Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Monday, August 31, 2009

Marahnya.........

Alhamdulillah ku panjatkan syukur pada Mu Ya Rahman kerana kasih dan sayang Mu kepadaku tanpa batasan.

Kali ini saya akan tunaikan janji saya untuk cerita persoalan marah yang telah ditanya oleh seorang sahabat saya baru-baru ini. Dalam hal ini dia teramat marah kerana telah difitnahkan oleh kenalannya sendiri. Namun kemarahannya membuak-buak dan alhamdulillah ia dapat dikawal dengan izin Allah swt. Maklumlah siapa yang tidak marah apabila difitnahkan dengan perbuatan yang terkutuk pula. Namun itulah sahabat saya. Setelah dia datang berjumpa dengan saya dan berkongsi masalahnya itu, saya memberikan jawapan dan nasihat ringkas padanya kerana maklumlah saya ini terlalu jahil dalam ilmu ini.

Nasihat yang ringkas itu ialah:





Saudaraku, inilah indahnya hidup. Ada warna keriangan, kegembiraan, kesukaan, keseronokkan dan perlbagai lagi yang indah-indah sehinggakan tiada kamus pun yang boleh menafsirkan indahnya hidup ini. Namun kena ingat, warna kehidupan tidak semuanya indah, adakalanya datang juga ribut yang melanda membawa angin kesedihan, kesukaran, keresahan dan lain-lain lagi yang menusuk kesedihan jiwa dan tangisan sekeping hati yang tidak dapat digambarkan atau disebut oleh oleh mana-mana kitab dalam dunia ini. Begitu juga dengan perasaan marah, benci, sakit hati, dengki dan sebagainya itu adalah pelangi kehidupan yang pasti akan muncul selepas hujan kematangan diri.


Namun begitu sahabat, bersedihlah dengan apa yang berlaku kerana kesedihan itu adalah sunnah kehidupan, namun janganlah sedih dengan fitnah yang orang buat kepada diri kamu itu terlalu panjang atau terlalu lama kerana ia akan memudharatkan kesihatan kamu. Sedih ada tahapnya, sepertimana juga menangis, menangis perlu untuk kesihatan diri, namun jangan menangis terlalu lama kerana ia akan memudharatkan diri. Wahai sahabat, ingatlah ini sebenarnya ujian dari Allah swt untuk menguji diri kita semua. Allah swt ingin meningkatkan darjat kita di sisi-Nya jika kita bersabar. Namun ingatlah, darjat kita akan jatuh sekiranya kita tidak bersabar dalam menghadapi ujian ini. Ingatlah sabahat, perkara yang penting bersabarlah kamu di atas setiap apa yang berlaku kerana ini adalah ujian untuk menguji kesabaran kamu. Aku tahu, ujian para nabi lebih teruk jika dibandingkan dengan apa yang kita perlu hadapi hari ini. Tidak usahlah kita bandingkan dengan nabi kerana darjatnya terlalu jauh dengan kita, kerana dia adalah nabi Allah swt. Ok, kita bandingkan pula dengan ummat Islam di Palestin yang sama tarafnya dengan kita, apakah kita mampu bersabar seperti mereka dalam menghadapi ujian peluru-peluru Yahudi? Kita baru diuji dengan fitnah yang tidak memudaratkan langsung diri kita. Yang tidak membawa kepada kematian jika dibandingkan dengan anak-anak bumi Palestin yang difitnahkan dengan taburan fitnah peluru dan bom yang membawa kepada kehancuran.




Wahai sabahat, setelah kamu ingatlah kamu ini sebenarnya diuji oleh Allah maka bersabarlah. Kemudian kamu perlu buang sifat marah yang ada di dalam hati kamu sama ada dendam atau niat untuk membalasnya. Ini kerana jika kamu menyimpan dendam bermakna kamu sengaja memberi peluang kepada syaitan untuk menguasai diri kamu. Ingat dengan perasaan marahlah diri kamu dan jiwa kamu akan dikuasai syaitan untuk menyuruh kamu berlaku lebih zalim lagi dari apa yang orang lain buat kepada kamu. Oleh itu, janganlah kamu memberi peluang kepada syaitan untuk bertapak dihati kemarahan kamu agar darjat kamu di sisi Allah swt meningkat.


