Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Monday, October 25, 2010

PERINGATAN UNTUK DIRI DAN MEREKA YANG MAHU MENDAPAT MANFAAT..

(Siri 2)

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Segala puji dan puja hanya layak untuk Allah swt, Tuhan yang wajib disembah dan pemilik langit dan bumi serta seluruh alam maya. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw dan seluruh ahli keluarga dan para sahabat yang memperjuangkan kesucian Islam.

Wahai diri yang lemah, ingatlah bahawasanya kamu bernafas setiap hari itu adalah kerana ihsan Allah swt. Oleh itu janganlah kamu bermegah kerana Allah swt tidak pernah memberi penyata bil bulanan untuk kamu membayar setiap nafas, udara dan oksigen yang kamu sedut. Apa yang wajib bagi kamu laksanakan ialah dengan bersyukur atas nikmat kurniaan itu. Ketahuilah bahawa dengan bersyukur itu, ia akan kembali kepada kamu jua akhirnya. Ini kerana Allah swt maha kaya dan tidak sedikit pun mengharap kepada belas ihsan dari hamba-Nya.

Kepada Allah swt jualah pemilik langit dan bumi. Tidakkah engkau melihat dan berfikir tentang setiap apa yang dijadikan-Nya yang teramat menakjubkan ini. Jika tidak sesungguhnya kamulah orang yang buta dikala mata masih melihat. Tidakkah kamu perhati dan berfikir disekeliling kamu sedangkan setiap apa yang ada itu adalah ciptaan Allah swt, tiada sedikit pun hak kamu melainkan semua itu adalah hak ciptaan Allah swt (copyright by Allah swt). Dalam kejadian nyamuk yang merupakan serangga yang kecil dan berterbangan pun manusia tidak dapat memikirkan kehebatan ciptaan Allah swt apatah lagi untuk cuba menciptanya. Inilah yang dikatakan bahawa Allah swt maha mencipta dan memiliki setiap apa yang ada dibumi.

Janganlah kamu menjadi manusia yang buta tatkala mata masih melihat, jangan menjadi manusia yang pekak tatkala telinga masih mendengar dan jangan menjadi bisu tatkala mulut masih boleh bercakap. Hari ini, diri kita terlalu sibuk dengan urusan dunia, hatta kita lupa tujuan hadir ke dunia ini. Kita tersalah buat penafsiran yang mana kewajipan dan yang mana keharusan. Yang wajib bagi manusia yang memikul amanah Allah swt ini ialah untuk mencari bekalan dalam mengharungi perjalanan menuju ke negeri akhirat dan yang menjadi keharusan adalah untuk mencari keperluan hidup di dunia ini. Namun diri ini terlalu alpa dengan mengutamakan yang harus dan mengabaikan yang wajib. Jangan menjadi buta daripada mencari jalan kebenaran dan berusaha untuk menuju ke jalan yang benar itu. Jangan menjadi pekak untuk mendengar hidayah dan petunjuk dari Allah swt. Jangan menjadi bisu daripada menyebut dan mengingati Allah swt dengan perbanyakkan zikir kepada-Nya. Kerana terlalu alpa dengan dunia, diri ini telah semakin hari semakin menjadi buta, semakin menjadi pekak, dan semakin menjadi bisu. Ya Allah, kembalikanlah aku ke jalan kebenaran Mu, tetapkanlah aku bersama dengan mereka yang selalu mengingati-Mu tatkala waktu duduk dan berdiri, teguhkanlah hati ini untuk sentiasa mengingati dan melaksanakan tanggungjawab dan ketetapan amanah Mu. Ameen.

