Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Sunday, February 28, 2010

Dinding Antara Sungai & Laut...Subhanallah....

Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillah ku panjatkan syukur kepada Allah swt yang Maha Pencipta atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita semua, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad saw dan juga ahli keluarga baginda serta para sahabat. Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, kedua ibu dan ayahku serta sahabat-sahabatku dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekalian.

"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi."
(Q.S Al Furqan:53)

Jika Anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery' pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis.
Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.

Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan ( surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan Suez . "Ertinya:

"Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus."
(surat Ar-Rahman ayat 19-20)

Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.

Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang bermaksud:

"Keluar dari keduanya mutiara dan marjan." Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur'an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur'an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur'an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannyamutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.

Allahu Akbar...! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim.Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air." Bila seorang bertanya, "Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?" Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Selalulah ingatkan mati dan membaca Al Quran."

Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita , Mexico . Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah "sungai" di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.





Sekadar hiasan,

Sekian,

Erti hidup pada mengabdikan diri kepada Yang Esa

Rozlan Daud
18500 Machang

Saturday, February 27, 2010

Entah Mengapa.......

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Mu Ya Allah atas segala nikmat yang Engkau Kurniakan untukku menjalani hidup ini. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat yang banyak berjuang dalam menyampaikan dahwah Islamiah. Ku mohon keampuanan daripada Allah swt atas kelemahan dan kesilapan diriku, kedua ibu dan ayahku serta kaum muslimin seluruhnya.

Sudah hampir 1 minggu telah berlalu aku meninggalkan kampung laman untuk meneruskan pengajian aku. Namun setelah kembali ke Pekan ini, jiwa aku tidak tenang "Entah Mengapa". Pelbagai kesimpulan yang aku buat dan pelbagai cara untuk rawatan telah aku usahakan. Namun jawapannya telah aku temui tetapi ketenangan belum mencapai sepenuhnya. Hampir setiap hari, aku banyak termenung mengenangkan nasib diriku. Tidak banyak bercakap dan lebih bersendirian sehinggakan kawan-kawan tempat aku berkerja semuanya perasan mengenai sikap perubahan yang berlaku pada diriku. Kekadang mereka ada juga mengusik diriku, katanya aku termenung kerana teringat isteri kat kampung, maklumlah balik kampung baru ni cuti panjang, mana tau kot-kot dah kahwin. Aku hanya tersenyum mendengar usikkan mereka itu. Maklumlah itu hanya senda gurau dari kawan-kawanku sahaja.

Hakikat sebenar jiwaku mengalami sedemikian tidak terjawab kerana aku tidak mengetahui puncanya. Hampir setiap malam aku akan berisra' untuk mencari ketenangan jiwa. Namun jiwaku semakin hari semakin mencapai ketenangannya. Isra' aku adalah dengan "buraq" putihku dan aku mengambil iktibar daripada isra' Nabi SAW yang diisra'kan oleh Allah swt adalah untuk menenangkan jiwanya Nabi SAW. Aku teringat seerah nabi yang mana Allah swt mengisra'nya untuk menenangkan jiwa Nabi SAW yang berada dalam keadaan sedih di atas kesedihan, maknanya 2 kali sedih. Iaitu sedih di atas kematian Isteri tercinta Saidatina Khadijah dan juga bapa saudaranya Abdul Muttalib. Kematian 2 orang insan yang banyak membantu Rasulullah dalam meneruskan perjuangan membawa risalah Allah swt dikala manusia lain membencinya. Lalu terlintas juga difikiran aku ayat al-Quran dalam surah Al-Isra' iaitu ayat 1 yang bermaksud :

"Maha suci (Allah swt) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad saw) pada waktu malam daripada Masjidi Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin) yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat".
(surah al-Isra' : 1)

Dalam kerisauan dan keceruan jiwa ini aku kembali kepada Al-Quran untuk merawat jiwaku yang dalam keresahan yang tidak diketahui puncanya. Al-Quran adalah ibu segala penawar seperti mana yang difirmakan oleh Allah swt di dalam surah al-Isra' ayat yang ke 82 yang bermaksud :

" Dan Kami turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (al-Quran) hanyalah menambahkan kerugian"
( surah al-Isra' : 82)

Begitu juga di dalam surah Al-Fushshilat, Allah swt menjelaskan al-Quran ini sebagai penawar seperti firman-Nya yang bermaksud:

" Dan sekiranya Al-Quran kami jadikan sebagai bacaan dalam bahasa selain bahasa Arab, nescaya mereka mengatakan, mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya? Apakah patut (al-Quran) dalam bahasa selain bahasa Arab sedang (rasul) orang Arab? Katakanlah, Al-Quran itu adalah pentunjuk dan penawar bagi orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, dan al-Quran itu merupakan kegelapan bagi mereka. Mereka itu, (seperti) orang-orang yang dipanggildari tempat yang jauh.
(surah Al-Fushshilat: 44)

Justeru itu aku kembali mencari penawar untuk menenagkan jiwa dalam keresahan ini. Aku mengambil iktibar daripada ayat al-Quran dari surah al-Isra' yang mana Allah swt sendiri yang menenangkan jiwa Nabi saw yang dalam kesedihan. Allah swt sendiri yang membawa Nabi SAW dalam ekspidisi kembara ke Sidratul Muntaha dan seterusnya mengadap Allah swt. Berdasarkan seerah inilah aku turut mengisra'kan diriku untuk mencari ketenangan. Namun isra yang aku buat juga pada malam hari iaitu "minal masjid ilal masjid"(daripada masjid ke masjid) sepertimana isra' Nabi saw daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Aku mulakan isra' pada waktu magrib di majid Tg Selangor di tempat rumah sewa aku, kemudian ke masjid Sultan Abdullah, Pekan untuk kuliah magrib dan solat Isya'. Semasa melangkah kaki menjejak ke masjid Sultan Abdullah, aku terasa yang diriku ini adalah yang paling hina sekali. Jiwaku mula merasakan suatu kelainan yang tidak mampu untukku ungkapkan perasaan itu. Perasaan takut mula meredah ke dalam sanubariku. Kekesalan turut meluntutkan jiwa yang megah selama ini. Aku duduk di sudut yang paling hujung semasa menunaikan solat isya' dan mendengar alunan bacaan oleh imam muda, bertambah gementar jiwaku yang sering lupakan Allah swt sedangkan Allah swt tidak pernah melupakan kepadaku walau sesaat. Gementarnya jiwa mencairkan titisan air mata, kekesalan mulai wujud di hati dan perasaan. Hanya kepada Mu aku mohon keampunan di atas keterlanjuran diriku ini Ya Allah.