Kamu boleh marah dab benci kepada perangai buruk yang orang lain buat terhadap kamu, namun kamu tidak sekali-kali boleh marah atau benci kepada orang tersebut kerana dia juga makhluk Allah swt sama seperti kamu yang juga makhluk. Hanya Allah swt sahaja yang boleh marah kepada makhluk-Nya dan makhluk tidak ada hak untuk marah kepada makhluk lain. Namun kita hanya berhak memarahi perangai buruk yang ada padanya sahaja. Itulah hak kita di sisi Allah swt.


Wahai sahabat, apakah yang sahabat faham dengan apa yang saya nyatakn tadi, saya bertanya kepada sabahat sekiranya dia benar-benar memahami nasihat saya. Namun memang dilihat sahabat saya itu benar-benar memahaminya.


Akhir perbincangan saya dengan dia, kami menjadi sahabat baik sampai sekarang.


Ibnusoleh
Machang






Thursday, August 27, 2009

Aku Lupa.....


"Alhamdulillah aku bersyukur pada-Mu Ya Allah, kerana Engkau banyak membantuku dalam meneruskan perjalanan hidupku ini dan Engkau tidak sekali-kali membiarkan diriku berjalan bersendirian. Engkau amat mengetahui bahawa diriku ini terlalu lemah dalam segenap hal, sebagai hamba-Mu, aku sering lupa dan lalai dalam perjalananku, oleh itu aku amat memerlukan pertolongan Mu Ya Allah."

Sekadar Hiasan



Sejak kedatangan Ramadhan ini, dari awal lagi aku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna untuk diriku. Aku menganggapnya sebagai ramadhan ini adalah yang terakhir dalam hidupku kerana aku ingin memanfaatkannya dengan sebaik yang mungkin. Namun dalam pengharapan aku ini, aku sekali lagi diuji dengan perasaan sedih, sebak dan risau. Aku sering menghabiskan masa aku dengan termenung dan sekadar memerhati kejadian ciptaan Tuhan. Dalam ketermenungan aku itu, banyak yang aku belajar daripada ayat-ayat Allah swt. Mungkin itu merupakan salah satu jalan bagi Allah swt ingin mengajar aku suatu ilmu yang tidak terdapat di dalam mana-mana kitab. Aku bersyukur pada Mu Ya Rabb...


Dalam mengharungi perjalan hidup ini, semua orang pasti akan diuji termasuk juga diriku. Dalam setiap ujian, kita harus bersabar dan cara untuk bersabar itu yang membezakan antara kita. Bagiku, seperti yang aku katakan tadi, termenunglah cara untuk menghilangkan keresahan jiwa. Termenung dengan memerhatikan di mana kebesaran Allah swt. Melihat tanda-tanda kebesaran-Nya. Aku terlupa dalam ujian tersebut ada kesabaran dan solat. Aku sekadar solat fardu dan sangat sedikit solat sunat. Dalam mengharungi cabaran dan ujian ini, aku terlupa untuk meningkatkan solat sunat kerana dengannya (solat) akan menenangkan jiwa-jiwa yang resah semasa diuji.

Aku bersyukur kerana aku sempat lagi sedar sebelum keterlupaanku itu membawa parah yang bakal tumbuh mencengkam jiwa ibarat ketumbuhan kenser di dalam badan. Aku terus sujud mengharapkan bantuan Ilahi kerana kita sebagai hamba Allah swt, kita perlu bersabar. Kemudian kita perlu mengharapkan kepada Allah swt jua yang membantu kita dalam menghadapi ujian tersebut kerana kita insan yang lemah yang serba kekurangan. Di dalam sujud itulah tempat aku mengadu kepada Allah swt tentang masalah yang aku hadapi. Aku insan yang lemah, aku tidak mampu untuk menghadapinya sendiri melainkan dengan bantuan Allah swt.

