Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Monday, January 25, 2010

Sinar Perjuangan Yang Tidak Akan Berakhir.. Kami Ummatmu Ya Rasulluh saw....

Bismillihi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur kepada Allah swt yang tidak terhingga perhitungannya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Allah, Nabi Muhammad SAW, para ahli keluarga baginda dan semua para sahabat yang banyak membantu dalam menyebarkan sinar Islam.
Alhamdulillah untuk ruangan kali ini, saya ingin berkongsi dengan sahabat pembaca berkenaan saat-saat akhir sebelum kekasih Allah swt dijemput untuk kembali kesisi Allah rabbuljalil. Pemergiaan insan yang tercinta itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam di sisi para ahli keluarga baginda dan juga para sahabat yang sama-sama berjuang menegakkan agama Allah swt. Selawat dan salam untuk baginda setiap saat masa yang berlalu dan yang akan datang. Bagi kami yang tidak pernah menatap wajahmu ya Rasulullah, kami janji akan meneruskan perjuanganmu. Semoga Allah swt memilih kami menjadi ummatmu yang paling dekat di sisi-Nya.


Detik-detik Terakhir Kehidupan Insan Mulia

Daripada Ibnu Mas'ud ra bahawasanya ia berkata: Ketika ajal Rasulullah SAW sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah ra. Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda:"Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."

Allah berfirman: "Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa."

Kemudian kami bertanya: "Bilakah ajal baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila' la."

Kami bertanya lagi: "Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Salah seorang ahli bait. Kami bertanya: Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab: "Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah."

Kami bertanya: "Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?" Kami menangis dan Rasulullah SAW pun turut menangis. Kemudian baginda bersabda: "Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku, kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya. Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua."

Semakin Tenat

Semenjak hari itulah Rasulullah SAW bertambah sakitnya, yang ditanggungnya selama 18 hari, setiap hari ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, di saat baginda menghembus nafas yang terakhir. Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, ia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam: "Assalamualaikum ya Rasulullah?" Kemudian ia berkata lagi "Assolah yarhamukallah." Fatimah menjawab: "Rasulullah dalam keadaan sakit?" Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid, ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu ia berkata seperti perkataan yang tadi. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh ia masuk. Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah SAW bersabda: "Saya sekarang dalam keadaan sakit, Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat."

Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata: "Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?" Kemudian ia memasuki masjid dan berkata kepada Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut. Ketika Abu Bakar ra melihat ke tempat Rasulullah yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya ia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah SAW. Baginda bertanya: "Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu? Siti Fatimah menjawab: Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah SAW tidak ada bersama mereka."

Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Thalib dan Abbas ra, sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat, setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda: "Ya ma'aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah, sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT, kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini."

Malaikat Maut datang bertamu Pada hari esoknya, iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya ia turun menemui Rasulullah SAW dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah menyuruh kepada Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah SAW dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka ia dibolehkan masuk, namun jika Rasulullah SAW tidak mengizinkannya, ia tidak boleh masuk, dan hendaklah ia kembali sahaja.

Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Ia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah SAW, Malaikat Maut itupun berkata: "Assalamualaikum Wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!" Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: "Wahai Abdullah (Hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit." Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: "Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk?"

Akhirnya Rasulullah SAW mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah: "Siapakah yang ada di muka pintu itu? Fatimah menjawab: "Seorang lelaki memanggil baginda, saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian ia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma." Rasulullah SAW bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia?" Fatimah menjawab: "Tidak wahai baginda." Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: "Wahai Fatimah, ia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur."

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Masuklah, Wahai Malaikat Maut. Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan 'Assalamualaika ya Rasulullah." Rasulullah SAW pun menjawab: Waalaikassalam Ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?" Malaikat Maut menjawab: "Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan, kalau tidak, saya akan pulang. Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril? "Saya tinggal ia di langit dunia?" Jawab Malaikat Maut.

Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril as datang kemudian duduk di samping Rasulullah SAW. Maka bersabdalah Rasulullah SAW: "Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat? Jibril menjawab: Ya, Wahai kekasih Allah."

Ketika Sakaratul Maut

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: "Beritahu kepadaku Wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya? Jibril pun menjawab; "Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu."

Baginda SAW bersabda: "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku? Jibril menjawab lagi: Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu."
Baginda SAW bersabda lagi: "Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang di sediakan Allah untukku? Jibril menjawab: Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti."

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Segala puji dan syukur, aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku?" Jibril as bertanya: "Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan? Rasulullah SAW menjawab: "Tentang kegelisahanku, apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?"

