Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, January 17, 2009

Peranan Pemerintah Dalam Mentadbir Negara.

Allah sudah memberi petunjuk dan panduan kepada pemerintah yang diberi kuasa memerintah.
Apa yang sepatutnya dilakukan, misalnya dalam firman Allah SWT (mafhumnya):
"Golongan yang diberi kuasa untuk memerintah di muka bumi ini, hendaklah mereka (memperkukuhkan hubungan dengan Allah) mendirikan sembahyang dan (menjaga kepentingan golongan bawahan) menunaikan zakat, dan menegakkan yang makruf, membasmi yang mungkar dan berserahlah kepada Allah, yang kepada-Nya kembali segala urusan."
(Surah al-Hajj, ayat 41)


Nabi Sulaiman a.s., ketika Allah mengurniakan kepadanya kekuasaan dan kelebihan yang nyata dengan pelbagai keajaiban, baginda menyebut seperti yang dalam al-Quran (mafhumnya):
"...Ini adalah suatu kurnia dari Tuhanku, untuk menguji daku, apakah aku bersyukur atau aku kufur kepada-Nya. Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya, dan barangsiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah."
(Surah an-Naml, ayat 40)


Ingatlah apa yang berlaku dalam sejarah awal Islam pada zaman silam, ketika Allah menguji para sahabat dengan kesusahan dan bala bencana, termasuk kezaliman musuh ke atas mereka sehingga ada yang korban syahid, mereka tahan diuji. Apabila Allah menguji mereka dengan kemenangan, maka ada yang kecundang, khususnya dalam Perang Uhud, apabila harta rampasan perang bersepah di hadapan mata, tentera Islam yang diperintah mempertahankan Bukit Rumaah di Uhud, tidak sabar berhadapan dengan kilauan kemenangan sehingga sanggup melanggar perintah Rasulullah s.a.w. Hasil daripada kesilapan itu, akhirnya mereka kecundang. Allah menceritakan perihal ini dalam firman-Nya (mafhum):
"Dan sesungguhnya Allah telah menunaikan janji-Nya kepada kamu, ketika kamu mengalahkan musuh kamu dengan izin-Nya (di awal Perang Uhud), sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih faham, sama ada hendak terus mematuhi perintah Rasulullah, ataupun melanggarinya, setelah Allah menguji kamu dengan memperlihatkan kemenangan yang sementara. Antara kamu yang mengkehendaki kesenangan dunia, ada yang mengkehendaki akhirat, (oleh kerana ada yang mengkehendaki kesenangan dunia) kemudian Allah menewaskan kamu untuk menguji kamu. dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah memberi limpah kurnia yang banyak untuk orang-orang yang beriman)."
(Surah ali'Imran, ayat 152) .


Kemenangan ini juga suatu nikmat dari Allah. Nikmat wajib ditangani dengan sebaik-baiknya. Allah memperingatkan kita dalam firman-Nya (mafhum):
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan bahawa sesungguhnya jika kamu bersyukur di atas nikmat-Ku, pasti akan ditambahkan lagi nikmat itu. Dan jika kamu mengkufurinya, maka sesungguhnya azab Aku tersangat pedih."
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Ambillah iktibar tersebut, sentiasa beringat dengan nikmat tersebut dan hargai anugerah-Nya, jangan lupa diri dan berlaku adil dalam semua urusan kerana sifat adil itu mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan kerana kemenangan itu sifatnya sementara, melainkan dengan pertolongan Allah jua ia akan kekal.

Waalhua'lam.

Musuh Orang Islam.

Dalam mengharungi liku kehidupan di dunia ini sebelum kita menghadapkan diri kepada Allah swt suatu masa nanti, tahukah kita bahawa kita hidup penuh dengan cabaran dan dugaan. Ini adalah merupakan ujian daripada Allah swt untuk menguji siapakah di antara hamba-Nya yang betul-betul taat kepada segala tintah perintah-Nya. Allah swt menjadikan persaudaraan dan juga permusuhan dalam kehidupan manusia di dunia ini. Persaudaraan adalah amat penting bagi ummat Islam kerana dengan persaudaraan inilah menguatkan lagi keutuhan institusi keagamaan.
Namun dalam fitrah kehidupan manusia ini, manusia tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran dan dugaan daripada musuh-musuh yang berkongsi kehdupan dengan manusia di alam ini. Antara musuh tersebut ada yang jelas boleh dilihat dan ada juga yang tidak mampu untuk dilihat dengan mata kasar. Ada juga dikalangan manusia dan ada juga dikalangan bukan manusia, pendek kata musuh manusia khususnya ummat Islam ini memang banyak sekali.
Dalam bab kali ini penulis ingin membincangkan tentang musuh ummat Islam yang wujud berabad lamanya iaitu manusia sudah bermusuh dengannya sejak wujudnya kejadian manusia itu lagi. Fokus kali ini membincangkan tentang musuh ummat Islam yang bernama Syaitan la'natullah. Syaitan adalah golongan jin yang menderhaka, sombong, pengacau dan fasik. Allah swt telah memberi amaran dan peringatan kepada ummat Islam supaya tidak mengikut jejak langkah syaitan yang menyesatkan kerana syaitan sentiasa mengajak manusia untuk melakukan maksiat kepada Allah swt dan melakukan kejahatan di bumi ini. Ini telah dijelaskan oleh Allah swt di dalam surah An-Nur, ayat yang ke 21 yang bermaksud :
" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah syaitan itu, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu melakukan perbuatan keji dan mungkar."
Dari awal lagi Allah swt memberi peringatan kepada manusia bahawa syaitan itu adalah musuh bagi manusia dan manusia mesti menganggapnya sebagai musuh. Di dalam surah Al-Fatir, ayat yang ke 6 Allah swt berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu, maka anggaplah ia musuh kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni api neraka yang menyala."
Oleh kerana syaitan ini merupakan musuh kita yang jelas walaupun kita tidak mampu melihatnya namun kita mesti menganggapnya sebagai musuh. Oleh yang demikian, maka wajiblah bagi kita sebagai ummat Islam berselindung kepada Allah swt kerana kita manusia yang terlalu lemah untuk kita melawan dengan musuh yang kita tidak nampak ini dan kita sewajarnya menjada diri kita daripada mengikut hawa nafsu kerana sesungguhnya perbuatan mengikuti hawa nafsu itu banyak berpandukan kepada pujuk rayu syaitan.
Wallahu a'lam.

