Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, July 25, 2009

"Dengki Negatif " : Punca Orang Melayu Lemah dan Rosak...

Apabila disebut perkataan dengki, memang terfikir dibenak fikiran kita bahawa dengki ini merupakan satu perbuatan buruk atau merupakan salah satu sifat mazmumah yang terlarang di dalam ajaran Islam. Dengkilah yang menjadi punca runtuhnya kerajaan Islam selepas pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah yang melenyap terus pemerintahan Khalifah Islam, dengki juga menjadi punca runtuhnya kerajaan Kota Melaka kepada penjajahan Inggeris sehingga orang Melayu dijajah lebih daripada 400 tahun.
Hari ini kita lihat dikalangan orang-orang Melayu, sifat dengki ini sering bermain disekeliling kita dan inilah punca orang melayu lemah dalam pelbagai sektor dan sudut sebagai contoh di dalam bidang ekonomi yang pada hari ini dikuasi oleh orang cina, di dalam sudut pendidikan yang mana hari ini bangsa lain yang jauh lebih cemerlang daripada bangsa melayu dan banyak lagi contoh-contoh perbuatan yang menghancurkan orang melayu daripada maju yang berpunca daripad sifat dengki.
Di dalam sektor ekonomi terutamannya dalam bidang perniagaan, orang melayu tidak boleh lihat perniagaan di sebelahnya maju. Ini kerana ia telah menjadi pesaing dan musuh perniagaannya sehingga ada yang sanggup mencari bomoh untuk merosakkan perniagaan disebelah kedainya. Hari ini kita masih boleh jumpa lagi ada orang melayu yang sanggup menggunakan khidmat bomoh untuk menghancurkan perniagaan jiran mereka yang merupakan juga orang melayu. Ada di antara mereka yang menggunakan sihir, santau dan lain-lain cara untuk merosakkan jirannya. Oleh yang demikian, perbuatan inilah yang meruntuhkan ekonomi orang melayu yang berpunca daripada sikap orang melayu itu sendiri yang selalu dengki.
Namun dengki ini bukan sahaja bermain di dalam bidang ekonomi semata-mata, malah di pelbagai sudut. Antaranya dalam skop jiran tetangga, persahabatan, kekelurgaan, perkongsiaan hak dan sebagainya.
Di sini penulis ingin menceritakan satu kisah yang berlaku di utara semenanjung tanah air dan ia melibatkan penulis sendiri. Kisah ini bermula di sebuah Jabatan Sastera dan sains di salah sebuah organisasi di wilayah utara. Kisah dengki ini bermula dengan kehadiran orang baru di dalam Unit Kaunseling yang dirasakan dengan kehadirannya boleh menggugat kedudukan beberapa kaunselor di unit berkenaan. Namun seperti biasa sahabat kita ini yang saya namakan sebagai Dr. Fahmi (bukan nama sebenar) hadir ke unit berkenaan untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya serta mencari pengalaman baru dengan beberapa orang kaunselor. Ini kerana Dr Fahmi merupakan staf di unit Pertanian. Pada awal kehadirannya memang tiada apa yang berlaku kerana ia dianggap biasa dan sebagai kawan di jabatan yang sama, namun setelah beberapa lama kehadirannya tidak lagi disenangi oleh sebilangan kaunselor kerana ia dianggap boleh menggugat kedudukan kaunselor berkenaan.
Setiap kali kehadirannya (walau dijemput) ke unit kaunseling tidak dirasakan apa-apa yang berlaku sehingga salah seorang kaunselor itu sendiri mengzahirkan ketidakpuasan dalam hatinya dengan kehadiran Dr. Fahmi. Namun sebagai seorang yang profesional, Dr Fahmi tidak melengting terus dan dia banyak bersabar. Walaupun orang benci, tidak suka dan dengki padanya, dia tetap datang ke unit berkenaan kerana baginya setiap manusia bebas ke mana-mana, bebas buat apa-apa yang tidak bercanggah dengan adat dan agama, dan bebas segala-galanya di bawah syariat. Dr. Fahmi tetap sabar dengan apa yang dibuat oleh mereka sehingga ada yang tidak bercakap dengan dia dan ada juga yang menghasut orang lain untuk tidak mengendahkannya.
Sebagai manusia, sabarnya juga ada had yang tidak boleh ditanggung lagi sekiranya ia sampai ke peringkat diperbodohkan sedemikian rupa. Namun bagi orang yang ada ilmu pengetahuan, Dr.Fahmi mengatasinya dengan penuh profesional agar perkara-perkara buruk tidak diingini berlaku. Menurut apa yang diceritakan oleh Dr Fahmi, kehadirannya dipandang serong dan selalu diperlekehkan sehingga ke tahap diperbodohkan. Adakalanya Dr Fahmi dikatakan sebagai "pengganggu" kepada di unit kaunseling. Bila ditanya, Dr Fahmi menceritakan yang kaunselor ini merupakan anggota persatuan dakwah (NGO) dan sepatutnya dia tidak bersifat sedemikian.
Semalam Dr Fahmi datang jumpa penulis untuk meminta pandangan dan alhamdulillah penulis dapat menasihati Dr Fahmi dan keputusan untuk meneruskan perjalanan hidup ini hanya bergantung kepada Dr Fahmi untuk menentukan. Sebagai seorang profesional kita kena akur dengan apa yang berlaku demi menjaga perhubungan dan persahabatan walaupun Dr Fahmi mengatakan yang dia sanggup hilang segala-galanya termasuk kawan dan sahabat (yang suka dengki) kerana jika menyimpan kawan yang dengki ini bagaikan api di dalam sekam yang boleh membakar kita pada bila-bila masa.
Namun apa yang hendak disampaikan oleh penulis ialah, dengki ini sinonim dengan perbuatan buruk yang dilakukan oleh manusia kepada manusia lain demi untuk kepentingan diri sendiri. Namun adakalanya dengki ini ada kebaikkan kerana ia merupakan satu rahmat Allah swt kepada hamba-Nya. Kita sebagai manusia tidak perlu dengki dalam bentuk negatif tetapi kita perlu bersifat dengki dan bentuk yang positif seperti contoh dengki kerana orang lain kaya dan kita berusaha untuk jadi kaya namun jalan untuk mencapai kekayaan itu perlu dilakukan dengan cara yang betul. Kita dengki sahabat kita berjaya di dalam peperiksaan dan kita berusaha bersungguh-sungguh agar kita juga mencapai kejayaan tanpa menghancurkan dan meruntuh serta menjatuhkan maruah dan memberi kemudharatan kepada orang lain. Dengki yang positif ini sangat susah untuk dilakukan kerana sikap orang melayu yang suka melibatkan orang lain. Orang kita suka melihat orang lain binasa dan kecewa, mereka diibaratkan oleh sarjana seperti ketam yang tidak boleh melihat orang lain naik ke atas dan cuba untuk menarik orang yang di atas ke bawah.
Kepada pembaca, ingatlah bahawa kita jangan mudah dengki dengan orang lain lebih-lebih lagi jangan dengki dalam bentuk negatif yang membawa kemudharatan kepada orang lain. Dengki yang positif diharuskan dan jangan dilebih-lebihkan kerana takut ia membawa kepada perkara negatif pula.
Akhir kata, penulis ingin memohon maaf atas apa yang berlaku dan kisah ini tidak melibatkan mana-mana yang hidup mahupun yang sudah meninggal walaupun ia merupakan kisah benar untuk dijadikan tauladan kepada kita yang masih dalam perjalanan menuju ke penghujung kehidupan. Penulis memohon jutaan maaf kerana kisah yang sebenarnya terpaksa dirahsiakan dan banyak fakta-fakta kes terpaksa disembunyikan demi kepentingan semua pihak.
Wallahu a'lam.
Ibnusoleh
Machang.

