Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Thursday, January 6, 2011

Di Kala Pertemuan Itu....

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran hanya untuk Allah swt, tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan hanya kepada-Nya sahaja. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam yang tidak jemu-jemu berjuang untuk menegakkan agama Allah swt yang mulia.

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitab Allah swt (al-Quran), dan sebaik-baik agama, ialah agama Nabi Ibrahim, dan sebaik-baik sunnah adalah sunnah Nabi Muhammad saw. Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan. Dan setiap yang diada-adakan adalah bida'ah. Dan setiap yang bida'ah itu adalah sesat dan setiap yang sesat itu adalah ke neraka.

Pertama sekali ana ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baru, tahun 2011, walaupun ianya sudah berlalau hampir seminggu yang lalu. Ini bererti ana sudah hampir seminggu tidak mengemaskini blog ana untuk tahun baru ini. Ana memohon jutaan kemaafan kerana pelbagai urusan yang perlu ana selesaikan dalam tempoh itu. Kadang-kala walau ada masa yang terluang, ana gunakan untuk merehatkan diri dan minda, so itu juga adalah keperluan.

Alhamdulillah, kali ini ana ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang perjalanan hidup ana. Maklumlah bila masuk tahun baru ini, terasa usia diri ini semakin meningkat dan juga pengalaman juga wajib ditingkatkan seiring dengan peningkatan umur. Namun dari segi usia, ana katakan ianya semakin berkurang dan semakin hampir untuk dijemput oleh Allah swt bagi dipertanggungjawab ke atas setiap saat yang berlalu. Ingatlah bahawa masa itu amanah dan bekerja itu ibadah. Mudah-mudahan dengan setiap apa yang kita lakukan sehari-harian ini dikira sebagai ibadah oleh Allah swt, insya-Allah.

Bila disebut pertemuan, rata-rata antara kita mengatakan bahawa ianya pertemuan dua orang insan atau lebih. Atau pertemuan seseorang dengan sesuatu barangan atau pertemuan antara barangan dengan barangan yang lain. Pendek kata, pertemuan itu wujud seiring dengan perpisahan. Bak kata pepatah, pertemuan dan perpisahan itu adalah lumrah kehidupan. Pertemuan itu kadang kala terjadi tanpa kita rancang atau kita sedari. Inilah yang dikatakan takdir yang ditetapkan oleh Allah swt. Begitu juga dengan perpisahan yang mungkin berlaku tanpa kita menduga. Ada orang, pertemuan berlaku disebabkan usahanya, dan ada juga atas usaha orang lain. Apa juga method yang terjadi untuk mewujudkan pertemuan itu pastinya berbagai-bagai, namun yang pastinya jodoh pertemuan, takdir perpisahan itu adalah urusan Allah swt yang telah mentakdirkan untuk setiap hamba-Nya.


sekadar hiasan


Memanglah, kehendak hati kita seboleh mungkin inginkan pertemuan itu berkekalan tanpa harus ada perpisahan. Kenapa perlu ada pertemuan seandainya ia berakhir dengan perpisahan. Memang kita semua tahu, pertemuan yang terhasil atas dasar ikhlas dan limpahan rahmat Allah swt itu manis hinggakan kemanisannya tidak dapat ditafsirkan oleh mana-mana kamus yang ada di dalam dunia ini. Dan kita juga tahu bahawa perpisahan yang terjadi itu pahit hinggakan kita tidak sanggup menelannya. Ya, itulah yang dikatakan dengan kehidupan. Tiada siapa yang merancang untuk terjadinya pertemuan dan tiada pula yang menduga terjadinya perpisahan. Hidup ini ibarat seperti roda yang silih berganti, kadang-kadang hidup itu indah dan kadang-kala ianya tidak seindah yang diharapkan.

Jika kita merujuk kepada sejarah Islam itu sendiri, semua orang tahu dengan sejarah kebangkitan Islam dan kegemilangan tamadunya. Kita sendiri berbangga dengan kehebatan tamadun Islam yang terbina itu kerana kita yakin hanya Islam adalah contoh terbaik dalam membangunkan manusia dan peradaban. Namun keindahan yang kita bangga-banggakan itu tidak kekal kerana takdir Allah swt ianya jatuh dan pupus hinggakan tidak dirasainya lagi hingga ke hari ini. Yang kita bangga-banggakan adalah sejarahnya, namun kesannya tidak sedikit pun dirasai oleh ummat Islam hari ini.

