Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, December 25, 2010

Gagal Temuduga Untuk Belajar Al-Quran...

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah, kemudian Alhamdulillah dan seterusnya Alhamdulillah..
Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad saw dan juga seluruh ahli keluarga baginda dan para sahabat yang berjuang menegakkan agama Allah yang tinggi ini. Sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah swt, dan sebaik-baik agama ialah agama Nabi Ibrahim, dan sebaik-baik sunnah ialah sunnah Nabi Muhammad saw. Seburuk-buruk perkara ialah yang diada-adakan, dan setiap yang diada-adakan itu ialah bida'h. Dan setiap yang bida'h itu sesat, dan setiap yang sesat itu pasti ke neraka.

Alhamdulillah, bersyukur pada Zat Yang Maha Esa, kerana dikurniakan nafas untuk terus bernyawa, dikurniakan kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini dan dikurniakan nikmat iman dan Islam yang tiada banding nilainya. Walau bagaimana pun, nikmat yang sering melalai dan melekakan kita ialah nikmat sihat dan masa lapang. Ini kerana, dua nikmat ini sememangnya melalaikan setiap manusia melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh sebagai bekalan untuk di negeri akhirat.

Pertama sekali ana ingin memohon jutaan kemaafan buat sahabat semua kerana sudah lama tidak mengemaskini (up to date) blog ana ni kerana kesuntukkan masa yang ada untuk dimanfaatkan pada perkara yang lebih penting dahulu. Dan Alhamdulillah masa yang ada ini ana ingin manfaatkan sebaik yang mungkin. Untuk kali ini ana ingin berkongsi sedikit cerita atau kisah perjalanan hidup ana semasa menduduki peperiksaan SPM.

Setelah menduduki peperiksaan percubaan SPM, ana cuba memohon untuk memasuki Darul Quran Wal Qiraat. Dan alhamdulillah ana dipanggil untuk temuduga bagi memasuki Darul Quran. Maklumlah, hati berkobar-kobar untuk belajar bidang al-Quran yang menjadi kitab panduan untuk setiap orang Islam, teringin sangat untuk menguasainya. Apabila tiba hari yang dijanjikan untuk sesi temuduga, ana dan beberapa orang sahabat dari sekolah yang sama hadir untuk temuduga tersebut. Kami diberi taklimat bahawa interview akan diadakan dalam dua sesi. Sesi pertama ialah setiap dari kami akan dipanggil interview dengan panel dari Darul Quran. Jika lulus sesi interview tersebut, kami akan diberi masa 1 jam untuk ujian hafazan.

Walau bagaimana pun, sesi interview tidak dimaklumkan langsung sama ada dalam bahasa melayu, atau bahasa arab ataupun dalam bahasa inggeris. So, setiap kami tidak prepare la untuk semua itu, kerana ingatkan interview diadakan dalam bahasa melayu. Bila masuk dalam bilik interview, sekali bahasa Inggeris yang digunakan. Terkejut bertambah gelisah pun menguasai badan. Maklumlah, bahasa ibunda (BI) katakan. Sudahlah BI ni start lulus exame pun masa form 5 je. Itu pun sebab cikgu BI (teacher) di sekolah baru saya tu mengajar dengan bersungguh-sungguh malah dia sanggup datang pada hari cuti untuk mengajar tusyen untuk saya seorang sahaja. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat teacher Rohani bt Ariffin kerana sanggup korbankan masa cuti cikgu untuk datang mengajar saya yang tidak pandai BI ni. Jasa teacher hanya Allah swt sahaja yang mampu membalasnya kerana cikgu korbankan masa untuk keluarga, anak dan suami untuk melihat saya berjaya dalam hidup ini. Moga jasa cikgu dikira oleh Allah swt sebagai ilmu yang bermanfaat.

sekadar hiasan


Namun lepas satu soalan demi satu soalan ditanya, soalan yang memang susah nak jawab ialah bila dia tanya kenapa nak study di Darul Quran sedangkan saya tidak pandai BI dan apakah bukti yang mampu untuk menguasai BI. Bukan saya tidak faham soalannya, tapi saya tidak tahu nak jawab dalam BI macam mana. Dan dengan sebab itulah saya dikira gagal oleh penemu duga tersebut. Walau bagaimana pun saya menganggap semua itu adalah ujian bagi saya untuk menguasai ilmu Al-Quran. Sesekali terfikir juga bahawa pentingnya BI untuk belajar al-Quran di Darul Quran.

