Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Wednesday, March 31, 2010

Aku akan mengikuti langkah yang pasti ini....

Firman Allah swt yang bermaksud:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),

Sehingga kamu masuk kubur.

Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

(Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang.

Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
(at-Takathur; 1-8)




Bismillahi Rahmani Rahim,

Alhamdulillah syukur atas kepada Allah swt atas segala nikmat yang telah dikurniakan yang tidak terhitung nikmatnya. Selawat dan salam untuk junjungan nabi Muhammad SAW, ahli keluarga bagin dan dan para sahabat yang telah memperjuangkan agama Islam. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, ibu dan ayahku, ahli keluargaku dan semua sahabat-sahabatku serta kaum muslimin seluruhnya.

Alhamdulillah, dalam kesibukkan masa untuk meneruskan perjuangan selagi jasad masih bernyawa, aku teruskan langkah demi mencari mardhatillah sebagai bekalan setelah jasadku tidak lagi bernyawa kelak. Berada di kampung halaman penuh dengan kenikmatan yang tidak dapat aku capai di mana-mana tempat sepanjang perjalanan musafirku. Nikmat di kampung bersama ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat handai cukup memberi nikmat yang tidak terkira kepada diriku.

Semalam, bertarikh 31/03/10, tepat jam 6.30 pagi, keluarga aku dikejutkan dengan kehadiran seorang jiran yang duduk dibelakang rumah aku membawa khabar yang mengataka sepupunya meninggal dunia. Dengan nada yang terkejut aku mengucapkan "inna lillahi wa inna ilaihi raji'un". Kematiannya dikhabarkan kerana sakit jantung semasa dalam kerja. Namun itu telah takdir yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepadanya. Ini kerana nikmatnya telah disempurnakan oleh Allah swt dan Allah swt mahu menjemputnya untuk bertanya berkenaan nikmat yang telah diberikan oleh Allah swt kepadanya.

Jenazah dibawa pulang daripad hospital Tuanku Jaafar, N9 dan sampai ke kampungku selepas solat asar dan alhamdulillah jenazah disembahyangkan selepas solat asar dan terus dikebumikan. Pada sebelah pagi, ayahku sibuk untuk menguruskan penggalian kubur kerana sememang tugasnya apabila ada kematian sudah pasti ayahlah menjadi tempat orang kampung mendapat pertolongan untuk menguruskan penggalian kubur. Semoga jasa ayah dibalas dengan setimpal oleh Allah swt kelak.

Selepas solat jenazah, aku terus ke kubur untuk menghantarkan jenazah ke kubur. Semasa dikubur aku sempat melihat jenazah dan aku menunggu jenazah tersebut sehingga selesai dikebumikan. Hatiku terkata bahawa, hari ini engkau pergi dahulu mengadap Tuhanku dan Tuhanmu iaitu Allah swt. Kerana nikmatmu telah disempurnakan-Nya. Insyallah aku akan mengikuti langkahmu itu kerana ianya menjadi kewajipan bagi setiap yang bernyawa. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)"
(surah An-nisa' ayat 78)

Aku masih teringat lagi semasa arwah datuk aku dahulu, aku sendiri yang menurunkan jenazahnya ke dalam kubur. Itulah pengalaman pertama aku menurunkan jenazah dan insyallah aku pasti akan mengajarkan anak-anakku agar mereka dapat menurunkan jenazahku kelak kerna itulah jasa yang terakhir yang patut dilaksanakan oleh orang hidup kepada mereka yang mati.
sekadar hiasan


Kesimpulannya, marilah kita berdoa agar kesudahan kita nanti berada di bawah rahmat Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".
( surah Yusuf : 101)

Marilah kita beramal dengan doa di atas.

Sekian.


Ibnusoleh.
Machang Kelantan.

Saturday, March 27, 2010

Antara Nikmat Sihat & Masa Lapang...

Bismillahi Rahmni Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur kepada Allah swt di atas nikmat yang besar telah dikurnikan kepadaku dan kepada sahabat semua. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw, para ahli keluarga baginda dan sahabat baginda yang telah memperjuangkan agama yang diredhai Allah swt. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosaku, kedua ibu bapaku dan seluruh sahabat-sahabatku serta kaum muslimin dan juga muslimat.