Friday, January 16, 2009

Dia Yang Bergelar Ibu.

Bila aku termenung melihat wajah perempuan, aku teringat pada kekasihku yang aku sayang dalam hidupku. Wajah itu bagaikan sinar mentari yang keluar dari ufuk timur yang memancar di pagi hari. Aku tersenyum setiap kali aku teringatkan wajahnya, sejuk hati bila mengenangkan pengorbanannya terhadapku namun ada kala aku menangis terhadapnya kerana mengenangkan kesusahannya membesarkan diriku ini. Itulah kekasihku yang bergelar umie yang merupakan seorang ibu kepada aku dan adik beradikku yang lain. Dia merupakan isteri kepada ayahku dan anak kepada datuk aku.
Ibu, ungkapan namamu yang aku letakkan di sudut hatiku mengenangkan pengorbanan hidupnya bagi membesarkan aku. Aku tahu dan aku mengerti bahawa umie sanggup menghabiskan keseluruhan hayatnya untuk kebahagian anak-anaknya. Bermula dari saat aku disatukan di dalam badannya, aku tahu bahawa aku terlalu menyusahkannya. Kerana kepenatan yang terpaksa engkau alami selama 9 bulan dan 10 hari tidak dapat aku gambarkan betapa sukarnya engkau membawa aku bersamamu. Aku tidak mampu untku menceritakan penderitaan yang kau alami kerana aku seorang lelaki dan hanya sebilangan ibu sahaja yang merasainya.
Kepenatan yang kau alami itu bukanlah tamat setelah aku dapat melihat keindahan dunia ini. Namun saat yang paling mencabar ialah apabila engkau sanggup bertarung nyawa untuk mempertahankan diriku agar aku dapat melihat kebesaran Ilahi dalam penciptaan alam ini. Pengorbanan engkau aduhai ibu, tidak ada seorang anak pun yang boleh merasainya. Mendidikkan aku supaya menjadi insan yang berjaya, engkau sanggup tidak menikmati keselesaan hidup. Aku masih lagi ingat ketika aku kecil suatu ketika dahulu, dalam kesusahan yang ibuku alami, engkau sanggup berlapar kerana kekurangan sumber makanan, kalau ada sekerat ikan pun kami makan 2 atau 3 orang adik beradik. Tatkala masuk ke sekolah menengah, hanya 50 sen sehari menjadi duit poket aku sebagai bekalan. Aku dapat merasai betapa kesukarannya hidup ibuku dan aku tahu bahawa semangatnya itu begitu cekal kerana kesukaran yang dia alami dia langsung tidak meminta bantuan apatah lagi ingin menyusahkan orang lain.
Aku tahu bahawa perasaan kecil di sudut hatimu ibu, betapa sukarnya menghadapi kesukaran hidup kerana aku tahu bahawa kami tidak mampu memilih untuk hidup, namun setelah hidup kami terpaksa meneruskan sehingga ke saat yang terakhir. Kami tidak mampu memilih untuk dilahirkan dalam keadaan senang dan mewah, namun kami amat bersyukur kerana kebahagiaan yang kami perolehi.
Aduhai ibu, pengorbanan dan jasamu itu tidak dapat untukku rasainya. Namun aku cuba memahami perasaan engkau itu, kerana engkau seorang perempuan yang bergelar isteri kepada ayahku dan menjadi ibu kepada aku dan 8 orang adik-beradikku yang lain. Inilah pengorbanan seorang yang bergelar ibu.
Hanya Tuhan yang maha mengetahui betapa sukarnya hidupmu wahai ibu. Aku mendoakan agar engkau sentiasa diberi petunjuk dan hidayah Allah swt. Ya Allah, Ya Rahman, Engkau ampunilah segala dosaku terhadap ibuku, engkau ampunilah dosa ayahku yang merupakan suami kepada ibuku, Engkau ampunilah dosa ibuku dan berikanlah hidayah dan rahmat-Mu kepadanya dan redhailah dia sepertimana dia meredhai hidupku.
amin.....

Thursday, January 15, 2009

Membicarakan Berkenaan Perkahwinan.

Definisi Kahwin:
Akad yang mengandungi di dalamnya lafaz nikah atau "tazauwij" atau terjemahan kepada keduanya dengan perantaraan wali di hadapan dua orang saksi yang menghalalkan bagi suami dan bakal isteri bersetubuh.
Dalil berkenaan Perkahwinan:
"Dan jika kamu takut untuk tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan anak yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain, dua, tiga, atau empat orang. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja.
Perkara-perkara Sunat Bagi Memilih Isteri.
1) Memilih perempuan yang gadis
2) Memilih perempuan yang mempunyai pelajaran Agama dan berakhlak mulia.
3) Memilih perempuan yang tidak ada hubungan kekeluargaan yang hampir kecuali jika ada maslahah dan silatul rahim maka sunat memilih hubungan kekeluargaan.
4) Memilih perempuan yang baligh.
5) Memilih perempuan yang sempurna akal fikirannya.
6) Memilih perempuan yang telah dilihat muka dan tapak tangannya.
7) Memilih perempuan yang mampu untuk melahirkan anak yang ramai
8) Memilih perempuan yang sedikit maharnya (maskahwinnya)
Rukun-rukun Nikah (perkahwinan).
1. Lelaki yang bakal menjadi suami
2. Perempuan yang bakal menjadi isteri.
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Ijab dan Qabul (lafaz akad nikah)
XXX Bersambung XXX