Selesai solat isya' aku terkedu melihat imam muda yang terlalu muda usianya daripadaku yang mana hebatnya dia adalah kerana dapat menjadi imam kepada sekalian jemaah di bandar Pekan, Pahang. Bertuahnya kedua ibu dan ayah dia kerana memiliki seorang anak yang sudah menjadi sebahagian daripada pemimpin agama. Lantas dihatiku berdoa "Ya Allah, kurniakanlah kepadaku zuriat dan keturunanku dari kalangan orang-orang yang soleh yang terdidik jiwanya dengan didikan al-Quran untuk mereka menjadi generasi al-Quran."

Setelah semuanya selesai, jiwaku bertambah tenang sedikit. Kemudia aku meneruskan perjalanan ke masjid yang lain pula untuk aku bermalam di sana dan seterusnya menunaikan solat fardu subuh nanti. Memang sepanjang malam aku memperjalankan diriku dari masjid ke masjid dan tidur pun di masjid. Mendengar alunan ayat-ayat al-Quran yang sememangnya menenangkan jiwa. Wahai sahabatku, aku berkongsi pengalaman yang aku alami agar menjadi manfaat buat diriku dan sahabat sekalian. Isra'lah diri kamu dari masjid ke masjid untuk mencari kebaikkan kerana aku telah menjumpai dan mengalami sendiri ketenangan jiwa aku setelah berhijrah dari masjid ke masjid. Semoga Allah swt memberi ketenangan kepada diriku dan kepada mereka yang mencari ketenangan dijalan yang benar.

Wahai sahabatku, didiklah diri kamu menjadi ahlul Quran agar dengannya kamu mendapat petunjuk daripada Allah swt dan juga generasi yang bakal menjadi anak-anak kamu nanti. Ingatlah, sebaik-baik harta adalah anak yang soleh yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab Allah swt dengan doa-doa mereka nanti.

Sekian
Erti hidup dalam mengabdikan diri pada Allah swt

Rozlan Daud
18500 Machang

Wednesday, February 24, 2010

2 X 5 = 5 X 2

Siri Kuliah Maghrib di Masjid Tg Gosong, Pekan.
Oleh : Rozlan Daud.

Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana baru sahaja kita selesai menunaikan ibadah solat fardu Maghrib secara berjemaah yang mana kita tahu bahawa solat berjemaah itu pahalanya lebih besar gandaannya berbanding dengan solat bersendirian. Sepertimana sabda Rasulullahi saw, maksudnya : " Daripada Abu Hurairah ra. katanya, sabda Rasulullah saw, "Solat berjamaah lebih baik berbanding dengan solat bersendirian dengan 27 (ada seterngah pendapat mengatakan 25) kali darjat (au kama qal saw.)" Mudah-mudahan setiap amalan yang kita kerjakan ini diterima oleh Allah swt.

Alhamdulillah, pada malam ini kita akan menyambung sesi kulaih maghrib kita sementara peluang antara kita masih ada. Jadi pada malam ini saya akan mengupas tajuk berkaitan dengan "Sejauh mana amalan atau ibadah yang kita persembahkan kepada Allah swt diterima oleh-Nya". Apabila kita bercakap berkenaan dengan ibadah, memang itulah tujuan dan matlamat kita sebagai manusia dijadikan oleh Allah swt di atas muka bumi. Firman Allah swt maksudny: " Dan aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan adalah untuk beribadah kepada-Ku" (al-Quran surah Ad-Dzariat: 56 ). Maknanya, matlamat hidup kita baik saya mahupun tuan-tuan adalah untuk beribadah kepada Allah swt. Allah swt menyatakan bahawa, yang diperintahkan untuk beribadah kepada-Nya adalah dari golongan Jin dan Manusia. Tidak kepada binatang, tidak pula kepada pohon kayu dan sebagainya. Maknaya dua golongan ini yang wajib untuk beribadah kepada Allah swt.

Semua orang tahu tentang tanggungjawab dan amanah yang Allah swt berikan kepada kita semua. Namun pada malam ini kita akan membincangkan berkenaan dengan apakah amalan yang kita lakukan sepanjang hayat kita ini diterima oleh Allah swt atau sebaliknya. Pendek kata ada orang yang umurnya panjang, namun amalannya teramat sedikit berbanding dengan usianya. Manakala ada orang yang usianya pendek, namun ibadahnya menyamai dengan orang yang hidup beribu tahun. Subhanallah.. Allah swt amat pemurah dengan menggandakan pahala sebagai balasan bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam melakukan ibadah. Jadi berbalik kepada tajuk kita, mari kita menghitung diri kita, menghisab diri kita adakah setiap amalan atau ibadah kita seharian ini diterima oleh Allah swt.

Sidang hadirin sekalian.

Ingatlah, darjat kita di sisi Allah swt berbeza dan mengikut amalan dan keikhlasan kita beribadah kepada Allah swt. Ada antara kita yang beramal sedikit, namun ganjarannya berlipat kali ganda, ada pula yang banyak beramal, namun sedikit sahaja pahala yang diberikan oleh Allah swt dan ada pula banyak beribadah namun ibadahnya ditolak oleh Allah swt, wanauzubillah...Baik di sini saya bagi contoh perbezaan pahala yang Allah swt berikan, ada orang yang beribadah hanya selama 2 bulan, namun pahalanya sama seperti orang lain beribadah 5 bulan. Mungkin ibadah yang dilakukan olehnya adalah berdasarkan ilmu yang dia pelajari bertambah keikhlasan yang dia persembahkan kepada Allah swt. Manakala ada orang yang beribadah selama 5 bulan, namun pahala yang diperolehinya adalah sama dengan mereka yang beribadah selama 2 bulan. Ini kerana mungkin dia beribadah kerana paksaan atau ibadah yang dilakukan tidak khusu' sepenuhnya atau dengan kata lain dia melakukan ibadah dengan tidak menghayati erti ibadah tersebut. Ini belum lagi dikira ibadah yang dilakukan hanya sekadar ikut-ikutan atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Sudah pasti tiada sedikit pun ganjaran di sisi Allah swt. Pendek kata, 2 bulan buat ibadah pahala menyamai 5 bulan ibadah, manakala ada orang yang buat ibadah 5 bulan namun pahalanya hanya sebanyak 2 bulan sahaja. Ini jika dikira bulan, cuba dihitungkan dengan tahun, sudah berapa banyak tahun yang kita telah sia-siakan? Astaghfirullahal Azim....