Alhamdulillah, pertama sekali saya mohon jutaan kemaafan atas lama tidak mengemas kini blog ini (update) kerana dek tugasan dan amanah yang terpaksa saya utamankan. Alhamdulillah saya sendiri juga telah tamat menghabiskan praktikum dan semalam telah selamat pulang ke kampung halam dan sungguh banyak kenangan dan pengalaman yang saya ukirkan di negeri tok gajah, Pahang darul makmur. Di sepanjang perjalanan pulang pun sempat saya mempelajari sesuatu dari pengalaman, bak kata pepatah, jauh perjalanan luas permandangan. Dan permandangan hanya dengan mata sahaja tidak cukuk dan ianya perlu dengan hati untuk menilai setiap permandangan agar ia menjadi iktibar dan juga bukti kebesaran Allah swt. Namun kali ini bukan pengalaman semasa musafir saya untuk saya konsikan dengan sahabat semua, tapi apa yang ingin dikongsikan adalah berkenaan dengan dua nikmat Allah swt yang paling besar namun ramai di kalangan kita yang sering melupakannya.

Sabda Nabi saw yang bermaksud:

Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Dua nikmat yang sering diabaikan oleh kebanyakan manusia ialah waktu sehat dan masa lapang. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Semua orang inginkan dua nikmat ini, dan semua orang tahu betapa pentingnya nikmat ini. Namun kebanyakkan dari kita sering mengabaikannya dan membiarkannya ia berlaku. Dua nikmat ini sebenarnya ada perhubungan dengan masa. Apabila kita bercakap soal masa, ia akan berkait pula dengan ibadah dan kehidupan. Betapa ada perhubungannya (related) antara semua makhluk Allah swt ini. Ingatlah kenapa Nabi saw. mengingatkan kita betapa pentingnya nikmat ini adalah kerana ianya berkait rapat dengan kehidupan dan ibadah. Apabila kita sihat, itulah masa sihat kita dan masa sakit kita belum lagi sampai. Jika kita sakit, nikmat sihat kita yang telah dipinjamkan Allah swt kepada kita telah diambil semula dan masa sakit datang menziarahi kita. Begitu juga dengan nikmat masa lapang. Apabila kita tidak sibuk, itulah masa lapang kita dan jika kita sibuk, masa lapang kita telah pergi meninggalkan kita. Jadi jelaslah kepada kita bahawa nikmat sihat dan masa lapang ini berkait rapat dengan waktu/masa kehidupan kita di dunia ini.

Ada pun jika kita sihat, ibadah yang kita dapat lakukan kepada Allah swt dengan mudah dan lebih sempurna berbanding dengan ibadah yang dilakukan semasa sakit. Begitu juga ibadah semasa waktu lapang lebih tenang dan dapat memberi tumpuan atau fokus yang lebih konsisten berbanding dengan ibadah semasa waktu sibuk. Ada sesetengah manusia tidak sempat pun berdoa setelah selesai solat kerana terlalu sibuk dan tiada masa baginya untuk berdoa. Itulah perhubungan antara masa dan ibadah. Jadi perhubungan antara nikmat sihat dan masa lapang ini berhubung terus dengan masa kehidupan kita di dunia ini dan juga dengan ibadah kita kepada Allah swt. Jadi marilah kita semua manfaatkan nikmat sihat kita sebelum datangnya sakit kita. Manfaatkan masa lapang kita sebelum datangnya masa sibuk kita. Dan masa kehidupan kita dengan ibadah kita juga ada perhubungan langsung. Ini kerana jika kita tidak beribadah sekarang, kita akan ketinggalan buat selama-lamanya untuk masa yang telah dipersia-siakan.

Ingatlah kata pepatah, "...hari semalam adalah sejarah kita, hari ini adalah ketentuan kita dan hari esok kita belum pasti..." (ibnu soleh Ad-daudi)

Oleh marilah kita tingkatkan untuk kita beribadah kepada Allah swt dengan seikhlas yang mungkin kerana dengan ikhlas sahaja ibadah kita diterima oleh-Nya.

Untuk akhir kata, saya ingin berkongsi satu cerita untuk kita sama-sama manfaatkan nikmat sihat dan masa lapang. Hayatilah dengan hati dan iman. Wallahu A'lam.


Assalammualaikum WBT

Nikmat Kesihatan

Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang. (Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)


Ini adalah cerita bergambar yang sebenar ..

