Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Sunday, May 24, 2009

Demi Masa....

Bila pena mula menulis, hati bertambah khusu' dan cahaya keimanan semakin mekar di sanubari dan akal pula menjalankan tanggungjawab untuk berfikir, semua anggota badanku mula menjalankan tugas yang telah diamanahkan kerana aku telah lama mendidiknya untuk bertanggungjawab dalam semua hal dan keadaan. Bila jari mula menaip di atas keyboard, begitu juga kelakuan hati dan akal dan kali ini aku sedia membicarakan tentang masa. Namun ramai manusia hari ini yang dilekakan oleh masa.
Masa merupakan makhluk Allah swt yang paling setia dan patuh sepertimana taatnya para malaikat-malaikat Allah swt. Ini kerana masa tidak pernah berpatah balik setelah ia berlalu.

Firman Allah swt:
" Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugiran. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta perpesan dengan kebenaran dan kesabaran."

Memang jelas kebenaran apa yang difirmankan oleh Allah swt di dalam ayat di atas, iaitu semua manusia ini berada di dalam kerugian. Kerugian yang dimaksudkan ialah rugi untuk kehidupan di akhirat kelak. Kerana kebanyakkan manusia lalai dan lupa akan perjanjiannya dengan Allah swt bahawa kedatangan mereka ini adalah sebagai hamba untuk beribadah kepada-Nya semata-mata. Namun setelah datang ke dunia ini, manusia sudah mulai lupa dan alpa terhadap perjanjian itu. Dan sebab itulah, Allah swt dengan rahmat dan sifat Pemurahnya Dia, Dia selalu mengingatkan setiap makhluk-Nya yang mana kita semua dalam keadaan kerugian tentang kehidupan yang kekal di akhirat nanti.

Walau bagaimana pun, Allah swt juga menjelaskan siapakah orang-orang yang berjaya dan terselamat daripada malapetaka kerugian ini, iaitu mereka yang mempunyai 4 sifat seperti mana ayat di atas. Iaitu yang 1, mereka yang tetap beriman kepada Allah swt. Ada pun yang sifat yang ke 2 ialah mereka yang beramal soleh. Tidak cukup sekadar beriman sahaja jika tidak beramal dengan amalan yang soleh. Manakala sifat yang ke 3 ialah, orang-orang yang tidak berada di dalam kerugiaan ialah mereka yang sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran, iaitu mereka sentiasa menasihati sesama manusia yang lain di dalam perkara kebenaran atau di atas dasar dakwah dan agama. Mereka sentiasa mengajar manusia lain dengan memberi peringatan tentang kehidupan yang lebih kekal iaitu di negeri akhirat kelak. Ini kerana dengan berpesan dan menasihati, ia sebenarnya adalah untuk menasihati diri kita sendiri supaya tidak mudah lupa tentang sesuatu kebenaran. Adapun sifat yang ke 4 pula, ialah mereka yang sentiasa menasihati tentang kesabaran. Iaitu mereka yang sentiasa mengingatkan orang lain supaya sentiasa berada di dalam kesabaran kerana kehidupan dunia ini adalah semuanya ujian daripada Allah swt, baik kita diberi nikmat yang melimpah ruah, kemiskinan, kesakitan, kejayaan dan sebagainya. Ingatlah semua itu adalah ujian dan kita perlu menasihati diri kita dan orang lain supaya sabar di dalam meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini sebelum kita menghadapi kehidupan yang lebih abadi. Sabar juga bukan sekadar untuk kita tabah menhadapi ujian Allah swt semata-mata, tetapi juga sabar dalam melakukan ibadah kepada Allah swt. Sekiranya kita tidak sabar, sudah pasti kita tidak melakukan ibadah kepada Allah swt. Namun bagi penulis, tidak cukup sekadar sabar dalam melakukan ibadah kepada Allah swt semata-mata tetapi juga perlu sabar untuk tidak melakukan maksiat kepada Allah swt. Pada hari ini, ramai orang yang sangat sabar untuk melakukan ibadah kepada Allah swt, namun ramai yang tidak boleh sabar untuk melakukan maksiat dan contoh yang paling mudah adalah mereka tidak sabar di dalam menjaga pandangan mereka. Sedangkan Allah swt memerintahkan baik lelaki mahupun perempuan supaya merendahkan pandangan mereka, namun pada hari ini ramai yang tidak sabar untuk merendahkan pandangan mereka.

Hakikat manusia sememangnya lalai dan alpa. Masa yang ada dihabiskan untuk tujuan duniawi yang sementara dan tidak langsung dimanfaatkan untuk ukhrawi. Namun dalam menjalankan kehidupan ini, kita sering lupa dan lalai sehinggakan masa yang dikurniakan oleh Allah swt sebanyak 24 jam itu disia-siakan tanpa sebarang manfaat untuk kebaikkan. Namun dalam melayari hidup ini aku pasrah kerana aku adalah insan yang bergelar manusia. Sering lupa pada Yang Maha Mencipta, sering sibuk dengan urusan dunia yang pasti aku tinggalkan, sering dilalaikan dengan harta dan kemewahan, sering juga tamak mengejar kegembiraan yang pasti menghilangkan kekhusukkan hati dan sanibariku.

Adakala aku juga bertanya kepada hatiku, bilakah masanya aku akan habiskan perlumbaan dalam mengejar keduniaan ini semua, namun alhamdulillah yang menjawab bagi diri aku adalah iman dan jawapannya ialah :

Firma Allah swt yang bermaksud: "Bermegah-megahan telah melalaikan kamu. Sehingga kamu masuk ke dalam kubur. Sekali-kali tidak!, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Kemudian sekali-kali tidak!, kelak kamu pasti akan mengetahui. Sekali-kali tidak sekiranya kamu mengetahui dengan yang yakin. Nescaya kamu benar-benar akan menyaksikan neraka Jahim. Kemudian kamu adan melihatnya dengan mata kamu sendiri dengan yakin. Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu tentang tentang nikmat yang kamu bermegah-megah itu."