Jadi marilah kita bermuhasabah diri kita dengan setiap amalan yang telah kita kerjakan kerana ia adalah merupakan wakil kita untuk mengadap Allah swt. Terpulang kepada kita, di mana kita ingin meletakkan diri kita di sisi Allah swt. Ini kerana, sekiranya wakil yang kita hantar itu adalah yang terbaik, maka kedudukan kita di sisi Allah swt juga adalah yang terbaik. Manakala sekiranya wakil (ibadah) yang kita hantarkan kepada Allah swt penuh dengan kekurangan atau keburukkan, maka buruklah kedudukan kita di sisi Allah swt. Ingatlah Allah swt membalas setiap amalan kita walaupun hanya sebesar zarah. Firman Allah swt yang bermaksud :" Barang siapa yang berbuat amalan kebajikan walau seberat zarat, nescaya ia akan melihat pahalanya. Dan barang siapa yang berbuat kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya ia akan melihat balasannya" (al-Zalzalah: 7 &8). Walau bagaimana dalam dunia sains hari ini yang paling kecil adalah nano, namun ianya tetap akan diperhitung dan diperlihatkan oleh Allah swt di hari akhirat nanti. Jadi tidak kisahlah walau apa pun istilah yang kita gunakan ianya tetap akan dibangkit dan diperhitungkan oleh Allah swt yang Maha Penghitung.

Jadi, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan kita dan mudah-mudahan setiap amalan yang kita kerjakan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda di sisi Allah swt. Kita sebagai ummat Nabi Muhammad saw ini yang umurnya sekitar 60 - 70 tahun sahaja, memang terlalu pendek jika dibandingkan dengan umur ummat terdahulu daripada kita. Maka setiap amalan yang kita kerjakan jauh berlipat kali ganda yang akan kita perolehi kerana sepadan dengan usia kita. Biarlah usia kita 60 tahun namun ibadah kita menyami 6juta tahun atau lebih. Jangan usia kita 60 tahun namun ibadah yang kita kerjakan sama seperti 6 hari atau kurang. Maka rugilah kita sekiranya kita telah hidup berpuluh-puluh tahun namun ibadah yang kita kerjakan tidak ada sedikit pun dan jikalau ada hanyalah sekadar 4-5 hari sahaja kita beribadah.

Ingatlah kita sebagai ummat akhir zaman ini, setiap amalan kebaikkan yang kita kerjakan akan dilipat gandakan oleh Allah swt sekiranya ibadah kita itu ikhlas kepada Allah azzawajalla. Namun kejahatan yang kita buat hanyalah memadai dengan kadar kesalahan kita dan itupun sekiranya kita melakukan dosa dengan sengaja. Allah swt tidak mengira dosa sekiranya kesalahan yang kita buat itu tanpa sengaja. Jadi tingkatkanlah ibadah kita kepada Allah swt bermula dari saat ini dan usia kita yang telah berlalu, kita mohonlah kepada Allah swt agar Dia mengampuni kesalahan dan kekurangan kita dan menerima segala amalan kita. Kita tidak tahu mungkin usia kita hanya tinggal beberapa hari lagi, atau beberapa jam sahaja lagi, atau beberapa minit sahaja lagi, atau beberapa saat sahaja lagi. Mungkin selepas kita mendengar kuliah ini kita akan pergi bertemu Allah swt. Tidak ada di antara kita yang boleh menyatakan bila dia akan mati. Yang Maha Mengetahui adalah Allah swt. Jadi beramallah dari sekarang mudah-mudahan amalan yang kita kerjakan mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa yang telah dijanjikan oleh Allah swt kepada kita sebagai hamba-Nya.

Sidang jemaah sekalian. Ingatlah, ibadah yang kita kerjakan di dunia ini akan dibalas oleh Allah swt dengan pahala di akhirat nanti. Dan pahala itu merupakan mata wang di negeri akhirat. Ketahuilah bahawa semua kita akan dibangkitkan suatu hari nanti dan pahalalah yang akan menjadi bekalan atau sebagai duit untuk kesenangan kita di sana nanti. Sekiranya kita orang yang kaya dengan pahala, makan kesenanganlah yang akan kita perolehi di sana nanti. Sekiranya kita miskin dengan pahala, maka kita adalah orang yang berada dalam kesusahan. Dan yang lebih teruknya kita mempunyai pahala yang banyak sebagai mata wang, namun kita mempunyai banyak hutang dengan orang lain. Dan pahala yang banyak itu kita habiskan untuk membayar hutan kita kepada orang lain. Sekiranya kita sudah kehabisan pahala untuk membayar hutang, maka dosa orang lain pula terpaksa kita pikul. Tahukah kita semua apakah hutang kita dengan orang lain yang akan dihitungkan oleh Allah swt nanti, hutang itu ialah jika kita mengumpat kepada orang lain, maka hutang mengumpat kita kena jelaskan. Jika kita mengambil barang orang lain tanpa minta izin dengannya maka hutang mencuri kita kena bayarkan, kita pinjam duit orang dan kita tidak membayarnya dan bermacam-macam hutang lagilah sekiranya dosa yang kita buat itu bersangkutan dengan orang lain. Maka rugilah kita sekiranya kita membawa pahala yang banyak di akhirat nanti dan pahala tersebut habis membayar hutang orang lain dan kitalah dianggap muflis pada hari hisab nanti.

