Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Sunday, August 5, 2012

Kini Kau Dah Dewasa.........

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah,dipanjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt atas nikmatnya yang tidak terhitung. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan, Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan para sahabat serta seluruh ummat Islam yang tegar menegakkan agama Allah swt.

Alhamdulillah, masih lagi diberi peluang oleh Allah swt dalam meneruskan ibadah puasa, diberi masa dan kesempatan untuk menulis dalam kesibukkan urusan dunia. Dan hari ini, sedarkah kita bahawa kita sudah berada di pertengahan Ramadhan. Dan jika dibanding dengan usia manusia, kini Ramadhan sudah dewasa.

Dan dalam kedewasaannya, timbul pula persoalan tentang diri kita. Allah swt menjadikan pentas Ramadhan untuk manusia dan bukan untuk Ramadhan itu sendiri. Kerana manusia yang akan dipersoal tentang waktu Ramadhan, dan Ramadhan tetap Ramadhan yang datang dan pergi. Dan sesungguhnya, Ramadhan tahun lepas tidak sama dengan Ramadhan tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.

Kini ia dah dewasa, sejauh mana kita sebagai manusia merebut peluang dan manfaat waktu dan saat yang berlalu di sepanjang kunjungan Ramadhan. Adakah kita hanya bersemangat diawalnya sahaja, dan dipertengahannya semakin pudar dan di akhirnya semangat Ramadhan itu semakin luntur dalam diri kita untuk proses mendekatkan diri kepada Allah swt.

Sedarkah kita perjalanan Ramadhan sudah habis separuh dan ia pasti akan meninggalkan kita untuk tahun ini. Dalam merebut saat dan waktu Ramdhan, adakah kita terfikir di benak minda dan hati yang suci bahawa sejauh mana amal ibadah yang telah kita buat. Cuma tanya diri kita sendiri. Ramadhan sudah separuh, adakah amal kita meningkat atau berkurang. Tanya iman kita, semakin dekatkah Allah swt di hati kita atau semakin jauh? Dan timbulkan pelbagai persoalan demi persoalan untuk bertanya pada hati dan diri.

Dan bila pertanyaan itu diajukan kepada hati, minta hati yang bersih itu menjawab dengan sejujurnya. Kemudian, arahkan hati keluarkan perintah demi perintah kepada rakyatnya (anggota) untuk melaksanakan ibadah kepada Allah swt. Jika Al-Quran jarang dibaca, cuba tingkatkan bacaan. Jika ibadah solat sunat tidak dilaksanakan, cuba amalkan begitulah ibadah-ibadah yang lain.

Tahukah kita, Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita? Jika tidak, jadikan ia sebagai Ramadhan yang penuh makna kerana kita tidak tahu lagi sama ada kita diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan tahun akan datang atau pun tidak. Ini kerana dalam tempoh setahun itu terlalu lama, sedangkan apa-apa boleh terjadi dalam satu minit. Jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita.

Sekian.

Erti hidup dalam berbakti


Wednesday, July 25, 2012

Ramadhan Adalah Bulan Penuh Dengan Ujian...

In The Name Of Allah swt, The Most Gracious, The Most Merciful.


Assalamualaikum wbt.


Alhamdulillah, dipanjatkan syukur kepada Allah swt yang tidak terhingga atas anugerah-Nya memberi peluang untuk kita semua menjalani latihan Ramadhan. Selawat dan Salam buat Junjungan Mulia, Utusan Allah, Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan para sahabat dalam Islam.

Alhamdulillah, di kesempatan masa dalam bulan yang penuh barakah ini, saya ruangkan sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama. Sememangnya pentas Ramadhan ini adalah pentas ujian yang disediakan Allah swt untuk hamba-Nya, bagi menguji keimanan seseorang hamba lantas penghijrahan dari yang baik ke arah yang lebih baik.

Ujian keimanan ini adalah untuk menilai kesungguhan seseorang hamba melaksanakan ibadah kepada-Nya. Meningkatkan darjat hamba-Nya dari satu darjah kepada beberapa darjat kelebihan di sisi Allah swt. Bulan Ramadhan merupakan arena untuk semua itu, jadi sebagai hamba, kita perlu menghayatinya dengan kesungguhan. Dalam erti kata yang mudah, kita perlu berusaha untuk mencari keredhaan Allah, berusaha mencari keampunan-Nya, berusaha memperolehi tingkat darjat yang tinggi di sisi-Nya. Jadi untuk mencapai semua itu, bulan yang mulia ini adalah pentasnya. Ruang masa yang dikurniakan Allah swt untuk ummat Islam yang mana tidak dikurniakan kepada ummat sebelumnya.

Ruang masa yang setiap saatnya adalah barakah, merupakan masa latihan yang amat sesuai untuk pengabdian kepada Allah swt. Dibelenggu pula syaitan-syaitan agar tidak menghasut hamba-Nya dalam bulan ini. Dikurniakan puasa pada siang harinya, agar mengawal segala roh-roh jahat yang berkuasa di syahwat. Dikurniakan tarawih pada malamnya yang tiada pada malam-malam bulan yang lain, sebagai latihan pendekatan diri kepada Allah swt.