Surah At-Takathur.

Sebagai kesimpulannya, ingatlah wahai sahabat semua, kita masih diberi peluang oleh Allah swt untuk meneruskan perjalanan kita pada saat ini. Dan dengan peluang ini, gunakanlah kesempatan yang ada untuk kita kembali kepada-Nya. Bertaubat dan insaflah dengan kealpaan yang telah kita lakukan dahulu, sesungguhnya Allah swt itu maha pengampun atas segala taubat hamba-Nya. Perbuatan yang paling disukai oleh Allah swt ke atas hamba-Nya ialah mereka yang sedar dengan kesilapan yang telah mereka lakukan dan bersegera bertaubat kepada-Nya berbanding dengan mereka yang langsung tidak berbuat dosa dan tidak bertaubat. Gunakanlah peluang yang ada ini untuk kita kembali kepada Allah swt sebelum kita dikembalikan secara terpaksa pada bila-bila masa yang kita tidak mengetahuinya.

Wallahu A'lam

Rozlan
Machang.

Siapa Mereka Yang Berjaya.....

Bila pena mula menulis kalimah demi kalimah, hati mula mengeluarkan cahaya keimanan, akal mula berperanan sebagai pemikir kerana aku telah mendidiknya sekian lama untuk berfikir, bergitu juga dengan hati setelah bertahun-tahun aku mendidiknya untuk mekar dalam cahaya keimanan. Kali ini bila jari mengatur langkah untuk menaip, aku berfikir untuk menyatakan tentang siapakah orang yang berjaya kerana semakin hari semakin ramai mereka yang aku temui telah berjaya tetapi tidak cemerlang. Maksudku berjaya dari sudut kaca mata manusia biasa dan gagal dari kanta keimanan dan agama.
Aku terbaca di dalam al-Quran, firman Allah swt yang bermaksud:
" Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (mukminun). Iaitu mereka yang khusuk di dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perkataan (percakapan) yang sia-sia. Dan mereka mengeluarkan Zakat. Dan mereka yang menajga kehormatan mereka. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka dan juga hamba-hamba yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka itu tidak tercela (hingga akhir ayat)."
Di sini aku bertemu suatu yang tidak dijangkakan iaitu kenyataan yang diungkapkan olah Allah swt tentang siapakah orang yang benar-benar berjaya itu. Mereka berjaya di dunia dan juga di akhirat. Apa yang dikatakan kejayaan di dunia ialah mereka berjaya menjadi hamba yang soleh yang taat kepada perintah Allah swt yang Maha Menciptakan mereka. Mereka beroleh keberkatan hidup di dunia ini dan keselesaan serta keamanan. Manakala apa yang dikatakan kejayaan di akhirat yang mereka perolehi itu pula ialah balasan daripada Allah swt sepertimana yang dijanjikan kepada setiap hamba-Nya yang taat dalam setiap perintah yang telah diamanahkan.
Adapun mereka yang tidak terciri sepertimana yang dijelaskan oleh Allah swt di dalam surah al-Mukminun ini, maka mereka tidak sekali-kali beroleh kejayaan di dalam kehidupan mereka. Sekiranya mereka berjaya di dunia ini di dalam bidang yang mereka ceburi tetapi ketahuilah bahawa mereka sebenarnya gagal. Ini kerana mereka tidak aman hidup di dunia ini. Ini kerana punca keberkatan mereka di sisi Allah swt itu tiada dan setiap apa yang mereka kerjakan mereka tidak merasa puas dan mereka tamak haloba sehingga sanggup menindas orang lain. Mereka seperti ini sudah pasti tidak berjaya di akhirat kelak kerana mereka tidak tergolong di dalam golongan orang yang berjaya di sisi Allah swt.
Wahai sahabat sekalian, ingatlah bahawa kejayaan yang sebenar-benarnya ialah kejayaan yang kekal abadi. Di dunia ini sementara sahaja dan ingatlah negeri akhirat itu tiada penghujungnya.Hari ini kita hebat di dunia, tetapi ingat belum tentu kita hebat di sisi Allah swt. Hari ini penduduk dunia sanjung kita kerana pangkat dan jawatan yang kita ada, tetapi ingat bahawa belum tentu penduduk langit memujui kebaikan kita.
wallahu A'lam.
Farouq Machang

Thursday, May 14, 2009

Bila Dan Bila....

Dalam meneruskan saat-saat perjalanan hidupku ini, aku banyak menghabiskan masa untuk berfikir dan berfikir kerana bagiku berzikir dan berfikir itu merupakan dua perkara yang perlu bergandingan bersama sepertimana irama dan lagu. Orang yang berzikir dia hanya mendapat pahala kerana amalannya yang sentiasa mengingati Allah swt manakala orang yang berfikir dan berzikir mendapat pahala di atas amalan zikir dan berfikir di atas kebesaran Allah swt. Ini kerana pahala orang yang berfikir tentang kebesaran Allah swt seperti dia bersolat seribu rakaat. Dengan berzikir dan berfikir tentang kebesaran Allah swt itu akan mendekatkan hati kita dan juga meningkatkan tahap keimanan kepada Allah swt.

Adapun kali ini kita membicarakan tentang "bila dan bila" yang mana fokus utama penulis adalah berkenaan dengan nikmat pancaindera yang dikurniakan oleh Allah swt kepada makhluk-Nya yang bernama manusia. Penulis ingin menasihati diri penulis dan rakan-rakan pembaca yang lain agar lebih bersyukur dengan apa yang dikurniakan agar mudah-mudahan ianya dapat dijawab dihadapan Allah swt suatu masa nanti tentang nikmat pancaindera ini.