Wahai diri yang alpa, ingatlah kuburmu semakin hampir. Setiap saat yang berlalu yang kamu selalu mengatakan kamu sudah dewasa. Sebenarnya kamu tersilap melihat kitab tafsir. Kamu hanya merujuk kitab dunia, tapi kamu lupa tentang kitab akhirat yang pasti kebenarannya. Kamu lupa bahawa setiap saat yang berlalu itu merupakan saat semakin hampir kamu dengan rumah gelapmu. Di dunia ini kamu ramai sahabat, ahli keluarga dan sanak saudara, yang pastinya di rumah kamu di sana kamu bersendirian kerana tiada lagi yang mempedulikan kamu melainkan yang menemani adalah amal bakti semasa hidup. Saat yang berlalu itulah saat yang semakin hampir dengan janji Allah swt dan ingatlah bahawa janji Allah swt itu suatu kebenaran.

(bersambung...)

sekian

Rozlan Daud
18500 Machang

Wednesday, October 13, 2010

PERINGATAN UNTUK DIRI DAN MEREKA YANG MAHU MENDAPAT MANFAAT

(Siri 1)

In The Name Of Allah swt, The Most Merciful, The Most Graciuos.

Segala puji hanya yang berhak adalah untuk Allah swt, selawat dan salam untuk nabi Mulia Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan seluruh para sahabat yang memperjuangkan agama Islam yang benar. Sebaik-baik ucapan adalah kitab Allah swt, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad saw, sebaik-baik agama adalah agama Nabi Ibrahim as. Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan, dan setiap yang diada-adakan adalah bid'ah, dan setiap yang bid'ah itu tempatnya di neraka.

Demi Allah swt yang jiwaku berada di dalam genggaman tangan-Nya, inilah peringatan yang aku tulis untuk mengingatkan diriku dan juga kepada sesiapa yang mahu mengambil peringatan.

Bismillahi Rahmani Rahim.
Ku mulakan dengan puji dan puja untuk Allah swt, Tuhan yang layak disembah dan yang memiliki seluruh alam. Wahai diri yang lemah, ketahuilah bahawasanya engkau tiada sedikit pun kekuasaan melainkan kudrat yang engkau miliki adalah anugerah yang dikurniakan oleh Allah swt kepada diriku dan dirimu. Oleh yang demikian, manfaatkanlah kudrat yang diberikan ini sebelum engkau tidak berupaya pada suatu hari yang melemahkan kamu nanti. Sesungguhnya kudrat atau tenaga yang engkau miliki hari ini semakin hari semakin berkurangan dimamah usia. Oleh itu, manfaatkanlah ia untuk tujuan mengabdikan diri kepada Allah swt yang memberikan kudrat itu.

Sesungguhnya diri engkau adalah amanah, yang akan dipersoalkan oleh Allah swt pada hari keadilan kelak. Sesuatu yang diamanahkan pasti dipertanggungkan hari ini untuk tujuan menjawabnya nanti. Adakah kamu meletakkan diri kamu dan anggota seluruhnya untuk mengabdikan diri tunduk kepada segala perintah Allah swt dan meninggalkan larangan-Nya. Ketahuilah bahawasanya diri kamu itu adalah arena atau gelanggan untuk kamu bertarung sebelum kamu menghadapi sebarang musuh. Jika kamu sudah mampu menawan atau menguasai diri kamu mengikut landasan syariat yang ditetapkan oleh Allah swt, yakinlah bahawa kamu juga mampu untuk menawan musuh kamu. Jika kamu tidak mampu untuk menguasai diri kamu mengikut kehendak Allah swt, jangan berharap kamu dapat menguasai musuh kamu yang nyata lagi yang tersembunyi.

Ketahuilah di dalam diri kamu ada seketul daging yang menjadi raja kepada diri. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota yang lain dan jika buruk daging itu, maka rosaklah seluruh anggota yang lain. Ketahuilah bahawa yang dikatakan itu adalah hati. Bersihkanlah hati setiap masa kerana segala punca perbuatan adalah terbit dari hati. Jika hati tidak dibersihkan setiap masa, ia pasti akan berkarat, setidak-tidaknya berdebu dan hitam. Pentingnya pembersihan hati ini adalah seperti pentingnya wudu' untuk menunaikan solat. Ini kerana Allah swt tidak melihat pada muka kamu, tidak pula kepada pakaian kamu, tetapi Allah swt melihat kepada hati kamu. Oleh yang demikian, hati yang bersih pasti akan disukai oleh Allah swt. Penawar bagi hati adalah dengan zikrullah, iaitu dengan mengingati Allah swt dalam pelbagai keadaan sama ada ketika duduk mahupun berdiri. Orang yang sentiasa ingatkan Allah swt pasti hatinya bersih.

