Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Friday, April 1, 2011

Aku Terima Nikahnya..." Bercinta Hingga Ke Syurga"

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah dipanjatkan syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat yang Allah swt kurniakan untuk kita semua dari alam roh hingga ke alam roh yang berikutnya. Sesungguhnya setiap saat yang berlalu kita sentiasa mengambil rahmat dariNya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pemurah. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw. ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam yang gigih berjihad dalam menegakkan agama Allah swt.

Alhamdulillah pertama sekali ana memohon jutaan kemaafan kerana terlalu lama tidak menjengok blog ana ni. Di kesempatan yang ada ini ana tergerak hati untuk menulis berkenaan pasal cinta dan jodoh. Sudah menjadi fitrah insan yang waras akalnya pasti mempunyai perasaan untuk mengasihi dan dikasihi. Oleh itu, perasaan itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun hatta seorang rahib di dalam gereja sekali pun mempunyai soal cinta di hati mereka.

Perasaan kasih mengasihi itu pasti akan dibuktikan dengan sebuah perkahwinan. Sebab itulah juga dalam semua agama, pasti perkahwinan ada. Baik dalam agama Islam sendiri, agama Kristian, Hindu dan apa sahaja termasuklah masyarakat pribumi yang tidak tahu apa pegangan agama mereka sekali pun mereka tetap mempunyai adat dan cara perkahwinan tersendiri. Ini membuktikan agama yang ada di dunia ini TIDAK menghalalkan penzina tetapi agama yang mereka anuti mengiktiraf perkahwinan.

Pernahkah anda membaca buku "Aku Terima Nikahnya" dan " Bercinta Sampai Ke Syurga" karangan ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Kali ini, bukan buku ini yang hendak dikongsi dengan anda walau tajuknya hampir sama. Tetapi apa yang hendak dikongsi kali ini ialah hanya serba ringkas berkenaan dengan cinta dan jodoh seperti mana yang ditetapkan oleh Allah swt untuk kita sebagai hambaNya.

Cinta merupakan suatu perasaan yang dikurniakan dari Allah swt untuk hambaNya. Perasaan cinta itu dikurniakan oleh Allah swt sekadar satu peratus sahaja di dunia ini untuk hamba-Nya manakala 99 peratus lagi adalah tersimpan untuk hamba-Nya di akhirat kelak. Yang satu peratus inilah kita cintakan Allah swt, untuk cintakan makhluk-Nya. Dengan satu peratus ini jugalah harimau di hutan menyayangi anak-anaknya dan dengan satu peratus ini juga, kita berkasih sayang semasa manusia. Oleh itu, manfaatkanlah satu peratus yang dikurniakan oleh Allah swt ini.

Perasaan cinta itu lahir dari hati, ianya tidak dipaksa dan tidak pula memaksa untuk menyayangi dan disayangi, ia lahir dari hati mereka yang waras akal fikirannya. Sebab itulah sering kali kita mendengar pepatah "Cinta Itu Buta". Terfikirkah kita kebenaran hakikat pepatah itu? Atau apakah butanya cinta kita? Fikir-fikirkan.

Bila bercakap pasal cinta, banyak pandangan dan pendapat yang dilontarkan oleh mereka kebanyakkan. Ada pandangan dari mereka yang pakar tentang erti cinta, ada pula dari kalangan masyarakat biasa dan yang tidak boleh tahan ada juga dari kalangan pelajar sekolah rendah pun turut sama menyatakan pandangan mereka terhadap erti cinta. Pendek kata, semua orang mahu memperkatakan tentang cinta. Itulah hebatnya cinta sampai secilik pelajar sekolah rendah pun memperkatakan tentang cinta.

Kerana cinta itu suatu perasaan, maka setiap antara kita yang waras tidak terlepas daripada memiliki perasaan cinta ini. Jarang sekali kita mendengar mereka yang tidak suka atau sudi untuk bercinta hatta dalam dunia moden ini semakin ramai yang kita jumpa cinta sejenis, (moga Allah melindungi kita dan keturunan kita daripada terlibat dengan cinta sejenis). Apabila ia merupakan suatu perasaan, maka ia juga berkait rapat dengan perasaan menyayangi dan disayangi.