Pada hari ini, dunia yang penuh dengan kemodenan dan ketamadunan, manusia sudah lupa untuk memanfaatkan nikmat tersebut di dalam kehidupan mereka. Kebanyakkan dari mereka sudah menyalahgunakan nikmat tersebut kejalan yang tidak diredhai oleh Allah swt malah ada yang ke tahap murka Allah swt. Penulis teringat dengan firman Allah swt di dalam Al-Quran yang bermaksud:

" Dan sesungguhnya Kami penuhi neraka jahanam itu kebanyakkan dari kalangan manusia dan jin, bagi mereka ada hati, tetapi tidak memikirkan dengannya (tentang kebesaran Allah swt), dan bagi mereka ada mata, tetapi mereka tidak melihat dengannya (melihat kebesaran dan kekuasaan Allah swt), dan bagi mereka telinga, tetapi mereka tidak mendengar dengannya (mendengar nasihat dan kebesaran Allah swt). Mereka itulah seperti binatang ternakkan bahkan lebih sesat lagi....Al-Ayat).

Inilah bukti yang menunjukkan bahawa setiap nikmat kurniaan Allah swt itu pasti akan ditanyakan tentang penggunaannya. Disebabkan orang-orang yang tidak menggunakan nikmat tersebut, meraka akan diseksa oleh Allah swt. Oleh yang demikian, kita sebagai hamba Allah swt di dunia dan di akhirat, marilah kita berfikir sekejap untuk merenung kembali apakah kita termasuk di dalam orang-orang yang kufur dengan nikmat Allah swt atau adakah kita orang yang benar-benar bersyukur kepada-Nya.

Hari ini, di mana jua, bila-bila masa jua, penulis yang sentiasa berhadapan dengan masyarakat umum, dapat melihat sendiri gelagat manusia, ada mereka yang sangat-sangat bersyukur dan ramai lagi yang tidak bersyukur. Ini kerana sepanjang perjalan hidup penulis yang sentiasa berhijrah ke negeri orang, melihat sendiri betapa ramainya manusia yang lupa dengan nikmat kurniaan Allah swt ini. Sebagai contoh, kebanyakkan manusia bukan sahaja tidak mahu mengguna nikmat tersebut kejalan yang diredhai oleh Allah swt malah mereka lebih suka melakukan maksiat kepada Allah swt dengan nikmat tersebut. Penulis tidak mahu menyatakan apakah dan macam manakah bentuk maksiat yang dilakukan oleh orang lain kerana penulis tidak suka membicarakan hal yang tidak memberi manfaat kepada penulis. Adapun contoh yang sentiasa diperhatikan oleh penulis ialah manusia tidak memanfaatkan nikmat tersebut. Contoh yang paling mudah ialah kebanyakkan mereka tidak waras dikala akal mereka masih boleh berfikir, mereka buta dikala mata mereka masih boleh melihat dan mereka pekak di kala telinga mereka masih mendengar.

Sekadar Hiasan

Contoh di atas ini selalu diumpakan oleh penulis setiap kali memberi kuliah magrib ialah berkenaan dengan kurangnya jemaah di masjid pada masa sekarang. Ini kerana kebanyakkan manusia, mereka mendengar azan yang dilaungkan di setiap masjid kerana kebanyakkan masjid mempunyai pembesar suara. Namun tidak ramai yang hadir ke masjid atau membenarkan apa yang didengar oleh mereka. Mereka seolah-oleh pekak apabila mendengar azan. Adapun orang yang buta ketika mereka melihat ialah mereka yang lalu di hadapan masjid dan mereka tidak singgah untuk solat di situ malah lebih suka untuk solat di rumah. Tapi yang paling parahnya ialah ramai hari ini terutama pemuda dan pemudi yang langsung tidak menunaikan fardu solat. Di samping itu, bagi mereka yang tidak waras ketika akal mereka mampu berfikit ialah mereka tidak mampu untuk menilai sebarang nasihat yang diberikan kepada mereka sama ada nasihat itu baik ataupun tidak. Ini kerana berapa banyak nasihat yang diberikan kepada seseorang itu, namun nasihat itu tidak langsung dinilai malah tidak juga diambil berat, bak kata orang Kelantan "Buat dok jer"..

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua sahabat dan rakan-rakan sekalian, marilah kita tingkatkan kesyukuran kita kepada Allah swt setiap masa, sebaik kita bangun daripada tidur sehinggalah kita hendak tidur kembali. Jagalah nikmat yang dikurniakan-Nya itu sebaik yang mungkin agar kita tidak kufur dengan nikmat-Nya. Janganlah kita termasuk daripada orang-orang yang ditutup pintu hati, pendengaran dan penglihatan oleh Allah swt daripada mendapat cahaya keimanan daripada-Nya. Janganlah kita membutakan mata kita daripada melihat tanda-tanda kebesaran Allah swt, janganlah kita memekakkan telinga daripada mendengar berita-berita keagungan dan nasihat daripada Allah swt serta janganlah kita membisukan mulut kita daripada menyebut dan mengingati Allah swt. Mudah-mudahan Allah swt memasukkan kita di kalangan hamba-Nya yang bersyukur dan menetapkan serta mempertingkatkan keimanan kita seperti pergerakkan masa yang sentiasa kehadapan.

"Ya Allah, aku memohon ampun ke atas segala kesalahan dan kesilapanku semasa aku meneruskan hidup ini sebelum Engkau menjemputku. Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku serta rahmatilah hidup mereka. Ya Allah, tetapkanlah hatiku di atas kalimah cinta-Mu walaupunku tahu tiada manusia yang mencintaiku. Ya Rahman, janganlah Engkau memesongkan hatiku dan tetapkanlah hati ku di atas dasar keredhaan Mu Ya Rahim."

Sekian

Nukilan,

Ibnusoleh
Machang.