Jadi perhitunglah diri kita sebelum kita dihitung oleh Allah swt nanti, bersegeralah kita bertaubat kepada-Nya atas kesalahan kita setiap masa. Minta maaflah kepada jiran-jiran kita, orang lain yang mana kita telah melakukan kesalahan terhadapnya sebelum kita membayar hutangnya di akhirat nanti. Biarlah kita miskin di dunia tetapi kitalah orang yang paling kaya di akhirat nanti, insyallah.

Jadi sebagai kesimpulannya, apa yang baik itu datangnya daripada Allah swt dan apa yang kurang itu adalah daripada kelemahan diri saya yang bergelar insan yang lemah ini. Marilah kita tingkatkan amalan dan ibadah kita kepada Allah swt agar kita menjadi hamba-Nya yang paling muia di sisi-Nya sebaris dengan kedudukan para nabi, syuhada', wali dan seangkatan dengannya. Jadi saya akhiri dengan wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian.

Rozlan Daud
18500 Machang

Monday, February 22, 2010

Lunturnya Sifat Ikhlas....

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah, ku panjatkan syukur pada Allah swt yang telah memberi pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya kepada kita semua. Selawat dan Salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan seluruh ummat Islam.

Perkembangan teknologi dunia seban hari semakin hebat sehinggakan aku sendiri tidak dapat untuk mengejarnya. Semalam aku melihat telefon model terbaru yang boleh akses internet dan terdapat pelbagai software di dalamnya untuk menggerakkan hardware yang ada padanya. Hari ini pula aku melihat satu alat GPS yang bukan sahaja untuk mengesan jalan raya bagi kemudahan memandu, malah juga dapat mengesan ikan di laut. Tidak hairan kerana alat ini dah lama dicipta namun yang menghairankan aku ialah kelebihannya untuk menentukan jadual waktu air pasang surut dan keadaan ikan di laut makan pada jam sekian dan sekian. Alat ini boleh menentukan pukul berapa ikan paling suka makan dan ianya amat sesuai bagi mereka yang jenis kaki pancing.

Namun kali ini bukan topik teknologi yang kita ingin bincangkan kerana manusia hari ini memang canggih dengan ciptaan demi ciptaan. Yang ingin dikupaskan adalah berkenaan runtuhnya sifat Ikhlas di kalangan kita sebagai ummat Islam seiring dengan pembangunan dan perkembangan teknologi yang ada hari ini, maknya sifat ikhlas itu runtuh dengan pantas sekali. Hari ini juga ramai dikalangan kita yang bercakap tentang pentingnya pembangunan. Di kalangan ahli politik sendiri pun tidak kurang hebatnya mengatakan pembangunan untuk rakyat dan rakyat rata-rata inginkan pembangunan. Namun apa yang ramai dikalangan kita mengejar pembangunan fizikal semata-mata dan tidak pada pembangunan jiwa. Jadi fikir-fikirkanlah...

Tergerak tanganku untuk menulis kali ini kerana pagi tadi ada suara-suara yang aku dengar sambil menghirupkan kopi panas tentang "Saya akan tolong awak untuk dapatkan projek XXXXX (terpaksa dirahsiakan kerana takut nanti kena saman fitnah semacam Dr MAZA oleh XXXXX....hehehehe). Tapi saya mahu juga percentnya (keuntungan disebalik projek). Dunia hari ini no money, no talk". Begitulah ada suara yang keluar dari mulutnya. Memang benar kata-katanya kerana semasa di UUM dulu aku sering dengan kawan-kawan aku termasuk juga dikalangan pensyarah yang mengatakan perkataan sedemikian "No money, no talk". Terbayang juga difikiran aku, sampai tahap itu sekali punyalah susah untuk cakap kerana jika tidak ada duit, tidak boleh bercakap. Di manakan seruan Nabi kita yang sabdanya " Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat"(aw kama qal saw).... Benar juga apa yang berlaku dikalangan ulama' kita hari ini. Jika tidak dibayar untuk ceramah maka banyaklah alasan untuk mengajar atau memberi kuliah-kuliah secara percuma. Jadi betul la dengan apa yang dikatakan dengan "No money, No Talk".


Inilah yang menjadi kegilaan manusia sehingga sanggup gadai sifat ikhlas - Sekadar gambar hiasan

Jadi di mana sifat ikhlas yang ada dijiwa kita sehinggakan setiap apa yang kita kerjakan kita perlu balasan dari manusia, sedangkan sebaik-baik balasan adalah dari Tuhan kita. Kita membantu manusia lain semata-mata mengharapkan balasan dari manusia dan jika manusia tidak dapat membalasnya maka kita sukar untuk membantu. Kerja yang kita buat terus digantikan dengan nilai wang semata-mata tanpa mengharap balasan di sisi Allah swt. Persoalannya, di mana kedudukan ikhlas di sisi agama?(sila bagi pandangan) Manakala kedudukan ikhlas dihati kita biarlah kita sendiri yang menilainya. Pendek kata pembangunan jiwa semakin runtuh akibat ke kemajuan dalam pembangunan fizikal. Runtuhnya seperti runtuhnya bukit-bukau untuk pembangunan hartanah dan sebagainya. Nilai ikhlas ini semakin luntur bagaikan lunturnya kejernihan air sungai akibat dari pembalakkan untuk pembangunan.

Hari ini nilai ikhlas tidak lagi menjadi penting dalam setiap amalan sedangkan ukuran ibadah adalah terletak kepada ikhlas. Jadi ini juga menjadi punca kepada timbulnya penyakit-penyakit jiwa yang lain kerana semangat ikhlas tidak lagi menjiwai pemiliknya. Teringat ungkapan dari el-farouq suatu masa dahulu, "Allah berfirman, solat akan mencegah dari perbuatan keji dan mungkar (sila rujuk Al-Quran surah Al-Ankabut ayat 45), namun kenapa ramai orang yang solat melakukan perbuatan keji dan mungkar? Kerana mereka tidak ikhlas dalam solat mereka kepada Allah swt. Mereka sekadar menunjuk-nunjuk kepada orang Islam yang mereka itu merupakan orang yang solat". Inilah merupakan nilai perbandingan untuk menunjukkan betapa pentingnya nilai ikhlas di dalam sesuatu ibadah atau amalan. Kerana setiap kerja yang kita lakukan baik menolong orang lain atau sebagainya, ianya akan dikira ibadah oleh Allah swt sekiranya kerja yang kita buat itu ikhlas semata-mata kerana Allah swt.