Jibril menjawab: "Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu." Maka berkatalah Rasulullah SAW: "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku?" Lalu Malaikat Maut pun berada dekat Rasulullah SAW.

Ali ra bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya? Rasulullah menjawab: Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga.

Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut." Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril as memalingkan mukanya. Lalu Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku? Jibril menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?"

Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah SAW. Kesedihan Sahabat Berkata Anas ra: "Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah ra aku dengar ia sedang menangis, sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa'ir."

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Mu'az bin Jabal ra telah berkata: "Rasulullah SAW telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku: "Apakah anda masih lena tidur juga wahai Mu'az, padahal Rasulullah SAW telah berada di dalam tanah." Mu'az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu ia mengucapkan: "A'uzubillahi minasy syaitannir rajim?" Setelah itu ia lalu mengerjakan solat.

Pada malam seterusnya, ia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama. Mu'az berkata: "Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan?" Kemudian ia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman. Pada esok harinya orang ramai berkumpul, lalu Mu'az berkata kepada mereka: "Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah SAW bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku. Setelah Mu'az menerima Mushaf, lalu dibukanya maka nampaklah firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula?" (Az-Zumar: 30).

Maka menjeritlah Mu'az, sehingga ia tak sedarkan diri. Setelah ia sedar kembali, ia membuka Mushaf lagi, dan ia nampak firman Allah yang berbunyi: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?" (Ali-lmran: 144)

Maka Mu'az pun menjerit lagi: "Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad?" Kemudian ia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika ia akan meninggalkan penduduk Yaman, ia berkata: "Seandainya apa yang kulihat ini benar. Maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."

Kemudian ia berkata: "Aduhai sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad SAW?" Lalu iapun pergi meninggalkan mereka. Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud: "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati." Lalu Mu'az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa, Mu'az bertanya kepada orang tersebut: "Bagaimana khabar Rasulullah SAW? Orang tersebut menjawab: Wahai Mu'az, sesungguhnya Muhammad SAW telah meninggal dunia. Mendengar ucapan itu Mu'az terjatuh dan tak sedarkan diri.

Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Mu'az: Wahai Mu'az sedarlah dan bangunlah." Ketika Mu'az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar Assiddik, dengan cop dari Rasulullah SAW. Tatkala Mu'az melihatnya, ia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya, kemudian ia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas ia menangis iapun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Mu'az sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: "Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?" Mu'az menyambungnya: "Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah?" Kemudian ia menangis dan akhirnya ia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.

Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy ra lalu ia berkata kepada Bilal: "Wahai Bilal sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya, ia adalah Mu'az yang sedang pengsan. Ketika Bilal selesai azan, ia mendekati Mu'az, lalu ia berkata: "Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Mu'az, aku telah mendengar dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: "Sampaikanlah salamku kepada Mu'az." Maka Mu'az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa ia telah menghembus nafas yang terakhir, kemudian ia berkata: "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah ra."

Ketika sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Mu'az mengucapkan: "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh?" Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, ia berkata: "Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah. Kemudian Mu'az menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: "Assalamualaikum ya ahli bait." Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian ia berkata: "Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Mu'az bin Jabal, ia adalah kekasih Rasulullah SAW."

Kemudian Fatimah berkata lagi: "Masuklah wahai Mu'az?" Ketika Mu'az melihat Siti Fatimah dan Aisyah ra ia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Ketika ia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Mu'az dan khabarkan kepadanya bahawasanya ia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama." Kemudian Mu'az bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.

Sekian.

Wahai sahabat pembaca, berselawatlah kita kepada Rasulullah saw. semoga kita dicucuri cahaya keimanan oleh Allah swt dan akan mendapat syafaat daripada Rasulullah di hari kemudian. Sesungguhnya kita tidak mampu untuk mengenali Allah swt jika tidak kerana perjuangan Rasulullah, kita tidak akan mencapai redha Allah swt sekiranya tidak kerana jasa Rasulullah saw. Ya Rasulullah, ku tahu bahawa kamu tidak pernah mengenal penat lelah dalam menyampaikan risalah dari Allah swt untuk kami sebagai ummatmu. Ku tahu bahawa kamu tidak pernah mengeluh walaupun engkau dicemuh dalam menyampaikan risalah Allah swt. Lantaran itu, engkau teramat merisaukan kami semua sebagai ummatmu. Ya Rasulullah, walaupun aku tidak pernah melihat wajahmu, namun ku dapat mejiwai perjuanganmu,akan ku teruskan perjuanganmu. Oleh itu, ku pohon agar Allah swt memberi petunjuk dan semangat yang kental dalam meneruskan perjuangan ini. Selawat dan salam untukmu ya Rasulullah.