Aku juga semakin hari semakin lalai daripada mengingati Allah swt. Jikalau dahulu, aku menghabiskan masaku dengan membaca dan mengkaji al-Quran. Namun sejak kebelakangan ini, jiwaku terlalu busy untuk mengejar kejayaan dunia. Aku tahu, dunia itu keperluan yang harus dicari, tetapi jangan pula aku mengejarnya. Namun aku menjadi semakin ganas dengan menjadi pemburu kepada dunia yang akan aku tinggalkan ini. Aku lupa tujuanku di dunia ini untuk mengejar persiapan akhirat sebagai bekalan untuk suatu perjalanan yang jauh. Namun aku terlupa akhiratku, setelah aku lihat indahnya dunia ini. Namun aku masih selamat kerana Allah swt mengingatkan aku yang alpa ini, mungkin ini kerana istikharah menjadi amalanku memberi ruang kepada Allah swt untuk memberi petunjuk dan panduan kepada keputusan aku.

Ya Allah, jika dikira akal yang Engkau kurniakan padaku, nescaya aku tidak mampu berfikir keputusan mana yang terbaik bagi diriku melainkan Engkaulah yang memberi petunjuk di atas kebenaran itu...

Kepada semua sahabat pembaca, kembalilah diri kita kepada Allah swt kerana kebanyakkan diri kita ini semakin hari semakin lupa dengan perjanjian ketuhanan yang kita bina semasa di alam roh lagi. Kembalilah kepada Allah swt kerana kita masih belum terlewat untuk kembali. Ingatlah sebelum ajal datang itulah peluang kita kembali kepada Allah swt, namun setelah ajal, itulah bekalan kita untuk mengadap Allah swt. Persoalannya, siapakah di antara kita yang mengetahui hakikat ajal mautnya? Fikir-fikirkan..
Wallahu A'lam.

Rozlan Daud
Machang

Thursday, August 13, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan...


Alhamdulillah sekali lagi Allah swt berikan peluang kepada kita untuk menikmati bulan yang penuh dengan barakah ini iaitu Ramadhan Al-Mubaraq. Bulan ini ummat Islam diwajib untuk puasa pada siangnya dan melaksanakan ibadah solat sunat Tarawih pada malamnya, solat Tarawih ini tidak ada pada malam-malam bulan yang lain.


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan (Selamat Datang Wahai Ramadhan). Aku mengharap kedatangan Ramadhan kerana Allah swt menjanjikan keampunan dan keredhaan-Nya yang terlalu banyak pada bulan ini. Bulan yang penuh dengan keberkatan.

Ya Allah, kurniakanlah Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terbaik bagiku, kerana aku tidak tahu mungkin inilah Ramadhan yang terakhir untukku. Ku mengharap keampunan-Mu dan redha-Mu ke atas diriku, keluargaku, ummat Islam seluruhnya.

"Semua amal seorang anak Adam (manusia) adalah untuk dirinya kecuali puasa, sebab puasa itu adalah untuk-Ku (Allah swt), dan Akulah yang akan memberikan pahala untuknya.” (Hadits Qudsi).

Mencermati hadits qudsi tersebut, Ibn al-Qayyim al-Jawziyah dalam kitabnya Zad al-Ma’ad fi Huda Khayr al-‘Ibad memberi penjelasan bahawa puasa itu, “…adalah untuk Tuhan sekalian Alam, berbeza dengan amal-amal yang lain. Sebab seseorang yang berpuasa tidak melakukan sesuatu apa pun melainkan meninggalkan sahwatnya, makanannya, dan minumannya demi sembahannya (ma’bud, yakni Allah swt).”

Lebih lanjut Ibn al-Qayyim mengatakan: “… Orang itu meninggalkan kesenangan dari kenikmatan dirinya kerana lebih mengutamakan cinta Allah dan redha-Nya. Puasa itu rahsia antara seorang hamba dan Tuhannya, yang orang lain tidak mampu mengetahuinya.”