Namun begitu, hakikat kepentingan BI ini sememangnya tidak dinafikan lagi hari ini. Kerana hampir semua organisasi hari ini mengambil pekerjanya yang berkebolehan untuk berbahasa Inggeris. Dan dengan sebab itu juga dasar pendidikan kita mula berubah kerana pentingnya bahasa inggeri ni. Sehinggakan ia memberi kesan yang teruk kepada anak-anak di luar bandar yang kurang bahan dan keperluan untuk menguasai BI. Dengan sebab ini jugalah ibu dan ayah kita hari ini menghantarkan anak-anak mereka ke kelas-kelas tusyen BI untuk memastikan anak-anak mereka hebat dan mengusai betul-betul bahasa asing ni. Tidak cukup dengan belajar di sekolah sahaja, ibu ayah sanggup menghabiskan duit dan masa menghantarkan anak-anak mereka ke kelas-kelas BI. Bukan sahaja di siang hari malam turut kelas-kelas malam. Malah ibu dan ayah sanggup menghantar anak-anak mereka hingga ke pintu kelas dan sanggup menunggu anak-anaknya habis kelas. Alangkah perkara sedemikian yang dilakukan oleh ibu dan ayah untuk memastikan anak-anak mereka menguasai ilmu agama Allah swt.

Hiasan

Namun yang menyedihkannya ialah, kerana ibu bapa mementingkan BI untuk anak-anak mereka, hingga ramai yang mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan anak-anak mereka menguasai ilmu agama dan ilmu al-Quran ini. Jika ada pun jarang kita dapati ibu bapa sanggup menghantarkan anak-anak mereka untuk ke kelas agama. Yang mereka tahu, mereka biarkan anak-anak mereka pergi sendiri ke kelas agama tanpa menghantarnya dan mengambilnya. Kerana terlalu membiarkan, kadang-kadang kita dapati anak-anak mereka tidak pun ke kelas agama, malah pergi ke tempat yang lain. Dan yang paling parah lagi apabila ada ibu bapa mengatakan jika belajar agama tidak menjamin masa depan anak-anak mereka.

Dan Alhamdulillah semalam kita diumumkan dengan kejayaan pelajar yang telah menduduki peperiksaan PMR yang begitu cemerlang sekali. Seramai 30,863 daripada 439,456 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran, meningkat 0.65 peratus atau 2,675 calon berbanding tahun lalu. Keputusan PMR 2010 keseluruhan itu diumumkan Kementerian Pelajaran semalam. Keputusan ini sememangnya menjadi kebanggaan semua lapisan masyarakat. Bermula dengan pelajar yang menduduki PMR, guru-guru yang mengajar, ibu dan ayah di rumah malah orang kampung dan jiran-jiran turut bangga dengan pencapaian dan kejayaan anak-anak kita ini.

Jika kejayaan seperti yang dicapai oleh mereka di dalam bidang agama, alangkah baiknya kerana agama yang dijadikan asas. Sebagai contoh dapat semua A dalam semua subjek agama seperti Al-Quran, hadis, feqah, sirah dan sebagainya. Peranan ini adalah tanggungjawab pelajar tersebut, ibu bapa, jiran tetangga, kerajaan dan semuanya. Namun hari ini, yang menjadi kepentingan ialah BI dan bukan lagi bidang Agama. Ibu dan ayah sudah lagi tidak kisah jika anak-anak mereka tidak pandai membaca al-Quran, tetapi resah dan gelisah jika anak-anak tidak pandai berbahasa Inggeris. Ibu bapa tidak kisah jika anak tidak solat, tapi susah hati jika anak-anak tidak dapat A dalam subjek BI. Hakikat dunia hari ini, ramai yang tidak dapat membezakan antara kewajipan dan kelebihan. Kewajiban bagi ayah dan ibu ialah memberi pendidikan agama untuk anak-anak mereka dan kewajiban anak-anak ialah mereka kena menguasai ilmu agama kerana ilmu agama adalah wajib setiap orang mengetahuinya. Namun begitu bahasa Inggeris ini adalah kelebihan. Sesiapa yang menguasainya bererti ia melebihi dari orang lain yang tidak menguasai BI. Namun ianya tidak wajib seperti ilmu agama. Sedihlah kerana ramai yang tidak dapat membezakan antara yang wajib dengan kelebihan.