Ianya boleh merubah hidup kita, cara kita berfikir serta maksud hidup kita.

Ianya adalah kisah seorang lelaki dari Bahrain yang bernama Ibrahim Nasser. Dia telah lumpuh sepenuhnya sejak lahir dan hanya boleh mengerakkan kepala dan jari-jari. Pernafasannya juga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Ibrahim telah menanam keinginan untuk bertemu dengan Sheik Nabeel Al-Wadi seorang ulama' dari Kuwait . Ayah Ibrahim telah memohon kepada Syeikh Nabeel Al-Wadi agar dapat menunaikan hajat anaknya Ibrahim untuk berjumpa dengannya.


Ini gambar Syeikh Nabeel di Lapangan Terbang dalam perjalanan untuk berjumpa dengan Ibrahim.


Ibrahim tersangat gembira dapat berjumpa dengan Sheikh Nabeel bila beliau membuka pintu biliknya. Kegembiraannya dapat digambarkan pada raut wajahnya sehingga sukar baginya untuk berkata-kata pada mulanya.

Saat-saat bila Syeikh Nabeel masuk ke dalam bilik Ibrahim


Dan ini adalah wajah kegembiraan Ibrahim bila dapat berjumpa dengan Syeikh Nabeel. Perhatikan alat pernafasan dileher Ibrahim…dia tidak dapat bernafas secara normal.


Syeikh Nabeel mencium dahi Ibrahim



Ibrahim bersama-sama ayah, bapa saudaranya dan Syeikh Nabeel



Syeikh Nabeel dan Ibrahim berkongsi cerita tentang dakwah melalui internet dan segala macam usaha yang diperlukan olehnya. Mereka juga berkongsi cerita tentang perkara lain.

Semasa perbualan mereka , Syeikh Nabeel telah bertanyakan satu soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan tangisan lantas menghamburkan air mata.


Ibrahim tidak dapat menahan air mata yang mengalir apabila mengenangkan pengalaman yang menyedihkan


Syeikh Nabil mengusapkan air mata Ibrahim




Tahukah anda apakah soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan kesedihan sehingga menangis sepuas-puasnya ?

Syeikh Nabeel telah bertanya kepada beliau, sekiranya Allah memberikan dia nikmat kesihatan sehingga dia boleh berjalan, apakah yang akan dilakukan olehnya ?

Mendengar Soalan ini, Ibrahim telah menangis sepuas-puasnya sehingga ayahnya, bapa saudaranya dan kesemua orang di dalam bilik itu termasuk juga jurugambar telah menangis .

Dia telah menjawab, demi Allah jika saya boleh berjalan maka saya akan menunaikan sholat saya di masjid dengan penuh gembira dan akan menggunakan segala nikmat kesihatan untuk mendapat redha Allah.

Wahai saudara-saudara sekelian Allah telah memberikan kita semua nikmat kesihatan dan kita semua boleh berjalan dengan tidak ada masalah. Adakah kita menunaikan sholat kita di masjid ataupun kita hanya membuang masa berjam-jam di depan TV dan komputer ?

Friday, March 19, 2010

Sabar Dalam Membantu...

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan setinggi syukur kepada Allah swt atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga banyaknya kepadaku, dan sebaik-baik nikmat adalah nikmat Islam dan nikmat sihat. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga baginda, sahabat dan ikutan sepanjang zaman. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan dan dosaku, dosa kedua ibu dan ayahku dan seluruh ummat Islam baik yang telah kembali kepada Engkau dan yang masih hidup.

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangannya)?"
(surah Al-Imran ayat 142)

Setelah lama jari jemari ana tidak ditugaskan untuk menulis di dalam blog ini kerana ana mempunyai tugas yang lebih penting lagi iaitu untuk menyiapkan report praktikum. Sepuluh jari ana mohon maaf kepada semua sahabat pembaca kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ana ini yang sudah ketinggalan banyak artikel untuk dikongsi bersama. Untuk ruangan kali ini ana ingin berkongsi pengalaman dengan sahabat semua berkaitan dengan sabar. Seingat ana, ana pernah menulis berkaitan dengan kesabaran. Namun di dalam tulisan mana ana sudah lupa.

