Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Tuesday, April 26, 2011

TANGGUNGJAWAB SUAMI DAN "HAK" ISTERI....

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful..

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Allah, Syaidina Mursalin, Muhammad SAW., ahli keluarga bagindan dan seluruh ummat Islam.

Sebenar-benar perkataan ialah Kalam (al-Quran) Allah swt, sebaik-baik agama ialah agama Nabi Ibrahim, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi Muhammad saw., seburuk-buruk perkara ialah yang direka-reka (diada-adakan), dan setiap yang direka-rekakan itu adalah bida'ah, dan setiap yang bida'ah itu pasti ke neraka.

Alhamdulillah, dikesempatan dan peluang yang ada ini ana ingin berkongsi sesuatu untuk kita sama-sama mendapat sedikit manfaat agar ia menjadi bekalan hidup kita. Kali ini saya memilih tajuk " Tanggungjawab Suami dan Hak Isteri" merupakan ulasan ringkas untuk kehidupan di alam rumah tangga. Tidak dapat tidak, setiap manusia yang normal dan waras pula akal fikiran sudah pasti mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga. Namun, sebelum membina mahligai kebahagiaan itu, pelbagai keperluan yang diperlukan untuk memastikan kebahagiaan dicapai. Kata orang, "harta tidak menjamin kebahagiaan", tetapi ingatlah tanpa harta sudah pasti hidup tidak pasti bahagia. Hari ini, keperluan kepada meterial amat diperlukan tetapi janganlah kerana keperluan meterial itu kita mengabaikan keperluan yang lain.

Selain dari keperluan meterial, keperluan ilmu juga penting dalam mencapai kebahagiaan rumah tangga. Ini kerana, dengan ilmu seseorang itu dapat mengaplikasikan agama yang mereka anuti. Tanpa agama, mana mungkin rumah tangga akan aman dan bahagia. Harta tidak mampu untuk membeli kebahagiaan kerana kebahagiaan itu milik Allah swt dan sudah pasti Allah swt akan mengurniakan kebahagiaan itu kepada hamba-Nya yang taat pada perintah-Nya.

Ingatan bagi lelaki yang bakal bergelar suami, apabila kamu telah diakad nikah oleh wali, atau wakil wali kepada perempuan, maka sesungguhnya kamu telah memikul amanah dan tanggungjawab terhadap anak gadis mereka. Kamulah yang menjadi pemimpin untuk isteri dan anak-anak kamu nanti. Semua keperluan dan hak asasi untuk mereka adalah di bawah tanggungjawab kamu, baik dari segi keperluan asas seperti makan, minum, pakai, dan sebagainya. Malah keperluan ilmu pendidikan, akhlak, sosial dan sebagainya adalah kewajiban yang tertanggung di atas kamu. Oleh itu, mampukan kamu berakad nikah sebelum diri kamu belum cukup bersedia di atas keperluan tersebut? Jika persoalan "adakah kamu mahu berkahwin?" ditanyakan kepada lelaki, sudah pasti mereka menjawab mereka ingin berkahwin. Dan bila ditanya lagi, "adakah mereka bersedia?", sudah pasti jawapan mereka (lelaki); ya kami sudah bersedia. Tetapi hakikatnya apakah "persediaan" yang dikatakan oleh lelaki itu yang mereka sudah bersedia.

Persediaan harta benda adalah tidak cukup untuk membahagiakan keluarga. Tetapi tanpa persediaan harta benda seperti tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya juga tidak akan membahagiakan rumah tangga kerana keperluan hari ini memerlukan kepada harta benda. Cuba anda bayangkan, hari ini manusia lahir sahaja memerlukan wang. Wang untuk membayar kos rawatan dan perkhidmatan hospital, wang untuk pendaftaran kelahiran, wang untuk lampin dan sebagainya. Pendek kata, lahir sahaja manusia, sudah pasti perlu kepada kewangan.

Persediaan ilmu berkenaan rumah tangga juga perlu dalam mengurus rumah tangga. Jika tiada ilmu rumah tangga yang secukupnya, maka mudah sahaja kebahagiaan rumah tangga itu digoyahkan dan akhirnya berlakulah penceraian. Hari ini, jika kita bertanya kepada pejabat agama, atau di mahkamah syariah, terdapat banyak kes penceraian yang berlaku. Di mana puncanya? Salah siapa? Fikir-fikirkan.