Akhir kata dari saya, nilailah diri kita adakah kita termasuk dalam golongan "mukhlasin" dalam setiap gerak kerja kita. Sesungguhnya ibadah kita seharusnya ikhlas kita persembahkan kepada Allah swt kerana Allah swt tidak mengharapkan apa-apa dari kita, kerana DIA Maha kaya atas segala sesuatu. Jadi apa yang baik itu adalah dari Allah swt dan apa yang lemah dan kurang itu adalah dari kelemahan diri saya.

Sekian

"erti hidup pada mengabdikan diri kepada Allah swt"

Rozlan Daud
18500 Machang

Saturday, February 20, 2010

Andainya Mereka Tahu....

Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillah, ku panjatkan syukur pada Allah swt yang telah memberi pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya kepada kita semua. Selawat dan Salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan seluruh ummat Islam.

Dalam kesibukkan melaksanakan amanah dan urusan dunia ini, kekadang sempat jua tangan ini manaip sesuatu untuk dikongsi dengan sahabat pembaca, al-maklumlah masa yang ada amat terhad dek melaksanakan setiap amanah yang diberikan. Alhamdulillah saya selamat sampai ke Pekan lebih kurang jam 4 petang setelah hampir 8 jam menjelajahi bumi Allah swt dalam misi pengembaraan dan pembelajaran. Perjalanan yang amat memenatkan itu saya gagahi jua dan alhamdulillah dapat menyaksikan pelbagai tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah swt. Di samping itu dapat menyaksikan dan mempelajari sesuatu daripada gelagat manusia di sepanjang pengembaraan yang bermula di Negeri Cik Siti Wan Kembang hingga ke Pahang dengan melintasi negeri Terengganu.

Setelah sampai ke rumah sewa, saya ke tepi pantai untuk menyaksikan keindahan pantai dan mengambil angin petang bagi merehatkan badan yang masih kepenatan. Maklumlah pantai hanya beberapa meter sahaja dengan rumah. Sekali terfikir, andai kata Tsunami berlaku, tidak sempat aku nak lari ni. Terkenang pula peristiwa Tsunami yang berlaku pada Disember 2004 yang mana saya turut menyaksikan sendiri mangsa yang terkena tempiasnya di Daerah Kuala Muda, Kedah.

Dalam merenung ke lautan yang jauh mata memandang, entah di mana tepiannya, diriku ditegur oleh seseorang yang berada di situ. "Awak orang sini ker? Terkejut juga tapi tidaklah sampai terperanjat. "Tak." Ringkas jer jawapan dariku. "Saya asal Kelantan cuma datang kerje je sini". Kemudian dia bertanya kepadaku. Awak kerje aper? Seperti biasa, sesiapa yang bertanya padaku tentang diri ini, memang akan kena sebab aku akan sentiasa merahsiakan siapa sebenarnya diriku ini (hanya sahabat yang memang rapat sahaja yang tahu pasal diriku dan gelagat diriku dan sememangnya mereka kenal aku). "Kerja biasa jer, nelayan". Akak kerje sini ker? tanyaku. Jawapnya "Ha'ah, akak jurulatih kat PLKN tu". "Oh ye ke, hebatnya akak", sambungku. Kemudian dia bertanya lagi. " Kenapa awak jadi nelayan?Minat ker?Biasanya orang muda tak suka jadi nelayan. Kataku, "nak buat macam mana dah saya rasa inilah kerje yang mampu saya buat. Maklumlah saya ni tak belajar tinggi mana pun". Katanya lagi," nelayan ni berapa sen jer dapat. Sepatutnya orang muda macam awak ni cari la kerje lain yang berfaedah sikit. Kerajaan pun sedia banyak peluang pekerjaan untuk kita. So awak kena ambil peluang je. Tengok macam saya ni, kerajaan buat PLKN sebagai peluang pekerjaan kepada kita". Bersyarah panjang dia pada ku. Sekali fikir nak tergelak juga, tapi ok la sebab dia menasihati aku supaya buat kerje yang lebih baik dan gunakan peluang yang ada untuk berjaya. Tapi terfikir gak adakah kerje nelayan ini hina? Pendapatannya Haram?Or sebagainya....Bagiku, andainya tidak ada nelayan maka orang yang bekerja hebat di bandar mungkin tidak akan dapat makan ikan. Kemudian dia bertanya kepadaku belajar sampai mana? "Sampai tingkatan 3 sahaja sebab tak layak naik tingkatan 4. Maklumlah anak nelayan, ringkas dan padat jawapanku". Akak belajar sampai mana? tanya ku pula. " Oo..patut la awak. lau setakat ada PMR susah la nak minta kerja awak. Akak ada diploma dan sebab tu la akak dapat kerja elok dari awak". Jawabnya padaku.

Dan benarlah jawapannya kerana dunia hari ini pelajaranlah yang menentukan bidang kerje seseorang dan sebab itu jua ramai di kalangan kita yang silap dalam mempelajari ilmu. Kesilapannya ialah ramai di kalangan kita mempelajari ilmu kerana untuk mendapat kerja yang bagus dan mendapat gaji yang mahal. Silapnya kita belajar bukan untuk beramal dengan ilmu demi mencapai "Mardhatillah"( redha Allah swt). Saya teringat kata-kata Imam Abu Hamid Al-Ghazali (Imam Al-Ghazali) di dalam kitab Bidayatul Hidayah berkenaan dengan menuntut ilmu. Katanya, terdapat 3 golongan manusia yang menuntut ilmu ini. Yang pertama adalah mereka yang menuntut ilmu untuk beramal dengan ilmunya bagi mendapat redha Allah swt. Manakala golongan yang ke 2 pula menuntut ilmu kerana ingin mendapat dunia ini. Mereka menuntut ilmu kerana harta dunia, pangkat, kuasa, hebat berbicara dan supaya dihormati kerana ilmu yang mereka ada. Golongan ini akan mendapat laknat daripada Allah swt sekiranya mereka tidak bertaubat sebelum mereka mati. Manakala golongan yang ke 3 pula adalah mereka yang menuntut ilmu dan mereka bermegah dengan ilmu mereka. Mereka sombong dan angkuh serta mereka menggunakan ilmu di jalan kemurkaan Allah swt. Dengan ilmu mereka dapat pengaruh dan dapat pula menindas orang lain. Mereka ini biasanya sukar untuk bertaubat kepada Allah swt kerana dek kesombongan dan keangkuhan mereka. Jadi di mana kedudukan kita sebagai penuntut ilmu? Fikir - fikirkanlah wahai sahabatku....