Tuesday, May 12, 2009

Masa...

Firman Allah swt yang bermaksud:


" Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka sentiasa berpesan dengan kebenaran dan sentiasa berpesan dengan kesabaran"

Pada minggu ini cuti semester kedua aku bermula. Namun begitu aku masih lagi tidak dapat menghabiskan cuti aku ini untuk balik ke kampung halaman kerana ada sedikit tugasan yang diamanahkan. Tugasan ini aku terpaksa ikuti kerana ia memberi suatu input kepada aku dalam mengharungi kehidupan dunia yang pantas ini. Minggu ini juga memang teramat sibuk bagi aku sehinggakan tiada langsung masa rehat untuk aku. Tidur pada jam 3.00 pagi dan bangun pula pada jam 5.30 pagi. Itulah waktu tidurku setiap hari pada minggu ini. Kadang-kadang ada kala aku tidak sempat untuk tidur kerana terlalu banyak tugasan dan amanah yang diberikan kepada aku bersama 60 orang sahabat yang lain yang sama-sama bertugas demi kejayaan adik-adik.

Namun aku bersyukur kepada Allah swt kerana memberikan kepadaku sahabat-sahabat yang banyak membantu untuk menyiapkan tugasan aku terutama dalam menyiapkan kad matrik pelajar di Kolej Matrikulasi Perlis.


Dalam menjalankan tugas itu, kadang-kadang aku terfikir ada kala manusia mengejar masa dan ada juga yang suka membuang masa. Namun aku sedar bahawa manusia akan ketinggalan sekiranya mereka dilalaikan dengan masa. Sekali-sekala terfikir, apakah tujuan manusia bertungkus lumus sehinggakan tidak sempat untuk tidur? Padahal apa yang mereka buat itu tidaklah hanya kerana dunia semata-mata sehinggakan perut mereka di isi dengan tanah barulah mereka akan berhenti daripada mengejar keseronokkan dunia.


Aku amat mengerti bahawa tiada manusia yang mampu mengejar masa kerana masa saat patuh kepada perjalanannya dan manusia tidak selalu mematuhi perjalanan masa. Masa adalah makhluk Allah swt yang tidak sama dengan makhluk Allah swt yang lain. Masa paling setia sepertimana setianya para Malaikat. Dengan masalah semua makhluk Allah swt akur dan tidak ada seorang pun yang tidak terlepas daripada perjalanan masa. Manusia merupakan makhluk yang paling berkehendak kepada masa kerana kehidupan manusia itu seiring dengan perjalanan masa. Sebagai contohnya, apabila tiba saat masa, seseorang itu dilahirkan ke dunia ini, manakala tiba saat perkahwinan, maka diijab qabulkanlah manusia itu. Apabila cukup kehendak Allah swt manusia itu akan kembali kepada-Nya tanpa lewat walaupun sesaat dan tidak pula ditangguhkan oleh Allah swt dan itulah mati. Adapun setelah seseorang manusia itu telah meninggal dunia maka tiada lagi baginya perjalanan masa tersebut. Buktinya tiada seorang pun yang membawa jam ke dalam kuburnya...


Walau bagai mana pun aku mengetahui bahawa manusia yang dikurniakan masa sebanyak 24 jam ini bermula sejak Nabi Allah Adam as lagi dan sehinggalah berakhirnya kehidupan ini, tiada manusia yang tidak dikurniakan masa sebanyak 24 itu. Namun masa yang disediakan itu tidak seorang pun yang cukup dengan masa yang dia ada. Kebanyakkan manusia tidak cukup dengan masa 24 jam itu. Itulah hakikat manusia yang mana sekiranya diberikan masa 1000 jam sekali pun ia tetap tidak cukup kerana itulah sifar semula jadi manusia. Manusia akan merasa cukup setelah mereka bertemu dengan liang kuburnya.

Ada pun bagi mereka yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat tidak akan berada di dalam kerugian walaupun mereka tidak mencukupi masa kerana mereka melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Allah swt seperti mana dengan kehendak-Nya. Ini adalah kerana janji Allah swt kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Secara kesimpulannya yang dapat aku ukirkan tentang masa ini ialah hanya mereka yang benar-benar memanfaatkan masa sahaja yang tidak akan mengalami kerugian. Masa yang dimanfaatkan adalah hanya untuk mendapatkan redha Allah swt

Sekian.

Nukilan
RozDa
Machang

Tuesday, May 5, 2009

Tangisan Hati..

Apabila menyebut tentang hati, kebanyakkan dari kalangan kia sudah tahu apakah yang dimaksudkan dengan hati. Hati sama diertikan dengan perasaan, iaitu suatu kehendak dan keinginan bagi diri kita. Seringkali kita dengar apabila sesuatu kehendak itu dicapai, maka hatilah yang pertama bergembira, sekiranya dipuji, hatilah yang ceria, bila di sakiti, hatilah yang pertama sekali merasa sakit. Namun semua perasaan itu akan diterbitkan atau ditunjukkan oleh anggota badan kita yang lain. Apabila hati kita bergembira, maka seluruh anggota badan akan ceria dan turut sama bergembira, begitu juga sekiranya hati kita mengalami kesakitan dan kesedihan, anggota lain bersepakat turut sama bersedih, yang mana mata akan mengeluarkan airnya, mulut akan berbunyi kesedihan, tangan akan memeluk tubuh memberi sokongan dan sebagainya. Begitulah hakikat hati dan anggota badan yang lain, saling bantu membantu dan memberi sokongan antara satu sama lain.