Kata Ulama' Berkenaan Israel

Kerakusan Yahudi yang dilaknat oleh Allah swt dengan membunuh umat Islam Palestin yang dikepung ketat oleh Israel dan Mesir, serta tiada tindakan ketenteraan yang diambil oleh kuasa-kuasa Besar Dunia dan Kerajaan-kerajaan umat Islam telah disaksikan sendiri oleh jutaan Umat Islam dan masyarakat antarabangsa. Pembunuhan sudah masuk minggu ke 3. Kini rakyat jelata dan masyarakat boleh menilai sendiri sejauh mana perbuatan orang Yahudi ke atas orang Islam dan peranan yang dimainkan oleh pemimpin negara Islam yang berdekatan.
“Medan kata-kata tidak sama dengan medan amal. Medan amal tidak sama dengan medan Jihad. Medan Jihad yang salah tidak sama dengan medan Jihad yang Sahih yang berhasil lebat dari pengorbanan yang minimal dan optimal” (Hasan Al-Banna).

Gerakan Ikhwan Muslimin Mesir dan Universiti Al-Azhar walau berdepan dengan berbagai halangan, namun ikatan dan sumbangan moral dan material umat Islam Mesir tetap sampai ke Gaza sejak bertahun-tahun lalu. Mesir tetap abang kepada adiknya Gaza walaupun cuba dihalangi oleh mereka yang korup dan tembok di Laluan Rafah di sempadan antara mereka.

Berikut adalah kenyataan umum yang ditandatangani oleh 40 orang ulamak besar Al-Azhar dan Mesir mengenai perang yang sedang dilakukan oleh tentera Yahudi ke atas umat Islam di Gaza, Palestin. Semoga ianya menjadi iktibar, kayu ukur, sikap, asas tindakan kita bersama. Kepada Allah jua kita memohon keampunanNya di atas kealpaan kerajaan dan umat Islam di zaman kita ini serta kelemahan diri kita sendiri dalam menunaikan hak saudara seIslam di Gaza. Ameen.

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang
KENYATAAN UMUM :

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada Tuhan selain Dia, Maha Kuat, Maha Penentu, Maha Perkasa, Maha Menguasai, Maha Esa, Maha Menentukan. Di dunia dan di langit ini tiada satu pun yang boleh melemahkanNya. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Muhammad, hamba Allah dan RasulNya, imam para Mujahideen dan pemimpin pembukaan wilayah-wilayah Islam.

Sesungguhnya kejadian-kejadian yang berlaku sekarang ini di bumi Islam dan umat Islam, di bumi Gaza, Palestin yang bangkit teguh berdepan dengan pencerobohan dan penyembelihan yang diingkari oleh apa sahaja nilai, akhlak dan kemanusiaan semuanya, mewajibkan kami, sekumpulan para ulamak dan pendakwah di Mesir, menandatangani Kenyataan Umum ini sebagai mengemukakan pandangan kami, tanggungjawab kami di depan Allah swt dan menjelaskannya kepada orang ramai.

PERTAMA :Sesungguhnya Palestin yang diberkati Allah swt seperti yang disebut di dalam Al-Quran adalah bumi Islam dalam erti kata yang sebenarnya, Kiblat Pertama, di dalamnya terdapat masjid yang kedua di bina di atas muka bumi, masjid ketiga suci bagi umat Islam dan tempat israk Rasul kita saw. Oleh kerana itu, sesiapa pun tidak boleh mengalah dan menyerahkan walau seinci dari buminya kepada orang-orang bukan Islam.

Firman Allah swt bermaksud, “Maha suci Tuhan yang mengisrakkan (menggerakkan) hambaNya di waktu malam dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Kami” (Al-Israk:1).

KEDUA :Zionis Antarabangsa yang berwajahkan Israel adalah manusia yang paling sengit permusuhannya terhadap orang-orang beriman di sepanjang sejarah mereka. Telah jelas dan terbukti permusuhan mereka terhadap Allah dan rasul-rasulNya. Merekalah dalang setiap kejahatan, kerosakan, memungkiri perjanjian, menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan Allah, khianat dan berdendam terhadap sesiapa sahaja yang berinteraksi dan mendekati mereka. Sesungguhnya mereka telah menceroboh bumi Palestin dengan mengusir dan membunuh penduduknya yang beragama Islam melalui dokongan berterusan dari Negara-negara Barat yang zalim dan bermusuhan.

Firman Allah swt bermaksud, “Sungguh kamu akan dapati manusia yang paling sengit permusuhannya terhadap orang-orang beriman ialah orang Yahudi dan orang-orang musyrik” (Al-Ma’idah:82).

Zionis Israel ini adalah kumpulan yang menceroboh dan menjajah bumi Palestin. Oleh itu Kebenaran mestilah dikembalikan semula kepada tuannya walau panjang mana berlalunya zaman. Kita tidak redha dan tidak menerima Penjajahan zalim dari puak Zionis ini terhadap Bumi Suci kita.

KETIGA :Jihad dijalan Allah dan Penentangan Bersenjata adalah pilihan yang strategik ke arah mengembalikan bumi yang diceroboh dan hak yang dicuri. Zionis sebenarnya tidak mengetahui bahasa dalam bentuk perbincangan dan tidak memahami makna Perdamaian. Cara mereka ialah pembunuhan dan melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu kami yakin bahawa satu-satunya bahasa yang difahami oleh mereka ialah bahasa Jihad dengan segala cara dan jenis. Jangan dihentikan Jihad melainkan setelah orang Zionis yang terakhir keluar dari bumi Palestin.