Siapakah harus dipersalahkan? Takdir? Dalam hal ini bukan siapa yang salah ingin dibongkarkan. Jauh sesekali untuk menunding jari kearah mereka yang terlibat dalam kejatuhan kegemilangan Islam itu sendiri. Namun yang kita perlu lakukan adalah belajar dari kesilapan tersebut hingga jatuhnya sebuah tamadun Islam yang besar lagi hebat di mata dunia. Mungkin apa yang berlaku itu (kejatuhan tamadun Islam dan peradaban Muslim) ada hikmah yang tersirat yang kita sukar memahami hakikatnya. Apa yang penting ialah kita sebagai ummat Islam yang ada pada hari ini seharusnya merancang pelbagai strategi dan bersiap siaga dengan kekuatan yang ada pada diri kita untuk mengembalikan kegemilangan Islam yang telah menjadi sejarah itu.

Pertemuan atas dasar agama sememangnya indah


Dalam usaha mencapai matlamat ini, kita tak perlukan Umar Abdul Aziz, Salehuddin Al Ayyubi atau Sultan Muhammad Al-Fateh kerana kesemua mereka sudah pergi meninggalkan kita untuk bertemu dengan Allah swt. Kita tidak perlu seseorang yang gagah dan berani seperti Umar bin Al-Khattab, Khalid bin Al-Walid dalam hal ini. Namun apa yang kita inginkan ialah adalah anak muda Islam yang ada jati diri, keperibadian akhlak dan roh semangat perjuangan seperti individu dan tokoh yang disebutkan tadi. Secara mudahnya, sebagai contoh, kalau dulu Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayyubi yang membuka Al-Quds, hari ini kita memerlukan generasi baru Islam untuk menjayakan matlamat ini. Matlamat yang sama tetapi orangnya dan usahanya berbeza.

Berbalik kepada hal pertemuan tadi, setiap pertemuan dan persahabatan yang terjalin, kita perlu pertahankannya atas dasar tarbiyah (Islam & Iman) dan kasih sayang yang terjalin ikhlas kerana Allah swt. Method inilah yang diaplikasikan oleh baginda Rasulullah saw ketika mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin di Madinah. Perlu diingatkan bahawa tiada sebarang paksaan yang dipaksakan oleh Rasulullah dalam ikatan pertemuan tersebut. Apa yang terjadi, ia berlaku dengan kasih-sayang dan kerelaan hati masing-masing.

Begitu juga dengan perpisahan, semua orang tidak inginkan perpisahan termasuklah saidina Umar Al-Khattab yang tidak boleh menerima berita kewafatan Rasulullah saw. Beliau sambil menghunus pedang melarang sesiapa pun mengatakan bahawa Muhammad sudah wafat. Mujurlah ada saidina Abu Bakar As-Siddiq, dengan tenang memujuk

“ Siapa yang menyembah Muhammad, maka kini Muhammad sudah wafat. Dan siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah tetap hidup tidak mati”.

Lantas Abu Bakar membacakan sepotong ayat Quran yang bermaksud:

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (Ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."

(surah Al-Imran, ayat ke 144)


Mendengarkan itu, lalu sedarlah Umar bahawa Rasulullah saw telah pun pergi meninggalkan dunia ini. Betapa sakit dan sedihnya para sahabat melalui detik perpisahan itu. Meskipun begitu, kisah sini mengajar kita supaya belajar menerima dan meredhai sesuatu perpisahan itu. Bukankah, tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di mahsyar kelak antaranya adalah mereka yang bertemu & berpisah kerana Allah s.w.t.

Kesimpulannya, dalam setiap sudut pertemuan itu, bakal wujud di dalamnya saat perpisahan yang tidak diketahui bila dan di mana berlaku noktahnya (apakah maut yang akan memisahkannya). Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan satu-satunya tempat untuk kita berserah segalanya setelah menjaga pertemuan yang tidak dipaksakan itu. Ingatlah, kita hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah adalah lebih baik (wallahu khairul makirin).

“YA ALLAH, SEANDAINYA PERTEMUAN KAMI INI PERTEMUAN YANG MENDEKATKAN DIRI KAMI KEPADA MU, MAKA KAMI REDHA YA ALLAH, TETAPI JIKA ENGKAU MENGKEHENDAKI PERPISAHAN ANTARA KAMI, MAKA KAMI POHON AGAR ENGKAU DAMAIKANLAH HATI KAMI DENGAN KETENTUAN MU ITU”


pss// Tulisan ini ana tujukan kepada seorang sahabat agar beliau lebih bersedia dengan perpisahan setelah beliau bergembira dengan pertemuan. Diharapkan pertemuan dengannya hingga ke syurga...


sumber rujukkan: www.cangkulhijau.wordpress.com

My Picture