Rozlan Daud, Machang Kelantan.

Friday, January 15, 2010

Sedap Sungguh Awak Baca Al-Quran, Boleh Ajar saya?...

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah bersyukur pada Allah swt kerana Rahmat-Nya kepadaku yang tidak terhingga ini. Selawat dan Salam ke atas junjungan para Nabi, para sahabat, ikutan-ikutan dan para perjuangan yang menegakkan Kalimah Allah swt. Ku mohon ampun di atas kelemahan diriku dan kedua ibu ayahku, serta kaum keluarga dan para sahabat semua.

Alhamdulillah kali ini dapat aku kongsikan kisah perjalanan hidupku yang kini berada di perantauan. Sekali hendak menceritakan hal ini, aku tergelak keseorangan. Aku tidak mengerti di mana lucunya, namun itulah hakikat hidup yang mana mungkin tidak baik di sisi orang, namun ianya baik pula di sisi orang lain. Itulah manusia yang bersifat abstrak terhadap sesuatu.

Kisah bermula semasa aku sedang membaca al-Quran di masjid Kg. Tanjung Gosong, Pekan. Biasalah lepas solat maghrib secara berjemaah, aku akan mengisi masa aku dengan membaca al-Quran untuk menunggu masuknya waktu isya'. Aku tidak sedar ketika membaca al-Quran, ada mata-mata yang memerhatikan aku. Mungkin mereka mengatakan yang aku ini bukan orang tempatan kerana tidak pernah melihat aku sebelum ini. Setelah membaca aku kebelakang untuk bertemu dengan para makmum yang lain serta imam yang asyik berbual membincangkan hal keduniaan yang telah mereka laksanakan pada hari tersebut serta membincangkan urusan yang bakal mereka laksanakan. Boleh dikatakan masjid tersebut dijadikan tempat perbincangan untuk membincangkan persepakatan antara penduduk kg tersebut.

Setelah aku ke belakang, ada seorang makmum berkata kepada aku "sedap suara anak membaca al-Quran. Pandai anak membacanya. Boleh ajar kami al-Quran seperti mana yang anak baca tadi?". "Masyaallah, itu anugerah Allah swt pada saya. Insyallah saya akan ajarkan pada saudara sekiranya awak ingin belajar". Jawabku ringkas. Terdetik di sanubariku yang mengatakan bahawa semasa di UUM dulu, akulah orang yang paling tidak pandai membaca al-Quran berbanding sahabat-sahabatku yang lain. Malah suara aku ini tidaklah semerdu, kerana dari kecil lagi memang suara aku tidak sedap. Namun kali ini ada orang mengatakan yang suara aku memang sedap. Hati kecil aku mengatakan "adakah orang ini pekak atau tidak pandai menilai suara aku ini. Namun aku biarkan kerana apa yang penting adalah dia ingin belajar membaca al-Quran. Jadi aku sanggup mengajar sedaya yang aku tahu. Moga Allah swt mengajarkan kepadaku al-Quran untuk aku mengajar kepada orang lain. Insyallah.

Apabila bertanya khabar dan berkenalan antara aku dengan jemaah yang lain, memang benar anggapan aku tadi bahawa mereka (jemaah) menganggap yang aku ini seorang musafir dan bukan penduduk di sini. Namun apa yang melucukan lagi salah seorang makmum yang lain mengatakan bahawa aku ini belum kahwin kerana aku ini belum matang lagi. Ya Allah, aku ni belum matang lagi ker? Aku sudah tidak boleh tahan lagi lalu aku gelak kecil terhadap apa yang mereka katakan padaku. Setahu aku, aku dah macam ayah kepada seorang anak. Namun boleh mereka mengatakan yang aku ini belum matang. Huhuhuhuu.....

Sekian lama bersembang, baik isu politik, ekonomi dan sebagainya. Pendek kata ia mengalahkan seorang menteri bila bercakap pasal politk. Malah mengalahkan juga ahli ekonomi bila bercakap hal ekonomi dan sebagainya. Perbualan kami terhenti dengan bunyinya jam menandakan telah masuk waktu isya'. Namun aku sampai ke bilik pada malam itu tergelak keseorangan bila memikirkan apa yang mereka (orang kampung ) mengatakan kepada aku. Aku masih tergelak sehingga saat aku menulis pengalamanku ini.