Pada awalnya dikurniakan rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka. Disediakan pada malam bulan Ramadhan ini bonus iaitu lailatul Qadar yang tidak diberikan kepada ummat-ummat Nabi yang lain. Inilah Ramadhan dengan pelbagai anugerah yang disediakan Allah swt. Setiap amalan-amalan sunnat diberi ganjaran dengan pahala amalan wajib manakala amalan wajib digandakan dengan berlipat kali ganda.

Jadi, untuk mendapat kelebihan demi kelebihan pada bulan yang mulia ini bukan mudah. Pasti Allah swt akan menguji kamu. Pada hakikatnya Dia Yang Maha Mengetahui teramat tahu hal dan keadaan diri kamu. Namun begitu, Dia menguji kamu dengan pelbagai ujian. Antaranya, lapar pada siang hari bagi menahan nafsu amarah. Mungkin diuji dengan kesenangan yang banyak, untuk mengetahui hakikat syukur yang ada pada kamu. Mungkin diuji dengan kesedihan, untuk mengetahui hakikat pengharapan kamu kepada-Nya. Atau diuji juga kamu dengan sedikit kesusahan, untuk mengetahui sejauh mana kamu ingat pada nikmat kesenangan yang telah dikurniakan Allah swt kepada kamu. Mungkin kamu diuji dengan wanita (isteri), dan anak pinak. Mungkin juga kamu diuji dengan perasaan yang mana setiap apa yang kamu inginkan Allah swt belum kurniakan kepada kamu.

Pelbagai lagi ujian demi ujian yang disediakan Allah swt untuk hamba-Nya. Dan saya sendiri tidak terlepas dari ujian ini. Yang pasti ujian itu merupakan kesedihan, kelaparan, harta, kesusahan, dan sebagainya. Tetapi ingat, setiap ujian pasti Allah swt sediakan balasan untuk kamu sama ada ianya cepat ataupun lambat. Yang pastinya ia tetap ada.

Wahai hamba yang diuji, bersabarlah...Ingatlah janji Allah swt kepada kamu dan sesungguhnya Allah swt itu tidak memungkiri janji-Nya. Berdoalah kepadanya, kerana kuasa kamu adalah doa. Pengharapan kamu kepada-Nya melalui doa, rintihan kamu untuk-Nya juga melalui doa. Ingatlah, mintalah pertolongan kepada Allah swt dengan sabar dan solat. Setelah kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah swt kerana sesungguhnya Dia maha menerima doa orang-orang yang berpuasa.

Kepada pembaca semua, doalah untuk kebaikkan saya juga ye. Dan saya sendiri berdoa untuk kebaikkan kalian semua. Ingatlah, Ramadhan ini pentas ujian, dan sememangnya terdapat banyak ujian di dalamnya. 

"erti hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah swt. adat hidup orang berilmu, jiwanya lembut tuturnya indah."

sekian.

Monday, July 23, 2012

Anugerah Ramadhan....

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur dan terus bersyukur atas nikmat Allah swt yang tidak terhitung banyaknya. Selawat dan Salam buat Nabi Junjungan, Muhammad saw., para sahabat dan seluruh ummat Islam.

Bersyukur kita kepada Allah swt kerna diberi peluang untuk berjumpa dengan Ramadhan yang mulia pada tahun ini. Terfikir juga dibenakku, ramhat Allah swt yang tidak ternilai untuk hambaNya. Jadi, manfaatkan setiap saat Ramadhan yang berlalu. Kerna pasti Ramadhan kali ini akan meninggalakan kita dalam keadaan paksa atau rela, sedar atau tidak sedar, minta atau halang, pastinya dia pergi mengadap Ilahi.

Bulan Ramadhan kali ini, aku diberi kesempatan untuk berpuasa di rumah. Pada awalnya jadual rawatan penuh sepanjang ramadhan. Kerna rahmat Allah swt untukku, semua jadual rawatan terpaksa ditangguhkan selepas raya nanti insya Allah. Jadi disepanjang Ramadhan tahun ni, aku dapat berpuasa di rumah bersama dengan family dan dapat menumpukan ibadah sepenuhnya. Inilah rahamat Ilahi yang tidak semua diperolehi.

Namun, dalam kegembiraan menyambut ramadhan, hati kecil ini bisa diuji. Diuji dengan beberapa kesedihan di atas kesedihan. Ia merujuk kepada beberapa kesedihan yang menimpa di awal kedatangan ramadhan. Walau bagaimana pun, aku tidak perlu  menangis di atas kesedihan yang menimpa, kerna aku sedar akan kelemahan diri setidak-tidaknya ini adalah ujian dariNya Yang Maha Mengetahui.

Pesan sahabat aku "Kegagalan hari ini bukan bererti untuk gagal selama-lamanya..."