Puasa merupakan "qurbah" yang utama (proses mendekatkan diri dengan Allah swt). Ini kerana puasalah yang merupakan rahsia perhubungan antara hamba dengan Allah swt. Orang lain tidak mengetahui seseorang itu sedang menjalani ibadah puasa ataupun tidak jika dibanding dengan solat yang mana orang lain melihat perbuatan rukun-rukun solat itu. Adapun puasa ia melibatkan perhubungan antara orang yang berpuasa dengan Allah swt sahaja.

Rahsia dan kelebihan berpuasa memang tidak dapat dinafikan kerana dengan berpuasalah seseorang itu dapat mendekatkan dirinya dengan Allah swt. Dengan puasa juga dapat mengawal hawa nafsu yang merosakkan dan seangkatan dengannya. Selain itu, puasa juga menyihatkan kerana nabi saw pernah bersabda yang bermaksud :"Berpuasalah kamu, sesungguhnya kamu akan sihat". Dan banyak lagi kelebihan-kelebihan berpausa.

Apa pun untuk kali ini penulis ingin mengatakan betapa syukurnya pada Allah swt kerana masih sayang kepada kita kerana memberi peluang sekali lagi untuk kita menunaikan ibadah puasa yang mana amalan-amalan sunat diberi pahala seperti ibadah wajib dan ibadah wajib digandakan denan tingkat yang paling tinggi. Jadi inilah peluang kepada kita untuk melaksanakan ibadah dengan sebaik mungkin agar Allah swt menilai kita dengan nilaian yang paling tinggi.

Kepada semua pembaca, jadilah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan terakhir kita, buatlah sebaik mungkin dan tingkatkan amalan-amalan yang membawa kepada redha Allah swt.

"Jadikan Bulan Ramadhan ini sebagai Universiti yang mengajar KULIAH-KULIAH IBADAH, TUTORIAL-TUTORIAL IMAN, ASSIGNMENT-ASSIGNMENT TAQWA + AMALI-AMALI AGAMA..Hope kita semua perolehi IJAZAH yang cemerlang di sisi Allah swt.

Apa pun esok jangan lupa niat puasa tau!!!!!!!!!!!!!

IbnuSoleh(Rozlan Daud)
Machang,

Kesabaran Punca As-Sakinah (Ketenangan)....


Semalam aku ditanya tentang kesabaran oleh beberapa sahabatku. Simple perkataan yang aku jawap pada mereka "Bersabarlah, kerana Allah swt sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar".


Sabar merupakan suatu perkataan yang sering diungkapkan oleh mereka yang tidak mengalami sesuatu musibah atau perkara kepada orang yang mengalaminya. Dengan kata lain, ungkapan sabar ini sentiasa keluar dari mulut orang yang tidak mengalami sebarang ujian daripada Allah swt kepada mereka yang menghadapinya. Perkataan sabar ini senang dilafazkan kerana ia selalunya dilafazkan oleh mereka yang dalam keadaan hidup mereka sempurna, namun ianya sukar untuk ditafsirkan kepada mereka yang diuji oleh Allah swt.


Ulama' membahagikan sifat sabar ini kepada tiga bahagian, yang pertama ialah sabar dalam menanggung penderitaan atau ujian daripada Allah swt ke atas hamba-Nya yang berupa, kesakitan, kemiskinan, kegelisahan dan bermacam-macam lagi. Dengan sifat sabar inilah Allah swt berjanji kepada hamba-Nya bahawa Allah swt sentiasa bersama mereka yang benar-benar sabar. Manakala yang kedua pula ialah sabar dalam melaksanakan perintah Allah swt. Sabar di sini amat penting kerana orang-orang yang tidak sabar sahaja yang tidak melaksanakan perintah yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah swt. Sebab itulah kita dapat lihat hari ini ramai orang yang meninggalkan segala perintah yang telah diamanahkan kepadanya. Adapun sabar yang ketiga ialah sabar untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah swt atau dengan kata lain, sabar untuk tidak melakukan maksiat kepada Allah swt. Namun begitu, hari ini ramai dikalangan persekitaran kita yang kita temui bahawa mereka tidak menjadi orang yang sabar kerana sering kali kita lihat mereka melanggari atau melakukan apa yang dilarang oleh Allah swt.