Ketahuilah di dalam dirimu ada satu senjata yang paling berbisa. Sekali keluar ia susah untuk ditarik balik. Kesan langsung tidak dapat dilihat namun kesannya amat mendalam dan lama jika tidak dirawat. Senjata itu adalah lidah. Jagalah ia sebaik-baiknya kerana lidah sangat berbisa. Dengan lidah, ramai orang memperolehi manfaat darinya, ramai pula yang mendapat dosa darinya. Kerana lidah, suami isteri boleh bercerai berai, kerana lidah juga ramai sanak saudara bergaduh tanpa sempadan. Pendek kata, kerana lidah manusia boleh hidup normal dan kerana lidah juga manusia binasa. Tajam lidah, jauh lebih tajam jika dibandingkan dengan pedang, kerana lidah boleh mengguris hati dan perasaan orang lain dan kesannya sukar untuk dilihat apatah lagi untuk dirawat. Setiap kali apa yang terkeluar dari lidah, sukar untuk ditarik balik kerana ia bukan jenis yang berbentuk dan bukan pula berobjek. Lidah dijadikan untuk menyebut, berzikir, dan membaca ayat-ayat al-Quran untuk mengingatkan kita kepada Allah swt. Janganlah kita menjadikan lidah yang dianugerahkan oleh Allah swt ini untuk berkata sesuatu yang tidak elok kepada orang lain. Tetapi gunalah ia untuk mendapat keredhaan dan keampunan kepada Allah swt.

Ketahuilah, yang berhak dan yang berkuasai memperkatakan tentang hati ini adalah kuasa Allah swt. Manusia tidak mampu untuk memperkatakan soal hati orang lain sama ada mereka itu ikhlas ataupun tidak. Kerana sifat ikhlas ini adalah sifat hati. Jangan kita memperkatakan orang lain melakukan kerja atau perbuatan tidak ikhlas. Ini kerana soal ikhlas itu adalah sifat hati dan yang maha mengetahui soal hati ini ialah Allah swt sahaja. Manusia lain tidak mengetahui apa-apa yang tersirat di dalam hati orang lain. Oleh itu janganlah kita melebelkan perbuatan orang lain dengan label yang tidak elok kerana dikhuatiri kita menfitnahnya. Seperti kita mengatakan orang yang menderma itu tidak ikhlas kerana dia mengwar-warkan di dalam media, sama ada elektronik atau cetak. Kita tidak mengetahui sifat hatinya sama ada ikhlas atau tidak. Ini kerana, mungkin dia memberitahu orang lain di dalam media sebagai dorongan untuk orang lain turut menderma, ini kerana mungkin dia boleh memberi sebagai membantu kepada orang yang susah, kenapa orang kaya yang lain tidak turut sama untuk membantu orang susah seperti di dalam kes "program bersamamu". Jika kita tidak berbuat demikian, kemungkinan besar orang yang susah terus berada di dalam kesusahan, namun jika buat sedemikian, sekurang-kurangnya orang lain yang melihat turut memberi sumbangan sekadar yang kita mampu. (orang yang memberi sumbangan derma melalui replika cek yang besar-besar dan dipamerkan dalam media, kita tidak boleh mengatakan mereka itu tidak ikhlas. Ini kerana kita tidak ada hak untuk mengatakan tentang soal hati mereka. Mungkin mereka yang memberi sumbangan itu mahu mengajak orang lain untuk turut memberi sumbangan kita juga tidak mengetahuinya.) Oleh yang demikian, jangan kita melebelkan orang lain tentang soal hati kerana kita tidak ada hak untuk memperkatakan rahsia hati seseorang.