Katanya lagi, "Kegagalan ini bukan bererti kita gagal untuk merancang masa depan kita.."

Apa pun terima kasih yang tidak terhingga kepada "Nur Itu Cahaya" yang sudi memberi nasihat.

Seorang sahabatku lagi kata, "pasti ada hikmah di atas apa yang berlaku, dan ketahuilah hikmah itu lebih manis selepas ini..."

Thanks so much to "Bunga Safie" as your advice to me.

Apa pun yang berlaku, maka muncul la beberapa orang yang paling rapat dengan aku bangkit memberi nasihat. Dan nasihat yang paling bermakna bila aku mimpi jumpa dengan orang yang paling memberi dorongan kepadaku semasa aku belajar dahulu. Katanya dalam mimpi ku :

" Anak, bangkitlah...Tidak banyak perkara yang mustahil dalam hidup ini, saya dahulu SPM umur 28 tahun, anak masih muda, masih kuat dan bertenaga untuk bangkit. Bangkitlah anak dalam keadaan diri yang masih lemah. Ingatlah, kita dihina kerana ilmu, kita tidak dipandang kerana kerana miskin, kita tidak di mulia kerana kita "nothing"..."

Saya tersedar dari lamunan mimpi, dan terfikir tentang apa yang bermain di alam fantasi. Mungkin benar apa yang dikatakannya padaku. Alhamdulillah, anugerah Allah swt yang cukup bermakna bagiku hingga aku diberi jawapan terus. Dan jawapan itu dinilai sememangnya ada kebenaran. Mungkin ini ujianku, agar aku sedar. Dan sesiapa yang memahami kata-kata di atas, pasti dia akan kenal dengan orang tua ni yang selalu menasihati anak muda.

Aku tidak mampu lagi untuk belajar bersamanya di universiti yang sama. Mungkin juga aku tidak mampu untuk bersamanya lagi kerana aku tidak dapat untuk belajar kali ini. Dan masa terlalu lewat untuk ku mengejar impian. 

Yang pasti aku kena bangkit, bangkit dalam kehibaan, bangkit dalam kehinaan, bangkit dalam serba kekurangan. Bangkitlah...

Jika hari ini, kamu tidak beri peluang kepadaku, pasti keadilan Allah memihak kepadaku. Jika hari ini kamu tidak menolongku, pasti suatu masa nanti Allah swt akan menolongku. Ingatlah, janji Allah itu benar dan Allah swt tidak memungkiri janjiNya.

Bulan yang penuh dengan kemulian, dimuliakan Allah swt untuk hamba-Nya. Dalamnya ada barakah, ada juga keampunan dan di akhirnya ada rahmat. Pasti ada yang lebih baik bagiku yang belum aku tahu dari Mu.

Insya Allah, hari ini hari yang mulia, pasti kemuliaan itu terserlah, jadi jangan sedih, bangkitlah, dan terus berusaha untuk berjaya. 

Tulisan aku ini bukan untuk membuatkan pembaca sedih, tapi ambillah sebagai pengalamannku untuk dikongsi bersama. Jika anda sedih, ingatlah Allah, jika anda kecewa, ingatlah Allah. Dia ada untukmu di kala orang lain tiada. Dia pasti menolong kamu, di kala orang lain tidak mampu untuk menolong kamu. Ingatlah, tiada kuasa yang boleh menandingi kuasanya. Tiada siapa yang boleh halang kehendak-Nya. Dia pasti yang terbaik buatmu.

Akhir kata, perjuangan perlu diteruskan walau kamu berlainan jalan dengan orang yang kamu ingin bersamanya. Hari ini, kamu sudah dipesongkan jalan dari haluannya. Tapi ingat, dipenghujung jalan kamu, ada kebenarannya.

Bangkitlah dan terus bangkit dengan azam baru, dengan semangat juang baru. Berpeganglah pada kata-kata:

" Tidak banyak perkara yang mustahil dalam hidup ini..."

sekian.

Ibaadur Rahim.


Friday, July 20, 2012

Genap 1 Ramadhan.....

Asssalamualaikum wbt

بسم  االله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, kemudian alhamdulillah dan seterusnya Alhamdulillah. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam. Penantian demi penantian, maka saatnya jua pasti akan tiba.

Hari ini, ummat Islam seluruh dunia menyambut kedatangan bulan yang mulia, bulan yang penuh barakah dan bulan penuh maghfirah. Dan hari ini juga yang merupakan 1 Ramadhan bagi tahun 1433H, genap juga 1 tahun Nur Di Ufuk Timur tidak menerbitkan sebarang tulisan. Tempoh perintah berkurung sepanjang 1 tahun itu telah tamat dan insya Allah, blog ini akan menerbitkan sinar baru seperti terbitnya NUR di Ufuk Timur. 

Jutaan kemaafan kepada semua pembaca, yang menanti sekian lama penulisan dari saya, "bukan aku tidak mahu menulis, tetapi aku dalam proses belajar untuk menulis..-Rozlan". Insya Allah, tahun andai kata tahun ini diberi peluang sebagai pelajar, maka masa yang banyak untuk menulis dengan kesempatan yang ada.