Apabila menyebut tentang sabar, majoriti di kalangan kita akan beranggapan bahawa sabar itu perlu setelah kita ditimpa sesuatu musibah atau bencana atau juga jika kita diuji oleh Allah swt. Memang setiap perkara sedemikian kita sebagai orang Islam yang muslim, wajib kita bersabar di atas apa yang berlaku terhadap diri kita. Walau bagaimana pun, konsep kesabaran yang sebenarnya bukanlah berlaku setelah kita ditimpa sesuatu bencana atau ujian semata-mata, malah konsep kesabaran ini juga merangkumi dalam kehidupan kita seharian. Dalam erti kata yang mudah, sabar juga perlu di dalam melaksanakan perintah Allah swt.

Di sini ana akan berkongsi pengalaman ana dengan salah seorang ahli jemaah di sebuah masjid yang bertanya kepada ana. Kejadian ini berlaku sambil minum kopi selepas solat Isya' di masjid. berkenaan. Dia bertanya kepada anak, "kenapa masih ada orang miskin di negara kita sedangkan pendatang asing pun boleh jadi kaya raya datang ke negara kita." Ana jawab ringkas sahaja, di mana-mana pun tetap ada orang miskin. Baik di Amarika, China dan sebagainya tetap ada mereka yang miskin. Terus dia menambah:"ialah tapi masalahnya rakyat di negara kita ini malas untuk berusaha. Kalau mereka berusaha mereka boleh berjaya. Ini hanya sekadar menunggu dan meminta sedekah daripada orang lain." Lalu ana jawab balik,:" bukan semua mereka malas, ada juga yang berusaha lebih, tapi tetap miskin. Bukan mereka meminta untuk jadi miskin. Tapi ia adalah ketetapan Allah swt untuk mereka. Orang miskin pun ramai yang bekerja keras jauh lebih kuat bekerja berbanding dengan orang yang kaya. Tapi mereka bekerja tidak menggunakan ilmu dan hanya kerja semata-mata. Ada pun kebanyakkan orang yang kaya ini kerjanya sedikit, tapi pulangannya banyak kerana mereka banyak menggunakan ilmu.

Lantas dia bertanya kepada ana," jadi kenapa orang miskin ini tidak menggunakan ilmu? Ana menjawab, "seperti mana saya katakan tadi saudara, mereka telah ditakdirkan untuk dilahirkan dalam keadaan sedemikian dan setiap manusia tidak mampu untuk memilih keadaan macam mana mereka dilahirkan, sama ada dilahirkan dalam keluarga yang kaya ataupun miskin, namun setelah mereka dilahirkan, mereka perlu menghabiskan sisa-sisa hidup mereka sehingga ke saat yang terakhir. Baik berbalik kepada soalan saudara, kenapa masih ada orang miskin dan kenapa orang miskin malas untuk berusaha. Saudara bayangkan jika tiada orang miskin di dunia ini, apakah yang akan jadi? Jika saudara ingin makan nasi, mungkin saudara perlu turun ke sawah sendiri untuk menanam padi kerana ramai yang dah jadi kaya raya dan tidak mahu lagi untuk tanam padi sebagai bahan makanan (nasi). Jika saudara ingin makan ayam, mungkin saudara perlu menternak sendiri kerana orang lain semuanya dah kaya dan tidak lagi mahu menternak ayam. Jika saudara buat rumah, mungkin saudara kena buat sendiri kerana tiada siapa yang mahu bekerja untuk buat rumah saudara kerana mereka semua sudah kaya raya.

Orang miskin ini telah ditetapkan oleh Allah swt di dunia ini. Kemiskinan mereka telah ditulis di dalam al-Quran. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah dan untuk RasulNya dan untuk kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari Al-Furqan, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar) dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

(al-anfal ayat ke 41)

Oleh yang demikian sememangnya di dalam dunia ini tetap ada orang miskin untuk membantu orang kaya seperit saudara. Bukan mereka malas untuk berusah, tetapi usaha mereka tidak sebijak usaha saudara. Saudara janganlah risau kerana setiap orang yang miskin ini Allah swt telah menjanjikan rezeki kepada mereka. Apa yang penting saudara kena ingat bahawa kekayaan saudara itu bukan untuk saudara semata-mata, tetapi harta yang saudara kumpulkan itu sebenarnya ada juga hak-hak orang miskin dan saudara perlu memberikan atau mengembalikan harta tersebut kepada mereka kerana itu perintah Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

(adz- Dzariyat ayat ke 19)

Dengan sebab itulah dalam Islam, kita sebagai orang yang berada wajib membantu orang yang berada di dalam kesusahan kerana membantu atau menolong mereka adalah suatu yang diperintahkan oleh Allah swt. Ini kerana di dalam harta kekayaan saudara itu ada hak orang yang miskin. Jadi saudara perlu memperbanyakkan bersedekah, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Ini kerana saudara orang yang berada dan harta saudara itu mungkin ada hak orang miskin.