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama tingkatkan ilmu agama kita disamping kita menguasai bahasa Inggeris dan ilmu-ilmu lain kerana ilmu agama itu penting dan menjamin kebahagiaan hidup kita di dunia dan juga di akhirat. Risaulah anak-anak jika tidak pandai membaca al-Quran kerana ia adalah panduan hidup untuk setiap orang. Malah al-Quran ini dari Allah swt, Tuhan sekalian alam dan bukan dari manusia. Susah hatilah jika anak tidak pandai solat kerana solat akan menyelamatkan mereka dari perkara-perkara buruk baik di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Sekian

"Erti Hidup Dalam Mengabdikan Diri Kepada Allah swt"

Rozlan
18500 Machang

Sunday, December 12, 2010

Janji Yang Mendapat Pahala Kerana Memungkirinya...


In The Name Of Allah swt, The Most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah swt, Tuhan yang memiliki apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi serta apa yang ada di antara keduanya. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Allah, Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan seluruh sahabat dan mereka yang berjuang untuk menegakkan agama Allah swt.

Alhamdulillah, terasa sudah lama ana tidak membuka blog ini untuk berkongsi dengan kalian semua. Maklumlah bila berada di rumah dan bercuti ini, banyak pula program yang tidak tersenarai dalam jadual (hobi) terpaksa di utamakan. Kerana memenuhi permintaan sahabat sekampung, maka pelbagai program telah diikuti hingga terlupa atau buat-buat lupa untuk berkongsi dengan sahabat semua.

Untuk kali ini, ana ingin berkongsi berkenaan dengan janji. Bila sebut perkataan janji, semua di kalangan kita terus membuat mindset di dalam mindanya bahawa ianya (janji) wajib ditunaikan, dan berdosa jika tidak menunaikan janji dengan sengaja. Namun sedarkah kita akan janji yang tidak wajib ditunaikan. Malah berdosa jika kita menunaikannya. Maka persoalan tentang janji inilah yang saya akan kongsi dengan pembaca semua.

Janji, satu ungkapan kontrak yang pasti dan akan pasti untuk dilaksanakan atau ditinggalkan. Janji adalah satu ungkapan yang sering terbina di dalam sesuatu perhubungan. Orang yang dilamun cinta, lebih kerap membina janji, orang yang sudah berkahwin, membina janji untuk hidup dan mati bersama, sedangkan hal berkenaan dengan mati itu bukan urusan mereka tapi mereka berani untuk berjanji. Janji juga terbina bagi mereka yang ingin mencapai kejayaan dan berjanji akan berusah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, dan janji seperti ini amat digalakkan di dalam Islam. Apa pun ungkapan ringkas pasal janji ini sahabat boleh menilainya sendiri mengikut kehendak, pemahaman, ilmu dan keperluan yang sahabat inginkan kerana janji itu adalah ungkapan yang terbina untuk kebaikkan diri dan masyarakat.

Janji sememangnya wajib dan perlu dilaksanakan kerana ia adalah sebuah ikatan yang termetri atau aqad yang wajib dilaksanakan atau ditinggalkan. Jika seseorang itu tidak pasti ianya dapat melaksanakan janjinya maka hendaklah ia bersandarkan kepada Allah swt sebagai Tuhan yang berkuasa dan membantu dirinya untuk melaksanakan janjinya. Sebab itulah kita sering mendengar perkataan "Insya Allah" sebagai sandaran kudrat kita yang lemah ini kepada Allah swt sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa. Ingatlah, janji yang dibina yang membawa kebaikkan atau bermatlamat untuk mencapai redha Allah swt, maka wajiblah ia tunaikan sekadar kemampuannya.