Sebagai permulaan untuk menulis kembali, saya akhir kata dengan mohon maaf kerana terlalu lama untuk tidak menulis dan selamat menyambut Ramadhan Kareem.

Sekian, nantikan coretan ringkas di Nur Di Ufuk Timur.

Rozlan.

* kami juga akan bincang berkenaan dengan makhluk halus serta rawatannya. :)

Friday, August 12, 2011

Setiap Insan Pasti Merasainya.....


In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."


Alhamdulillah dipanjatkan syukur yang tidak terhingga kehadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan usia untuk terus bernafas dibumi-Nya dan diberi peluang untuk menikmati segala rahmat-Nya. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam.

Hari ini (Jumaat, 12 Ogos 2011) genap 1 minggu nenek pergi meninggalkan kami. Pergi untuk selama-lamanya, pergi untuk mengadap Ilahi. Nenek dijemput oleh Allah swt tepat waktu azan maghrib (khamis, 4 Ogos 2011) bersamaan dengan 4 Ramadhan 1432H setelah 1 minggu diuji oleh Allah swt dengan sakit tua.

Tepatlah janji Allah swt, setiap insan yang hidup pasti akan merasai saat kematian, saat untuk berpisah dengan dunia yang fana', saat untuk berpisah dengan insan tersayang, saat di mana segala janji-janji Allah swt ditunaikan. Dan apabila tiba saat perpisahan ini, ianya tidak dipercepatkan atau diperlewatkan walau dalam 1 saat sekali pun. Firman Allah swt di dalam surah al-Munafiqun ayat ke 11 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan. "


Inilah janji Allah swt, kematian itu pasti, alam kubur itu benar, syurga dan neraka itu benar, hari akhirat itu benar, pembalasan terhadap amal di dunia ini benar, pertemuan dengan Allah swt itu benar. Oleh itu, dengan kebenaran itu wajiblah bagi kita yang hidup ini perlu yakin dengan sungguh-sungguh dan beramal sebagai bekalan untuk perjalanan yang jauh nanti.


Firman Allah swt di dalam ayat yang lain pula bermaksud:

"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)." (surah Nuh ayat 4)


Untuk nenek, pergilah mengadap Tuhanmu dan Tuhanku iaitu Allah swt dengan jiwa yang tenang. Ingatlah kebenaran janji-janji-Nya tatkala Dia menjadikan kita dahulu. Redhailah-Nya agar Dia meredhaimu.

Buat nenek, tiada apa yang dapat ku hulurkan melainkan kiriman doa dan pahala untukmu. Tiada lagi harta kekayaan yang bernilai buatmu melainkan setangkai doa dan juga fatihah sebagai bekalan untuk mengadap Ilahi.

Semoga nenek ditempat bersama dengan orang-orang yang beriman sepertimana firman Allah swt di dalam surah Yusuf ayat ke 101 yang bermaksud:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".


Wednesday, August 3, 2011

Rahmatnya Ramadhan; Semua Berpuasa, Tapi.....

In The Name Of Allah The Most Gracious The Most Merciful

Alhamdulillah, kemudian Alhamdulillah dan seterusnya Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad swt, ahli keluarga dan seluruh sahabat baginda. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu bapaku dan dosa-dosa seluruh ummat Islam.

Alhamdulillah, sudah enam hari menjalani ibadah puasa ini, diri masih diberi kekuatan dan ketabahan oleh Allah swt untuk menjalani tarbiyyah Ramadhan untuk tahun ini. Ya Allah, aku mengharapkan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya.

Bila bercakap pasal rahmat Ramadhan, seluruh makhluk di dunia ini mendapat rahmat dari Allah swt disebabkan kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Saya fokuskan hanya untuk manusia, maka seluruh ummat manusia mendapat rahmat dari Ramadhan baik orang yang beriman ataupun yang tidak beriman, orang yang hidup dan orang yang sudah meninggal, budak-budak kecil mahupun dewasa, semuanya mendapat rahmat dari Allah swt.

Kedatangan Ramadhan membawa rahmat untuk orang-orang yang beriman ialah dengan melipat gandakan ganjaran pahala di sisi Allah swt. Setiap amalan sunat yang dilakukan diberi ganjaran oleh Allah swt sepertimana amalan wajib, amalan wajib pula digandakan sebanyak lebih 1000 kali ganda. Pada malam ini dikurniakan satu malam yang ganjarannya melebihi 1000 bulan iaitu malam Lailatul Qadr. Pada malam bulan Ramadhan dikurniakan solat sunat Tarawih yang mana tiada pada malam-malam pada bulan lain. Inilah rahmat yang Allah swt kurniakan untuk orang yang beriman iaitu ganjaran yang hebat di sisi Allah swt.
(p/s : amalan yang dilakukan jangan sekadar mengharapkan ganjaran pahala semata-mata, namun amalan tersebut biarlah ikhlas kepada Allah swt untuk mendapatkan redha Allah swt. Ganjaran pahala disebut di sini adalah menggambarkan kelebihan amalan di dalam bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain).