Selain itu, keperluan ilmu agama adalah juga merupakan tanggung jawab suami. Walaupun mendidik anak ini adalah tugas bersama dengan isteri, namun sebagai ketua dalam keluarga, keperluan untuk mengetahui asas agama adalah tanggungjawab suami. Mana mungkin suami yang jahil agamanya dapat melaksanakan keperluan agama di dalam rumah tangga mereka seperti mana yang dilandaskan oleh syariat. Mana mungkin suami yang jahil agamanya dapat mengajar isteri dan anak-anak mereka tentang ilmu agama. Ingatlah wahai mereka yang bergelar suami atau bakal bergelar suami, sesungguhnya kebahagiaan itu adalah milik Allah swt untuk hamba-Nya. Ia (kebahagiaan) tidak dapat dibeli atau ditukar ganti dengan harta benda yang bersifat fizikal, tetapi kebahagiaan itu adalah kurniaan dari Allah swt untuk hamba-Nya yang bertaqwa. Mana mungkin seseorang itu dapat menjadikan dirinya bertaqwa selagi mereka tidak memiliki asas ilmu agama kerana ilmu agamalah yang mengajar erti taqwa. Oleh itu, keperluan dalam persediaan untuk memiliki ilmu agama ini adalah tanggungjawab kepada setiap lelaki dan perempuan dalam mencapai keredhaan dan kebahagiaan dalam pelayaran alam rumah tangga.

Jika kita perhati dalam kehidupan kita hari ini, semakin ramai lelaki yang kurang ilmu agamanya, bukan tiada, tetapi majoritinya ramai yang semakin jahil ilmu agamanya. Bukan itu sahaja, malah mereka juga turut jahil dalam menguasi ilmu fardu kifayah. Buktinya, golongan lelaki ini semakin mengalami kepupusan di universiti atau di institut pengajian tinggi. Rata-rata yang kita jumpa di tempat pendidikan tinggi ini adalah golongan wanita. Ke manakah lelaki? Adakah lelaki semakin "bodoh" sehinggakan mereka tidak mampu untuk belajar di menara gading? Atau kerana golongan wanita telah mengalami transgenik yang menjadikan mereka "super intelligent"? Saya yakin anda ada jawapannya. Ini kerana lelaki yang diberi amanah sudah pasti mereka mempunyai kekuatan tersendiri untuk mengurus amanah tersebut. Tetapi disebabkan pelbagai punca, mereka (lelaki) tidak mengetahui kekuatan yang mereka miliki itu dan mereka tidak tahu menggunakan kekuatan dan kelebihan yang mereka ada.

Suami mempunyai tanggungjawab sepenuhnya ke atas isteri mereka. Para suami bukan sahaja wajib menyediakan makan dan pakai serta tempat tinggal untuk isteri seperti yang difahami oleh kebanyakkan kita. Tetapi suami turut bertanggungjawab dalam memberi didikan agama ke atas para isteri mereka. Suami juga perlu menyediakan kemudahan asas untuk isteri hatta perlu menyediakan tukang gaji jika diperlukan. Suami juga perlu mendidik anak-anak mereka agar menjadi insan yang terbaik di dunia dan di akhirat.

Bersambung.........

Sekian.

Friday, April 1, 2011

Aku Terima Nikahnya..." Bercinta Hingga Ke Syurga"

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah dipanjatkan syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat yang Allah swt kurniakan untuk kita semua dari alam roh hingga ke alam roh yang berikutnya. Sesungguhnya setiap saat yang berlalu kita sentiasa mengambil rahmat dariNya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pemurah. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw. ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam yang gigih berjihad dalam menegakkan agama Allah swt.

Alhamdulillah pertama sekali ana memohon jutaan kemaafan kerana terlalu lama tidak menjengok blog ana ni. Di kesempatan yang ada ini ana tergerak hati untuk menulis berkenaan pasal cinta dan jodoh. Sudah menjadi fitrah insan yang waras akalnya pasti mempunyai perasaan untuk mengasihi dan dikasihi. Oleh itu, perasaan itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun hatta seorang rahib di dalam gereja sekali pun mempunyai soal cinta di hati mereka.