Sambungan......

Sekian terima kasih

Tuesday, October 5, 2010

Ingat Pesan Ayah....

In The Names Of Allah, The Most Gracious The Most Merciful.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah azzawajalla di atas kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhitung oleh kalkulator manusia, yang tidak pula terkira banyaknya hingga boleh dikatakan sebagai infiniti. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw dan juga seluruh ummat Islam.

Alhamdulillah sepanjang mengharungi liku-liku hidup ini banyak pula cabaran yang terpaksa kita lalui baik dari sudut positif mahupun negatifnya. Begitu pula dengan perasaan jiwa kita, diri kita dan sebagainya. Adakala perasaan itu lahir dengan sungguh kebahagiaan, kegembiraan, keriangan dan sebagainya yang membawa makna baik sehinggakan tiada kamus di dunia ini dapat menafsirkan tahap kebahagiaan yang kita rasai itu. Kadang kala kesusahan, keresahan dan kesedihan juga datang mengunjungi kita. Dan bila ia datang menziarahi kita, tiada lafaz yang dapat menyatakan melainkan tangisan yang mampu diluahkan hingga hampir semua manusia memahami bahasa tangisan itu. Begitulah indahnya lakaran hidup setiap insan yang bergelar manusia yang waras pula minda dan akalnya.

Semalam, teringat pesan ayah. Walau ayahku tiada kelulusan ijazah dari mana-mana universiti, namun nasihat untuk anak-anaknya amat bermakna. Nasihat ayah "Kita bekerja bukan untuk parti politik, apatah lagi untuk manusia. Tapi hari ini kita bekerja untuk agama Allah swt, kerana dia kita buat kerja ini adalah untuk mendapat balasan pahala di akhirat". Sambung ayah, "Oleh itu buatlah apa yang kita hendak buat, asalkan ia selari dengan kehendak syariah. Jika kita buat kita akan mendapat balasan dari Allah swt dan jika kita tidak buat kita tidak mendapat apa-apa. Jangan mengharap pada manusia kerana manusia juga mengharap pada yang lain".

Mendengar nasihat ayah untuk anaknya ini menjerumuskan diri dalam bidang politik, maka ini adalah nasihat yang penuh bermakna. Ini kerana anaknya yang baru setahun jagung meletakkan diri dalam arena politik memerlukan kepada siraman nasihat dan bajaan idea daripada seorang ayah yang begitu mahir dan berpengalaman dalam rencah politik kepartian. Hampir sepanjang malam diri ini merenung jauh setiap patah nasihat dan ianya amat bermakna untuk dijadikan bekalan sepanjang hayat. Siapa sangka, seorang ayah yang tiada pendidikan formal mempunyai kunci kejayaan untuk mendidik anak-anaknya terjun dalam arena politik. Walau ayah bukan wakil rakyat, namun pengaruh ayah mampu menjatuh dan menaikkan wakil rakyat mana yang diingininya. Ini kerana hampir semua wakil rakyat (sepanjang ingatanku, 3 wakil rakyat yang mengambil calon di tempatku) datang menemui ayah untuk memohon restu bagi mengambil calon di kawasan ayah dan meminta ayah memberi sokongan penuh. Ini juga dibuktikan dengan kejayaan setiausaha perlimen Kementerian Sumber Asli yang memenangi pilihanraya peringkat parlimen suatu ketika dahulu juga turut datang meminta bantuan dan sokongan dari ayahku.

Walau bagaimana pun, bukan cerita politik atau siapa pengaruh atau tidak yang ingin disampaikan. Namun saya ingin berkongsi di sini adalah berkenaan nasihat ayah saya untuk anak-anaknya. Ini kerana nasihat ayah setiap kali kita melakukan kerja, jika kita pesawah, dengan padinya, jika penoreh getah dengan pokok getahnya, jika cikgu dengan anak murid dan sekolahnya, jika pegawai kerajaan dengan amanah yang diberikan kepadanya. Walau siapa pun kita, maka bekerjalah dengan seikhlas yang mungkin untuk Allah swt. Jangan kita mengharapkan balasan daripada manusia, ini kerana manusia itu juga mengharapkan balasan daripada Allah swt. Oleh yang demikian berharaplah kepada Allah swt dan buatlah kerja kerana-Nya.