Ramadhan juga turut menjadi rahmat bagi orang yang tidak beriman, yang mana mereka juga dapat menikmati pelbagai kemudahan dan kelebihan yang disediakan pada bulan Ramadhan. Sebagai contoh, pada bulan Ramadhan banyak juadah-juadah berbuka khusus untuk orang-orang yang berpuasa dijual di setiap sudut tempat baik di bandar dan desa, namun orang yang tidak puasa juga boleh membeli dan menikmati pelbagai makanan yang tidak terdapat pada bulan lain. Perhatikanlah di persekitaran anda, rasanya orang yang tidak berpuasa membeli-belah dipasar Ramadhan mengalahkan orang yang berpuasa. Itulah rahmat untuk mereka yang tidak beriman.

Ramadhan juga menjadi rahmat bagi mereka yang sudah meninggal yang mana pada bulan ini Allah swt menutupkan pintu-pintu neraka dan membuka pintu-pintu syurga. Allah swt menangguhkan azab kubur yang sekian lama mengazab orang-orang yang berdosa di alam barkhzah. Itulah Rahmatnya bulan Ramadhan.

Walau bagaimana pun, dalam bulan Ramadhan ini rahmat Allah swt bercucuran tersedia untuk hambaNya. Namun kita perlu ingat, disebalik rahmat ini ada juga sebilangan manusia yang tidak memperolehi rahmat tersebut. Ramai manusia yang tidak sedar, mereka menyangkakan mereka mendapat rahmat di sisi Allah swt namun hakikatnya tiada sedikit pun rahmat Allah swt di sisi-Nya. Mereka yang berpuasa tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Mereka yang beramal namun tidak berjaya memperolehi taqwa selepas tamatnya tarbiyah ramadhan. Oleh itu, beringatlah diri kita agar kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang rugi daripada mendapat rahmat Allah swt.

Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama tingkatkan kesedaran untuk mendapat rahmat di sisi Allah swt. Hendaklah kita perbetulkan niat Ramadhan kita agar ia menjadi suatu yang bermanfaat yang dapat menjadi perawat rohani kita. Ramadhan adalah doktor yang benar-benar dapat merawat penyakit jiwa jika kita melalui perjalanan ramadhan dengan sempurna.

Walau bagaimana pun, perlu diingatkan bahawa ramadhan adalah medan ujian yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ujian yang sangat berat perlu dilalui oleh setiap insan walau di mana dia berada. Sebagai contoh aurat, baik lelaki lebih-lebih lagi wanita. Disebelah paginya kita berpuasa elok, tapi petangnya pahala semakin berkurangan. Puncanya ialah apabila kita mengunjungi pasar/bazar Ramadhan. Bukan kita teringin sangat melihat aurat wanita (saya fokuskan pada aurat wanita kerana pada diri wanita itu terlalu luas skop aurat yang perlu dijaganya), namun terpaksa melihat. Jika kita berjalan pejamkan mata, sudah pasti kita akan melanggar sesuatu, dan yang paling merisaukan melanggar wanita.

Jika ditanya pada wanita tersebut (yang tidak menutup aurat dengan sempurna), sudah pasti mereka menjawab mereka juga berpuasa. Tetapi pakaian mereka hanya Allah swt sahaja yang mengetahuinya. Tengok depan, seksinya pakaian dia. Pusing kiri, lagi seksi. Alih pandangan ke kanan, masya Allah!! nampak pusat lak. Aduh..nak pandang mana pula ye.. Begitulah reaksi sesiapa yang pernah berkunjung ke pasar ramadhan. Jika kita tidak perasan hal tersebut maka terbuktilah kita adalah golongan yang suka melihat wanita yang berpakaian begitu. Jika hal sedemikian berlaku, maka berkuranglah puasa kita setelah berkunjung ke pasar ramadhan.

Sekali terfikir, mana lagi tempat yang sepatutnya dilihat, atau mana lagi tempat yang patut dialihkan pandangan. Jawapan yang sebetulnya, bukan lagi mengalih pandangan tersebut, tetapi mengalihkan diri untuk tidak berkunjung ke pasar ramadhan. Carilah gerai-gerai kecil di jalanan untuk membeli kuih muih atau lauk pauk untuk berbuka, gerai yang tidak menjadi tumpuan orang ramai. Walau tidak banyak aneka pilihan lauk pauk, tetapi cukuplah sekadar untuk berbuka. Asalkan tidak berkumpul dosa dan tidak mengurangkan pahala.



(30) Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

(31)Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(surah an Nur, ayat ke 30 &31)



Itulah disebalik rahmatnya bulan puasa, ada juga yang tidak mendapat rahmat. Ada yang menjadi ujian dan ada juga yang menjadi bahan ujian. Begitulah Allah swt menguji setiap hambaNya kerana Dia ingin melihat siapakah yang paling layak untuk dianugerah pangkat taqwa di penghujung ramadhan.