Firman Allah swt bermaksud, “Dan persiapkan (diri kamu dalam) menghadapi mereka (dengan) apa (sahaja) yang kamu mampu dari (bentuk-bentuk) kekuatan, dan dari kuda-kuda yang disiap siaga. Dengan (kekuatan) itu kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu” (Al-Anfaal:60).
Ismail Haniyeh dari Gerakan HAMAS, Perdana Menteri Palestin yang memenangi Pilihanraya Umum II pada 25/1/2006. Amerika dan Israel telah melakukan sekatan ketas 1.5 juta penduduk dan membunuh hingga kini 800 orang untuk cuba merubah Kerajaan HAMAS secara paksa untuk digantikan dengan sebuah kerajaan yang tunduk kepada Penjajahan Barat dan Yahudi.

KEEMPAT :Mereka yang mengambil jalan Jihad dan Penentangan sebagai jalan mereka, memikul ruh-ruh mereka di atas bahu, menyumbangkan para Syuhadak, harta, mengorbankan apa yang mahal dan bernilai sebagai harga untuk membebaskan bumi ini, sekalipun musuh memiliki kelengkapan ketenteraan canggih dan kekuatan menyerang penuh kejam yang menyerlahkan kebencian membabi buta mereka terhadap setiap orang Islam, mereka itulah dari golongan yang dimenangkan dengan izin Allah. Mereka layak didokong, dibantu dan ditolong.

Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Akan terus ada satu golongan dari umatku yang terus terang di atas kebenaran, menentang musuh-musuh mereka sehingga datang ketentuan Allah sedang mereka masih dalam keadaan demikian. Seseorang Sahabat bertanya, “Dimanakah mereka ya Rasulullah ?”. Baginda saw menjawab, “Di Baitul Maqdis dan di sekeliling Baitul Maqdia”. (Hadis riwayat Ahmad).

KELIMA :Di sini kami ingin mengingat dan menegaskan peranan masyarakat dunia dalam membantu mereka dalam isu ini dan kewajipan di segi Syarak yang agama kita mewajibkan ke atas mereka ialah berjihad di jalan Allah dengan erti kata yang sebenar-benarnya, menyumbang bantuan material, melakukan pemboikotan ekonomi, politik dan kebudayaan terhadap Israel dan terhadap negara-negara yang mendokongnya samada di Barat atau Timur, menolak untuk mengadakan hubungan dengannya dalam apa jua bentuk sekalipun.
Kami menegaskan bahawa haram berinteraksi dengan badan Zionis ini dan dengan sesiapa yang mendokongnya dalam apa bentuk sekalipun.

Kita wajib berpendirian seperti firman Allah swt bermaksud, “Dan janganlah kamu merasa hina, dan jangan (pula) merasa sedih sedang kamulah yang paling tinggi sekiranya kamu orang-orang beriman. Jika kamu ditimpa kesakitan, maka (ketahuilah bahawa) mereka juga ditimpa sakit seperti kamu. Demikianlah Kami mempergilirkan hari-hari (turun naik dan suka duka) dikalangan manusia. Dan supaya Allah mengetahui (siapa benar-benar) orang-orang beriman dan supaya Dia mengambil para Syuhadak dari kalangan mereka. Dan Allah tidak suka orang-orang zalim” (Ali Imran : 139-140).

Menjadi kewajipan sekelian umat Islam agar bersatu dan berhimpun di bawah satu kepimpinan. Setiap dari kalangan mereka menjalankan peranan masing-masing dan meninggalkan segala bentuk perselisihan yang dimurkai Allah yang membantutkan Jihad dijalanNya.
Firman Allah swt bermaksud, “Dan berpegang tuguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dulu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan hati-hati dan dengan nikmatNya kamu jadi bersaudara”. (Ali Imran : 103).

Ini adalah kenyataan umum kepada orang ramai. Setiap orang menanggung tanggungjawab msing-masing. Kepada para Mujahideen di Gaza, Palestin dan di mana sahaja bumi Islam yang sedang dijajah, kami katakan kepada mereka bahawa sesungguhnya dengan darah, kamu telah membayar harga Iman, keagungan dan kemuliaan. Oleh itu teguhlah kamu, maralah ke hadapan dan bersabarlah. Allah bersama kamu dan Dia sekali-kali tidak akan mensia-siakan amalan-amalan kamu.

Firman Allah swt bermaksud, “Orang-orang yang apabila manusia berkata kepada mereka “Sungguh manusia telah menghimpunkan (kekuatan) untuk (memerang) kamu, maka takutkan kamu kepada mereka. (Namun yang jadi sebaliknya) maka bertambah keimanan mereka lalu berkata, ‘Cukuplah kami dengan Allah. Dialah sebaik-baik Pelindung”(Ali Imran : 173).
Ditandatangani oleh :