Wednesday, July 22, 2009

Bila Akal Dah Buntu, Hati Pula Bercelaru, Maka Kembalilah Pada Yang Satu (Allah swt)

Pentingnya Solat Istikharah....
Bila disebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kiralah sama ada bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini yang dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja. Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat digalakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran".
Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agamaku juga dalam urusan penghidupanku serta natijah pada urusanku, kini dan akan datang, maka tetapkanlah ia bagiku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran. Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.
Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.
Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.
Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.
Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.
Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.
Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.
Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.
Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.
Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.
Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;• Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang diharuskan sembahyang contohnya selepas maghrib. • Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala” • Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca. • Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca. • Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu).
Terjemahan Doa’ :Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)
Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua.
Wallah hu ‘alam
Ibnusoleh

Thursday, July 16, 2009

Gandingan Hati dan Akal

Semalam penulis ditanya oleh beberapa sahabat berkaitan dalam membentuk personeliti unggul ini, yang mana berperanan dahulu antara hati dan akal? Namun pada awalnya penulis menyatakan bahawa akallah yang berperanan dahulu dalam menentukan setiap aktiviti yang hendak dilakukan. Ini kerana kebanyakkan ( majoriti) manusia zaman moden ini menggunakan akal untuk menimbangkan sesuatu perkara sebelum mereka melakukannya. Banyak kelebihan demi kelebihan yang ada pada akal, buktinya Allah swt menjadikan akal inilah yang membezakan antara kita dengan haiwan. Dengan akal kita mampu membina tamadun, melakukan perubahan demi perubahan untuk kemajuan bangsa, perkembangan teknologi dan alam siber juga dibangunkan oleh akal manusia. Dengan akal manusia mampu menilai sesuatu perkara yang hendak dilakukan itu sama ada baik ataupun buruk, akal juga dapat menentukan sama ada sesuatu perkara itu ada kebenaran dan kepalsuannya, akal juga menentukan jalan kebahagiaan atau penderitaan yang diingini oleh setiap manusia. Pendek kata dengan akal yang waras, manusia dikatakan sebagai makhluk yang hebat di muka bumi ini.



akal manusia yang dikatakan hebat


Kehebatan akal yang ada pada seseorang juga membezakan seseorang itu dengan seseorang yang lain. Orang yang menggunakan akal dengan maksimum yang mungkin ke arah kebaikkan pasti akan dipandang mulia berbanding dengan mereka yang tidak menggunakan akal yang Allah swt kurniakan. Dengan akal, manusia mampu berfikir dengan rasional dalam menentukan kebenaran dan kekuasaan Allah swt. Di dalam al-Quran, lebih kurang 99 kali Allah swt mencabar akal manusia demi membuktikan kekuasaan-Nya. Pada hari ramai saintis barat yang telah memeluk Islam kerana mereka yang suka mengkaji tentang ayat-ayat (tanda kekuasaan) Allah swt iaitu makhluk-makhluk Allah swt. Melalui teori sains setiap apa yang berlaku mesti melalui kajian dan bukti yang boleh diterima akal. Sekiranya kajian yang dijalankan tidak boleh diterima akal, maka kajian sains itu tidak boleh diterima umum. Namun hari kita lihat bahawa melalui kajian demi kajian yang dijalankan, banyak sekali para saintis menemui kekuasaan Allah swt sehinggakan mereka yakin dengan hati bahawa Allah swt sebagai Tuhan sekalian alam.
Sebagai kesimpulan awal yang boleh saya katakan ialah bahawa akal memang penting untuk mengurus alam ini. Dijadikan kita sebagai manusia dan khalifah di muka bumi ini, Allah swt membekalkan kita dengan akal untuk kita terokai seluas-luasnya ilmu yang terdapat di alam ini. Dengan akal juga manusia mampu membina budaya, tamadun dan teknologi.
Adapun hati pula merupakan makhluk Allah swt yang sangat menjadi rebutan antara iman dan syaitan. Ini kerana hati merupakan raja bagi jasad manusia. Sekiranya salah satu dari mereka (Iman dan syaitan) dapat menguasai hati, maka mereka akan menguasi manusia tersebut. Namun di dalam sudut hati hanya ada satu ruang sahaja untuk diisi. Sekiranya iman yang menguasai hati, maka beruntunglah jasad tersebut. Adapun sekiranya syaitan yang menguasai hati, maka celakalah jasad tersebut. Ini sebagai mana yang dijelaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud :" Sesungguhnya di dalam jasad kamu ada seketul daging. Sekiranya baik daging tersebut maka baiklah seluruh anggota badan, sekiranya rosak/buruk daging tersebut maka rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging tersebut adalah HATI"
Namun hati juga ada kepentingan di dalam meneruskan kehidupan. Pentingnya hati sama juga pentingnya akal. Hati juga ada kelebihan yang tersendiri sama seperti akal. Hati dikaitkan dengan emosi dan perasaan. Hati perlu kepada panduan. Allah swt menjadikan fitrah manusia itu di dalam hati. Dan setiap apa yang diingini oleh manusia itu bermula di hati. Ini kerana emosi dan perasaan akan melahirkan kehendak sebelum ianya dilakukan. Orang yang mempunyai hati sudah pasti mempunyai perasaan seperti belas kasihan, penyanyang, gembira dan lain-lain lagi. Fitrah cinta juga dikurniakan oleh Allah swt ke dalam hati. Orang yang mempunyai hati yang bersih akan menemui hakikat dan makrifat Allah swt. Firasat orang yang bersih hatinya jauh lebih tepat kerana ia adalah kehendak Allah swt. Tapi hati bila dikotori, segala-galanya akan membawa kehancuran. Ini kerana secara fitrahnya manusia tidak suka berperang, tetapi disebabkan penyakit hati mereka sanggup berperang sesam sendiri.