Sekian,

Rozlan Daud
Machang

Wednesday, January 13, 2010

Kerdilnya Diri Ini...

Bismillahi Rahmani Rahim..

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih lagi memberi peluang kepadaku untuk melihat keagungan_Nya. Tidak semua manusia dapat melihat, jika dapat melihat, tidak semua juga dapat mengerti dan memahami apa yang dilihatnya. Ia boleh diibaratkan sebagai buta tatkala mata masih mampu melihat dan itulah yang dikatakan dengan buta HATI. Na'u zubillahi minzalik..

Di kesempatan dan peluang aku membuat praktikum di Pekan, selalu turun naik ke laut dan darat dan itulah lumrah harian aku untuk mendapatkan segulung ijazah nanti. Tatkala diri dilautan, pelbagai gelora dan noda yang perlu aku lalui dan bagiku itulah ayat-ayat Allah swt yang mengajarkan kepadaku erti kehidupan. Gelora ombak yang membadai itu merupakan liku-liku hidup yang terpaksa aku hadapi untuk mencapai kejayaan. Kekadang ombak datang membelah pantai dengan alunan yang mengasyikkan, kekadang juga gelora kencang bagaikan Tsunami yang berlalu. Apa pun jua lautan itu, jangan sesekali kita menyerah tewas. Kita adalah makhluk dan lautan itu juga makhluk yang dicipta dari Yang Maha Pencipta.
Penulis di hadapan laut china selatan.
(lokasi di hapan rumah sewa di Tg Gosong)

Namun bila diri di laut, terasa kerdilnya diriku ini. Aku bersaksi dengan keyakinan yang utuh bahawa Maha Suci Allah sw Yang Maha Agung menciptakan lautan yang terbentang luas. Sesekali aku terfikir ketika melihat lautan terbentang, kecilnya diriku ini Ya Allah jika dibandingkan dengan lautan itu. Namun Engkau lagi Maha Agung kerana Engkau yang mencipta lautan itu. Aku terfikir tentang bagaimana padang mahsyar nanti, adakah seluas lautan ini?Jika ya, Ya Allah, di manalah aku nanti...?Di mana kedua ibu bapaku dan ahli keluargaku...? Adakah mereka selamat Ya Allah...?semua itu terfikir di benak kecilku. Lalu ku pohon keampunan atas segala dosaku selama ini. Aku ini kerdil Ya Allah. Sangat kerdil....(sahabat, pergilah ke pantai dan lihatlah sendiri dengan keimanan, kerdilnya engkau sahabat).

Air mata berlinangan jika diingatkan dosa yang telahku lakukan. Apakah Allah swt telah mengampunkan bagiku atau masih belum lagi. Kerana dosaku terlalu besar Ya Allah. Aku melangkah dibumi_Mu dengan bongkah tanpa sedar yang aku ini lemah, aku ini kerdil, aku ini jahil, aku ini sombong. Berdosanya aku Ya Allah. Di sudut manakah aku ditempatkan dipadang mahsyar yang begitu luas, mungkin lebih luas dari lautan ini sedangkan laut ini pun tiada bertepian. Ku tahu Engkau Maha Pengampun ya Allah, oleh itu ampunkan dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, sahabat-sahabatku, kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang sudah pergi bertemu_Mu mendahului aku.

Hampir setiap malam, aku berjalan bersendirian ditepian laut China selatan. Ku mencari sejernih keinsafan untuk mentadabburkan diri ini agar aku sedar yang diriku amat kerdil. Ku seru nama-Mu Ya Rahman, redhailah hidupku agar rahmat dan hidayah-Mu menjadi milik setiap insan.

Wallahu A'lam.

Sekian
Rozlan Daud
Pekan, Pahang

Tuesday, January 12, 2010

Aurat wanita...Di mana Silapnya?

Bismillahi Rahmani Rahim


Bila bercakap tentang aurat, ramai yang mengfokus pada wanita. Adakah lelaki tidak ada aurat dan batasannya?Jawapannya tetap ada. Namun kehangatan aurat itu terletak pada diri yang bergelar wanita. Walau bagaimana pun ramai yang salap tafsir tentang aurat ini. Apakah aurat atau urat? Di mana batasan aurat dan apa jua yang berkaitan dengan aurat. Namun kali ini saya tidak membincangkan tentang aurat secara terperinci, malah sekadar menyatakan kesilapan dan kesalahan tentang apa yang dianggap sebagai aurat.