Ada pun janji yang wajib untuk tidak ditunaikan ialah janji yang membawa kepada dosa, maksiat dan kemurkaan Allah swt. Janji seperti ini bukan sahaja tidak wajib ditunaikan, malah ia wajib ditinggalkan. Atas sebab larangan Allah swt yang wajib dipatuhi, maka ia menghalang janji yang membawa kepada maksiat. Sebagai contoh, sepasangan
couple berjanji yang untuk senantiasa mengambil berat antara satu sama lain kerana mereka ingin untuk hidup bersama dan membina keluarga dengan ikatan perkahwinan. Maka janji itu adalah harus dan baik kerana mereka ingin membina sebuah keluarga bersama. Ada pun akibat percaya dengan janji manis si lelaki, maka si perempuan menyerahkan segalanya hatta menyerahkan apa yang tidak sepatutnya, maka janji seperti ini tidak wajib untuk ditunaikan. Iaitu si perempuan tidak boleh menyerahkan segalanya kepada lelaki tersebut akibat daripada janji untuk hidup bersama. Walau janji itu baik, tetapi ia mengarahkan kepada maksiat kepada Allah swt, maka janji itu sudah menjadi wajib untuk TIDAK dilaksanakan.

Contoh lain, jika seseorang berjanji untuk ke tempat maksiat dan dosa, seperti ke pusat karaokae atau disko, tetapi dia melanggar janjinya untuk ke tempat tersebutkerana takutkan dosa dan maksiat kepada Allah swt, maka ganjaran pahala pasti untuknya kerana meninggalkan janji untuk melakukan dosa. Memungkiri janji seperti ini adalah wajib baginya kerana jika dia tidak memungkiri janji tersebut sudah pasti dirinya akan beroleh binasa.


Sekadar hiasan : Berjanji untuk berjumpa dan melakukan maksiat adalah haram...


Sebagai contoh lain untuk lebih memahami, seorang perempuan telah membuat ikatan perjanjian dengan seorang lelaki untuk melakukan zina. Sebagai balasan kepada perempuan itu, lelaki telah berjanji untuk mengambil perempuan tadi sebagai isterinya dan mereka berjanji untuk membina perkahwinan. Namun, sebelum tiba masa yang dijanjikan untuk berzina, lelaki tadi telah membatalkan perjanjiannya dengan perempuan tersebut kerana dia tahu bahawa zina itu adalah dosa. Maka janji untuk bertemu dan buat maksiat itu tidak wajib ditunaikan kerana janji tersebut membawa kepada perbuatan dosa dan maksiat walau janji itu dituntut oleh wanita tersebut.

Tidak kisahlah apa jua keadaan dan ruang serta peluang, janji yang membawa kepada maksiat dan dosa kepada Allah swt adalah wajib ditinggalkan dan jika memungkirinya pasti mendapat pahala kerana meninggalkan perbuatan dosa. Namun dari segi mentaliti masyarakat kita, jika memungkiri janji pasti akan berdosa. Namun jika janji kepada maksiat memungkirinya akan mendapat pahala di sisi Allah swt.

"Tidak wajib tunai janji yang mengarahkan kepada dosa dan maksiat..."

Sekian,

Ibnusoleh
18500 Machang

Monday, December 6, 2010

"Penghijrahan atau Permulaan: Suatu Analisa dari Kisah Si Beluncas.."

Dengan Nama Allah swt, Yang Maha Pemurah, Dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah, seterusnya alhamdulillah.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam yang berjuang menegakkan kebenaran Agama Allah swt di dunia ini.

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipanjangkan usia untuk melangkah ke tahun baru seiring dengan peredaran masa. Ini kerana masa tidak akan berputar kembali tetapi terus menyusun detik ke detik menanti saat ia dihentikan oleh Allah swt. Alhamdulillah kita ummat Islam telah masuk ke tahun 1432 hijrah, bermakna Nabi saw dan para sahabat telah meninggalkan kita sekian lama dan kita semakin berjauhan dengan saat perjuangan Rasulillah saw. Walau bagaimana pun, kita sebagai ummat akhir zaman ini bertuah kerana walaupun kita tidak sempat bertemu, berjumpa dan beramah mesra, malah kita jua tidak sempat untuk turut sama berjuang dengan Rasulullah, tetapi kita menyintainya lebih dari seorang yang kita kenal. Itulah rahmat yang Allah swt kurniakan kepada kita ummat akhir zaman ini.