1. Dr Muhammad Abdul Mun’im Al-Birri - Ketua Barisan Ulamak Al-Azhar
2. Dr. Nasr Farid Wasil
3. Dr Zaghlul An-Najjar
4. Dr Abdul Sattar Fathullah Said
5. Dr Muhammad Ammarah
6. Dr Al-Fattah Asy-Syeikh
7. Dr Safwat Hijazi
8. Ustaz Asy-Syeikh Jamal Qutb
9. Ustaz As-Syeikh Ahmad Al-Mahlawy
10. Dr Abdul Halim Uwais
11. Dr Mohd Rakfat Uthman
12. Dr Abdullah Barakat
13. Dr Abdullah Samak
14. Ustaz Asy-Syeikh Abu Ishak Al-Huwainy
15. Ustaz Asy-Syeikh Hazim Solah Abu Ismail
16. Ustaz Asy-Syeikh Mohd Jibril
17. Dr Solah Sultan
18. Ustaz Asy-Syeikh Ahmad Halil
19. Dr Mohd As-Soghir
20. Ustaz Asy-Syeikh Saleim Abu Al-Futuh
21. Dr Ahmad Al-Assa
l22. Dr Hazim As-Sarsawy
23. Dr Abdul Rahman Foudah
24. Ustaz Asy-Syeikh Mohd Mustafa
25. Dr Hussein Syihatah
26. Dr Solah Harun
27. Ustaz Asy-Syeikh Salamah Abdul Qawiyy
28. Dr Jamal Abdul Hadi
29. Dr Hasan Ubaid
30. Ustaz Asy-Syeikh Mohd Abdul Fattah
31. Dr Ahmad Abu Huzaifah
32. Dr Alak As-Sayyid Abdul Rahim
33. Dr Umar Abdul Aziz
34. Ustaz Asy-Syeikh Rejab Zaki
35. Dr Mazin As-Sarsawy
36. Ustaz Asy-Syeikh Ahmad Sabry
37. Ustaz Asy-Syeikh Ahmad Al-Juhayny
38. Ustaz Asy-Syeikh Muzhir Amin
39. Ustaz Asy-Syeikh Ali Abu Al-Hasan
40. Ustaz Asy-Syeikh Mustafa Al-Azhary

Diterjemahkan oleh :Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah,

Saturday, January 10, 2009

Jihad...

Firman Allah swt:

" Wahai orang-orang yang beriman, patutkah Aku (Allah) tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang menguntungkan, yang menjauhkan kamu daripada azab api neraka. Hendaklah kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, dan berjihadlah dijalan Allah dengan harta dan nyawa kamu, demikianlah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.
-surah As-Saff-

Pada hari ini dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap ummat Islam di Palestin yang mengorbankan ratusan nyawa serta ribuan yang cedera. Namun serangan ini bukanlah untuk menghapuskan pengganas Hamas sepertimana yang didakwa oleh Israel tetapi inilah suatu pencerobohan dan penindasan ke atas ummat Islam di Palestin.


Penulis tidak mengatakan perkara ini sebagai kesilapan yang dilakukan oleh Israel sebabnya perkara sebegini sudah lam wujud dan sememangnya Israel itu jahat serta ianya dibuktikan oleh Allah swt sendiri di dalam Al-Quran. Namun apa yang dinyatakan oleh penulis ialah semua ini adalah ujian oleh Allah swt ke atas ummat Islam baik di Palestin mahupun di mana jua mereka berada. Penulis mengatakan semua ini adalah ujian kerana Allah swt mahu melihat sejauh mana kesatuan Ummat Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Allah swt. Di manakah dan sejauh mana kesatuan ummat Islam itu seperti mana yang didakwa oleh sesetengah ummat Islam. Inilah ujian Allah swt untuk melihat adakah ummat Islam hari ini mahu membantu saudara seagama mereka yang kini berada di dalam penindasan. Persoalannya adakah kita hanya mahu berdiam diri dan hanya mampu melihat dan mengeloh sahaja.


Bagi penulis, Israel tidaklah sehebat seperti mana yang diwar-warkan, ini kerana bagi penulis ummat Islam jauh lebih hebat sekiranya ummat Islam itu berdiri di bawah lembayung Allah swt yang sebenar-benar. Namun apa yang menyedihkan kita hari ini ialah ummat Islam tidak lagi bersatu menentang musuh-musuh mereka dan musuh-musuh Allah swt, malah ummat Islam sendiri yang banyak membantu musuh-musuh mereka untuk menhancur dan menindas ummat Islam yang lemah. Ini dapat dibuktikan bahawa sekiranya kita melihat sendiri kerajaan Mesir di bawah pimpinan Hosni Mubarak, jiran kepada Palestin sepatutnya lebih dahulu membantu jiran dan saudara di Palestin yang menghadapi kesulitan. Namun bilakah beliau akan membantu. Sekiranya kita rakyat Malaysia tidak mampu untuk membantu dari segi ketenteraan berbaloilah kerana kita berada jauh, tetapi Mesir itu sendiri tidak mahu membantu, apatah lagi mahu menghantar tentera dan peralatan perang. Inilah yang dikatakan pemimpin yang membantu musuh-musuh Allah swt untuk kepentingan diri sendiri demi menjaga sesuap nasi dan mengharapkan perutnya di isi dengan api neraka Allah swt.