Apabila ditulis tangisan hati ini, penulis mengalami tangisan hati ini. Ini kerana jikalau tidak, mana mungkin penulis menjiwai dan mengetahui sejauh mana hubungan antara hati dan anggota yang lain. Kata orang, pengalaman sebenarnya juga merupakan guru kepada kita dalam mengajar erti kata sebuah kehidupan. Kehidupan tidaklah manis sekiranya satu keadaan sahaja yang dialami oleh setiap yang hidup. Kehidupan mesti ada suka, duka, sedih, sayang, disayangi dan sebagainya. Inilah ukiran kemanisan hidup sebenarnya. Berbalik kepada tangisan hati, sudah pasti menyentuh suatu kesedihan dihatiku sehingga hati tidak dapat untuk berbuat apa-apa dan hanya yang mampu ialah menangis tanpa lagu apatah lagi untuk bermuzik dan bergendang. Hati mengarahkan semua anggota bersimpati dengan kesedihan yang dialami ini.



Apabila arahan dikeluarkan oleh seorang raja, semua rakyat mesti patuhi kerana ini adalah titah baginda. Baginda sudah pasti ada penasihat-penasihatnya sama ada penasihat yang membawa kebaikkan kepada raja dan juga rakyat manakala ada juga penasihat yang memberi nasihat kearah keburukan supaya rakyat dianiyai oleh pentadbiran raja dengan menerima akibat daripada arahan tersebut. Begitu juga di dalam pentabiran yang ada di dalam diri setiap jasad manusia, apabila arahan yang dikeluarkan oleh maharaja hati kepada rakyatnya iaitu anggota badan yang lain, arahan tersebut mesti dipatuhi oleh setiap anggota. Raja akan membuat keputusan berdasarkan kepada penasihat-penasihat diraja, iaitu sama ada Iman dan hawa nafsu atau syaitan. Apabila raja ingin membuat sesuatu arahan, maka berebutlah antara iman dan hawa nafsu untuk menjalankan khidmat nasihat mereka. Jika nasihat itu diterima daripada iman, maka baik dan sejahteralah seluruh rakyatnya. Adapun sekiranya nasihat itu diterima datangnya daripada nafsu, maka rosaklah kepada seluruh rakyatnya.


Berbalik kepada kesedihan hati yang dialami olehku, memanglah sesuatu kesediahan itu ada puncanya. Dan punca itu semua orang tahu bahawa setiap yang membawa kepada kesedihan itulah punca hati menangis. Kata orang-orang lama, luka ditangan dapat dilihat, luka dihati siapa tahu. Begitulah hakikatnya tangisan dihati ini tiada siapa yang mengetahui kesediahannya. Namun tangisan hati itu akan ditunjukkan oleh anggota yang lain yang sama turut sedih dengan apa yang berlaku kepada hati, mata akan mengeluarkan airnya, menandakan sedih, mulut akan senyap daripada berkata-kata apatah lagi jauh untuk gelak ketawa, tangan akan senyap tanda sayunya kesediahan itu, dan lain-lain anggota yang turut merasai kesedihan itu.


Banyak faktor yang membawa kepada kesedihan dan semua orang mengetahuinya. Antaranya ialah apabila kehendak diri tidak diperolehi maka hatilah yang menangis kesedihan, apabila janji tidak dipenuhi, hati juga turut kecewa, bila amanah tidak dijaga haknya, maka juga menderita, apabila gagal di dalam apa-apa perbuatan atau tingkah laku, hati juga yang putus asa, apabila putus cinta, hati juga yang merana dan lain-lain lagi. Itulah kesedihan hati. Namun dalam kesedihan ini, penasihat kepada hati akan memainkan peranannya, kata si iman, " Hai hati, janganlah kamu bersedih, ini adalah ujian kepada kamu, dan jika kamu bersabar menerimanya sudah pasti Allah swt akan membalas kesabaran engkau itu dan sesungguhnya Allah swt itu bersama dengan orang-orang yang sabar. Engkau hendaklah kembali kepada Allah swt dan memohon kepada-Nya supaya engkau dikurniakan terus daripada Allah swt. Biar Allah swt lah yang memberi kata putus dalam hal kamu ini. Ingat Allah swt maha pemberi, jika ini yang kamu hendak tidak dapat, Allah swt akan kurniakan yang lebih balik lagi daripada ini kerana sesungguhnya Dia-lah yang maha mengetahui. Kamu menyangka inilah yang terbaik bagi kamu, tetapi sebenarnya ia tidak baik di sisi Allah swt dan sekiranya kamu menyangka ini yang tidak baik di sisi kamu sedangkan ia adalah yang terbaik di sisi Allah swt, maka berdoalah kepada Allah swt semoga Dia yang maha mengetahui itu memberikan yang terbaik untuk kamu." Adapun dalam kesedihan hati itu, nafsu turut memberi khidmat nasihatnya, dan biasanya nafsu ini akan meminta pertolongan daripada syaitan. Kata nafsu, "kenapa kamu nak bersedih, biarkan apa yang telah berlaku itu, kamu tinggalkan, lupakan dan jangan kecewa sebab ada lagi yang lebih baik. Kamu tidak layak sebab kamu hebat darinya (*inilah keangkuhan yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan setiap orang yang baik, mereka tidak menyuruh untuk mencuri atau membunuh orang, kerana orang yang beriman tidak akan buat benda semacam itu. Tetapi syaitan akan menyuruh seseorang itu riak dan bangga pada diri sendiri, ini adalah seburuk-buruk perbuatan. Syaitan tidak menyuruh orang alim membuat jahat kerana mereka tidak akan buat, tetapi syaitan menyuruh mereka buat baik dan bangga dengan kebaikkan tersebut.), kamu tidak perlu untuk beralih kebelakang kerana masa kehadapan dan banyak lagi kebaikkan yang ada dihadapan. Kata syaitan lagi, lepas ini kamu balaslah apa keburukan yang mereka pernah buat pada kamu, setiap perbuatan mesti terima balasannya dan lain-lain lagi bentuk hasutan yang dinasihatkan oleh nafsu kepada hati.