Walau bagai mana pun, saya tidak dapat nafikan bahawa kedua-dua ini ada kepentingannya yang tersendiri malah kejadiaannya juga adalah mempunyai fungsi yang berbeza. Persoalan yang timbul sepertimana yang ditanya oleh sahabat saya ialah yang mana dahulu berfungsi apabila seseorang itu ingin melakukan kerja, adakah ianya bermula di hati ataupun di akal. Bagi menjawab soalan ini dengan pendapat dan pandangan yang lebih tepat tanpa memihak kepada majoriti ataupun minoriti, penulis mengatakan bahawa ianya bermula dihati. Di sini penulis berhujjah bahawa:

1. Hati melahirkan atau memproses sesuatu yang bersifat emosi dan perasaan manakala akal pula memproses sesuatu yang bersifat logik.

2. Akal dan logik berupaya menghasilkan tahu manakala hati dan emosi mampu menghasilkan kehendak atau mahu.

3. Sesuatu perbuatan yang ingin dilaksanakan perlu dilahirkan di sudut hati bahawa ianya hendak dan mahu dilaksanakan dan selepas itu barulah ianya dicetuskan di akal untuk menghasilkan tahu bagi membolehkan sesuatu itu dilakukan atau dilaksanakan dengan cara yang bagaimana.

4. Manakala sesuatu yang telah ditafsirkan di akal itu perlu dinilai kembali di sudut hati kerana hatilah yang akan menentukan sama ada sesuatu perkara itu perlu atau tidak untuk dilakukan dengan rasional dan pandangan daripada tahu yang dicetuskan oleh akal tadi.

5. Dan lain-lain lagi.

Adapun untuk melahirkan manusia yang unggul yang bercirikan kepada kemantapan dalam mengaplikasikan atau melakukan sesuatu kerja dengan cara yang terbaik perlulah menggunakan atau menggabungkan kedua-duanya sekali. Ini kerana sekiranya akal sahaja yang digunakan, mereka tidak mampu melahirkan kerasionalan yang boleh diterima umum kerana majoriti menerima apa yang logik dan diterima akal semata-mata. Mereka juga tidak boleh sekadar menggunakan akal sahaja, ini kerana logik juga tidak mampu bertahan tanpa emosi dan kehendak seperti mana yang diukirkan dihati. Tanpa emosi sesuatu perkara yang dibuat belum tentu berjaya kerana tiada kesungguhan untuk melaksanakannya. Sebagai contoh, apabila sesuatu kerja disuruh buat hanya sekadar menggunakan akal tanpa melibatkan emosi, belum tentu kerja itu akan dibuat oleh seseorang. Contohnya "Ayu, hantar buku ini ke libry". Arahan ini tidak langsung melibatkan emosi dan belum tentu Ayu mahu melakukannya. Ada pun jika arahan itu dikaitkan denga emosi seperti contoh K.Zila minta tolong hantar buku ini ke libry, ok terima kasih". Ini arahan yang melibatkan emosi dan menyentuh hati dan sudah pasti ia akan melakukannya kerana emosi akan melahirkan kehendak dan kemahuan sebelum tercetusnya logik di sudut akal. Saya yakin, kita lebih bersungguh dan berkemahuan untuk memenuhi permintaan itu kerana perkataan “hantar buku” memberitahu akal, manakala perkataan “tolong” dan “terima kasih” menggerakkan hati.

Oleh itu, penulis sekali lagi menyatakan bahawa setiap perbuatan yang ingin dilakukan oleh mereka yang mempunyai personeliti unggul perlulah melibatkan kedua-duanya iaitu Hati danAkal. Hati perlu mendahuluinya kerana setiap kerja yang ingin dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan yang hebat perlu melahirkan rasa minat dan mahu melakukannya. Perasaan ini lahir dari hati yang menggerakkannya dan kemudian akal perlu digerak berasama agar kerasionalan untuk melakukan kerja tersebut dilogikkan untuk menghasilkan tahu demi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Penilaian perlu dibuat oleh hati yang berpandukan kepada keimanan kerana ianya akan menilaikan dengan nilai yang sangat tinggi.

Wallahu A'lam.

Rozlan.

Sunday, July 12, 2009

Percayakah Anda?????

Tahukah anda bahawa dalam kalendar Gregorian pada tahun 1752, jumlah hari pada bulan september pada tahun tersebut telah hilang sebanyak 11 hari iaitu bermula pada 3hari bulan hingga 13 hari bulan.

Anda boleh melayarinya di google search atau terus ke laman ini
http://www.hcidata.info/cgi-bin/calendar.cgi?year=1752&sun-mon=m

cuba yang terbaik..

ok, sekian

Saturday, July 11, 2009

Tujuan Kisah-kisah Al-Quran



Jika kita menelaah kisah-kisah atau cerita-cerita yang terdapat di dalam al-Quran dengan cara yang "Tadabbur" iaitu dengan penuh penghayatan, kita akan memahami bahawa dengan perantaraan kisah-kisah itu Allah ingin menyampaikan suatu yang penting yang diperkemaskan dalam bentuk cerita dan kisah. Di antara tujuan-tujuan itu adalah sebagai mana berikut:




a. Membuktikan kewahyuan al-Quran dan kebenaran misi Nabi Muhammad s.a.w. semua yang disampainya adalah wahyu yang turun dari Allah SWT demi membimbing umat manusia ke jalan yang lurus. Dengan memperhatikan ketelitian dan kejujuran al-Quran dalam menukil kisah-kisah itu, kewahyuannya akan dapat dibuktikan. Al-Quran sendiri telah mengisyaratkan hal ini ketika ia menukil kisah-kisah para nabi, baik di permulaan mahupun di akhir kisah. Firman Allah SWT yang bermaksud :