Perasaan kasih mengasihi itu pasti akan dibuktikan dengan sebuah perkahwinan. Sebab itulah juga dalam semua agama, pasti perkahwinan ada. Baik dalam agama Islam sendiri, agama Kristian, Hindu dan apa sahaja termasuklah masyarakat pribumi yang tidak tahu apa pegangan agama mereka sekali pun mereka tetap mempunyai adat dan cara perkahwinan tersendiri. Ini membuktikan agama yang ada di dunia ini TIDAK menghalalkan penzina tetapi agama yang mereka anuti mengiktiraf perkahwinan.

Pernahkah anda membaca buku "Aku Terima Nikahnya" dan " Bercinta Sampai Ke Syurga" karangan ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Kali ini, bukan buku ini yang hendak dikongsi dengan anda walau tajuknya hampir sama. Tetapi apa yang hendak dikongsi kali ini ialah hanya serba ringkas berkenaan dengan cinta dan jodoh seperti mana yang ditetapkan oleh Allah swt untuk kita sebagai hambaNya.

Cinta merupakan suatu perasaan yang dikurniakan dari Allah swt untuk hambaNya. Perasaan cinta itu dikurniakan oleh Allah swt sekadar satu peratus sahaja di dunia ini untuk hamba-Nya manakala 99 peratus lagi adalah tersimpan untuk hamba-Nya di akhirat kelak. Yang satu peratus inilah kita cintakan Allah swt, untuk cintakan makhluk-Nya. Dengan satu peratus ini jugalah harimau di hutan menyayangi anak-anaknya dan dengan satu peratus ini juga, kita berkasih sayang semasa manusia. Oleh itu, manfaatkanlah satu peratus yang dikurniakan oleh Allah swt ini.

Perasaan cinta itu lahir dari hati, ianya tidak dipaksa dan tidak pula memaksa untuk menyayangi dan disayangi, ia lahir dari hati mereka yang waras akal fikirannya. Sebab itulah sering kali kita mendengar pepatah "Cinta Itu Buta". Terfikirkah kita kebenaran hakikat pepatah itu? Atau apakah butanya cinta kita? Fikir-fikirkan.

Bila bercakap pasal cinta, banyak pandangan dan pendapat yang dilontarkan oleh mereka kebanyakkan. Ada pandangan dari mereka yang pakar tentang erti cinta, ada pula dari kalangan masyarakat biasa dan yang tidak boleh tahan ada juga dari kalangan pelajar sekolah rendah pun turut sama menyatakan pandangan mereka terhadap erti cinta. Pendek kata, semua orang mahu memperkatakan tentang cinta. Itulah hebatnya cinta sampai secilik pelajar sekolah rendah pun memperkatakan tentang cinta.

Kerana cinta itu suatu perasaan, maka setiap antara kita yang waras tidak terlepas daripada memiliki perasaan cinta ini. Jarang sekali kita mendengar mereka yang tidak suka atau sudi untuk bercinta hatta dalam dunia moden ini semakin ramai yang kita jumpa cinta sejenis, (moga Allah melindungi kita dan keturunan kita daripada terlibat dengan cinta sejenis). Apabila ia merupakan suatu perasaan, maka ia juga berkait rapat dengan perasaan menyayangi dan disayangi.

Bila bercakap pasal cinta, kita selalu dengar cinta itu seharusnya dibuktikan dengan perkahwinan. Jika tidak, maka sia-sialah erti cinta. Kerna itulah tertulisnya tajuk "Aku Terima Nikahnya" sebagai bukti cinta yang dirancang. Cinta memerlukan pengorbanan, cinta juga memerlukan kesabaran, cinta juga perlu dihiasi dengan persefahaman dan apa sahaja yang berkaitan dengannya. Ia bertujuan untuk merealisasikan impian sebuah cinta yang dirancangan untuk diakhiri dengan sebuah perkahwinan.

Betul ke orang cakap jodoh ini ditetapkan?