Sebelum masuknya waktu maghrib, rata-rata masjid, surau, rumah dan tempat-tempat ibadah bagi orang Islam membaca doa akhir tahun. Manakala selepas azan maghrib mereka membaca pula dia awal tahun untuk tahun yang baru ini. Ada juga yang membacanya selepas solat maghrib. Namun ada sesetengah pihak menafikan ianya adalah amalan dari Nabi saw. Walau bagaimana pun saya menyatakan di sini bahawa amalan membaca doa ini (akhir dan awal tahun) merupakan amalan salaful soleh yang pasti ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Walau tiada nas khusus menyatakan atau menyuruh kita berbuat demikian, tetapi boleh dikatakan ianya adalah amalan yang baik kerana ia dikategorikan sebagai doa dalam setiap peristiwa atau pekerjaan kita seharian dan ingatlah doa itu adalah sunat bagai setiap orang Islam sebelum mereka memulakan pekerjaan harian mereka.

Setiap tahun apabila tiba awal muharam, pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan oleh kebanyakkan institusi-institusi baik sektor awam, mahupun swasta untuk meraikan peristiwa hijrah yang menjadi titik tolak kepada terbentuknya kalendar Islam. Di Malaysia sendiri, kerajaan Malaysia turut meraikan peristiwa hijrah dengan pelbagai aktiviti untuk mengingatkan peristiwa hijrah Rasulillah saw dan juga para sahabat. Antara agenda yang diaturkan seperti perarakkan, pengurniaan tokoh maal hijrah dan sebagainya. Ini menunjukkan kita di Malaysia tidak melepaskan peluang untuk mengenang kembali peristiwa nabi Saw dan para sahabat yang bertungkus lumus memperjuangkan Islam hingga terpaksa berhijrah meninggalkan bumi Makkah, harta benda dan sebagainya untuk berjuang bagi memastikan Islam terus bersinar hingga ke suatu masa yang dijanjikan oleh Allah swt.

Namun begitu, sekadar menyambut tahun baru hijrah dan berselawat pada 1 Muharam ini tidaklah cukup untuk menunjukkan kita kasih dan cinta kepada Rasulullah. Ini kerana cintakan Rasul itu perlu ada setiap saat yang berlalu di dalam diri kita seperti mana kurangnya saat umur hidup kita ini. Cinta itu pula perlu dibuktikan dengan amalan sunat atau sunnah yang telah ditinggalkan oleh Rasul kepada kita untuk diamalkan dan bukan sekadar untuk ditulis di dalam kitab-kitab hadis atau pun bukan sekadar untuk dibahaskan sama ada ianya sahih ataupun dhaif. Yang penting jika ia benar dan diakui kesahihannya menurut syariat maka ia adalah amalan baik dan dikira ibadah jika dengan niat ikhlas kerana Allah swt.

Bermula tahun hijrah ini, maka perlulah antara kita untuk turut berhijrah ke arah yang lebih baik dan diredhai oleh Allah swt. Ini kerana jika kita ingin berhijrah sepertimana yang dibuat oleh Rasul dan para sahabat, maka hijrah seperti itu sudah tiada lagi. Ini kerana Nabi saw bersabda yang bermaksud "Tiada hijrah selepa pembukaan Kota Makkah, tetapi jihad dan niat (yang benar).."Ini menunjukkan kepada kita bahawa tiada lagi penghijrahan dari kota Makkah ke kota Madinah atau apa jua tempat sekali pun. Namun yang ada adalah penghijrahan jihad dan niat dari yang kurang baik kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik. Dan sebaik-baik jihad adalah jihad untuk melawan hawa nafsu.