Namun begitu, jangan kita lupa akan pertolongan orang lain kerpada kita. Walau pun mereka tidak mengharapkan balasan apa-apa dari kita, namun cukuplah kita mengucapkan terima kasih kepadanya sebagai tanda menghargai balasan terhadap orang yang banyak menolong kita. Sebagai contoh, seorang guru yang berkorban masa dan ruangnya untuk mendidik diri kita agar menjadi insan yang berjaya. Namun seorang guru tidak pernah mengharapkan supaya pelajarnya membayar segala jasanya setelah mereka berjaya, namun cukuplah bagi seorang guru daripada pelajarnya dengan ucapan terima kasih dan mengenang segala jasanya selaman ini. Atau setidak-tidak pun, cukuplah bertanya khabar apabila berjumpa.

Jangan sesekali kita lupa terhadap mereka yang telah banyak menolong kita, apatah lagi untuk kita berlaku sombong terhadap mereka. Sebagai contoh kedua ibu dan ayah kita, yang tidak pernah mengharapkan balasan daripada anak-anaknya, namun cukuplah sekadar anak-anaknya mengenang jasa mereka yang membesarkan mereka sekian lama. Balasan mereka tidak perlu dibayar kerana mereka bukan pekerja, pengorbanan mereka tidak perlu dibalas kerana mereka lakukan tanggungjawab dengan seikhlas untuk membesarkan anak-anak. Kita sebagai anak-anak pula perlu mengenang setiap saat jasa mereka dan menjadi tanggung jawab kita pula untuk menjaga mereka tatkala mereka lemah di suatu masa nanti seperti kita lemah dan tidak terdaya sewaktu kecil dahulu.

Akhir kata, kenanglah setiap jasa orang pada kita dan jangan kita mengenang jasa kita pada orang. Berterima kasihlah kepada mereka yang telah menolong kita baik pertolongan itu besar atau pun sekecil-kecilnya. Walau mereka tidak mengharapkan balasan dari kita, cukuplah kita berterima kasih kepada mereka sebagai tanda mengenang jasa mereka dan jangan sesekali kita menjadi seperti kacang lupakan kulit.

Sekian

Rozlan Daud
18500 Machang

Friday, October 1, 2010

Tiada Tempat Seindahnya...Dikelilingi Al-Quran Bergerak...

In The Name Of Allah swt, The most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah, ku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, para ahli bait baginda, sahabat-sahabat dan tabi'in. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku maghfirah dari-Mu, ampunkanlah segala dosa-dosaku dan kedua ibu dan ayahku. Kurniakanlah ilmu yang bermanfaat kepadaku dan seluruh ummat Islam.

Pertama sekali ana memohon jutaan kemaafan yang tidak terhingga kerana sudah sekian lama ana tidak menulis di dalam blog ana ini. Maklumlah kesuntukkan masa yang ada. Sekarang ini pun masih dilingkungi kesibukkan dengan mesyuarat PAS bagi peti undi dan majlis hari keluarga DUN Kemuning.Walau bagaimana pun ana ambil peluang yang ada ini untuk berkongsi dengan sahabat pembaca sekalian. Peristiwa ini benar-benar berlaku pada diri saya yang saya rasa selama 25 tahun ana hidup ini, melata masjid dan rumah ibadah yang ana kunjungi dan inilah yang pertama ana rasakan kelainan dirasai oleh diri ana.