Bila bercakap pasal jodoh, ramai "ulama-ulama" cinta memperkatakan sesuatu tentang jodoh. Ulama' pertama memperkatakan jodoh ini ditetapkan oleh Allah swt dan seharusnya berserah pada takdir tanda membuat perancangan dan usaha. Mereka lebih memperkatakan bercinta itu "haram" hukumnya. Berdalil kepada nas mana pun saya tidak pasti. Mereka menolak sehabis-habisan cinta sesama makhluk. Yang mereka harapkan ialah cinta dari Allah swt dan jodoh itu adalah dikurniakan oleh Allah swt.

Ulama' kedua memperkatakan jodoh ini berdasarkan kepada usaha kita tanpa bersandar terus kepada kekuasan Allah swt. Bagi mereka, cinta ini perlu untuk mendirikan rumah tangga. Dengan siapa jodoh kita adalah berdasarkan kepada usaha mereka "mengayat" atau "tackle" mana-mana perempuan. Akhirnya bila persetujuan ditetapkan maka terjadilah sebuah perkahwinan. Bagi mereka jodoh adalah usaha mereka semata-mata. Maka pandangan sebegini ana katakan sesat dari ajaran Islam.

Ulama' berikutnya memperkatakan soal jodoh ini adalah kekuasan Allah swt menentukan siapa yang terbaik untuk hamba-Nya. Namun Allah swt itu tidak zalim dan memberi peluang kepada hamba-Nya untuk membuat perancangan dan pemilihan. Jika perancangan yang dibuat oleh hamba-Nya itu adalah yang terbaik sejajar dengan perancangan Allah swt, maka Allah swt menerima perancangan hamba-Nya itu. Namun jika perancangan hamba-Nya itu bukan perancangan yang terbaik disisi-Nya, maka Allah swt membuat perancangan yang terbaik untuk hamba-Nya selaras dengan firman-Nya yang bermaksud;

"Kamu merancangan, dan Allah juga merancang, Dan sesungguhanya sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah swt"

Perancangan dan pemilihan yang dibuat oleh hamba-Nya ini pula ana ketegorikan kepada empat faktor untuk mencapai matlamat sebuah perkahwinan. Kerana indahnya cinta itu apabila ia dibuktikan dengan sebuah perkahwinan, maka dengan itulah manusia bersusah payah menjaga hati dan perasaan kekasihnya untuk merealisasikan sebuah perkahwinan. Faktor untuk mencapai matlamat perkahwinan ini, ada diklangan hamba Allah itu mengikut syariat sebagai jalan dan landasan untuk membuat pemilihan terhadap jodohnya. Ada juga yang membelakangi syariat hingga sanggup berbuat apa sahaja yang penting matlamat mereka untuk mencapai jodoh dan berkahwin itu tercapai. Kata orang "matlamat menghalalkan cara". Tapi kata Agama "Matlamat tidak menghalalkan cara", oleh itu fikir-fikirkan yang mana yang anda ingin mengikuti sama ada kata orang atau kata agama.

Faktor pertama perancangan atau pemilihan seseorang itu terhadap jodohnya ialah dengan mereka meminta bantuan daripada orang lain. Sebagai contohnya mereka dipertemukan dan membuat perancangan berdasarkan perancangan orang tua mereka atau saudara mara yang terdekat. Mereka ini tidak pernah berjumpa apatah lagi ingin untuk berbuat sesuatu yang diharamkan oleh agama, semua perancangan diatur oleh orang tua atau saudara mereka. Dan perancangan ini juga diterima oleh Allah swt. Biasanya perancangan perkahwinan seperti ini diamalkan oleh orang tua-tua kita dahulu tapi ianya masih diamalkan lagi oleh sedikit golongan remaja hari ini.