Sekian.


Saturday, July 30, 2011

Rindunya Menanti Saat ini...

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful

Alhamdulillah, ku panjatkan rasa syukur yang tidak terkira banyaknya, selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Allah, Saidina Muhammad saw., ahli keluarga baginda, para sahabat, ikutan dan seluruh ummat Islam.

Firman Allah swt:

maksudnya: "wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu semua untuk berpuasa di bulan Ramadhan sepertimana telah diwajibkan ke atas ummat yang terdahulu sebelum daripada kamu agar kamu bertaqwa.."


Terasa baru semalam menunaikan ibadah puasa Ramadhan untuk tahun 2010, dan esok pula akn tiba sekali lagi puasa Ramadhan untuk tahun 2011. Tempoh setahun yang berlalu begitu pantas hingga diri ini tidak terasa pantasnya masa yang berlalu. Sedar-sedar puasa kali ini sudah tiba.

Alhamdulillah, di kesempatan Ramadhan kali ini, pertama sekali ana memohon jutaan kemaafan buat buat ummi, ayah, adik beradik, saudara-mara, jiran tetangga dan buat sahabat-sahabat yang mengenali diri ini sama ada yang pernah berinteraksi secara langsung dan secara tidak langsung. Kedatangan Ramadhan membawa sejuta rahmat dan rahmat itu akan hadir bagi mereka yang bersih jiwanya daripada dosa. Malaikat Jibril berdoa kepada Allah swt apabila menjelangnya Ramadhan, "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
1)Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada ibu bapanya (jika masih ada)
2) Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami dan isteri
3) Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. (termasuk jiran, sahabat, kenalan dan sebagainya)

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memohon kemaafan terlebih dahulu sesama kita agar setiap ibadah yang kita lakukan pada bulan yang mulia ini diterima oleh Allah swt.

Untuk Ramadhan kali ini, marilah kita tekadkan hati kita agar Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita. Kita tidak tahu tentang saat kematian kita. Dengan itu, kita juga tidak tahu sama ada kita masih diberi peluang oleh Allah swt untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang atau pun tidak. Apa yang mapu kita lakukan ialah manfaatkan peluang Ramadhan kali ini dan berdoa agar kita diberi kesempatan dan peluang untuk berjumpa Ramadhan berikutnya.

Kesimpulannya, jom kita sama-sama tingkatkan ibadah kita kepada Allah swt pada bulan yang mulia ini kerana pada bulan ini adalah bulan BONUS untuk kita semua. Setiap ibadah yang kita lakukan, pasti akan dilipat kali ganda pahala yang Allah swt sediakan. Yang penting, niat ikhlas kerana Allah swt agar kita dapat melalui perjalanan Ramadhan kali ini dengan sebaik yang mungkin dan matlamat di akhir nanti kita sama-sama memperolehi ketaqwaan di sisi Allah swt.




Sekian

Rozlan Daud
18500 Machang

Tuesday, July 5, 2011

Isra' kah Kita ? Suatu Yang Perlu Diambil Pengajaran dari Isra' dan Mikraj...

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.



"Maha suci (Allah swt) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari, dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami (Allah swt) berkati sekelilingnya bagi memperlihatkannya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya, Dia-lah (Allah swt) Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt kerana dengan limpah dan kurnia-Nya diberi kesempatan untuk saya menukilkan dalam blog ini sebagai perkongsian ilmu yang sedikit ini. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan seluru ummat Islam. Di kesempatan kali ini saya ingin berbincang dengan pembaca berkenaan dengan "Isra' dan Mikraj". Pada kebiasaannya, bersempena dengan bulan Rejab, hampir seluruh masjid akan membuat ceramah bagi mengingati peristiwa bersejarah ini yang merupakan mukjizat bagi Nabi Muhammad saw. Sering kali kita ingat, apabila disebutkan kisah "Isra' dan Mikraj" ini, terbayang di minda kita berkenaan dengan kisah Nabi kita dijemput oleh Allah swt untuk datang mengadab-Nya dan menerima suatu ibadah yang penting dalam Agama, iaitu Solat Fardu.



Isra', merupakan perjalanan Nabi Muhammad saw. daripada Masjidil haram yang terletak di Makkah ke Masjidil Aqsa yang terletak di Palestin. Manakala mikraj pula adalah perjalanan Nabi Muhammad saw daripada Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha dan seterusnya ke Arasy Allah swt. Peristiwa ini wajib diimani oleh setiap ummat Islam kerana ia merupakan suatu mukjizat yang tidak dapat difikir oleh akal manusia yang terbatas ini. Sesiapa yang tidak mempercayainya atau ragu-ragu dengan peristiwa ini, maka dia telah terpesong dari pegangan Agama yang benar.