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَذَا الْقُرْآنَ وَ إِنْ كُنْتَ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِيْنَ
“Kami akan menceritakan kepadamu cerita terbaik dengan apa yang telah Kami wahyukan al-Quran ini kepadamu meskipun sebelumnya engkau termasuk di antara orang-orang yang lupa (baca : tidak mengenal kisah itu)”.
(Q.S. Yusuf [12] : 3)
Setelah menukil kisah Nabi Hud as, Allah SWT berfirman, maksudnya:

تِلْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الْغَيْبِ نُوْحِيْهَا إِلَيْكَ مَا كُنْتَ تَعْلَمُهَا أَنْتَ وَ لاَ قَوْمُكَ مِنْ قَبْلِ هَذَا فَاصْبِرْ إِنَّ الْعَاقِبَةَ لِلْمُتَّقِيْنَ
“Itu semua termasuk dari berita-berita ghaib (yang) Kami wahyukan kepadamu. Sebelum ini, engkau dan kaummu tidak mengetahuinya. Maka, bersabarlah! kerana masa depan berada di tangan orang-orang yang bertakwa”.
(Q.S. Hûd [11] : 49)
b. Membuktikan kesatuan agama dan akidah seluruh nabi a.s.. kerana mereka semua datang dari Allah, intisari dakwah mereka adalah satu dan mereka mengajak umat manusia kepada satu tujuan. Dengan mengingatkan kembali tujuan yang satu ini, di samping ingin menegaskan kesatuan akar dakwah seluruh agama dan umat manusia, al-Quran juga ingin menekankan bahawa intisari dakwah para nabi as tidak berbeza antara satu dengan lainnya.
Tujuan ini telah sering diisyaratkan dalam beberapa ayat al-Quran. Realiti ini dapat kita telaah dalam surah al-A’râf [7] : 59, 65, 73, dan 85.
Sebagai contoh, Allah berfirman,

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوْحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ إِنِّيْ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيْمٍ
“Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Lalu, ia berkata, ‘Wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kalian selain-Nya. Sesungguhnya aku takut azab yang besar terhadap kalian”. (Q.S. Al-A’râf [7] : 59)
Inilah yang ajaran yang dibawa oleh seluruh nabi dan rasul as. iaitu mengajak manusia kembali kepada menyembah Allah swt.

c. Menjelaskan kesatuan tatacara dan saranan para nabi as dalam berdakwah, kesatuan sikap mereka dalam menghadapi masyarakat, bagaimana sikap masyarakat dalam menanggapi ajakkan mereka, dan kesamaan adat-istiadat yang berlaku di dalam masyarakat ketika mereka mulai berdakwah.
Realiti ini dapat kita telaah bersama dalam surah Hûd [11] : 25, 27, 50, dan 61.

d. Menceritakan pertolongan-pertolongan Ilahi terhadap para nabi a.s. dan menekankan realiti bahawa peperangan ideologi itu pasti berakhir dengan kemenangan di pihak para penolong Allah. Dengan demikian, para nabi a.s. akan semakin tegar dalam menjalankan misi mereka, dan para pengikut mereka akan lebih bersemangat untuk mengembang misi tersebut.

Realiti ini dapat kita renungkan bersama dalam surah al-‘Ankabût [29] : 14-16, 28, 34, 37, 38, 39, dan 40.

e. Membenarkan khabar-khabar gembira dan peringatan- peringatan Ilahi secara nyata dengan memberikan contoh-contoh nyata tentang hal itu. Semua itu adalah suatu implementasi dari rahmat Ilahi bagi orang-orang yang taat dan azab Ilahi bagi mereka yang ingkar kepada ajaran yang dibawa oleh para nabi as.

f. Menjelaskan rahmat dan nikmat Ilahi yang telah dicurahkan atas para nabi a.s. dan seluruh alam sebagai hubungan mereka dengan Allah. Sebagai contoh, hal ini dapat kita temukan dalam kisah Nabi Sulaiman, Daud, Ibrahim, Isa, Zakaria, dan lain-lain. Semua para nabi as. memperoleh mukjizat yang cukup banyak untuk membuktikan kebenaran ajaran yang mereka sampaikan.

g. Mendedahkan segala tipu daya yang dibawa oleh musuh utama manusia, iaiut syaitan terhadap umat manusia di mana ia selalu menanti kesempatan untuk menyesatkannya. Kisah Nabi Adam a.s. adalah sebuah contoh yang jelas yang menjadi contoh tentang penyesatan yang dibuat oleh syaitan laknatullah itu.
*bersambung pada siri akan datang...................
Rozlan
Machang

Thursday, July 9, 2009

Cinta Menurut Pandangan Islam

“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruh dan kekasih Engkau..Ya Allah, kurniakanlah nikmat cinta-Mu kepadaku, juga cinta makhluk-Mu kepadaku…Amin..”

Muqaddimah

Hari ini, banyak kita dengar bait-bait nasyid daripada kumpulan-kumpulan nasyid tanah air dan sering mengingatkan kita kepada hakikat cinta yang sebenar. Bagi saya sendiri, makna serta irama yang dibawa oleh kumpulan nasid ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di tengah-tengah kerancakan irama nasyid ala-KRU yang mewarnai dunia nasyid pada masa sekarang.

Berbicara mengenai cinta, sudah semestinya kita tidak akan terlepas dari perbincangan tentang cinta monyet yang menghiasai dunia muda-mudi sekarang ini. Malah, tidak keterlaluan untuk dinyatakan, itulah pespektif masyarakat terhadap cinta. Sedangkan cinta sebeginilah yang sering mendorong pelakunya ke arah melakukan maksiat kepada Allah SWT. Inilah yang menjadi punca kotornya cinta yang dibina. Adakah cinta yang kita miliki sekotor itu?

Apakah cinta sebenarnya?
Cinta sebenarnya menepati satu angka perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa ingin disayangi dan ingin menyayangi yang terbit dari hati seseorang yang mempunyi jiwa dan waras pemikiranya. Cinta diorbit daripada naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan membantutkan tumbesar manusia.