Bila bercakap pasal cinta, kita selalu dengar cinta itu seharusnya dibuktikan dengan perkahwinan. Jika tidak, maka sia-sialah erti cinta. Kerna itulah tertulisnya tajuk "Aku Terima Nikahnya" sebagai bukti cinta yang dirancang. Cinta memerlukan pengorbanan, cinta juga memerlukan kesabaran, cinta juga perlu dihiasi dengan persefahaman dan apa sahaja yang berkaitan dengannya. Ia bertujuan untuk merealisasikan impian sebuah cinta yang dirancangan untuk diakhiri dengan sebuah perkahwinan.

Betul ke orang cakap jodoh ini ditetapkan?

Bila bercakap pasal jodoh, ramai "ulama-ulama" cinta memperkatakan sesuatu tentang jodoh. Ulama' pertama memperkatakan jodoh ini ditetapkan oleh Allah swt dan seharusnya berserah pada takdir tanda membuat perancangan dan usaha. Mereka lebih memperkatakan bercinta itu "haram" hukumnya. Berdalil kepada nas mana pun saya tidak pasti. Mereka menolak sehabis-habisan cinta sesama makhluk. Yang mereka harapkan ialah cinta dari Allah swt dan jodoh itu adalah dikurniakan oleh Allah swt.

Ulama' kedua memperkatakan jodoh ini berdasarkan kepada usaha kita tanpa bersandar terus kepada kekuasan Allah swt. Bagi mereka, cinta ini perlu untuk mendirikan rumah tangga. Dengan siapa jodoh kita adalah berdasarkan kepada usaha mereka "mengayat" atau "tackle" mana-mana perempuan. Akhirnya bila persetujuan ditetapkan maka terjadilah sebuah perkahwinan. Bagi mereka jodoh adalah usaha mereka semata-mata. Maka pandangan sebegini ana katakan sesat dari ajaran Islam.

Ulama' berikutnya memperkatakan soal jodoh ini adalah kekuasan Allah swt menentukan siapa yang terbaik untuk hamba-Nya. Namun Allah swt itu tidak zalim dan memberi peluang kepada hamba-Nya untuk membuat perancangan dan pemilihan. Jika perancangan yang dibuat oleh hamba-Nya itu adalah yang terbaik sejajar dengan perancangan Allah swt, maka Allah swt menerima perancangan hamba-Nya itu. Namun jika perancangan hamba-Nya itu bukan perancangan yang terbaik disisi-Nya, maka Allah swt membuat perancangan yang terbaik untuk hamba-Nya selaras dengan firman-Nya yang bermaksud;

"Kamu merancangan, dan Allah juga merancang, Dan sesungguhanya sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah swt"

Perancangan dan pemilihan yang dibuat oleh hamba-Nya ini pula ana ketegorikan kepada empat faktor untuk mencapai matlamat sebuah perkahwinan. Kerana indahnya cinta itu apabila ia dibuktikan dengan sebuah perkahwinan, maka dengan itulah manusia bersusah payah menjaga hati dan perasaan kekasihnya untuk merealisasikan sebuah perkahwinan. Faktor untuk mencapai matlamat perkahwinan ini, ada diklangan hamba Allah itu mengikut syariat sebagai jalan dan landasan untuk membuat pemilihan terhadap jodohnya. Ada juga yang membelakangi syariat hingga sanggup berbuat apa sahaja yang penting matlamat mereka untuk mencapai jodoh dan berkahwin itu tercapai. Kata orang "matlamat menghalalkan cara". Tapi kata Agama "Matlamat tidak menghalalkan cara", oleh itu fikir-fikirkan yang mana yang anda ingin mengikuti sama ada kata orang atau kata agama.

Faktor pertama perancangan atau pemilihan seseorang itu terhadap jodohnya ialah dengan mereka meminta bantuan daripada orang lain. Sebagai contohnya mereka dipertemukan dan membuat perancangan berdasarkan perancangan orang tua mereka atau saudara mara yang terdekat. Mereka ini tidak pernah berjumpa apatah lagi ingin untuk berbuat sesuatu yang diharamkan oleh agama, semua perancangan diatur oleh orang tua atau saudara mereka. Dan perancangan ini juga diterima oleh Allah swt. Biasanya perancangan perkahwinan seperti ini diamalkan oleh orang tua-tua kita dahulu tapi ianya masih diamalkan lagi oleh sedikit golongan remaja hari ini.