Berbalik kepada perbualan saya dengan seorang jurulatih PLKN, sempat juga saya bertanya kepada dia, "akak belajar diploma dalam bidang apa?" Katanya dalam jurusan Sains Makanan. Dan aku terus memujinya kerana pujian itu berbalik kepada Allah swt yang menjadikan dia. "akak pandai dan hebat berbanding dengan saya". Saya ni hanyalah nelayan sampingan yang akan berpenghujung. Akhir kata dariku, "terima kasih kepada akak kerana mengingatkan saya tentang ilmu. Orang yang berilmu macam akak akan mendapat peluang kerja yang bagus".

Aku kembali ke rumahku dan mengenangkan nasib si nelayan sampingan. Adakah nelayan hidup merempat?Meminta sedekah di jalanan atau adakah hinanya kerja sebagai seorang nelayan seperti dikatakan oleh mereka yang ada Diploma tadi? Kesemua jawapan di setiap persoalan yang timbul itu hanya mereka yang bekerja sebagai nelayan sahaja yang mengetahui hakikat sebenarnya. Ini kerana ada seorang kawanku bekerja sebagai seorang nelayan sedangkan dia adalah ahli lembaga pengarah kepada dua buah syarikat yang terpaksa dirahsiakan. Dia juga merupakan seorang komando dalam angkatan ketenteraan dan jika ditanya oleh penduduk tempatan mungkin mereka mengenali dia manakala orang luar langsung tidak mengenali dia. Anda bayangkan setiap kali hendak turun ke laut, dalam seminggu mesti 7 buah kenderaan yang lain akan digunakannya. Maknanya setiap hari dia menggunakan kenderaan lain untuk datang ke jeti sebelum turun ke laut. Jika difikirkan secara normal pun mustahil turun dari sebuah vios ataupun mercedes kompresor C200 untuk ke laut. Tapi itulah hakikat hidup sebagai nelayan bagi seorang yang hati dan jiwanya di laut. Walaupun ramai yang menghinanya, namun kerana kepuasan dan hobi "lantaklah apa orang nak kata". Bukan duit yang hendak dikumpulkan tetapi ketenangan yang diperolehi. Itulah kisah seorang nelayan sampingan.

Sekian

Rozlan Daud
18500 Machang.

p/s : Bagi sahabat yang rapat dengan penulis, mereka akan mengetahui hakikat sebenar diri penulis yang sering merahsiakan identiti dirinya.

Tuesday, February 9, 2010

Ku Menyaksikan Ayat-Ayat (tanda-tanda) Kebesaran Ilahi..

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur pada Allah swt atas limpahan dan rahmat-Nya yang tidak mampu untukku hitung banyaknya. Selawat dan salam atas Nabi Allah baginda Muhammad saw, para sahabat dan seluruh ummat Islam. Ya Allah, ampunilah dosaku dan ibu ayahku serta ahli keluargaku dan semua ummat Islam. Kurniakanlah kami semua hidayah dan petunjuk-Mu dan pimpinlah kami di atas jalan kebenaran.
Alhamdulillah dalam kesibukkan tugas dan amanah yang diberikan kepadaku, masih ada masa lagi untukku tumpukan pada penulisan ini. Bukan senang tangan untuk menaip kerana kesukaran akal menilai erti sebuah tulisan. Kesukaran itu aku gagahi jua kerana atas jalan dakwah untuk mengagungkan kebesaran Allah swt. Dalam pengembaraan hidup ini dapat aku jelajahi segenap ruang dan masa, banyak yang dapatku temui dan banyak juga yang aku pelajari. Maklumlah erti hidup pada mengabdikan diri kepada yang Esa dan untuk mengabdikan perlu kepada Ilmu dan ilmu perlu pengorbanan.

Malam tadi aku turun ke laut bagi memenuhi kehendak hati ini, kata orang "jangan bercakap sesuatu sekiranya kita tidak pernah mengalaminya". Begitulah kehendak hati aku untuk turun ke laut pada waktu malam kerana aku ingin mempelajari sesuatu yang baru semasa peluang aku berada di tepi pantai. Setiap hari aku melihat keluasan lautan yang luasnya jauh mata memandang, dan setiap hari aku akan menaiki bot untuk turun ke laut bersama penduduk setempat. Dan setiap hari juga aku menyaksikan kebesaran Allah swt dalam mengurus dan mentadbirkan setiap makhluknya. Namun kehendak hati aku pula adalah turun ke laut untuk menyaksikan permandangan malam di dalam lautan lepas.

Alhamdulillah peluang untukku tercapai apabila aku dapat menyaksikan kebesaran Allah swt dalam menciptakan alam ini dengan penuh unik dan fleksibel kerana hanya mata yang menyaksikan sendiri dapat menikmati kebesaran ciptaan Allah swt. Aku hanya sekadar bercerita namun hanya sekadar cerita, yang menyaksikan ke agungan adalah mata dan sedikit iman yang Allah swt kurniakan padaku. Aku menyaksikan sendiri Ya Allah pentadbiran Engkau di dalam lautan lepas walaupun sekadar dari permukaan laut. Aku tahu bahawa di dalamnya penuh dengan jutaan makhluk Engkau dan Maha kaya Engkay Ya Allah.