Setelah dijelaskan kepada sahabat-sahabat di UUM, mereka mengerti sedikit sebanyak berkenaan dengan sabar ini. Namun ada juga yang bertanya kepada saya, patutkah kita berdiam diri dan bersabar sekiranya kita dikhianati dan patutkah kita membenci orang yang mengkhianati kita itu?


Menjawab soalan ini saya teringat kisah-kisah silam saya semasa memimpin pelajar di salah sebuah kolej suatu ketika dahulu. Kerana perbuatan sabar, saya dipersalahkan. Walau apa pun saya tidak ingin menjelaskan berkenaan apa yang berlaku dikolej dulu tetapi penjelasan saya ialah berdasarkan kepada pengalamannya sahaja. Ini kerana saya belajar daripada sejarah saya sebagai rujukkan hidup. Sekiranya kita dikhianati, pertama sekali kita bersabar dan ingatlah bahawa ini adalah ujian dari Allah swt untuk melihat sejauh mana kita mampu bersabar kerana Allah swt ingin memberi Rahmat-Nya. Sekiranya kita tidak sabar, ingatlah Rahmat Allah swt tidak layak diberikan kepada mereka yang tidak sabar. Selepas itu, kita dapatkan penjelasan terhadap apa yang mereka khianati itu, sama ada perbuatan itu benar atau pun salah. Sekiranya kita berada dipihak yang benar, kita jelaskan perkara yang sebenarnya agar ia tidak disebarkan dan menjadi fitnah kepada kita. Ingat sekiranya kita berdiam diri, kita akan dipersalahkan dalam hal ini. Ini kerana sifat manusia yang selalu mencari kesalahan manusia yang lain.

Sekadar Hiasan



Sekiranya kita dipihak yang benar macam mana pula? tanya sahabat saya..


Adapun sekiranya kita di pihak yang benar, perkara pertama yang kita perlu buat ialah selamatkan diri kita daripada dikuasai oleh syaitan. Macam mana tu?sahabat saya mencelah...

Jadi untuk mengelakkan diri diri kita daripada dikuasai oleh syaitan ini, kita memaafkan orang yang mengkhianati kita itu. Inilah yang paling sukar untuk setiap orang buat. Kerana disebabkan hati mereka telah dilukai, mereka sukar untuk memaafkan orang lain. Kita hendaklah selalu fikir, apakah perasaan kita sekiranya Allah swt selalu memaafkan kesilapan kita. Sudah pasti kita bergembira dan hati kita menjadi tenang. Sebenarnya penawar bagi hati yang paling mujarab ialah kita sentiasa memaafkan kesilapan orang lain terhadap diri kita. Tetapi hati kita sukar untuk memaafkan kerana itu hati kita sampai sekarang semakin parah dan berpenyakit.


Jadi dengan sifat kita yang mudah memaafkan orang lain ini banyak memberi manfaat kepada diri kita sebenarnya. Hati kita tenang, selamat daripada penyakit hati yang boleh merosakkan iman kita, selamatkan diri kita daripada penyakit terutama darah tekanan darah tinggi dan sebagainya. Jadi sentiasalah memberi maaf kepada sesiapa sahaja agar diri kita mencapai ketenangan dan keredhaan Allah swt.


Saya mendoakan kepada Allah swt supaya mereka yang membaca artikel ini diberi sifat sabar oleh Allah swt agar mereka menjadi orang-orang yang sabar seperti mana Allah swt kurniakan sifat ini kepada para sahabat-sahabat nabi, para solihin, para shuhada' dan orang-orang alim yang sabar dalam mencari pusaka nabi saw. Ini kerana orang-orang yang beriman, kamu dapati mereka amat kasih dan cintakan kepada sesama mereka dan mereka amat bengis dan ganas terhadap orang-orang yang kafir.......


sekian...

(Tunggu episod akan datang, saya akan ceritakan perbualan saya bersama sahabat berkenaan sifat marah...)


Wallahu A'lam

Rozlan
Machang

Saturday, August 8, 2009

CINTA....