Kesenian cinta yang didasari runtutan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsai keghairahan nafsu dan kejahatan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah.

Permasalahan cinta merupakan antara masalah yang dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spiritual sehingga sanggup membunuh solidariti dan menodai sosial. Ada yang tidak mampu lagi untuk membezakan antara cinta yang hakiki dengan cinta yang palsu sehinggakan ada yang sanggup mengagungkan cinta palsu itu melebihi cinta yang hakiki. Individu mukmin sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Cinta yang berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan dihina.

Menyedari hakikat ini, saya mencuba untuk menggagahkan diri bercerita soal cinta secara ringkas menurut pandangan Islam. Apatah lagi dalam suasana masyarakat remaja khususnya tertipu dengan propaganda 14 Februari yang kononnya ialah hari Kekasih. Maka sibuklah dunia berbicara soal cinta yang lebih menjurus kepada cinta karut-marut yang bertemakan mainan perasaan yang sama sekali terseleweng dari kehendak Islam. Demi membuktikan ketelusan cinta palsu itu, ada yang sanggup menggadai maruah diri demi cinta pada hari kekasih. Dan fonomena ini amat menyedihkan kerana ianya berlaku di kalangan ummat Islam itu sendiri. Semoga Allah memberikan ganjaran terhadap usaha yang kecil ini dalam membersihkan jiwa pemuda-pemuda dari sebarang permainan perasaan yang hanya akan menyesatkan fikiran.


Apakah Kedudukan Cinta Di Dalam Islam?

Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :

1. Cinta kepada Allah

Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan menyintai Allah swt.

Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap.
Firman Allah SWT :

“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)
Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.
Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...”
(Surah Al-Maidah, ayat 54)

2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’

Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam, maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia.

Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.
(Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)

Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.

3. Cinta Sesama Mukmin

Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:

“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”
(Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)

Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan pesanan :

“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah Israk, ayat 24)

Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang beriman sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :

“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...
(Surah Al-Fath, ayat 29)

Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”
(Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya

Cinta Dunia Remaja : Tragedi Yang Menyayat Hati

Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba dengan mainan nafsu yang bagaikan lautan ganas yang begitu kuat bergelombang. Salah satu darinya ialah mainan cinta.

Tidak sedikit orang yang rebah kerana cubaan ini. Dalam berbicara persoalan peringkat pembinaan ‘cinta lutong’, As-Syauqi pernah bermadah :

Benar kata Syauqi, cinta monyet ini bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta untuk tidak bertemu dan berdating sekaligus mendedahkan diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan batasan pandangan seorang muslim dan muslimah. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan...”
(Surah An-Nuur, ayat 30)

Betapa bahayanya cinta beruk ini boleh dilihat apabila pasangan yang dhanyutkan olehnya tidak akan berupaya untuk berfikir secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlalu tidak akan sunyi dari memikirkan persoalan cinta mereka. Setiap saat, jiwa sudah tidak mampu lagi untuk tenteram sekiranya tidak didodoikan dengan suara halus dan lunak yang berbicara dengan kata-kata yang hanya layak diperdengarkan di dalam kelambu. Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan sudah lebur harapan masyarakat yang dipikulkan di atas bahu, yang ada hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan masing-masing. Lantas, di saat demikian, layakkah orang yang hanyut ini diharapkan memikul tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing masyarakat?

Apakah penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling baik ialah perkahwinan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”
(Bukhari : no. 1772, Muslim : no. 2485)

Selain daripada perkahwinan yang tentunya merupakan perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam dunia seorang penuntut ilmu, maka Rasulullah SAW mencadangkan puasa sebagai jalan terbaik melepaskan diri dari kekangan nafsu yang meronta-ronta. Selain daripada itu, Islam sama-sekali tidak membuka pintu yang lain. Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak, hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu menyelamatkan diri sendiri dari turut terjun dalam arus ganas cinta beruk ini.

Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan! Dan sekalipun kekosongan jiwa daripada cinta lutong secara zahirnya adalah penderitaan dan kesunyian yang begitu hebat, namun itulah hakikat cinta sejati kepada Allah. Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan, maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur bakti kepada Islam sebagai medan jihad dan perjuangan.

Percayalah, masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah malunya untuk kita tewas terlalu awal. Usia emas yang diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan sebaik mungkin menggali sebanyak mana anugerah di bumi ilmu.

Namun, kita manusia boleh tertewas bila-bila masa sahaja. Tidak kira siapapun kita. Sekalipun kita arif malah benar-benar mengetahui bahawa yang hadir hanyalah sekadar tipuan, namun kita bisa rebah dalam ketewasan yang kita sendiri sebenarnya merelakannya.

Oleh yang demikian, apakah yang akan menyelamatkan selain keimanan, ketakwaan dan kecekalan?
Fikir-fikirkan……

Di Mana Sahabat....


Persahabatan merupakan suatu ungkapan yang tidak asing lagi kepada setiap orang kerana hampir semua orang yang ada di dunia hari ini bersahabat. Ini kerana sahabat amat penting dalam meneruskan perjalanan hidup. Sahabat banyak membantu kita tatkala kita susah dan senang. Hari ini ramai kawan yang ada di sebelah kita yang sentiasa gelak ketawa bersama kita hinggakan jumlahnya tidak terkira. Namun sedikit pula kawan yang benar-benar di sisi kita yang sanggup menangis bersama kita di kala kita berada di kesedihan atau kesusahan.





Namun siapa pun kawan kita, kita ingatlah bahawa tidak semestinya kawan baik yang kita anggapkan hari ini adalah benar-benar menjadi sahabat kita. Ini kerana ada yang ingin berkawan dengan kita untuk mengambil kesempatan semata-mata atas kelemahan kita. Ada juga yang ingin berkawan dengan kita semata-mata untuk kepentingan diri sendiri dan sebagainya. Begitu juga wahai sahabatku, jangan sekali-kali kita menganggap orang yang kita benci itu musuh kita kerana mungkin suatu hari nanti dia yang sudi bersama kita di kala kita berkesedihan atau berkesusahan. Oleh yang demikian berbuat baiklah kepada sesiapa sahaja dengan ikhlas dan rasa kasih sayang untuk berbuat baik. Jangan sekali-kali kita bersedih jika kita mengalami atau menghadapi kesukaran semasa bersendirian tanpa ada sahabat yang sanggup berkongsi susah bersama dalam meneruskan perjalanan hidup.