Faktor perancangan dan pemilihan jodoh yang kedua adalah dengan usaha sendiri. Sebagai contoh, dua insan bertemu, dan bercinta kerana Allah swt. Mereka menjaga syariat-syariat yang ditetapkan dan tidak melanggar batasan agama. Mereka membuat perjanjian untuk saling mengenali hati budi dan memahami antara satu sama lain dan berdoa mengharapkan Allah swt mempertemukan mereka dan membuktikan cinta mereka dengan sebuah perkahwinan. Dalam usaha mereka untuk mengenali dan memahami dua hati itu mereka tidak lupa akan syariat dan Allah swt. Cinta seperti inilah yang sukar untuk ditemui kerana yang selalu kita jumpa ialah ramai yang bercinta tetapi ramai pula yang lupakan syariat dan batasan Allah swt. Kesimpulan awalnya ialah dua hati yang bertemu, bercinta dan menjaga hubungan kerana Allah swt dan mengharap pertolongan dari Allah swt untuk membuktikan cinta mereka dengan sebuah perkahwinan.

Faktor ketiga pula ialah mereka bertemu, mereka bercinta dan mereka membuat maksiat iaitu mengambil jalan mudah dengan melakukan penzinaan. Akhirnya kerana perhubungan haram itulah mereka melangsungkan perkahwinan. Jodoh mereka juga terbukti tetapi jalannya adalah suatu yang bertentangan dengan agama. Mungkin kerana inilah yang amat ditakuti oleh sesetengah "ulama' " yang secara lantang mengharamkan terukirnya sebuah percintaan itu. Kerana Islam tidak menetapkan matlamat menghalalkan cara.

Faktor keempat yang berkaitan dengan tercapainya jodoh seseorang melalui perancangan dan pemilihan ialah; ada segolongan manusia baik lelaki ataupun wanita datang menemui bomoh atau pengamal ilmu hitam untuk meminta pertolongan bagi mencapai jodoh mereka. Usaha mereka dengan menggunakan cara yang tidak elok iaitu mungkin dengan menjampi gambar orang yang mereka berkenan atau dengan menggunakan minyak guna-guna yang sering kita dengar dan pelbagai cara lain yang selalu diamalkan oleh bomoh. Biasanya bomoh ini meminta pertolongan dari jin atau syaitan. Hasilnya orang yang dijampi itu akan mengikut kehendak mereka dan akhirnya mereka melangsungkan perkahwinan tanpa kerelaan dari sebelah pihak yang terkena jampi serampah tersebut. Cara ini juga diperkenan oleh Allah swt kerana usaha manusia itu mendapatkan perkhidmatan bomoh. Jelas cara ini juga adalah haram disisi Islam.

Ketahuilah bahawa jodoh dan pertemuan itu ditangan Allah swt. Oleh itu jagalah perhubungan dengan Allah swt sebaik-baiknya agara Allah swt menjaga hubungan kita dengan pasangan kita sebaik-baiknya. Ingatlah bukti cinta itu ialah dengan terjalinnya sebuah perkahwinana (aku terima nikahnya..) dan ingatlah sebaik-baik perkahwinan ialah bercinta hingga ke syurga. Ingatlah, tempat kesudahan kita ialah di negeri akhirat dan sebaik-baik tempat kembali ialah di syurga yang kekal abadi. Jika di dunia kita ingin hidup bersama dengan pasangan yang kita cintai, tidakkah kita juga sudi untuk hidup bersamanya di syurga nanti? Ana tinggalkan persoalan ini untuk sahabat semua sebagai panduan untuk kita sama-sama fikirkan.

Akhir kata, katakanlah kepada orang yang anda cintai itu "Aku terima engkau seadanya kerana Allah swt yang menjadikan engkau. Oleh itu, terimalah aku seadaanya (baik dan buruk) kerana sesungguhnya tiada manusia yang sempurna (perfect) di dunia ini. Jika engkau cintakan aku kerana paras rupaku, ketahuilah bahawa ia tidak kekal dan pasti dimamah usia. Jika engkau cintakan aku kerana hartaku, nescaya ia akan membuatkan engkau menjadi miskin. Jika engkau cintakan aku kerana keturunanku, ketahuilah bahawa ia akan menjadikan engkau hina. Jangan cintakan aku kerana ilmuku, kerana bila aku jahil engkau akan meninggalkan aku. Tapi cintalah aku kerana Allah swt yang menjadikan aku sebagai pasangan. Oleh itu, kekalkan kami dalam cinta yang abadi hingga ke syurga. "

Sekian.

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture