Ibnu Abbas pernah berkata:"Di antara darjat-darjat yang paling hampir dengan darjat kenabian ialah darjat orang-orang yang beriman dan darjat orang yang berilmu. Darjat di antara orang yang beriman dengan orang yang berilmu itu bezanya 700 darjat lebih tinggi darjat orang yang berilmu. Setiap darjat itu pula bezanya ialah 500 tahun perjalanan".
Huraian Ibnu Ad-Daudi:
Sesungguhnya kita tidak mampu untuk mencapai darjat kenabian kerana jawatan seorang nabi itu bukan boleh diisi sewenang-wenangnya oleh manusia. Nabi itu adalah utusan pilihan Allah swt untuk memimpin manusia ke jalan yang lurus lagi benar. Yang membawa manusia mengenali Tuhan pencipta langit dan bumi serta segal isinya. Ada pun jawatan seorang nabi itu tidak lagi boleh diisi setelah datangnya Rasulullah saw yang bernama Muhammad, kerana beliau merupakan utusan yang terakhir yang membawa kebenaran Agama dan memansuhkan mana-mana agama yang ada di dunia ini.
Oleh kerana jawatan seorang nabi itu tidak lagi boleh diisi oleh ummat manusia yang lain maka marilah kita berusaha untuk menjadikan kedudukan diri kita dekat dan paling hampir dengan kedudukan darjat para nabi-nabi Allah swt. Kedudukan yang paling hampir dengan darjat para nabi ialah hendaklah kita menjadi orang yang beriman kepada Allah swt dengan sebenar-benarnya kerana darjat orang yang beriman sangat dekat dengan Allah swt malah hampir dengan darjat kenabian. Manakala kedudukan orang yang berilmu pula jauh lebih tinggi daripada kedudukan orang yang beriman kerana kebiasaannya orang yang berilmu inilah yang akan beriman dan patuh serta taat kepada perintah Allah swt. Oleh yang demikian marilah sahabat-sahabat semua, jadikanlah diri kita sebagai seorang yang mempunyai ilmu dan pengetahuan serta beriman kepada Allah swt.
Wahai sahabat sekalian,
Ingatlah sesungguhnya dunia ini milik orang yang berilmu. Dunia hari ini tidak lagi mengukur kekuatan sebagai penguasa, tetapi orang yang berkuasa di dunia hari ini ialah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Malah teori ini sudah lama dan ianya bermula sejak Adam as diciptakan lagi. Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat yang ke 30 - 33 yang bermaksud : " Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, Sesungguhnya Aku (Allah swt) ingin menciptakan sejenis makhluk di bumi ini sebagai khalifah". Malaikat berkata : "Tidakkah kamu ingin menjadikan padanya (bumi) mereka itu akan membuat kerusakkan dan pertumpahan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji dan menyucikan Kamu". Firman Allah swt : " sesungguhnya Aku (Allah) lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui." Dan Dia ajarkan kepada Adam beberapa nama, kemudian Dia perlihatkan kepada Malaikat, sebutlah kepada Ku semua nama benda ini, jika kamu orang yang benar." Mereka (Malaikat) menjawab, maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau-lah yang Maha Bijaksana." Dia (Allah swt) berfirman, "Wahai Adam, beritahulah kepada mereka nama-nama itu, setelah dia (Adam) menyebut nama-nama itu, Dia (Allah swt) berfirman : " Bukankah telah Aku katakan kepadamu bahawa Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan".
No comments:
Post a Comment