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah swt kerana penulis berpeluang menghuraikan secara ringkas berkenaan cinta. Ini kerana pada minggu ini penulis terlalu busy untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar kepada penyelia. Namun dengan masa yang begitu terhad ini penulis sempat menulis berkenaan cinta kerana untuk menjawab pertanyaan salah seorang pembaca. Di sini secara ringkasnya penulis menghuraikan cinta sebagai:
1. Mencintainya kerana Allah(mendekatkan diri pada Allah dan mentaatinya).
Ini termasuk cinta yang bermanfaat. Contohnya, cinta lelaki dan perempuan melalui jalan perkahwinan untuk menjaga dirinya dari perkara maksiat dan juga berkahwin mengikut sunnah Rasulullah untuk melahirkan generasi yang sah (nasab keturunan) dan sebagai melahirkan anak-anak yang hebat dalam memperjuangkan keunggulan agama Islam. Jadi penting kepada lelaki dan wanita untuk bercinta atas dasar mencintainya kerana Allah swt sebagai jalan menuju redha-Nya.
2. Cinta yang mendatangkan murka Allah.
Lebih kita kenali cinta kerana nafsu berahi. Cinta inilah yang memalingkan diri kita daripada Allah swt, membuat kita lupa kepada Allah swt dan mendorong kita melanggar syariat Allah swt.
Firman Allah:
“Dan di antara manusia dari orang yang mengangkat sembahan selain Allah, mereka mencintai (sembahan mereka) sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang yang sangat tinggi cintanya terhadap Allah , dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang fasik”. Al-Baqarah.
Pada zaman sekarang cinta inilah yang sering dilakukan oleh muda-mudi. Mereka bercinta pada awalnya kerana untuk kebaikkan namun cinta mereka berakhir dengan melakukan maksiat kepada Allah swt dengan melakukan zina dan sebagainya. Cinta inilah yang mereka akui, kerana tanpa berzina mereka tidak dapat membuktikan rasa cintanya kepada teman-teman mereka. Ingatlah, Allah swt mengharamkan perbuatan menghampiri zina apatah lagi melakukannya.
3. Cinta yang mubah(harus)
Adalah cinta yang tidak ada unsur kesengajaan. Misalnya tanpa sengaja, kita(lelaki) melihat wanita atau kita(wanita) melihat lelaki kemudian jatuh cinta dan perkara tidak sampai kita membuat maksiat pada Allah. Kita merahsiakannya dan menahan diri kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang. Cinta ini juga berakhir dengan perkahwinan. Kebanyakkan cinta seperti ini wujud hasil daripada pertemuan dua insan oleh orang tua mereka atau wakil mereka dan akhirnya mereka di satukan di atas dasar syariat Allah swt iaitu dengan cara perkahwinan.
PERASAAN CINTA BERMULA DARIPADA MATA (melihat keelokkan/kecantikkan akhlak dan sebagainya), PERASAAN SUKA BERMULA DARIPADA TELINGA (mendengar kebaikkan si dia), JIKALAU KITA BERHENTI MENYUKAI SESEORANG YANG KITA SUKA, UMPAMA KITA MEMBUANG TELINGA KITA. TAPI JIKA KITA CUBA MENUTUP MATA, CINTA BERBUAH MENJADI AIR MATA. FIKIRKANLAH BERSAMA SIAPA YANG ANDA CINTAI. APAKAH TUJUAN CINTA YANG ANDA BINA? SAMPAI BILAKAH CINTA ANDA ITU WUJUD ATAU BERTAHAN? ADAKAH CINTA ANDA ITU MENDAPAT REDHA ALLAH SWT? RENUNG-RENUNGKANLAH BERSAMA.............CARILAH CINTA YANG HAKIKI BERSAMA DENGAN MEREKA YANG MENCARI REDHA ALLAH SWT.