Ketahuilah wahai sahabat sekalian, bahawa Allah swt itu Maha adil kerana Dia menjadikan kita berlainan jantina ini adalah untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Kita tidak mampu untuk berkenalan dengan semua orang malah kita juga tidak mampu untuk bersahabat dengan semua orang. Cuma apa yang pentingnya ialah kita hendaklah berbuat baik dengan semua orang tanpa mengira siapa dia. Allah swt jadikan kita boleh berkawan baik hanya dengan orang ini dan tidak boleh berkawan baik dengan orang itu, manakala ada orang yang boleh masuk secara terus dengan orang itu dan tidak boleh bersahabat dengan orang ini. Semua itu adalah ketentuan Ilahi dan Dia-lah yang menjadikan setiap insan ini tidak sama. Namun, Allah swt dengan rahmat dan kurniaan-Nya, Dia memberi peluang dan ruang untuk kita semua memilih siapakah yang terbaik untuk menjadi sahabat kita.

Oleh itu kesimpulannya, untuk bersahabat hendaklah kita memilihnya dengan cara yang terbaik kerana sahabatlah banyak membentuk jati diri, suasana dan keperibadian kita. Ingatlah hari ini dunia semakin moden, nilai persahabatan sudah hampir luntur dengan kebangkitan arus kemodenan.

Wallahu A'lam.

Rozlan
Machang.

Monday, July 6, 2009

Belajarlah Hidup Ini Dari Matahari....

Dalam menghabiskan masa cuti baru ini, sempat juga aku ke negeri Pahang untuk mengikuti sesi motivasi di SMK Jengka 16. Selama lebih kurang 1 minggu aku berada di sana dan banyak pengalaman baru yang aku perolehi semasa aku berdagang ke negeri Pahang. Ada pengalaman pahit yang terpaksa aku tempuhi malah banyak pengalaman manis yang aku ukirkan semasa aku di sana bersama dengan sahabat-sahabatku yang lain.


Pengalaman yang paling tidak aku lupakan ialah semasa bersama dengan adik-adik di SMK Jengka 16, kerana aku dengan rakan-rakan yang lain dapat mengukir sedikit jasa untuk membantu adik-adik mencapai kejayaan untuk diri mereka. Namun di dalam perjalanan aku itu banyak pengalaman yang aku temui untuk mengajar diriku supaya lebih mengenali erti sebuah kehidupan. Bermula saat aku turun dari rumah lagi sehinggalah aku kembali ke rumah, aku dapat rasakan jutaan ilmu yang aku belajar dari makhluk-makhluk Allah swt yang ada di sekitar perjalananku itu.

Namun untuk kali ini aku ingin berkongsi sedikit pengalamanku semasa bermusafir ke negeri Pahang. Kisah yang ditajukkan seperti di atas adalah disengajakan kerana matahari bukan hanya terdapat di negeri Pahang sahaja tetapi ianya boleh dilihat di mana-mana. Jadi kepada pembaca, bolehlah juga turut belajar daripadanya.


Bila bercakap tentang matahari, semua orang tahu dan ada yang lebih berpengalaman sebenarnya daripada aku dalam menilai erti sang mentari ini. Namun di sini aku ingin berkongsi sedikit pengalaman apa yang aku peolehi daripada si mentari. Ditegaskan bahawa matahari bukannya yang mengajarkan aku erti hidup, tetapi Allah swt yang mengajarkan kepada aku melalui makhluknya yang bernama matahari.


Aku turun daripada rumah untuk memulakan musafir aku pada jam 7 pagi dan aku melihat sang mentari baru sahaja muncul di ufuk timur. Cahayanya bersinar terang berdalilkan bahawa hari itu tidak akan hujan. Biasalah dilahirkan sebagai anak kampung, aku dapat melihat gelagat orang-orang kampung keluar rumah untuk mencari rezeki yang ditaburkan oleh Allah swt di melata dunia-Nya. Ketekunan mereka untuk mencari rezeki seawal pagi menandakan yang mereka menyahut seruan Hadis Nabi saw yang mana rezeki itu mudah atau senang diperolehi di awal pagi. Namun di lubuk hatiku terpancar suatu firasat yang mengatakan "inilah kehidupan". Kehidupan manusia ini boleh diibaratkan sebagai hadirnya sang mentari di pagi hari. Apabila seseorang yang baru datang kedunia ini (baru dilahirkan), maka ia boleh diibaratkan seperti si mentari yang baru terbit di ufuk timur. Ramailah manusia datang menziarahinya terutama kaum keluarga dan jiran tetangga untuk melihat insan yang baru dilahirkan itu. Begitulah seperti mentari yang baru terbit, ramai yang berduyung-duyung untuk merebut peluang di pagi hari bagi mencari rezeki demi sesuap nasi untuk diri dan keluarga.

sekadar gambar hiasan
Bagitulah bila usia kita muda, muda bagaikan barunya terbit si mentari pagi. Namun tatkala usia meningkat remaja, makin bersinarlah cahaya yang ada di dalam diri kita dari sudut bakat yang kita miliki, ilmu yang kita pelajari, kenalan yang kita cari, matlamat hidup yang ingin kita penuhi dan lain-lain lagi. Bersinarnya semua itu bagaikan bersinarnya cahaya matahari yang memberi manfaat kepada manusia dan dengan itu sewajarnya sinaran yang ada di dalam diri kita sepatutnya kita turut memanfaatkannya kepada manusia yang lain yang lebih memerlukannya. Cuba kita bayangkan sekiranya kita kedekut dengan kelebihan yang ada pada diri kita, kita tidak mahu membantu orang yang memerlukannya, apakah yang akan jadi kepada orang yang memerlukan itu. Ini boleh juga diibaratkan dengan peranan matahari, cuba renungkan sekiranya matahari tidak memancarkan cahayanya selama 1 hari, apakah yang akan kita rasai sebagai makhluk yang memerlukan kepada matahari. Fikir-fikirkanlah.....