Dalam hal ini, hati perlu menimbang balas baik buruk keputusan yang diberikan oleh mereka berdua, adapun keputusan itu sebenarnya bergantung kepada tahap keimanan yang menjadi santapan kepada hati. Sekiranya hati itu dipenuhi dengna iman, segala nasihat daripada Iman akan menjadi panduan. Adapun sekiranya hati itu tidak dipenuhi dengan iman, segala keputusan yang diberikan oleh iman itu tidak diterima pakai, malah nasihat daripada nafsu itu juga yang diambil kehakiman.

Kesimpulannya, marilah kita semua meningkatkan keimanan kita kepada Allah swt agar kita diberi petunjuk oleh Allah swt di dalam apa jua keadaan kita. Biarlah Allah swt akan memandukan dan memimpin hati kita untuk hati membuat keputusan. Ini kerana hati itu bersifat makhluk dan ianya sama dengan makhluk yang lain yang tidak mampu untuk membuat keputusan dalam keadaan yang sebenarnya. Hati tidak mampu menilai sesuatu keputusan sekiranya ia berada di dalam keadaan yang sedih dan kecewa, sebab itulah kebanyakkan orang yang berada di dalam kesediahan dan kekecewaan tidak mampu membuat penilaian yang terbaik. Oleh itu, marilah kita kembali kepada Allah swt agar Allah swt memimpin kita di dalam membuat keputusan walaupun keadaan hati kita dalam kesusahan atau kesedihan.

Wallahu a'lam
sekian

Nukilan
Rozlan Daud

Sunday, May 3, 2009

Mimpiku bertemu Allah swt...

Semalam (2 Mei 2009) merupakan hari aku mengambil peperiksaan undang-undang perniagaantani dan juga pentadbiran Personelia dalam pengurusan. Dalam minggu ini aku kurang rehat kerana menghabiskan waktu-waktu terakhir untuk mengambil peperiksaan akhir semester 6 aku ini. Pada hari ini pula aku terpaksa mengambil 2 paper serentak dalam masa 1 hari. So banyaklah yang nak kena ingat dan prepare. Maklumlan subjek undang-undang ni bukan sahaja akta yang kena ingat malah kes-kes pun juga kena ingat. Sekali aku terfikir, aku belajar undang-undang yang merupakan subjek teras jurusan aku, namun bagi pandangan aku tidak perlulah aku menghafal semua kes-kes, cukuplah sekadar ingat akta sahaja kerana aku bukan ingin menjadi seorang peguam yang menang bicara dan berhujjah dengan merujuk kepada kes-kes yang lampau. Aku belajar ini kerana ia merupakan satu subjek teras so bagi pandangan peribadi aku cukuplah sekadar dengan tahu akta sahaja. Namun mungkin para pensyarah lebih mengetahui corak dan cara pembelajaran undang-undang. Walau apa pun biarlah ia berlalu....

Berbalik kepada kisah mimpi aku bertemu dengan Allah swt ialah setelah aku habis exame pada pukul 5.00 petang, aku terus ke pekan canglon, maklumlah aku terpaksa pergi ke sana untuk mendapatkan bekalan harian aku. Pada sebelah malam pula, lepas je solat isyak aku terus tidur, almaklum la sebelum ini tidur pun kurang, rehat pun jarang. Badan aku penat sungguh aku rasa hari itu. Namun sebelum tidur macam biasalah aku mesti ingat kembali apa yang aku telah buat hari itu, sekiranya aku ada buat benda yang salah, aku terus memohon agar Allah swt mengampuni dosa-dosa aku hari itu dan aku minta supaya dia mengajar dan memperbaiki segala kesilapan aku hari itu. Namun sekiranya aku ada membuat kebaikkan, aku harap Allah swt menerima amal kebaikkan aku. Sebelum tidur juga aku masih ingat pesanan ustaz-ustaz aku semasa menuntut di sekolah dulu.


Walau bagaimana pun, malah itu aku lena sungguh sehinggakan aku bermimpi yang sungguh aneh sampai aku masih lagi teringat mimpi aku itu dan aku masih berfikir, apakah alamat atau tanda yang Allah swt nak tunjukkan kepada aku sehingga saat ini. Mimpi aku bermula begini.......
"Aku kembali ke kampung halaman aku di negeri di pantai timur, bila lama tidak balik ke kampung ni, maklumlahkan anda semua fahamlah sendiri. Kegembiraan dan keseronokkan itu tidak dapat untuk digambarkan sehingga terubar habis resah kerinduan pada kampung halaman. Apabila aku balik, orang pertama yang aku jumpa ialah ibuku. Yang merupakan bonda tersayang dunia dan akhirat. Dialah satu-satu ibuku dan tiada penggantinya untukku. Di pendekkan cerita bondaku telah memberikan kepadaku duit sebanyak RM50 dan memberi nasihat kepadaku untuk memanfaatkan duit itu. Jadi aku telah berfikir panjang aku ingain buat apa dengan duit sebanyak RM 50 ini. Setelah fikir demi fikir aku kata, lebih baik aku beli seekor anak kambing kerana suatu hari nanti ia akan membesar dan kalau aku menjualnya nanti aku akan mendapat lebih dari RM 50. Baik aku telah memutuskan untuk membeli seekor anak kambing. Walau bagaimana pun setelah aku puas mencari dan memilih anak kambing yang macam mana yang aku berkenan dan aku tidak menjumpainya langsung. Lama mencari aku jumpalah dengan seorang pengembala biri-biri. Aku tanya dia adakah dia mahu menjual biri-birinya kepadaku. Bila dia melihat aku, dia kata ada biri-biri yang memang hendak dijual kepada aku. Katanya dengan harga RM50. Aku hairan macam mana dia boleh tahu yang aku hanya ada RM50. Mungkin ini kebetulan. Katanya lagi, memang sudah lama dia menyimpan biri-biri itu untuk aku dan sudah ramai yang ingin membelinya. Namun dengan sebab amanah, dia tidak boleh menjual kepada sesiapa melainkan kepada aku sahaja.

sekadar hiasan, cantikkan!!