Lantas dia bertanya kepada ana: "Saya selalu bersedekah kepada orang miskin, tapi tiada perubahan pun yang berlaku. Orang miskin tu kerja dia meminta-minta je. Bukan nak berusaha langsung untuk mendapatkan rezeki."

Dengan senyuman saya memberitahu kepada saudara yang bertanya tadi. "Saudara jangan berputusa asa dalam menolong. Kita perlu sabar kerana apa yang kita bantu itu tidak sedikitpun dikurangkan oleh Allah swt. Allah menggantikan berlipat kali ganda malah dibalaskan dengan ganjaran pahala oleh-Nya. Bersabar ini penting dalam melakukan amal kebaikkan kerana dengan sabarlah akan menguji setiap kebajikkan yang telah kita lakukan. Jika kita buat kebaikkan kepada seseorang, janganlah kita menghina dia kerana bantuan kita. Ini mungkin boleh menyebabkan mereka berduka cita dan azab Allah swt mungkin ditimpa kepada saudara. Ingatlah, hari ini kita berada dalam kesenangan dan tidak mustahil hari esok kita pula dalam kesusahan dan kemiskinan. Bantulah mereka dengan penuh kesabaran dan jangan kita membuatkan mereka berduka cita dengan bantuan kita. Bantulah sepenuh hati kepada mereka atas dasar suatu perintah Allah swt kepada kita orang yang berada ini."

Lalu sahabat jemaah tadi mengucapkan ribuan terima kasih kepada ana kerana penjelasan ringkas berkenaan dengan kenapa ada orang miskin. Ana teringat pesanan ustaz ana dulu yang mana berbuat baiklah terhadap orang miskin dan anak-anak yatim kerana taraf mereka sangat dekat di sisi Allah swt. Apa yang mereka minta pasti Allah swt akan makbulkan sama ada lambat atau cepat tapi Allah swt akan menerima doa mereka di dunia ini lagi.

Kesimpulannya, apa yang saya dapat simpulkan ialah, kita hendaklah sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan sekalipun, baik sabar apabila ditimpa musibah, ujian dan sebagainya. Sabar juga perlu kita amalkan semasa kita melaksanakan ibadah kepada Allah swt kerana dengan sabar, setiap amalan kita pasti akan mendapat balasan yang terbaik di sisi Allah swt. Selain itu, kita perlu membantu mereka yang miskin dan bersabar di dalam membantu mereka. Ini kerana dalam kekayaan harta yang kita miliki pasti ada hak-hak mereka dan untuk membersihkan harta kita daripada bercampur dengan harta mereka, hendaklah kita selalu mengeluarkan zakat dan bersedekah di jalan Allah swt. Janganlah sesekali kita membuatkan mereka berduka cita atas pertolongan kita. Bantulah mereka dengan seikhlas yang mungkin.

Sekian

"erti hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah swt"

Ibnusoleh
18500 machang kelantan

Friday, March 12, 2010

Kiffarah dan Ujian....

Bismillahi Rahmani Rahim...

Alhamdulillah ku panjatkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah swt di atas segala nikmat kurniaan-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad saw. ahli keluarga baginda dan para sahabat, ikutan dan seterusnya kaum muslimin dan muslimat sekalian. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku dan kedua ibu dan ayahku.

Alhamdulillah, dalam kesakitan yang aku lalui hari ini, aku mulakan dengan nama-Mu yang Agung untuk aku luahkan kesakitan yang aku alami semoga menjadi pengajaran kepada sahabat pembaca. Jari tangan tidak dapat berfungsi sepenuhnya untuk menaip, biasanya aku menggunakan 10 jari, tapi kali ini hanya 6 sahaja yang berfungsi dan yang 4 lagi masih dalam istiharah. Bagiku perjuangan harus diteruskan walau bagaimana keadaan sekalipun. Selagi nyawa masih bernafas, selagi itulah perjuangan dakwah perlu diteruskan.