Peristiwa yang ana alami ialah jiwa ana betul-betul tenang apabila ana masuk ke sebuah masjid dan ini merupakan kali pertama ana masuk ke masjid tersebut. Peristiwa berlaku apabila ana dijemput untuk menghadiri solat hajat perdana di masjid Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat di Pulai Chondong. Semasa tiba di masjid tersebut, ana disambut dengan alunan ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh seluruh pelajar Maahad tersebut dan ayat yang dibaca menyambut kedatangan ana ialah dari surah Al-Kahfi. Ana teringat, masa menjadi pemimpin pelajar dahulu, atau dijemput mana-mana majlis, ana disambut dengan alunan musik dan setidak-tidak pun ana disambut dengan alunan nasyid. Namun inilah kali pertama ana dijemput hadir ke suatu majlis dan disambut dengan alunan ayat suci al-Quran dan ianya dibaca oleh seluruh pelajar yang ada.

Sekadar Hiasan

Bila kaki melangkah, hati mula merasa gementar, badan merasa sejuk semacam, jiwa berasa layu dan air mata mula mengalir membasahi pipi. Ianya berlaku tanpa dipaksa dan diduga. Namun bagi diri ana, tiada lain yang menjadikan ini ialah kerana kekuasaan Allah swt. Selepas solat tahyatul masjid, ana melabuhkan punggung bersama-sama dikalangan pelajar yang lain. Ketenangan demi ketenangan mula terasa di dalam jiwa hingga ana tidak mampu menceritakan bagaimana nikmat yang dirasai.


Masjid Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat, Pulai Chondong.

Ana termenung mengenangkan sejarah diri ana, pusing kanan melihat adik-adik kecil mengalunkan surah Al-Kahfi fasih dilidah tanpa melihat pada Al-Quran untuk menyambut tetamu yang hadir. Pusing kiri, begitu juga keadaanya. Toleh belakang, makin ramai adik-adik membaca semacam artis menyanyi kerna ingatkan lagu. Hati ana mula insaf, ana tahu keinsafan ini hanya lahir dari hati yang tenang kerana ingatkan kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan keagungan Allah swt. Keinsafan juga lahir apabila mengenangkan kelalaian diri akibat terpengaruh dengan bau-bau dunia dan seangkatan dengannya.

Ana teringat, mengenangkan diri ana. Jika dahulu, ana boleh dikatakan sealiran dengan adik-adik yang fasih membaca al-Quran tanpa membukanya kerna ianya telah terbuku di dalam dada. Namun ana, keluar dari jemaah itu untuk mencari arus kemajuan dan kemodenan dunia. Maka buatlah keputusan untuk mempelajari sains. Kerna keputusan itu ana keluar dari jemaah agama ini dan terus mencari aliran duniawi. Dan kini, ana sedar dan insaf, jika ana tidak keluar dahulu, sudah pasti ana juga seperti adik-adik yang ada pada hari ini.

Persekitaran dalaman masjid (sekadar hiasan).

Ketenangan ini adalah ketenangan yang tidak pernah ana rasai walau pun beribu masjid dan rumah ibadah yang ana pernah masuk dan solat. Tambah pula dikelilingi ana adalah al-Quran yang bergerak. Ini kerana ana dikelilingi oleh mereka yang menghafal al-Quran di dada mereka. Alhamdulillah, tenangnya tidak dapat ditafsirkan. Nasihat ana, jika sahabat ada peluang, kunjungilah masjid tersebut dan rasailah ketengannya nanti kerna ana telah melaluinya.

Kepada adik-adik, ana doakan suatu hari nanti adik-adiklah yang akan mentadbir negara, kerana abang mahu melihat Malaysia ditadbir oleh mereka yang terkumpul di dadanya al-Quranul Karim. Abang juga mahu melihat, suatu hari nanti di Parlimen Malaysia dipenuhi oleh mereka seperti adik-adik dan pada masa itu nanti semua rakyat yang ada di Malaysia merasi ketenangan jiwa kerna negara diurus oleh mereka yang dekat dirinya dengan Allah swt. Ameen dan Insyallah..

Sekian Terima Kasih.

Rozlan Daud
18500 Machang

My Picture