Setelah aku membeli biri-biri tersebut, aku mendapati ada kelainan padanya. Di kepalanya ada tulisan Kalimah Allah swt betul-betul di atas bahagian dahi biri-biri tersebut. Aku merasa pelik. Namun mungkin ini kuasa Allah swt ke atas makhluk-Nya. Aku membelanya dan selepas 3 hari aku melepaskannya ke kawasan hutan di belakang rumah aku. Pada sebelah petang aku mencaru biri-biri aku, dan aku mendapati ia berada di atas bukit sana. Aku cuba mendapatinya dan dia membawaku ke suatu tempat di mana tempat tersebut aku mendapati ada satu batang kayu seperti tongkat dan pada kayu tersebut ada tulisan Kalimah Allah swt dan ianya bersinar. Aku mengambilnya dan setelah itu biri-biri aku terus beredar dan menunjukkan aku ke kawasan lain pula. Aku merasa pelik kenapa biri-biri aku ini suka sangat masuk ke hutan sedangkan waktu dah hampir dengan maghrib. Aku mengikutinya dan ia duduk setelah sampai di suatu tempat di atas bukit tersebut. Di situ juga aku mendapati ada sekeping kayu nipis macam kayu meja, dan papan itu ada juga tulisan Allah swt. Aku beristighfar kepada Allah swt dan aku bersyukur kerana aku menjumpai semua barang yang ada tulisan kalimah Allah swt. Aku mengambil papan tersebut dan setelah itu biri-biri aku hanya berada di sekitar kaki aku. Aku pun mengajaknya balik kerana hari sudah hampir malam.

Sekadar hiasan

Setelah aku mengambil semua barang-barang yang mengandungi tulisan kalimah Allah swt ini, aku membawanya balik ke rumah dan semasa di dalam perjalanan aku melihat ada satu kawasan yang mana di kawasan tersebut ada 3 lubang yang mana setiap lubang tersebut keluar asap. Aku merasa suatu ke anehan dan kepelikkan kenapa ianya berasap. Kemudian aku dengar ada satu suara yang mengatakan, itulah lubang hantu pari dan ia akan keluar setelah ia berasap. Berhati-hatilah dengan dia kerana dia akan menggoda kamu, bacalah ayat kursi sekiranya dia menghampiri kepada kamu. Dan sekiranya dia tidak berkesan, maka pukullah ia dengan tongkat itu kerana ia akan menunjukkan jalan yang sesat kepadamu. Setelah hilang sahaja suara tersebut, aku mendapati ada 2 orang perempuan cantik yang keluar daripada asap tadi dan seorang lelaki. Yang perempuan itu hanya menjelingkan matanya kepadaku manakala yang lelaki sahaja yang menghampirkan dirinya kepada aku. Aku membaca ayat kursi kepadanya kemudian badannya berasap dan terbakar. Manakala yang perempuan tadi berada pada jarak yang jauh dan hanya berasap sahaja badan mereka.



Sekadar Hiasan

Setelah itu, aku membaca lagi ayat kursi sehingga 3 kali dan bila habis kali yang ketiga aku pun sedar dan aku lihat jam di handfon aku menunjukkan pukul 6.00 pagi. Aku bangkit dan bersiapkan diri untuk solat subuh. Selepas solat aku teringatkan mimpi aku yang membuatkan aku betul-betul lena malam tadi dan aku sangat-sangat bersyukur kerana Allah swt memberikan rezeki yang banyak kepadaku. Sehingga kini aku masih lagi teringat dan berfikir apakah maksud mimpi aku itu, berjumpa dangan kalimah Allah swt sebanyak 3 kali, menasihati aku dengan menyuruh membaca ayat kursi kerana itu adalah hantu yang mahu mengganggu perjalanan hidupku.

sekian.


Sekadar hiasan

Nukilan


Ibnusoleh
UUM sintok.

Friday, May 1, 2009

Si Pengemis Yang Mulia....

Kisah ini berlaku di dalam sejarah perjalanan hidupku dan ianya berlaku di Pekan Changlon, Kedah. Dalam meneruskan perjalanan kembara diriku ini untuk mencari ilmu bagi tujuan mencapai redha Allah swt, banyak bukti-bukti dan tanda-tanda kebesaran-Nya yang dapat aku temui. Memang benar dengan maksud kata orang-orang lama "jauh perjalanan luas permandangan". Namun dalam perjalanan aku ini, aku sering perhatikan gelagat manusia untuk aku jadikan iktibar dan panduan serta pengajaran kepada diriku yang masih mentah mengharungi perjalan dalam usia yang muda ini. Dalam pemerhatian aku itu, sering aku jumpa yang pelik tetapi cukup mengajar diriku erti sebuah kehidupan.

Kisah bermula pada waktu petang, aku melihat dua orang remaja yang kira cukup keperluan hidup. Di fikiran aku mungkin dua ini adik beradik atau pun sahabat baik dan mungkin juga mereka ini dari kalangan orang yang berada. Buktinya, ditangan mereka banyak barangan keperluan yang mereka beli dari sebuah pasaran yang berhampiran. Sambil berjalan mereka memakan roti yang di bawa bersama dan juga air ditangannya. Mereka berjalan menuju ke perhentian bas dan ketika itu aku duduk berada di tepi jalan menanti sahabat aku. Di situ juga terdapat seorang pengemis bagi pandangan sudut fikiranku kerana dia seolah-olah nampak macam orang kurang waras, namun aku sengaja tidak mahu mengatakan yang dia bukan waras kerana mungkin dia seorang polis yang menyamar atau pun sesiapa sahaja yang mungkin aku tidak kenalinya. Jadi aku katakan yang dia ini pengemis kerana pakaiannya yang tidak terurus dan sebagainya.