Kerehatan empat jari itu setelah mengalami kecederaan akibat kemalangan semasa aku pulang daripada solat Jummat (12 Mac 2010). Perjalanan menaikki "Buraq Putih" (gelaran bagi motosikal aku) telah melanggar seekor kambing yang berkejaran atas jalan raya. Tidak sempat nak break, terus aku melanggar kambing tersebut dan aku jatuh terpelanting ke hadapan. Nasib masih menyebelahi aku yang mana aku tidak ditimpa oleh Buraq Putihku. Aku terpelanting ke hadapan menyebabkan dahi aku tersungkur di atas jalan menggosok batu granik di permukaannya. Baru aku tahu, rupanya batu granik yang JKR buat jalan itu lebih keras daripada dahi aku. Darah meleleh membasai muka. Namun aku tidak menyapunya sedikitpun, kerana itulah petua yang aku belajar, darahku lebih cepat kering jika biarkan dia keluar.

Di tangan kiri aku, jari dan tapak tangan berdarah. Biasalah tangan inilah yang menahan batu granik daripada menggosok muka aku. Hanya dahi yang tidak dapat diselamatkan. Manakala tangan sebelah kanan pula cedera dekat siku. Darah tidak mengalir hanya kesan haus dan menampakkan isi tangan aku yang kemerahan. Baju kemaja yang aku pakai koyak dan tidak boleh digunakan lagi. Pinggang pula rasa semacam je dan mungkin sedikit terseliuh dan lebam menunjukkan tandanya. Darah di kaki keluar sedikit namun terus kering setelah aku sampai ke rumah sewaku. Manakala Buraq Putih aku terpaksa masuk ICU untuk dirawat.

Bagiku semua ini adalah "Kiffarah" dan "Ujian" daripada Allah swt kepadaku. Mungkin sebab kelalaian aku sebelum ini dan untuk menghapuskan dosa-dosaku, maka Allah swt memberikan bayaran kepadaku dalam bentuk ujian begini sebagai Kiffah. Atau sebagai ujian ke atasku untuk terus bersabar dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Ini kerana perjuangan para sahabat untuk menegakkan Syiar Islam jauh lebih hebat daripada itu. Para sahabat Rasulullah sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan Islam dan bagiku ujian setakat luka sedikit ini tidak mudah luntur untuk meneruskan dakwah. Insyallah pada malam ini aku akan mengajar di salah sebuah masjid dan insyaallah aku akan meminta kepada ahli masjid datang menjemputku. Bagiku, setakat kaki sukar untuk berjalan bukan menjadi halangan untuk berdakwah kerana mulutku masih lagi bersuara untuk memberitahu kepada manusia lain yang mahu mendengarnya. Inilah ujian daripada Allah swt kepadaku supaya aku lebih bersabar dalam meneruskan agenda dakwah. Mungkin juga Kiffarah untuk menghapuskan dosa-dosaku kerana aku sedar, diri ini sentiasa melakukan dosa kepada Allah swt.

Wahai sahabat pembaca sekalian, dengarlah nasihat daripadaku. Janganlah kamu luntur untuk meneruskan dakwah kepada Allah swt di atas sebarang ujian yang menimpa kepada kamu baik dari segi kamu kekurangan harta, jiwa, cedera dan kamu dimakin hamun sekalipun kerana itu semua adalah ujian kepada kamu. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada hartabenda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak ( tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)."

( Quran, Al-Imran ayat 186)

Dan Sesiapa yang meletakkan dirinya ke dalam medan dakwah, sebenarnya kamu telah meletakan diri kamu dan meredha diri kamu untuk diuji oleh Allah swt. Firman Allah swt di dalam surah Al-Ankabut yang bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

(Quran, Al-Ankabut ayat 2)

Inilah yang berlaku kepada nabi-nabi dan sahabat-sahabatnya. Wahai sahabatku, janganlah kamu menaruh bimbang ke atas ujian yang diberikan kepada Allah swt kerana ganjaran pahala daripada Allah swt terlalu besar. Ini kerana sesiapa yang bersabar dengan ujian Allah swt, sesungguhnya Allah swt pasti bersama dengannya. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar. sesungguhnya Allah swt bersama dengan orang-orang yang sabar."