Faktor perancangan dan pemilihan jodoh yang kedua adalah dengan usaha sendiri. Sebagai contoh, dua insan bertemu, dan bercinta kerana Allah swt. Mereka menjaga syariat-syariat yang ditetapkan dan tidak melanggar batasan agama. Mereka membuat perjanjian untuk saling mengenali hati budi dan memahami antara satu sama lain dan berdoa mengharapkan Allah swt mempertemukan mereka dan membuktikan cinta mereka dengan sebuah perkahwinan. Dalam usaha mereka untuk mengenali dan memahami dua hati itu mereka tidak lupa akan syariat dan Allah swt. Cinta seperti inilah yang sukar untuk ditemui kerana yang selalu kita jumpa ialah ramai yang bercinta tetapi ramai pula yang lupakan syariat dan batasan Allah swt. Kesimpulan awalnya ialah dua hati yang bertemu, bercinta dan menjaga hubungan kerana Allah swt dan mengharap pertolongan dari Allah swt untuk membuktikan cinta mereka dengan sebuah perkahwinan.

Faktor ketiga pula ialah mereka bertemu, mereka bercinta dan mereka membuat maksiat iaitu mengambil jalan mudah dengan melakukan penzinaan. Akhirnya kerana perhubungan haram itulah mereka melangsungkan perkahwinan. Jodoh mereka juga terbukti tetapi jalannya adalah suatu yang bertentangan dengan agama. Mungkin kerana inilah yang amat ditakuti oleh sesetengah "ulama' " yang secara lantang mengharamkan terukirnya sebuah percintaan itu. Kerana Islam tidak menetapkan matlamat menghalalkan cara.

Faktor keempat yang berkaitan dengan tercapainya jodoh seseorang melalui perancangan dan pemilihan ialah; ada segolongan manusia baik lelaki ataupun wanita datang menemui bomoh atau pengamal ilmu hitam untuk meminta pertolongan bagi mencapai jodoh mereka. Usaha mereka dengan menggunakan cara yang tidak elok iaitu mungkin dengan menjampi gambar orang yang mereka berkenan atau dengan menggunakan minyak guna-guna yang sering kita dengar dan pelbagai cara lain yang selalu diamalkan oleh bomoh. Biasanya bomoh ini meminta pertolongan dari jin atau syaitan. Hasilnya orang yang dijampi itu akan mengikut kehendak mereka dan akhirnya mereka melangsungkan perkahwinan tanpa kerelaan dari sebelah pihak yang terkena jampi serampah tersebut. Cara ini juga diperkenan oleh Allah swt kerana usaha manusia itu mendapatkan perkhidmatan bomoh. Jelas cara ini juga adalah haram disisi Islam.

Ketahuilah bahawa jodoh dan pertemuan itu ditangan Allah swt. Oleh itu jagalah perhubungan dengan Allah swt sebaik-baiknya agara Allah swt menjaga hubungan kita dengan pasangan kita sebaik-baiknya. Ingatlah bukti cinta itu ialah dengan terjalinnya sebuah perkahwinana (aku terima nikahnya..) dan ingatlah sebaik-baik perkahwinan ialah bercinta hingga ke syurga. Ingatlah, tempat kesudahan kita ialah di negeri akhirat dan sebaik-baik tempat kembali ialah di syurga yang kekal abadi. Jika di dunia kita ingin hidup bersama dengan pasangan yang kita cintai, tidakkah kita juga sudi untuk hidup bersamanya di syurga nanti? Ana tinggalkan persoalan ini untuk sahabat semua sebagai panduan untuk kita sama-sama fikirkan.

Akhir kata, katakanlah kepada orang yang anda cintai itu "Aku terima engkau seadanya kerana Allah swt yang menjadikan engkau. Oleh itu, terimalah aku seadaanya (baik dan buruk) kerana sesungguhnya tiada manusia yang sempurna (perfect) di dunia ini. Jika engkau cintakan aku kerana paras rupaku, ketahuilah bahawa ia tidak kekal dan pasti dimamah usia. Jika engkau cintakan aku kerana hartaku, nescaya ia akan membuatkan engkau menjadi miskin. Jika engkau cintakan aku kerana keturunanku, ketahuilah bahawa ia akan menjadikan engkau hina. Jangan cintakan aku kerana ilmuku, kerana bila aku jahil engkau akan meninggalkan aku. Tapi cintalah aku kerana Allah swt yang menjadikan aku sebagai pasangan. Oleh itu, kekalkan kami dalam cinta yang abadi hingga ke syurga. "

Sekian.

Rozlan Daud
18500 Machang

My Picture