Berbalik kepada kisah dua orang remaja tadi, aku melihatnya memakan roti yang dibeli tadi namun roti tersebut tidaklah dimakan sehingga kehabisan. Di fikiran aku mungkin mereka ini sudah kenyang. Namun apa yang menghairankan aku ialah mereka membuang roti tersebut ke dalam tong sampah yang berdekatan dengan jalan itu. Di fikiran aku mula memikirkan "kenapa manusia suka membazir dengan nikmat yang dikurniakan. Kenapakah mereka tidak bersyukur dengan rezeki yang banyak yang mereka nikmati itu". Jadi setelah bas datang, kedua remaja terbabit menaiki bas tersebut dan bas itu menuju ke salah sebuah universiti tempatan dan di dikiran aku beranggapan mereka ini adalah student universiti tersebut.


Selang beberapa minit, aku masih lagi menanti sahabat aku yang bekerja di Bukit Kayu Hitam. Sambil itu aku juga perhatikan gelagat si pengemis yang duduk termenung jauh itu. Aku beranggapan mungkin dia memikirkan masa depan dia kot. Namun biarlah dia dengan caranya dan aku berdoa serta bersyukur bahawa aku selamat dan tidak menjadi macam dia dan aku minta kepada Allah swt supaya jangan jadikan diriku dan zuriat-zuriat aku sepertinya. Aku memohon agar Allah swt kurniakan kepadaku yang terbaik untuk hambaNya. Dalam beberapa minit kemudian, si pengemis tadi bangu dari tempat duduknya, kemudian menuju ke tong sampah tempat si dua remaja membuang roti tadi. Si pengemis tadi membuka dan membelek-belek (memerhati dengan teliti dan memeriksa) apa yang ada di dalam tong berkenaan. Aku melihat dan memerhatikan gelagatnya. Di fikiran aku, mungkin dia mencari sesuatu untuk dijual atau pun mencari apa-apa yang memberi manfaat baginya. Kemudian aku perhati dia mengambil roti yang dibuang oleh remaja tadi lalu memakannya. Barulah terjawab segala hipotesis yang bermain difikiran aku, bahawa si pengemis tadi rupanya lapar yang membuatkannya termenung jauh mengenangkan nasibnya. Dia membelek-belek tong sampah untuk mencari sesuap makanan untuk mengisi kekosongan perutnya. Aku perhatikannya dan dia hanya makan sedikit sahaja roti itu dan kemudian menyimpan selebihnya. Aku beranggapan bahawa dia menyimpan untuk hari esok.


Setelah lama memerhatikan gelagatnya, aku membuat kesimpulan yang Allah swt mengajar aku beberapa ilmu untuk dimanfaatkan oleh diriku daripada si pengemis dan dua orang remaja tadi. Yang pertama, janganlah kita suka membazir-bazir apa yang kita ada, kerana perbuatan itu adalah dari kalangan saudara syaitan. Kedua, sekiranya kita makan dan tidak habis, maka simpanlah ia dan jangan kita buang sepertimana yang dibuat oleh si pengemis tadi. Ketiga, simpanlah sebahagian rezeki yang kita ada untuk hari esok kerana kita tidak tahu bahawa apa yang berlaku kepada diri kita esok hari. Keempat, hendaklah kita bersikap tolong menolong dengan setiap insan kerana perbuatan itu akan mendapat redha Allah swt. Kelima, hendaklah kita bersyukur kepada Allah swt kerana Dia-lah yang memberi rezeki kepada semua makhluk-Nya.
sekadar gambar hiasan


Apa yang dikatakan mulianya si pengemis tadi adalah, dia sanggup mencari makanan di dalam tong sampah yang dibuang oleh manusia yang lain. Di dalam kelaparan yang dia tanggung itu, dia tidak mencuri untuk mengisi keperluan perutnya, tetapi mencari makan hasil buangan orang lain. Namun apa sikap buruk yang boleh dipelajari oleh diri penulis daripada pengemis tadi ialah yang pertama, kita perlu berusaha lebih untuk mendapat rezeki dari Allah swt dan tidak mengharap apa yang dibuang oleh manusia lain. Ini kerana Allah swt mengurniakan nikmat sihat, kenapa kita tidak mahu berusaha mencari nikmat-Nya yang bertaburan di bumi ini. Yang kedua, sebagai seorang Islam, kita tidak digalakkan untuk menunjukkan sikap diri yang hina di hadapan orang lain sepertimana mencari makanan di dalam tong-tong sampah. Lebih baik kita datang ketika orang ramai tidak ada dan itu tidak mengaibkan diri kita dan agama kita. Kerana dengan perbuatan ini akan menimbulkan pandangan serong orang bukan Islam terhadap orang Islam dan agam Islam itu sendiri yang tidak menjaga kebajikan penganutnya sedangkan di dalam Islam ada zakat untuk membantu ummatnya. (Bila sentuh bab zakat ini, timbul persoalan, ke manakah perginya duit zakat yang banyak sedangkan ramai lagi rakyat di Malaysia terutama yang Islam masih dalam keadaan Dhaif dan miskin).



Oleh yang demikian, perjalanan hidupku itu sangat bermakna kerana aku dapat mempelajarinya di depan mata aku sendiri dan ianya diperlihatkan oleh Allah swt sebagai rahmat untuk diriku. Insyallah semua kisah perjalan hidupku ini dan perjalanan lain-lain nanti akan aku ceritakan kepada anak-anak dan isteriku suatu masa nanti. "Jadilah saat yang berlalu sebagai pengajaran untuk saat yang akan datang."


Sekian.


Nukilan
Rozlan Daud
Machang

My Picture