Tatkala aku berada di tengah-tengah lautan lepas, aku menyaksikan kawanan ikan yang bergerak dalam kumpulan. Terpukau mana-mana mata yang menyaksikan. Namun kenikmatan mata menyaksikan jutaan ikan di lautan yang bercahaya matanya bagaikan kelipan bintang yang menemani aku di tengah kegelapan malam. Kelipan mata ikan yang bersinar kehijauan membuatkan aku terpegun dengan ciptaan Allah swt sebagai Tuhan sekalian alam. Ikhlas aku katakan aku tidak pernah menyaksikan bintang di air seperti ini. Aku ingat hanya bintang dilangit sahaja yang bersinar di waktu malam, namun jutaan ikan yang berada di laut turut mengeluarkan cahaya sinar bagaikan bintang di tengah malam. Subhanallah, itu sahaja yang mampu untuk ku ucapkan tatkala menyaksikan kebesaran Tuhan menciptakan sesuatu.


sekadar hiasan

Hampir 2 jam berada di laut, aku kembali dengan suatu pengalaman baru. Bagi mereka yang ada peluang untuk menyaksikan sendiri keindahan di lautan lepas pada waktu malam, jangan lepaskan peluang. Saksikanlah kebesaran Allah swt menciptakan keunikan di tengah lautan yang luasnya sejauh mata memandang. Jutaan makhluk yang dicipta-Nya yang mendiami lautan tersebut. Aku hanya mampu menceritakan pengalaman aku di laut, namun aku tidak mampu menggambarkan kehebatan ciptaan Tuhan di laut. Hanya mata yang menyaksikan sahaja mampu menggambarkan keagungan ciptaan Allah swt. Hanya hati yang bertemankan keimanan dapat menilai keangungan Tuhan.

Sekian

Erti hidup pada mengabdikan diri kepada yang Esa,

Ibnu soleh
18500 Machang

Wednesday, February 3, 2010

Ramai Yang Silap....(Ketetapan diburu, yang belum pasti diabaikan)

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur kepada Allah swt atas limpahan rahmat-Nya. Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan seluruh sahabat yang menyebarkan dakwah Islamiah sehingga sampai kepada kita hari ini. Ku mohon keampunan daripada Mu Ya Allah, atas segala dosaku dan juga kedua ibu bapaku.
Dalam mengejar urusan dunia ini, aku terfikir tentang nikmat yang Allah swt kurniakan padaku. Begitu juga kepada sahabat yang sudi membaca dan berkongsi ilmu dan pandangan dengan saya. Kita sering kali silap dalam halatuju perjalan hidup kita. Sedangkan kita tahu, tambah kita ada panduan dan hidayah yang Allah swt kurniakan pada kita. Kita didatangkan kedunia ini adalah untuk menjadi khalifah sekali gus menjadi hamba dalam pengabdian diri kita kepada Allah swt. Namun apa yang menjadi kesilapan kepada kebanyakkan di kalangan kita ialah kita hanya menjadi khalifah dalam urusan menguruskan dan memakmurkan alam ini. Sedangkan dalam urusan pengabdian diri kita kepada Allah swt, ramai yang melupakannya.

Begitu juga dalam hal keduniaan. Ramai dikalangan kita berusaha untuk menjadi yang paling hebat sekali di dunia ini. Sehinggakan ada yang melakukan sesuatu diluar batasan syariah Islam. Ramai di kalangan kita silap dan lupa akan tanggungan kita di dunia ini, lupa akan tugas kita di dunia ini. Kedatangan kita di dunia ini adalah sebagai tempat persinggahan untuk kita menuju alam akhirat. Memang benar kata saidina Ali karamallahu wajhah, :

"berusahalah kamu dalam urusan dunia kamu seolah-olah kamu hidup kekal selamanya, dan berusahalah untuk urusan akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok."

Namun yang menjadi silapnya kita adalah kita mengambil urusan dunia berlebih-lebihan sehinggakan kita melupakan urusan akhirat kita. Tidakah kita tahu bahawa Allah swt itu telah menetapkan bagi kita berkenaan urusan dunia kita melalui qada' dan qadar-Nya. Sedangkan urusan akhirat kita adalah bergantung sepenuhnya kepada usaha dan amalan kita di dunia ini. Sebagai contohnya, kita diberi ketetapan rezeki olah Allah swt melalui qada'-Nya. Cuma kita perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki tersebut. Sesungguhnya rezeki Allah swt tersangat banyak dan bertaburan di muka bumi ini. Jikalau kita hendak memakannya seorang diri, nescaya tidak akan habis nikmat rezeki yang Allah swt tuliskan dalam Qadar-Nya.

Walau bagaimana pun, ketentuan dan ketetapan yang Allah swt tuliskan untuk hamba-Nya di dunia ini adalah untuk sementara sahaja, setelah sempurna nikmat tersebut, maka Allah swt akan menjemput kita mengadap-Nya dan pasti akan bertanya tentang nikmat yang telah diberikan kepada kita. Kita semua yang masih bernafas di bumi ini adalah kerana nikmat kita yang Allah swt tuliskan bagi kita masih belum sempurna lagi. Oleh itu kita belum dijemput oleh-Nya untuk dipertanggungjawab atas nikmat yang telah diberikan kepada kita. Silapnya kita ialah kita sering lupa akan nikmat sementara ini. Kita mengusahakan nikmat dunia ini seolah-olah kita tidak mahu mengadap Allah swt.

Maka persoalan yang timbul di sini ialah, salahkah kita mengumpul harta yang banyak ini? Jawapannya tidak salah. Yang menjadi salahnya kita ialah kita mengumpul harta dunia yang telah menjadi ketetapan kepada kita, sedangkan yang akhirat yang belum pasti kita kesyurga itu yang kita abaikan. Allah swt memberi peluang kepada kita supaya kita berusaha untuk beramal sebagai bekalan di akhirat. Mudah-mudahan dengan amalan yang kita buat di dunia ini menjadi penyelamat kepada kita daripada azab api neraka Allah swt. Sedangkan kita lupa akan urusan akhirat yang Allah swt janjikan kebenarannya. Itulah salah kita, kita mengejar ketetapan sementara di dunia ini, manakala kita lupa akan urusan akhirat yang menjadi kewajipan kepada kita untuk berusaha.