Serangan Israel ke atas Palestin ini bukanlah suatu perkara baru kerana ia sudah lama berlaku sejak tahun 1964 lagi. Namun serangan kali ini lebih rancak adalah kerana faktor kegawatan ekonomi yang melanda dunia terutama negara Amerika. Jadi untuk memulihkan keadaan ekonomi ini, pihak pentadbiran US terpaksa menjual senjata dan peralatan perang kepada Israel dan senjata inilah yang digunakan oleh Israel untuk memusnahkan negara Palestin. Kesepakatan antara Amerika dan Israel memang tidak boleh dinafikan lagi. Ini dibuktikan lagi yang mana Amerika mengeluarkan tender penghantaran senjata sebanyak 3000 tan kepada Israel. Dengan menjual peralatan perang tersebut mampu menampung sedikit sumber kewangan Amerika yang semakin tenat ini. Selain Amerika sendiri mendapat bantuan dana daripada Israel.
Oleh yang demikian wahai sahabat sekalian, kita tidak perlu mengadakan tunjuk perasaan atau perhimpunan aman untuk membuktikan kita menentang pencerobohan Israel ini. Ini kerana apa yang saya lihat kebanyakkan daripada kita, setelah penat mengadakan demonstrasi, mereka membeli air dan makanan daripada syarikat Israel dan Amerika sebagai contoh di Mc Donals, air pepsi, coca-cola dan sebagainya. Jadi sekiranya sedemikian berlaku lebih baik kita tidak perlu mengadakan demonstrasi tetapi cukuplah kita tidak membeli barangan daripada syaraikat mereka, menggunakan mata wang mereka sebagai transaksi dan lain-lain lagi. Marilah kita menyumbang sedikit harta kita untuk membantu mangsa Palestin ini. Kita tidak mampu untuk berjuang dengan mempertaruhkan nyawa, cukuplah kita membantu dengan menderma sedikit harta kita untuk meringankan beban saudara kita di Palestin dan perbanyakkan doa agar Allah swt mempercepatkan kemenangan berpihak kepada kaum muslimin dan di situ saudaraku sekalian, jangan kita lupa kiamat hampir tiba.
Akhir kata daripada penulis menyeru kepada semua ummat Islam, teruskanlah perjuangan sekadar mana yang mampu. Jadikalah masa kita untuk berjihad, gunakanlah harta kita untuk berjihad, jadikanlah diri kita untuk berjihad. Ingat kita tidak mampu untuk turun berperang bersama pejuang-pejuang Allah swt tetapi berjihadlah dengan diri agar kita tidak menggunakan barangan harian kita daripada musuh-musuh kita dan musuh-musuh Allah swt.
sekian wallahu a'lam.

Tuesday, January 6, 2009

Takwil al-Quran: Dunia dikendung akhirat dijunjung

FIRMAN Allah Taala bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman,apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung”.
- Surah al-Jumu’ah, ayat 9 -10.
Akidah Islam tidak pernah mengenal satu hari dalam seminggu dikhususkan untuk beribadat dengan meninggalkan segala kerja untuk kehidupan dunia. Akan tetapi dalam Islam hari-hari seluruhnya adalah hari-hari berkerja, malah segala amalan dunia dalam Islam boleh dijadikan ibadat dengan niat yang betul dan benar. Justeru kerana itu, dalam ayat di atas Allah Taala menyebut tentang hari Jumaat adalah Hari Raya Mingguan bagi orang Islam. Namun begitu kehidupan Muslim pada hari Jumaat, seperti biasa aktif berkerja, berniaga dan berjual beli sebelum mengerjakan solat. Kemudian selepas itu, bersegera kepada mengingati Allah dan solat, setelah selesai menunaikan solat maka bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki kurniaan Allah Taala.
Diceritakan bahawa Saidina Umar bin al-Khattab pernah melihat satu kumpulan orang duduk-duduk dan bersandar pada salah satu penjuru masjid setelah selesai menunaikan solat Jumaat,lalu beliau bertanya kepada mereka itu: Siapa kamu? Jawab mereka: Kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah. Mendengar jawapan mereka itu lalu Umar naik marah dan menghalau mereka itu dengan tongkatnya, lantas berkata:“Janganlah kamu berpeluk tubuh daripada mencari rezeki, berdoalah kamu semua: Hai Tuhan kami, berilah kami rezeki” dan sesungguhnya telah maklum bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas dan juga perak”. Sebahagian orang ada yang menyangka bahawa dengan beriman kepada akhirat dan benar-benar memberi tumpuan kepadanya akan mengabaikan kerja-kerja dunia. Sesungguhnya dunia dan akhirat bagaikan dua daun neraca timbangan yang sama berat. Ia juga bagaikan timur dan barat, apabila kamu mendekati yang satu pasti menjadi jauh kepada yang satu lagi. Begitulah apabila memberi tumpuansepenuhnya kepada akhirat akan membelakangi dunia dan berpaling daripadanya. Memang benar sesiapa yang menjadikandunia sebagai matlamat dan tumpuan hidupnya pasti iaakan menjadi jauh daripada akhirat sejauh keterikatan hatinya terhadap dunia, begitulah sebaliknya. Sebenarnya seorang Mukmin dituntut di dunia ini supaya berusaha, berkerja keras, berjuang membangun dan memakmurkannya dengan syarat untuk tujuan akhirat. Yang demikian kerana orang Mukmin akan menjadikan dunia sebagai ladang untuk ke akhirat. Ladang sememangnya memerlukan tenaga usaha dan kerja, akan tetapi hasil buahnya akan dapat dipetik sepenuhnya di akhirat sekalipun sebahagiannya diperoleh di dunia lagi.Firman Allah Taala: “ Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan)bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat”.
– Surah al-A’raf, ayat 32.
Demikianlah sebenarnya sebagai seorang Mukmin, dunia disediakan untuk dirinya dan bukan dirinya disediakan untuk dunia. Seorang Mukmin tidak akan menjadikan dunia sebagai tuhan, bahkan dunia dijadikan sebagai hamba. Mukmin adalah seorang anggota masyarakat yang aktif, bersikap membina, berkembang dan produktif. Apabila ia bertani dilakukan dengan sebaik-baiknya, apabila mencipta sesuatu, ciptaannya rapi dan teliti, apabila ia berniaga perniagaannya berjaya. Pendeknya ia sentiasa berjaya dalam setiap lapangan hidup.
Sahabat Rasulullah adalah terdiri daripada petani, peniaga, pakar dalam dunia pertukangan. Keimanan mereka terhadap akhirat tidak menghalang mereka daripada berkerja di dunia. Justeru kerana itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: "Jika terjadi kiamat dan dalam tanganmu ada sebiji benih,sekiranya mampu tanamlah ia”.
– (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Bukhari).
Mengapa ditanam sedangkan kiamat akan berlaku, tiada lagi guna dan faedah kepada seseorang. Demikianlah membuktikan bahawa pentingnya kerja, walaupun selepas itu tiada guna lagi. Mudah-mudahan kita tidak terpedaya dengan anggapan bahawa apabila mengutamakan akhirat, maka dunia tiada guna lagi.