Saya tidak mahu menghuraikan berkenaan dengan peristiwa isra' dan mikraj ini secara detail, kerana saya beranggapan (assume) anda lebih arif dari saya berkenaan dengan kisah isra' dan mikraj in
i. Ada pun yang saya ingin kongsikan adalah "Apakah kita telah mengambil pengajaran dari kisah ini". Bagi merungkaikan mukjizat Nabi yang agung ini, kita sebagai ummat Islam wajib mengambil pelajaran darinya sebagai amalan di dunia ini dan bekalan di akhirat kelak.

Allah swt menjelaskan kepada kita tentang Isra' (perjalanan) Nabi saw dari masjid ke masjid, iaitu Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa pada malam hari untuk memperlihatkan kebesaran dari tanda-tanda kekuasaanNya. Apa yang boleh kita ambil pelajaran daripada apa yang Allah swt jelaskan ini ialah, kita juga seharusnya mengisra'kan diri kita untuk menyaksikan kekuasaan Allah swt. Persoalan yang timbu di sini ialah, ke manakah kita ingin isra'kan diri kita? Dan mampukah untuk kita mengisra'kan diri kita?

Bagi merungkai dua persoalan pertama ini, Allah s
wt menjelaskan kepada kita bahawa Dia (Allah swt ) telah mengisra'kan nabi saw dari masjid ke masjid. Oleh itu, kita juga perlu mengisra'kan diri kita dari masjid ke masjid bertujuan untuk melihat kebesaran Allah swt di dalam ibadah kita. Allah swt menjelaskan kepada kita bahawa Dia telah menjalankan hambaNya pada malam hari. Kita juga sewajarnya mengisra'kan diri kita pada malam hari. Jika kita lihat hari ini, rata-rata dari kita bekerja dan tidak mampu untuk mengisra'kan diri kita ke masjid pada waktu siang, maka waktu malam antara maghrib dan isya' perlulah mengisra'kan diri kita ke masjid untuk sama-sama menyaksikan kebesaran Allah swt di dalam ibadah kita.


Gambar: Masjid Machang, Sekadar Hiasan


Selain itu juga, isra' untuk diri kita juga boleh diambil pelajaran untuk menuntut ilmu agama yang diadakan di masjid. Sebagai contoh, pada malam ini ada ceramah agama yang disampaikan di masjid Pangkal Jenereh, dan pada malam esok diadakan kuliah agama di masjid Machang. Sebagai seorang yang suka mengisra'kan diri, maka dia telah mengisra'kan dirinya dari dari masjid Pangkal Jenereh ke masjid Machang untuk mengikuti kuliah Agama dan seterusnya ke mana-mana masjid yang lain pula. Inilah yang dikatakan sebagai Isra' dari masjid ke masjid pada malam hari bagi melihat kebesaran Allah swt seterusnya mencari radha Allah swt.

Adapun mikraj yang berlaku kepada Nabi saw. seperti yang dijelaskan oleh Allah swt ialah daripada masjid ke sidratul Muntaha dan seterusnya Arasy Allah swt. Namun bagi kita sebagai hamba pula, isra' adalah hak Allah swt. Kita sebagai hamba hanya perlu berusaha dan berserah kepada Allah swt. Mikraj yang berlaku kepada kita adalah amal ibadah yang kita laksanakan di bumi ini. Setiap ibadah yang dilaksanakan oleh kita sebenarnya juga mengalami mikraj, iaitu diangkat oleh malaikat untuk diperlihatkan kepada Allah swt. Walau bagaimana pun, ada sesetengah ibadah tidak diterima oleh Allah swt kerana pelbagai faktor, terutamanya tidak ikhlas dalam melaksanakan ibadah tersebut. Maka ibadah itu ditolak oleh Allah swt.

Persoalan yang kedua ialah "Mampukah kita untuk isra'? Persoalan ini sebenarnya memiliki jawapan di dalam diri kita. Jika kita hendak mengisra'kan diri kita, maka kita akan berusaha untuk ke rumah-rumah Allah swt sebagai sebahagian dari tuntutan agama Islam. Jika kita tidak berkeinginan untuk ke masjid, maka sebenarnya kita tidak berkeinginan untuk mengisra'kan diri dalam mencari erti redha Allah swt.

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama meningkatkan usaha kita untuk terus mengisra'kan diri kita dari masjid ke masjid dalam usaha kita untuk mendapat redha Allah swt. Seterusnya kita mengharapkan Allah swt memikrajkan semua ibadah kita ke sisiNya sebagai ibadah yang diterima olehNya. Selain itu, ibadah yang sedikit yang kita lakukan akan diberi ganjaran yang berlipat ganda dariNya. Insya Allah.


Sekian Terima Kasih.


Rozlan Daud
18500 Machang

Saturday, June 18, 2011

Solat yang ditunaikan tanpa ilmu...(sekadar lawak namun ada kebenarannya)..

"Solat Yang Menjauhkan Diri Kepada Allah swt."

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang dan kesempatan dalam kesuntukkan masa, selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda, para sahabat yang banyak memperjuangkan dan menegakkan agama Islam yang mulia, seterusnya seluruh ummat Islam.

