tidak mahu menyumbang dana kepada mereka untuk mereka membeli peluru dan senjata bagi membunuh jiwa ummat Islam yang lain.

Sidang Jumaat sekalian,

Walau bagaimana pun, tindakan mengecam dan mencegah masih belum mencapai standard yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad saw kepada kita. Bahawa kemungkaran mesti menerima tindak balas yang bersifat MENGUBAH. Perubahan itulah yang mesti diperhatikan oleh kita semua. Apakah kekalahan demi kekalahan yang menimpa umat Islam selama ini berlaku tanpa sebab? Atau Apakah kejatuhan kuasa Islam hanya disebabkan oleh faktor luar?

Sesungguhnya mencela kaum Yahudi yang melakukan kerosakan, tidak lebih daripada sekadar pepatah Melayu menyebut, SEPERTI MARAHKAN ANJING MENYALAK BUKIT. Yahudi dan kerosakan sudah sinonim, maka janganlah kita sekadar marahkan Yahudi, sebaliknya cerminlah diri kita, apakah yang sedang berlaku kepada umat Islam sendiri?

Bagi Menjawab soalan ini, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama. Bayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin” tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi lawan realiti.
Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh.
Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan mendapati bahawa keterangan al-Quran tentang sifat Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Nasrani sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran. Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Adakah sama seperti yang digambarkan oleh al-Quran, ataupun jauh bezanya dengan realiti kehidupan?

Muslim ilusi berdepan dengan Nasrani realiti.
Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.
Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita. Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh. Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita tidak cerdik. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Berpecah belah hanya kerana secawan kopi. Pecah belah rumahtangga, pecah belah jiran tetangga, pecah belah masyarakat sedesa, pecah belah antara negara, perpecahan kita dari hujung daun hingga ke akar umbi.

Memang benar jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti. Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Tragedi di Palestin adalah seruan Allah untuk kita kembali kepada Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah swt sekalian,

Bagi Ibu bapa, didiklah anak menjadi Muslim, jangan dibiarkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Kenalkan kepada anak-anak kita apa itu Islam dan apa itu Jahiliyyah. Fahamkan mereka siapakah Yahudi dan Nasrani dan mengapa mereka dikutuk oleh Allah swt. Ajarlah anak-anak mencintai kebenaran, keadilan dan memusuhi kezaliman. Agar dengan jiwa tulen seorang putera Muslim dan puteri Muslimah, Yahudi tulen akan dikalahkan oleh Muslim tulen.

Firman Allah swt:

“Dan jika kamu kembali, maka Kami pula akan kembali ..” [al-Israa' 17: 8]

Kembalilah kepada Allah, agar Allah kembali kepada kita dengan bantuan dan kemenangan!
“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengan (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” [al-A'raaf 7: 179]

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Wednesday, March 4, 2009

Ciri Pelajar Cemerlang...

OPTIMISTIK
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'

JANGAN BERSIKAP PESIMISTIK
Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

KESEDARAN MEMIKUL TANGGUNGJAWAB
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

TUMPUAN SEPENUH HATI
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.

MULAKAN DARI AWAL
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.

SENTIASA BERSEDIA
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'

LENGKAPKAN PERALATAN
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?

TEPATI WAKTU BELAJAR
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

DAPATKAN BANTUAN GURU
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
BERI PANDANGAN MEMBINA
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

BERBINCANG DENGAN RAKAN
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

TUBUHKAN KUMPULAN SYUDY
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.

LAKUKAN PEPERIKSAAN KENDIRI
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.

SEDIAKAN JADUAL WAKTU
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

SERTAI CERAMAH MOTIVASI
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

MAKANAN SEIMBANG
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

MALU BERTANYA SESAT JALAN
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

SEMBAHYANG
Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama.
DOAPelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

TAWAKKAL
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

My Picture