Setelah kita melalui usia remaja, kita kena ingat bahawa kita tidak terus kekal remaja. Kita akan menjadi dewasa pula selepas itu, perjalanan usia kita tidak terhenti di tengah jalan, begitu juga perjalanan sang mentari juga tidak berhenti di pagi hari. Sang mentari akan melalui di saat pagi dan akan memanjangkan langkahnya hingga ke tengah hari. Di situ juga sinarnya mula terasa di bumi ini, malah kebanyakkan makhluk akan tunduk kepada kepanasan cahaya si mentari di tengah hari ini. Itulah pembelajaran yang dapat aku simpulkan ialah, apabila kita mencapai usia dewasa, dengan kelebihan yang dikurniakan Allah swt kepada kita untuk kita manfaatkan kepada manusia lain, sudah pasti ramai yang akan tunduk kepada kita sebagai penghormatan di atas kelebihan yang kita guna dijalan yang benar. Namun siapa pun kita, kita harus sedar bahawa kekuatan kita adalah di saat usia kita remaja dan kemuncaknya adalah ketika usia dewasa. Wahai sahabatku, ingatlah bahawa setelah dewasa, kita tidak lagi mencapai tahap kekuatan kerana kekuatan kita akan menghilang seperti kurangnya matahari setelah datangnya waktu tengah hari. Cahaya si mentari juga turut menurun seperti turunnya tenaga yang ada di dalam badan kita setelah kita melalui zaman dewasa. Oleh itu, manfaatlah zaman muda dan dewasa ini untuk tingkatkan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah swt dan bukannya kita menunggu hari tua kerana tengan kita semakin berkurang dimamah usia.

Sekadar hiasan

Wahai sahabat, ingatlah si mentari juga tidak semuanya bersinar hingga ke petang, adakalanya hujan di pagi hari, hujan juga turun di tengah hari, mendung menutupi sinar yang memancar dan banyak lagi. Inilah yang menggambarkan kepada kita bahawa kehidupan dan kematian tiada siapapun yang mengetahui hakikatnya melainkan Allah swt. Begitu juga dengan cahaya mentari, tidak sesiapa pun boleh menjangkankan tentang perjalanan hari itu. Itulah gambaran kehidupan manusia, ada yang pergi mengadap Allah swt pada usia yang muda seawal usia si mentari di pagi hari, ada juga yang meninggal pada usia dewasa seusia dengan mentari di tengah hari. Namun apa yang penting ialah persediaan kita untuk kembali kepada Allah swt.

Mentari apabila tiba waktu petang cahayanya akan malap, sinarnya tidak lagi terik. Begitulah erti kehidupan kita, bila tiba usia tua, tenaga kita semakin berkurang, kudrat kita dimamah usia, ucapan kita tidak lagi diendahkan dan banyak lagi. Namun hakikatnya kehidupan, itulah dia kehidupan. Bila tiba waktu senja, berpusu-pusu manusia akan kembali ke rumah masing-masing tanpa menghiraukan lagi sementari yang akan lenyap diratah malam. Kehidupan juga begitu, apabila sudah tua, manusia akan berjauhan daripada kita. Beruntunglah bagi mereka yang mempunyai harta yang berupa anak yang soleh yang sentiasa mendamping orang tuanya tatkala menanti saat-saat tenggelamnya sinar di ufuk barat.



sekadar berhias

Kesimpulannya, dalam hidup ini Allah swt memberi peluang kepada kita sekali sahaja untuk mengukir kisah kita di dunia ini. Oleh itu manfaatkanlah masa hidup yang singkat ini untuk kita gunakan sepenuhnya ketaatan kita kepada Allah swt kerana kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Kehidupan yang lebih kekal abadi ialah kehidupan di akhirat. Bentuklah diri menjadi insan yang sebaik-baik mungkin, binalah keluarga yang bahagia dan didiklah anak-anak agar menjadi insan yang soleh demi mencapai keredhaan Ilahi.

Wallahu A'lam

Ibnusoleh (Machang).

Sunday, July 5, 2009

Berbakti Di SMK Jengka 16...


SMK Jengka 16


Bertarikh 26 - 28 Jun 2009, beberapa pelajar daripada UUM, UKM, UPSI dan UDM telah berkampung di Sek. Men. Keb. Jengka 16 bagi mengadakan program kecemerlangan akademik untuk pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan. Dengan kekuatan seramai 15 orang fasilitator telah diamanahkan oleh pihak sekolah untuk membantu adik-adik yang menetap di asrama. Program ini adalah diuruskan oleh pelajar dari UUM dan digembelingkan bersama dengan pelajar-pelajar dari universiti lain. Pengarah projek dikendalikan oleh Nurazila Bt Osman yang merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan. Gandingan sahabat-sahabat daripada pelbagai universiti sudah cukup memadai untuk membantu adik-adik bagi meningkatkan motivasi agar mereka terus cemerlang dalam pelajaran dan hingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi.


Simpang Masuk ke Jengka 16


Objektif utama program berkenaan ialah untuk membimbing adik-adik di SMK Jengka 16 bagi mencapai tahap kejayaan yang lebih efektif dari segi kualiti dan kuantiti. Selaian itu, penumpuan diberikan untuk pelajar-pelajar sekolah berkenaan agar lebih berkeyankinan dalam meneruskan pembelajaran dan menghadapi peperiksaan. Para pelajar juga didedahkan dengan pembentukkan jati diri dan semangat untuk bekerja bersama dengan rakan-rakan dalam apa jua bidang pembelajaran. Selain itu, penumpuan juga diberi dalam skop muhasabah diri agar menjadi insan yang berbakti kepada keluarga masyarakat dan negara serta yang lebih penting dalam bidang agama.
Program selama tiga hari itu adalah merupakan satu program pencetus yang dimulakan dan insyallah ia akan menjadi program tahunan sekolah bagi merealisasikan kejayaan pelajarnya dan juga nama sekolah. Pemilihan SMK Jengka 16 kali ini adalah sebagai contoh kepada sekolah-sekolah lain di kawasan Jengka terutamanya untuk meningkatkan tahap kecemerlangan akademik para pelajar.