Alhamdulillah, di kesempatan ini saya menulis bagi menjawab persoalan yang ditanya oleh salah seorang pembaca blog saya. Diharapakan penulisan yang sedikit ini memberi gambaran yang jelas untuk dikongsi bersama kerana sebagai ummat Islam, perkara ini dipandang serius kerana melibatkan perkara besar iaitu solat. Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat yang ke 45 yang bermaksud:

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah swt) dengan sabar dan solat, dan (solat) itu sesungguhnya berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"

Solat merupakan suatu perkara asas bagi ummat Islam untuk dilaksanakan sebagai ibadah wajib. Ini kerana solatlah yang membezakan seseorang itu sama ada ia Islam atau bukan Islam. Hari ini ramai yang kita jumpa di sekitar kita, baik dalam ahli keluarga kita, jiran tetangga kita, orang kampung kita, negeri kita, malah skop yang lebih luas dalam negara kita. Jika kita membuat semakan di dalam kad pengenalan mereka, sudah semestinya tertera status agama mereka ialah Islam, namun mereka tidak solat, sedangkan solatlah yang membezakan seseorang itu Islam atau bukan Islam.

Sekadar hiasan

Menurut pandangan sesetengah ulama, mereka mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat ini terkeluar daripada Islam dan mereka perlu melafazkan shahadah balik bagi mengembalikan mereka kepada Islam. Namun begitu, dalam mazhab Syafie, seseorang yang meninggalkan solat tidaklah terkeluar ia daripada agama Islam, namun seseorang itu berdosa besar dan wajib bertaubat dengan taubat nasuha serta menggantikan solat yang mereka tinggal itu.

Adapun dalam bab rezeki orang yang meninggalkan solat, rezeki yang mereka perolehi adalah tidak berkat malah kebanyakkan ulama mengatakan ianya haram walau pun pekerjaan yang mereka lakukan itu halal. Hal ini kerana mereka bekerja di dalam waktu solat, sebagai contoh, mereka melakukan sesuatu kerja bagi mendapatkan rezeki dan kerja yang mereka buat itu jelas halal, namun mereka meninggalkan solat zohor sehinggalah masuknya waktu asar. Maka rezeki di antara waktu zohor hingga ke waktu asar itu sudah menjadi haram dengan sebab mereka meninggalkan solat. Begitulah seterusnya jika dari asar hingga ke maghrib dan seterusnya.

Berbalik kepada tajuk di atas dan soalan yang dikemukan oleh pembaca, solat juga boleh menjauhkan seseorang kepada Allah swt. Sedangkan kita tahu bahawa solat dapat mencegah seseorang kepada perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
(al-Ankabut: 54)
Ini janji Allah swt kepada mereka yang mendirikan solat denga khusyuk. Kerana solat yang dapat mencegah seseorang daripada perkara keji dan mungkar. Namun hari ini ramai yang kita temui bahawa seseorang yang mendirikan solat, namun masih ramai juga yang melakukan dosa dan maksiat kepada Allah swt, maka sudah pasti ia bercanggah dengan janji Allah swt di atas dan di situ akan timbul pula persoalan "adakah solat kita tidak diterima oleh Allah swt, kerana Allah swt berjanji bahawa sesiapa yang mendirikan solat maka solatnya dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar".

Persoalan ini seharusnya sentiasa bermain di fikiran kita, apakah kita sering melakukan dosa dan maksiat dengan sengaja? atau apakah solat kita tidak diterima oleh Allah swt kerana kita mendirikan solat dan mengapa kita masih mel akukan maksiat?..Fikir-fikirkan....


Di manakah solat kita, adakah kita seperti ini....fikir-fikirkan..


Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya.” (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : “10 orang yang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

4. Orang lelaki yang melarikan diri.

5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba’.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan menjauhkan dirinya dari Allah.”


Hassan r.a berkata : “Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.”

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memuhasabah diri kita sejenak, adakah kita dalam kelompok mereka yang mendirikan solat tetapi masih melakukan dosa dan maksiat kepada Allah swt. Jika ya, maka marilah kita bersegera untuk bertaubat kepada Allah swt dan memeohon keampunan dari-Nya serta menerima solat kita. Ingatlah bahawa solatlah yang merupakan amalan yang pertama kali dihitung oleh Allah swt di hari akhirat kelak.

Akhir kata, jangan kita tinggalkan solat, sentiasa muhasabah solat kita, dan perbaikilah solat dari semasa ke semasa agar solat kita menjadi amalan yang diterima oleh Allah swt dan menjadi bekalan di hari yang tiada seorang pun yang dapat membela orang lain sedikit pun iaitu hari pembalasan (akhirat).

Sekian (**pss: Hayati video di atas...jika kita tiada ilmu dalam solat, akhirnya beginilah jadinya..sekadar lawak dalam nasihat...)

Rozlan Daud
18500 Machang

My Picture