Saya teringat nasihat Luqanul Hakim kepada anaknya.

"Dunia ini sementara, manakala umur kamu hanya sedikit dalam sementara itu...
Beruntunglah mereka yang memanfaatkan yang sementara itu untuk mencari kebaikkan yang kekal abadi"

Wahai sahabatku, sibukkanlah urusan akhirat kamu kerana ianya urusan belum pasti bagi kamu di sana nanti. Namun jangan kamu lupa akan urusan dunia kamu yang menjadi keperluan hidupmu walau ia telah ditetapkan untuk kamu. Kerana sesungguhnya orang yang paling bijak adalah orang yang ingat akan kematian dan bekalan untuk di bawa setelah mati.
Mudah-mudahan, kita semua tidak tergolong dalam golongan mereka yang silap menafsirkan erti sebuah kehidupan. Sesungguhnya hidup di dunia ini telah ditulis oleh Allah swt bagi seseorang hamba, manakala kehidupan di akhirat adalah bergantung sepenuhnya atas daya usaha seseorang hamba itu. Baik usaha kita, baik pula balasan kita, buruk amalan kita, buruk pula balasan kita.

Sekian

Rozlan Daud
18500 Machang.

Monday, February 1, 2010

Haram Hukumnya......

Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, bersyukur kehadrat Ilahi di atas rahmat kurniaan-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan seluruh ummat Islam.

Alhamdulillah, pertama sekalinya saya ingin mengucapkan syukur kerana diberi peluang untuk menulis sedikit sebanyak bagi tatapan sahabat sekalian. Mungkin apa yang saya tulis ini ramai dikalangan sahabat arif tentangnya berbanding dengan saya yang masih lagi mencari ilmu kerana kejahilan diri. Untuk kali ini saya akan berkongsi dengan sahabat sekalian, mungkin apa yang saya tulis ini betul atau pun salah. Jika salah, saya minta sahabat sekalian selidik dan buat kajian, bab kata orang kampung saya buat research berkenaan dengan hal yang akan kita bincangkan nanti.

Semasa saya melalui satu jalan di negeri XXXXNX, saya terlihat ramai orang yang beratur panjang dihadapan sebuah premis perniagaan. Terkejut juga bila melihat keadaan sedemikian. Lalu terdetik dihati untuk memerhatikan gelagat manusia yang ada ketika itu. Mereka sanggup beratur panjang bagaikan baru mendapat bantuan daripada mana-mana pihak. Saya bilang terdapat lebih kurang 6 barisan yang ada di hadapan premis tersebut. Bila lihat papan tanda di hadapan premis berkenaan, Masyallah..."orang kita (Islam) pun ramai juga yang turut beratur sekali bersama orang bukan Islam."


Sekadar Hiasan


Kepelikkan mula muncul dalam hati aku lalu timbul beberapa persoalan yang bermain difikiran. Yang pertama, adakah mereka ini jahil tentang hukum dan larangan yang Allah swt perintahkan? Mungkin jahil dan mungkin juga buat-buat jahil kerana di hadapan premis telah tulis hanya untuk bukan Islam sahaja. Yang kedua, kenapa orang Islam ramai sangat membeli nombor ini, adakah mereka telah miskin?Sekiranya miskin, sudah pasti mereka tidak mampu membelinya. Yang ketiga, adakah negeri yang diurus tadbir ini bukan negeri Islam atau tiada mufti yang boleh bercakap berkenaan hal ini? Jawapannya, saudara pembacalah yang akan menilainya. Bukan saya hendak membezakan parti politik ataupun apa kerana ini adalah perintah Allah swt. Jika dibandingkan dengan negeri yang diurus tadbir oleh Ulama' (bukan Ular dalam semak) tiada premis ini dibenarkan. Jika tidak percaya, macam saya katakan tadi, buatlah kajian berkenaan dengan hal ini di negeri kelahiran saya. Dek kerana tidak pernah melihat orang beratur panjang itulah, yang memeranjatkan saya.

Nombor Haram yang laris di pasaran

Setelah balik ke rumah sewa, saya singgah di sebuah kedai makan. Kedai itu yang menjadi tempat saya makan dan minum setiap pagi dan malam kerana berada di sebelah rumah sahaja. Ketika asyik berbual berkenaan dengan tektik memburu, tetiba ada satu meja yang dibahagian luar berbincang berkenaan dengan nombor haram. Lalu dengan kesempatan yang ada saya cuba untuk melihat kaedah yang mereka gunakan untuk mendapatkan nombor haram tersebut. Mereka bertanya kepada saya "awak tahu macam mana untuk mengira nombor ini? Saya jahil dalam hal ini. Ringkas jawapanku. Namun saya menceritakan yang mana seorang pensyarah saya semasa di matrikulasi dahulu yang memang mahir dalam pengiraan ini. Di kesempatan tersebut saya bertanya kenapa mereka mahu sangat membeli nombor haram itu? Jawap mereka lagi ringkas dari saya. "Saja suka-suka". Saya tanya kepada salah seorang yang berkopiah, macam mana abang beli nombor ini? Tidak kena tangkap ker? Jawapnya, mamang ada operasi biasanya. Tapi saya suruh orang lain beli. Tumpang dialah.

Aku teringat ayat yang ke 90 dari surah al-Maidah, Firman Allah swt yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Al-Maidah 5:90)

Lantas apa yang mampu aku ucapkan buat mereka cukuplah dengan apa yang telah mereka buat selama ini. Bertaubatlah kerana pintu taubat masih terbuka. Tinggallah apa yang ada untuk masa akan datang kerana hukumnya haram. Aku sempat bertanya kepada mereka. Apakah hukumnya kita makan babi? Terus jawap pak aji yang berkopiah itu, haramlah hukumnya..Lantas dengan kesempatan itu, kataku kepadanya, samalah hukumnya makan babi dengan beli nombor ini. Aku terus meninggalkan mereka. Mudah-mudahan Allah swt memberi petunjuk kepada mereka.

Sekian

"Dakwah adalah jalanku"

Ibnusoleh Ad-Daudi
Machang

My Picture