Wednesday, August 5, 2009

Sya'ban & Galakkan Berpuasa Sunat

Apabila datangnya bulan Sya'ban, ramai penceramah-pencaramah agama dikalangan kita akan membaca hadis tentang kelebihan bulan Sya'ban dan ada juga yang mengatakan bahawa bulan Sya'ban ini adalah bulan bagi Nabi SAW. Hujah mereka ialah berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”.
Hadis ini merupakan hadis palsu yang direka oleh Ibnu Jahdam (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah). Nama penuh Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173,Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Walau bagaimana pun tidak dinafikan bahawa bulan Sya'ban ada kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Pada bulan Sya'ban kita digalakkan melakukan pelbagai ibadah sunat terutamanya berpuasa sunat bagi melatih diri kita sebagai persiapan sebelum kita masuk ke bulan Ramadhan yang diwajibkan padanya berpuasa. Nabi SAW juga meperbanyakkan ibadah puasa pada bulan ini seperti mana sabda nabi saw.
ولم يكن يصوم من الشهور ما يصوم من شعبان قلت ولم أرك تصوم من الشهور ما تصوم من شعبان؟
ذاك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين عز وجل فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم
"Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebanyak yang baginda puasa dibulan sya'ban." Aku bertanya kepada baginda " Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan sya'ban." Baginda saw menjawab: Itulah bulan yang ramai manusia lalai iaitu diantara bulan rejab dan bulan ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa." (Hadis Ahmad dan Nasaie - sanad yang hasan)
Hadis ini menunjukkan bahawa nabi saw. berpuasa pada bulan ini kerana padanya diangkat amalan kita kepada Allah swt. Dengan perkataan lebih mudahnya ialah setiap amalan yang kita lakukan sepanjang tahun telah ditulis di dalam buku-buku amalan kita dan pada malam 15 Sya'ban amalan kita itu diangkat kepada Allah swt dan digantikan dengan buku yang baru untuk tahun berikutnya. Oleh yang demikian, nabi saw amat menyukai sekiranya amalannya diangkat ketika nabi saw dalam keadaan sedang berpuasa. Kerana itulah kita digalakkan untuk berpuasa pada hari ke 15 Sya'ban, manakala di sebelah malamnya ada juga ulama' yang membaca Yasin walaupun kita tahu ia merupakan bid'ah yang merupakan perkara baru dalam agama namun ianya merupakan bid'ah hasanah dan jika kita membacanya anggaplah ia sebagai ibadah dan bukan sesuatu ketetapan di dalam agama.
Hadis daripada Aisyah RH.
لَمْ يَكُن النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ، فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كلَّهُ وَكانَ يَقُولُ: خُذُوا مِنَ العَمَلِ مَا تُطِيقُونَ، فإنَّ اللهَ لاَ يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا
Maksudnya: " Tidaklah Nabi shalallahu a’laihi wasalam berpuasa lebih banyak kecuali dibulan Sya’ban,maka sesungguhnya beliau berpuasa Sya’ban sepanjang bulan dan berkata “Kerjakanlah amalan yang kalian mampu sesungguhnya Allah tidak bosan hingga kalian bosan….(DIriwayatkan Bukhari 1970 dan Muslim 2723)
Hadis ini menunjukkan bahawa nabi saw menggalakkan kita untuk berpuasa pada bulan Sya'ban kerana pada bulan Sya'ban ini mempunyai keistimewaan yang tertentu yang sebelum kita melangkah masuk ke bulan yang penuh dengan barakah iaitu Ramadhan.
Wallahu A'lam.

Saturday, August 1, 2009

Tatkala Ku Mencari Ketenangan....

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.


Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.


Ku sujud jua pada - Mu Ya Allah..


Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8


Doa wanita lebih mudah diterima jika berbanding dengan lelaki.


Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.




Doa orang alim senang dimakbulkan

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

1)Rasa kehambaan.

2)Rasa bertuhan.

3)Memahami maksud takdir.

4)Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.


Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.


Sekadar hiasan (anjing yang turut berdoa)

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.


Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”


Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.


Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.


Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.


Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.


Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita ialah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.


Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.


Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”


Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”
Mendapat hikmah bila diuji.


Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda,


“perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.


Firman Allah:

"Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?

(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat. Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.


Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain. Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya. Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas.


Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

My Picture