Setiap insan impikan yang terbaik malah mereka inginkan yang terbaik. Namun menjadi persoalannya adakah diri mereka itu telah berhijrah untuk berada di dalam kebaikkan. Fikir-fikirkan. Ini kerana, kebaikkan tidak akan menetap melainkan pada tempat yang baik begitu jua sebaliknya. Oleh itu, jika kita inginkan yang terbaik, maka hijrahkanlah diri kita untuk menjadi insan yang terbaik. Kita tidak perlu berhijrah terus, tetapi hijrahlah sedikit demi sedikit dan sesuaikanlah diri kita dengan keadaan dan tempat yang baik. Jika dahulu kita tersangat nakal, maka kurangkanlah. Jika dahulu kita solat lewat pada waktunya, maka awalkanlah ia. Jika dahulu kita solat bersendirian, maka hijrahkanlah untuk solat berjemaah. Jika dahulu kita solat dirumah, maka hijrahkanlah untuk solat di masjid dan seterusnya.


semasa masih menjadi beluncas


Permulaan hijrah untuk hidup dikepompongya


Setelah cukup tempohnya dalam mengharungi liku-liku hidup


Setelah beroleh kejayaan..

sekadar hiasan kisah si Beluncas


Saya teringat lagi kata-kata iman Ghazali di dalam kitabnya; "Emas tidak akan bersinar jika tidak keluar dari tempat asalnya (tanah), ia tidak akan ternilai jika tidak berubah untuk diukur cantik dan diletakkan di kepala-kepala raja. Air tidak akan bersih jika tidak mengalir dari lopak-lopak kotornya..." Ini menunjukkan, jika kita mahu diri ini menjadi yang terbaik, maka perlulah kita berubah untuk berada ditempat yang baik. Jika kita ingin berjaya, maka perlu berusaha sepertimana orang yang berjaya berusaha. Jika ingin tingkatkan ilmu agama, maka selalulah merujuk kepada mereka yang arif tentang ilmu agama dan sebagainya.

Sesekali termenung melihat gelagat si beluncas (ulat), yang mempunyai impian menggunung hingga sanggup berkorban untuk berubah. Impiannya adalah untuk menjadi rama-rama yang cantik dan dapat menarik perhatian ramai. Baginya, jika dia terus berada dalam kumpulan beluncas, maka tiada siapa tertarik padanya. Namun dia perlu berubah dan terus berubah. Maka untuk mencapai impiannya menjadi rama-rama, ia perlu berhijrah dan permulaan hijrahnya ialah dengan meninggalkan tempat asalnya dengan memanjat pokok yang tinggi dan terus ke hujung dahan. Setelah itu, dia perlu membina kepompongnya bagi mengelakkan dari pelbagai musibah yang mendatang. Ia perlu berkorban, untuk hidup di dalam kepompongnya hinggakan tidak makan dan minum, berkorban untuk berada di dalam kesusahan, kesempitan ruang dan kepanasan serta sebagainya. Dan akhirnya, si beluncas tadi berjaya menjadi rama-rama yang cantik dan terbang bebas hingga menarik perhatian ramai.

Kisah perubahan demi perubahan yang berlaku pada si beluncas itu perlu dijadikan pengajaran bagi kita semua khususnya orang Islam. Dengan semangat maal Hijrah yang baru ini, kita perlu menanamkan azam dan impian yang baru untuk menjadi insan yang lebih baik seperti yang terjadi kepada beluncas untuk menjadi rama-rama. Saya teringat nasihat Datuk Ahmad Faiz, " tidak banyak benda yang mustahil dalam dunia ini..." Oleh itu, setiap apa yang kita inginkan, perlu kepada usaha dan doa serta tawakal kepada Allah swt. dan insya Allah semua pasti akan berjaya.

Yang penting adalah niat yang ikhlas kerana Allah swt dalam setiap gerak kerja yang kita lakukan. Ini kerana ia bertepatan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud : "....setiap amalan bermula dengan niat. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah untuk Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau apa yang diperolehinya atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya sesuai dengan apa yang diniatkannya.."

Akhir kata, berhijrahlah diri kita dari yang tidak baik kepada yang baik, dari yang baik kepada yang lebih baik agar kita mendapat pahala jihad seperti yang dijanjikan Allah swt untuk hamba-Nya. Ingatlah, tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat yang benar untuk berubah.

Wallahu A'lam. Salam Maal Hijrah....

Rozlan Daud
18500 Machang

My Picture