Monday, December 29, 2008

HUDUD DIPERMAINKAN

Baru-baru ini kita dihangatkan dengan kenyataan PAS untuk melaksanakan hukum Hudud di Malaysia sekiranya mereka memerintah negara ini. Alhamdulillah sekiranya perkara ini menjadi kenyataan. Dalam kehangatan ini ada juga yang tidak setuju dengan pelaksaannya, tidak hairanlah sekiranya Ketua menteri Pulau Pinang yang tidak setuju kerana mereka itu bnukan Islam dan tidak tahu apa itu Hudud. Tetapi yang peningnya ialah di Kelantan baru-baru ini debat yang diadakan oleh ahli politik negara berkaitan pelaksanaan hukum ini di antara sesama Islam. Ada yang menyokong dan ada yang menentangnya. Sepatutnya debat hukum Hudud ini dibuat oleh ulama dan pucuk pimpinan negara yang mana ulama, memberi pendapat dan pemimpin menjalankannya. Ini tidah, kerana bagi penulis kedua-dua pendebat bukanlah arif pun berkaitan hudud ini cuma sekadar tahu sahaja. Namun syukur kerana ada yang menyokong pelaksanaannya dan kecewa kepada yang menentangnya.
Hukum hudud merupakan hukuman yang diwahyukan kepada junjungan besar nabi Allah Muhammad saw adalah untuk seluruh ummat manusia agar menjalankannya. Namun hari ini rata-rata kita dengar di negara Malaysia ini pertelingkahan untuk pelaksanaannya yang mana ada yang ingin melaksanakannya dan ada juga yang menentang atau menolaknya. Bagi mereka yang ingin melaksanakan hukum hudud ini tahniah diucapkan kerana mereka ingin melaksanakan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah swt, kerana mereka melihat dengan hukum hudud inilah jalan penyelesaian untuk mencapai keamanan di dalam alam sejagat ini. Hari ini kita tidak terlepas daripada mendengar kezaliman dan kekejaman yang berlaku di atas bumi Allah swt dan ini terbukti bahawa hukuman yang dibuat oleh tangan manusia itu tidak menjadi penyelesaian.
Allah swt yang menjadikan alam dan manusia ini dan Dia-lah yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk menjaga keamanan dan keselesaan makhlukNya. Sebagai contoh yang mudah untuk kita fahami bahawa sekiranya kita membeli kereta buatan proton, beli terus dari kilang atau pengedar yang sah, kita akan dibekalkan dengan buku panduan dan penjagaan kereta tersebut. Sekiranya kita mengikuti apa yang terdapat dalam buku tersebut mungkin kereta yang kita beli itu bertahan dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun. Namun sekiranya kita tidak mengikuti apa yang terdapat di dalam buku tersebut mungkin kereta kita itu hanya bertahan dalam 5 hingga 10 tahun sahaja. Begitu juga alam dan manusia yang Allah swt jadikan ini dan Dia-lah yang memberi buku panduan kepada manusia iaitu Al-Quran untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan manusia dan bumi ini. Namun sekiranya kita tidak mengikuti apa-apa yang terdapat di dalam Al-Quran, kita boleh lihat pada hari ini kezlaiman yang berleluasa, orang yang mati dibunuh setiap jam, kejadian rogol dan zina setiap saat, manusai tidak bersifat kemanusiaan berleluasa dan sebagainya lagi.
Namun apa yang mengecewakan penulis pada hari ini, ialah hukum hudud itu bukan sahaja tidak dilaksanakan di dalam sesebuah negara Islam tetapi ianya ditentang hebat oleh orang Islam itu sendiri. Sekiranya orang bukan Islam yang menentang kita tidaklah hairan sangat kerana mereka bukan faham tentang Islam dan mereka tidak membaca kitab Allah swt, tetapi apa yang menyedihkan ialah orang yang mengaku bahawa "Tiada Tuhan yang wajid disembah melainkan Alla dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah" itulah yang merupakan orang pertama yang menentang hukum Allah swt ini. Jadi apakah yang layak digelar kepada mereka seperti ini??
Selain itu di negara yang merupakan Islam Hadhari menjadi landasannya ini, pemimpin sudah tidak merujuk kepada ulama' lagi sebagai tempat rujukan. Mufti hanya dijadikan syarat ada di setiap negeri tetapi tidak boleh bercakap untuk memberi pandangan dan pendapat. Manakala sekolah-sekolah agama ditutup atas alasan ia tempat melatih menjadi pembangkang dan menentang kedudukan politik mereka. Apa yang menjadi rujukan dan pandangan mereka ialah golongan artis. Inilah yang dikatakan Islam Hadhari.

Friday, November 14, 2008

Mati...