Semasa sesi ta'aruf

Merapatkan hubungan antara puteri-puteri SMKJ16



Sepanjang program berjalan, memang banyak kenangan yang dapat diukirkan antara barisan fasilitator sendiri dan juga dikalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Ini kerana kebanyakkan fasilitator sendiri datang dari pelbagai negeri dan universiti yang berbeza dan di situlah merupakan tempat pertemuan dan mengukir kenangan serta berkongsi idea dan ilmu. Bagi adik-adik di SMK Jengka 16 menjadi kenangan terindah dengan kedatangan kakak-kakak dan abang-abang fasi dari perlbagai universiti di samping berkongsi ilmu yang tidak terhitung nilainya. Sungguhpun hanya tiga hari kami berkampung di sana, jutaan kenangan yang diukirkan. Ada yang manis dan ada juga yang pahitnya. Namun pertemuan ringkas tiga hari mengajar kami erti kehidupan.




fasi mengendalikan kumpulan LDK


Tazkirah Maghrib oleh Ustaz Hafizuddin


Khusu' mendengar penerangan dari kakak fasi


Sukan Ukhwah

Berkongsi segalanya semasa hidup di asrama

Memang tidak dinafikan, perjuangan untuk meneruskan kehidupan ini perlu diteruskan sehinggalah kita sampai ke saat yang terakhir. Namun setiap yang bertemu, pasti kesudahannya dengan perpisahan, setiap yang mula, ada tamatnya. Kenangan di SMK Jengka 16 menjadi bukti musafirnya kami di lembah Jengka menabur bakti. Segala usaha yang dilakukan hanya Allah swt sahaja yang membalasnya. Kepada adik-adik di SMK Jengka 16 khususnya, abang-abang dan kakak-kakak fasi mendoakan kejayaan adik semua. Kepada pihak sekolah SMK Jengka 16, itu sahaja yang kami mampu, segala kekurangan kami hulur tangan memohon jutaan kemaafan. Ingatlah, kejayaan kita hari ini akan disambung oleh jenerasi akan datang. Oleh itu kepada para pendidik, didiklah generasi kamu agar mereka berjaya jauh lebih hebat dari kamu. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah yang sudi menyambut kehadiran kami.

Terima Kasih daun keladi, Jika dijemput Insyallah kami datang lagi....

Sepanjang berada di Jengka, kami tidak melepaskan peluang untuk melawati segenap ruang dan tempat yang ada di kawasan sekitarnya. Maklumlah kami ini pengembara/ musafir ke negeri orang. Pada hari berikutnya, sempat juga kami menjelajah ke Gunung Senyum yang dikatakan salah satu tempat rekreasi di kawasan Jengka. Terletak di kawasan Jengka 22, maka tidak hairanlah untuk kami sampai ke sana kerana jarak antara rumah Nurazila yang menjadi tempat kami berteduh hanya lebih kurang dalam 10 KM sahaja. Sebenarnya perancangan ke gunung terbabit memang dari awal lagi dan ia merupakan salah satu agenda program kami ke sana.

Setelah sampai di kaki Gunung Senyum, penulis turut bersenyum kerana pada hari ini janji yang telah penulis buat untuk datang kembali ke gunung ini telah dimakbulkan. Ini kerana pada tahun 2003 dahulu merupakan kali terakhir penulis sampai ke gunung ini.


Rakan fasi bergambar kenangan di pintu masuk ke Gunung Senyum


Di dalam Gunung Senyum yang penuh misteri


Bukti kehadiran kami di Gunung Senyum...


Kenangan apabila tayar spare Van yang dinaikki telah terjatuh dan dikejar oleh sebilangan fasi..huhuhuu..




Apabila kemalangan berlaku, maka tempat penyelesaian di sini sebelum ke mahkamah, namun adakalanya pihak yang bertanggung jawab menilai dengan cara yang tidak adil..(Di mana integriti sebilangan anggota polis yang mengadili sesuatu kes hanya berpihak kepada rakan/keluarga/sahabat mereka sahaja tanpa menggunakan undang-undang)


Sekadar di sini sahaja perjalanan kembari seorang musafir ke negeri Pahang. Segala kenangan yang diukir dengan pena kehidupan amat menyentuh hati dan perasaan kerana ianya tidak akan berlaku lagi untuk masa akan datang. Sejarah dan kenangan kami di Jengka meninggalkan seribu satu erti dalam hidup kami dan ianya sudah pasti menjadi bukti persahabatan antara kami.

Kepada keluarga Nurazila (k.zila), penulis mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menerima kedatangan kami ke terataknya. Walaupun tiada apa yang kami mampu berikan, cukuplah sekadar doa setiap kali solat kami panjatkan untuk kelurga khususnya untuk mak dan abah (Nurazlia) dan sekeluarga. Sekiranya terdapat kesalahan daripada kami sepanjang menumpang di sana kami memohon jutaan maaf atas kelalaian kami, maklumlah jiwa masih remaja yang penuh dengan keseronokkan.

Akhir kata daripada penulis, kenangan di Jengka tidak dapat dilupakan dalam kisah perjalanan hidup penulis dan sahabat semua. Insyallah ada masa dan peluang kita akan berkumpul lagi di Jengka.

See u All d Jengka!!!!

Rozlan Daud (2009)

Machang,

Friday, July 3, 2009

Selamat kembali.....

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan iradat-Nya penulis dapat menyambung kembali tulisan ini. Setelah bercuti daripada menaip di "key board" ini selama hampir 2 bulan, tanpa sebarang berita penulis corekkan di blog ini. Al-maklumlah bila balik kampung, banyak pula kerja yang terpaksa dilakukan sehingga tiada masa dan ruang untuk penulis menghabiskan masa di blog ini. Namun, apa pun alhamdulillah, Allah swt memberi nikmat kesihatan kepada penulis untuk menyambung niat murni ini bagi menyampaikan risalah dan dakwah demi menyambung risalah Nabi saw. agar kita semua mendapat petunjuk dan keredhaan di sisi Allah swt tatkala kita bangkit menemuinya nanti.
Sekembalinya penulis untuk kali ini dengan niat yang baru, tekad dan azam yang baru untuk terus bangkit dalam memperjuangkan kalimah suci dari Ilahi. Semoga dengan niat ini, Allah swt memberi hidayah dan bantuan untum memudahkan kerja amal dalam menyebarkan risalahnya. Oleh yang demikian, diharapkan kepada semua pembaca turut membantu dalam merialisasikan hasrat murni penulis nanti..Insyallah..
Akhir kata dari penulis, "ilmu yang memberi manfaat adalah ilmu yang diajarkan kepada orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan di sisi manusia". Berjuanglah dalam bidang keilmuan adalah sebahagian daripada jihad di jalan Allah swt.
Sekian
Penulis.

My Picture