Kesilapan 1 : Aurat dianggap sebagai pakai tudung sahaja.

kesilapan 2 : Bertudung namun berT-shirt lengan pendek.

Kesilapan 3 : Bertudung dan berkebarung, namun terbelah kainnya hingga menampakkan paras betis dan peha.

Kesilapan 4 : Bertudung, namun bajunya kecil dan sendat sehingga terpapar lurah bilutnya,tinggi pula banjaran titiwangsanya.

Kesilapan 5: Bertudung, tapi longgar pula tudungnya sehingga nampak jambulnya yang bewarna-warni.

Kesilapan 6 : Bertudung, namun tudungnya dipakai di kepala bahunya.

Kesilapan 7 : Bertudung, namun tudungnya dilabuh kebahagian belakan sehingga ternampaklah leher dan dadanya.

Kesilapan 8 : Bertudung, namun tudungnya terlalu nipis sehinggakan menampak rambutnya, sanggulnya, lehernya, dadanya bagaikan kertas nipis yang berskrin.


Kebanyakkan wanita hari ini beranggapan dengan menutup kepala itu adalah menutup aurat. Ia salah sama sekali. Ini berdasarkan firman Allah swt di dalam surah An-Nur ayat ke-31 yang bermaksud :

"katakanlah kepada wanita yang beriman itu, hendaklah mereka menjaga pandangannya dan memelihara kehormatannya (kemaluannya) dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudungnya hingga ke paras dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya auratnya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka (anak saudara), atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sehaya yang mereka miliki, atau orang-orang lelaki tua yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan ini..........."
Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman wajib menutup kepalanya dengan tudung dan melabuhkan hingga ke paras dada. Ini beerti mereka perlu menutup juga bahagian leher dan dadanya.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, yang dimaksudkan perhiasan di dalam ayat tersebut ialah segala perhiasan yang ada pada tubuh yang dihias untuk mempercantikkannya sama ada ia merupakan perhiasan yang asal seperti raut wajah yang cantik, bentuk badan yang elok, ataupun perhiasan yang berbentuk buatan seperti pakaian, make-up dan sebagainya.

Di dalam ayat tersebut, Allah swt memerintahkan supaya orang-orang yang beriman wajib menyembunyi segala perhiasan dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah swt tidak memberi pengecualian melainkan apa yang terzahir sahaja. Oleh itu, kebanyakkan ulama' membahaskan apa yang dikatakan sebagai yang terzahir itu.


Di dalam tafsir Ibnu Abbas menyatakan apa yang terzahir itu ialah seperti celak dan cincin. Pendapat ini turut disokong oleh Anas bin Malik. Justeru, harus dilihat pada celak dan cincin dan harus dilihat juga tempat ianya dipakaikan iaitu di muka dan di tangannya.


Walau bagaimana pun, Dr.Yusuf Qaradhawi menjelaskan tentang maksud perhiasan yang mana ianya tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh wanita zaman sekarang seperti gincu, bedak merah pipi, dan sebagainya. Ini kerana ianya adalah berlebih-lebihan yang tidak baik yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Namun wanita hari ini memakainya untuk keluar rumah. Oleh itu jelas hukumnya haram kerana pemakaiannya adalah untuk menunjuk-nunjuk tentang perhiasannya kepada lelaki di luar rumah.

Kesalahan 9: Bertudung, namun menaiki motor sambik menayangkan betisnya di sepanjang jalan. Yang lebih parah lagi, bertudung dan menutup aurat namun menaiki motor dengan lelaki yang bukan muhrimnya sehinggakan orang yang ketiga(syaitan) tidak dapat berada ditengah-tengahnya.

Kesalahan 10: Bertudung dan menutup auratnya, namun bermanja-manja dengan lelaki yang bukan muhrimnya dari sudut perbualan dan pergaulannya.

Oleh yang demikian, wahai sahabatku yang dirinya bergelar wanita, jagalah auratmu kerana ia adalah kehormatanmu.

Sekian.


sumber : Norhidayah , SMK(A) Wataniah batch 1999-2003
edit : el_farouq14

Monday, January 11, 2010

Dua Sahabat....

Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillah ku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana masih lagi berpeluan untuk menulis walaupun sudah hampir 3 minggu tidak membuka blog ini. Dalam kesubukkan masa dalam urusan dunia ini, aku banyak menghabiskan masa di atas air kerana terpaksa memikul tanggungjawab untuk menamatkan sukatan pengajian aku. Maklumlah, kena praktikum di tempat pusat tenakkan ikan siakan di Pekan, Pahang. Jadi siang dan malam terpaksa ku habiskan bersama makhluk yang bernama ikan dari spesis siakap.
Di kesempatan kali ini, aku ingin berkongsi pengalaman tentang kehidupan dua orang sahabat baik yang tinggal tidak jauh dari rumah aku sewa. Kedua mereka adalah perempuan yang masih terlalu muda lagi usianya. Apa yang ingin aku kongsi ialah cara hidup mereka yang banyak menyedarkan diriku untuk aku lebih bersyukur serta mengajar kepada diriku untuk tidak menyusahkan orang lain. Pertemuan antara aku dan mereka dikedai makan di sebelah rumah aku. Sebelum ini hanya jumpa ketika aku makan sahaja dan tidak pernah bersembang dengan mereka. Namun, Allah swt memberi peluang kepadaku untuk aku bertanya tentang cara hidup mereka.
Nadirah dan intan adalah dua orang sahabat yang berkawan dari kecil lagi. Kedua mereka ini baru berusia 14 tahun dan sudah bekerja sebagai pelayan di kedai makan sebelah rumah aku. Bila aku bertanya tentang usia, memanglah terperanjat dihatiku kerana seawal usia mereka ini mereka sudah bekerja mengambil upah dikedai makan menjadi pelayan dengan bayaran RM10 satu hari. Manakan tidak terkejut kerana aku dan adik-adik aku pada usia begitu bukan untuk bekerja tetapi hanya belajar dan pada sebelah malamnya duduk menonton televisyen bersama keluarga. Namun mereka juga masih belajar di tingkatan 2 pada siangnya, yang membezakan ialah di sebelah petang, mereka bekerja sampai jam 9 malam untuk mencari sumber perbelanjaan sekolah. Lepas jam 9, mereka akan balik ke rumah untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah. Tidak ada di dalam istilah diari minda mereka untuk bersenang lenang menonton tv. Sayup dihati ini mengenangkan kisah perjalanan hidup mereka kerana aku terfikir anak-anak sekarang ini yang seusia dengan meraka banyak menghabiskan masa dengan computer games dan alat elektronik yang lain.
Bila aku bertanya tentang persekolahan mereka, mereka jawab dari kecil sampai sekarang mereka satu kelas dan terus aku katakan kepada mereka yang keputusan peperiksaan UPSR mereka adalah sama. Terkejut mereka kerana macam mana aku dapat tahu. Itulah dunia persahabatan ku katakan pada mereka. Susah senang mesti bersama sahabat, namun untuk mencari seorang sahabat bukan senang. Yang ramai adalah kenalan kita, dan tidak semua kenalan kita itu menjadi sahabat kepada kita. Keputusan peperiksaan mereka bagiku kira boleh dibanggakan. Maklumlah, pagi ke sekolah, petang bekerja mencari benlanja sekolah dan malam ulang kaji sekolah. Buku rujukan pun tiada, hanya mengharapkan apa yang diajar oleh cikgu dan buat latihan sendiri dirumah. sekali terfikir akan diriku. Dulu masa aku belajar, ayahku sering memberi duit untuk aku membeli buku rujukan(sekarang nak beli buku duit sendiri cz dah besar), tusyein ayah hantar dan kelengkapan sekolah boleh dikatakan lengkap. Tidak hairan jika keputusan yang baik aku dapat. Namun bagi mereka hanya mengharapkan apa yang diajar di sekolah kerana duit yang adapun untuk belanja sekolah,nak dapat duit terpaksa bekerja sendiri. (Menitis air mata bila mengenangkan nasib mereka yang membuatkan keinsafan bagi diri yang menilainya).
Sayu dihati ini merenung jauh ke dasar lubuk sanubari kerana mereka sendiri yang memikul tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh ayah atau ibu sebagai ketua keluarga. Itulah takdir hidup, tiada siapa yang boleh memilih untuk hidup sama ada dalam keadaan senang atau susah. Namun setelah lahir mereka perlu menentukan arah hidup mereka sama ada dalam keadaan kesenangan atau kesusahan. Namun Allah swt tidak zalim, kerana Dia Yang Maha Mengetahui hakikat seseorang hamba-Nya dan Dia menguji hamba-Nya berdasarkan kemampuan seseorang hamba itu. Semakin besar dugaan dan ujian, maka semakin dekatlah kedudukan hamba di sisi Nya sekiranya hamba tersebut bersyukur dan sabar atas segala ketentuan Ilahi.
Wallahu A'lam
Rozlan Daud
Machang

My Picture