Apabila kita sembang ban mati semua orang tahu berkaitan mati, sehingga hari ini kita dikecohkan dengan tayangan alam barzakh kepada pelajar-pelajar sekolah rendah sehinggkan mencetus pertelingkahan daripada pelbagai pihak baik dikalangan ilmu Islam dan juga rakyat biasa. Cendikiawanislam turut membincangakan bab mati namun bukanlah kita membicarakan berkaitan dengan azab kubur atau memberi pandangan berkaitan alam barzakh. Apabila disebut mati semua orang takut untuk menghadapinya walaupun hampir semua orang tahu bahawa mereka semua akan mati. Persoalannya kenapakah ramai yang takut untuk menghadapinya?
Kita tahu bahawa setiap yang hidup pasti akan mati namun tarikh dan masanya tidak siapa pun yang tahu kerana ia adalah perkara-perkara yang dirahsiakan hatta Malaikat Maut juga tidak tahu bahawa si fulan bin si fulan ini akan mati. Apabila diperintahkan oleh Allah swt untuk mencabut nyawa barulah Malaikat Maut tadi mengetahui si fulan tersebut sudah sampi ajalnya. Namun kita di bumi yang nyata ini akan tahu saat kematian kita. Sehinggalah apabila kita nampak semua amalan kita sama ada dosa dan juga pahala. Bagi manusia yang lain akan mengetahui bahawa ajal orang sebelahnya akan mati setelah orang tersebut sudah pergi buat selama-lamanya.
Kita sebagai insan yang dijadikan oleh Allah swt tidak perlu takut untuk menghadapi mati dan apa yang kita perlu takut ialah apakah kita telah menunaikan janji kita kepada Allah swt sewaktu kita buat di dalam rahim ibu kita dahulu. Adakah perjanjian itu kita tunai atau kita cuai. Itulah persoalan yang kita perlu takut kerana kita akan mengadap Allah swt sebagai pencipta kita dan apakah persediaan yang kita buat untuk mengadap-Nya. Adakah kita bawa pahala dan amal yang soleh untuk mengadap-Nya atau kita bahawa dosa dan maksiat. Jadi marilah kita berbanyakkan mengingati Allah swt agar kita sentiasa bersedia untuk bertemu dengan-Nya. Kita perlu tingkatkan amalan soleh dan selalu beristighfar agar kita memperolehi keampuanan dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.
Kita jadikan kehidupan kita ini sebagai ibadah kepada Allah swt bermula dari bangun daripada tidur lagi sehinggalah kita hendak tidur balik dan tidur kita juga beribadah. Kehidupan kita di dunia ini adalah kehidupan yang sementara dan yang kekal adalah kehidupan di akhirat.
Sekian wallahu a'lam.

Wednesday, November 12, 2008

Kejayaan VS Kebahagiaan...

Kita selalu mendengar malah sering kali menggunakan perkataan ini, iaitu kebahagiaan dan kejayaan. Semua manusia dalam hidup ini mereka mengimpikan sebuah kebahagiaan dan kejayaan di dalam hidup mereka namun tidak semua di kalangan kita yang mengetahui pengertian yang sebenarnya. Kita hanya tahu kita inginkan kejayaan dan kebahagiaan. Kejayaan merupakan suatu ungkapan yang digunakan bagi menunjukkan seseorang itu mencapai apa sahaja yang mereka inginkan. Manakala kebahagiaan pula merujuk kepada kesenangan dan ketenteraman di dalam hidup. Antara kedua-dua perkara ini semua orang di kalangan kita inginkan namun sudah menjadi sunnah kehidupan yang mana tidak semua di kalangan kita yang memperolehi kedua-duanya.
Kita perlu memahami kehidupan ini terlalu kompleks untuk kita kecapi semuanya. Kejayaan akan hadir dengan ilmu dan usaha manakala kebahagian akan hadir dengan ilmu dan amal. Ada orang yang berjaya namun hidupnya tidak bahagia, ada yang tidak berjaya tetapi bahagia. Namun ada yang berjaya dan bahagia itulah yang kita harapkan. Sepertimana yang kita tahu bahawa kejayaan akan kita capai dengan ilmu dan usaha. Setiap orang akan diperolehi mengikut apa yang diusahakannya. Manakala kebahagiaan pula berkaitan amalan dan perhubungan dengan hati dan keimanan kepada Allah swt. Orang yang bahagia selalunya beramal dengan apa yang diperintahkan oleh agama. Walaupun mereka tidak berjaya namun mereka bahagia dengan kehidupan ini kerena ketengan (al- sakinah) itu adalah milik Allah swt dan Dia akan beri kepada sesiapa yang dikehendakki-Nya.
Kejayaan akan menjadikan seseorang itu hidup senang kerana dengan berjaya mereka mampu memiliki apa yang mereka kehendaki. Namun mereka tidak mampu untuk memiliki kebahagian kerana ianya milik Allah swt yang dianugerahkan kepada hamba-Nya yang taat sahaja. Ramai yang kita dengar bahawa orang yang kaya raya tetapi hidupnya tidak tenang malah dihimpit dengan masalah kecelaruan atau kekacauan jiwa. Persoalan di sini ialah kenapa keadaan ini terjadi kepada mereka? Mungkin semua orang tahu bahawa mereka tidak mampu untuk membeli ketenangan. Tapi apa yang saya ingain kongsi di sini ialah bahawa orang yang jauh dirinya dengan Agama Allah tidak kira sama ada dia kaya atau miskin sudah pasti dia tidak mencapai ketenangan. Tetapi sekiranya dia mentaat segala suruhan agama sudah pasti dia akan memperolehi kebahagia tidak kira dia miskin atau kaya. Kebahagiaan dan ketenangan ini suatu yang dianugerahkan kepada sesiapa yang taat kepada Allah swt.
Kejayaan akan diperolehi berdasarkan usaha dan begitu juga kebahagiaan juga dicapai dengan usaha. Namun tidak semua akan mendapat kejayaan dan tidak semua akan memperolehi kebahagian. Orang yang berusaha tidak kira dia muslim atau bukan muslim dia akan memperolehi kejayaan. Namun kebahagiaan adalah milik orang yang taat kepada agama Allah swt. Walaupun dia muslim tetapi tidak taat kepada agama Allah mereka juga tidak akan tercapai atau memperolehi kebahagian. Inilah yang membezakan antara kejayaan dan kebahagiaan.
Oleh yang demikian marilah kita semua berusaha untuk mendapatkan kejayaan dalam hidup sama ada di dunia dan juga di akhirat. Di saming itu kita berusaha untuk mendapat kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup di dunia dan di akhirat.

My Picture