(Quran Al-Anfal ayat ke 66)

Wahai sahabat sekalian, teruskan perjuangan kerana kita bukan pencipta agama atau pembawa agama. Agama kita telah sempurna dan tiada lagi nabi diturunkan ke alam ini setelah kembalinya kekasih Allah swt itu. Kita hanyalah penyambung kepada penyebaran agama yang sempurna ini. Oleh itu teruskanlah memberi khabar kepada mereka yang mahu mendengarnya. Nabi tidak lagi diturunkan dan jarak antara kita dengan nabi yang terakhir terlalu jauh dan sebab itulah kebanyakka daripadan kita menjadi lalai. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai. "

(Quran, Yassin ayat ke 6)

Teruskan perjuangan kerana perjuangan belum selesai. Ingatlah, selepas kita kembali kepada Allah swt nanti, akan ada lagi pengganti kepada kita untuk menyambung perjuangan para Rasul ini.

Akhir kata daripada saya, doakanlah kepada saya agar saya cepat sembuh dan baik seperti sedia kala kerana banyak lagi urusan yang belum saya selesaikan. Rinduku kepada ahli jemaah di masjid ini untuk aku mengajar mereka sebanyak yang mungkin kerana aku sedar masa aku di sini tidak lama lagi. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi aku akan kembali ke kampungku (rindunya bau senapang). Jadi, untuk menghabiskan sisa-sisa waktu aku di Tanjung Selangor, Pekan ini, aku akan memanfaatkan setiap detik yang berlalu. Doakan semoga Allah swt permudahkan bagi segala urusanku dan kita semua. Ameen.


Thursday, March 11, 2010

Di Persimpangan Cinta....



Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur pada Mu Ya Allah, di atas nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku, dan nikmat yang paling agung adalah nikmat Islam dan nikmat sihat. Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluargan dan sahabat baginda yang bertungkus lumus membantu baginda dalam menyampaikan risalah Islam sehingga ke hari ini. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosaku dan dosa kedua ibu dan ayahku, tiada apa yang bolehku balaskan untuk jasa mereka melainkan doaku untuknya.

Alhamdulillah, dalam kepantasan masa yang berlalu, dalam kesibukkan untuk menguruskan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadaku, terpaksa juga ku luangkan sedikit masa di sini untuk memberi manfaat kepadaku dan pembaca semua. Biarlah manfaat yang sedikit ini diperolehi kepada kita asalkan ia berterusan hingga ke akhir hayat kita semua. Untuk kali ini saya ingin mencoretkan sedikit pandangan peribadi bagi menjawab soalan daripada sahabat yang berada di UUM. Semoga dengan pandangan peribadi ini membuka pemikiran sahabat yang berada di persimpangan cinta untuk terus berjuang dalam mencari cinta yang kekal abadi seterusnya mencapai mardhatillah (keredhaan Allah swt).

Baru-baru ini saya ditanya oleh sahabat dari UUM, antara pilihan hati dan pilihan keluarga, yang mana dibolehkan? Kerana pilihan hati membawa kepada kemaksiatan kerana nafsu yang memimpinnya. Manakala pilihan keluarga kadang kala tidak juga membawa kepada kebahagiaan. Jadi untuk menyambung jawapan saya kepada sahabat dari UUM itu dan semua pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian, saya menulis hanya sebagai pandangan peribadi dan semoga ia dijadikan punca penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekian lama.

Memang tidak dinafikan, setiap insan yang waras pemikirannya, yang mempunyai hati dan perasaan, akan mengalami suatu perasaan ingin DICINTAI dan ingin juga MENYINTAI. Kerana sudah menjadi fitrah manusia, lagenda cinta bermula sejak Allah swt menciptakan Nabi Allah Adan as. Dan kerana itulah Allah swt menciptakan kekasih yang bernama Hawa. Bermula kisah cinta mereka, mereka diuji oleh Allah swt kerana atas nikmat cinta itulah akan menentukan ketaatkan mereka berdua kepada perintah Allah swt. Kerana kisah cinta mereka yang sempurna itu mereka ditempatkan di Syurga Allah swt dan kerana kisah cinta mereka juga timbullah perasaan dengki dan cemburu oleh musuhnya yang bernama syaitan laknatullah. Kisah cinta mereka berpisah dari syurga, membawa diri ke alam dunia dan seterusnya kembali ke syurga Allah swt. Itulah matlamat akhir sebuah cinta apabila ia disulami dengan keikhlasan dan keimanan pasti akan membawa ke syurga.

Kisah cinta Adam dan Hawa tidak berakhir di situ sahaja, malah turut diwarisi kepada anak cucunya sehingga sekarang ini dan juga akan datang. Kerana fitrah cinta yang merupakan rahmat dari Allah swt inilah kita semua berkasih sayang sesama makhluk di bumi ini. Firman Allah swt di dalam surah Ar-Rom ayat yang ke 21 yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
(Surah Ar-Rom ayat yang ke 21)


Dengan perasaan kasih sayang inilah secara fitrahnya menjadikan semua makhluk inginkan keadaan yang aman damai, berkasih sayang, harmoni dan sebagainya. Kerana itulah manusia yang benar-benar taat kepada Allah swt pasti akan mengasihi sesama makhluk dan mereka yang ingkar dengan syariat Allah swt inilah yang menjadi punca kepada peperangan dan sebagainya.

Jadi berbalik kepada persoalan sahabat saya dari UUM (yang atas sebagai muqaddimah jer.....), saya akan menjelaskan erti cinta berdasarkan pandangan saya. Ini kerana setiap orang mempunyai pandangan tersendiri. Bagi saya cinta boleh di dimensikan kepada 3 bahagian atau kategori utama.

Bahagian cinta 1: Cinta Fizikal.
Cinta fizikal inilah yang sering terjadi dikalangan muda-mudi hari ini. Dan kerana inilah kebanyakkan ulama'-ulama' hari ini lebih mengharamkan perbuatan cinta itu sendiri atas alasan untuk mengelakkan dari perbuatan maksiat kepada Allah swt. Cinta fizikal ini senang diungkapkan dan semamangnya terlalu mudah untuk diungkapkan. Hari pertama berkenalan sudah terus melafazkan cinta. Cinta fizikal merujuk kepada cintanya seseorang kepada orang lain, baik lelaki mahupun perempuan mencintai orang lain adalah kerana fizikal yang dimiliki oleh orang yang dicintai itu. Ini merujuk kepada cintanya itu timbuk kerana si dia memiliki kecantikkan/ kehensoman, harta yang bertimbun-timbun, duit yang berjuta-juta, susuk tubuh yang cantik, perfiumnya yang wangi sewangi nilai harganya dan apa-apa jua yang berbentuk fizikal. Cinta ini tidak langsung mengharapkan keberkatan di sisi Allah swt. Dan cinta inilah yang membawa kepada kehancuran kerana matlamatnya tidak bersandar kepada Allah swt. Wahai sahabatku, ingatlah jika kamu cintakan kepada harta, harta akan menjadikan kamu miskin dan jika kamu tidak mampu menguruskan harta dengan baik, kamu termasuk dalam golongan orang yang akan dikumpulkan bersama dengan Qarrun, Hamman dan Firaun. Wahai sahabatku, ingatlah harta yang kamu kumpulkan itu akan mengkayakan orang yang hidup setelah engkau kembali bertemu dengan Allah swt. Jika kamu mengajarkan anak-anak kamu dengan harta, insyallah mereka akan bermusuhan sesama sendiri kerana harta kamu.

Bahagian cinta 2 : Cinta Emosional (Emosi)
Cinta yang ke 2 ialah cinta emosi. Cinta ini biasa akan lahir dari sudut hati seseorang kerana perasaan yang timbul akibat daripada sifatnya yang penyayang, lemah lembut dan sebagainya. Cinta emosi ini timbul kerana mereka yang bercinta itu saling berhubung atau ber-sms dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat, memberi hadiah dan sebagainya. Dari sini mulalah muncul perasaan inginkan sang kekasih berada di sisi, dan kerana cinta emosilah maka lahirnya pelbagai ungkapan "lautan api sanggupku renangi".

Wahai sahabatku, ingatlah cinta emosi ini sering manis diperingkat awal percintaan, dan selalunya berakhir dengan kepahitan. Cinta emosi jika tidak diteliti dengan betul membawa kepada keburukan yang mana jika disalahgunakan, makan terjadilah si lelaki menabur budi untuk membeli body. Ingatlah, jika cinta emosi inilah yang meletakkan nafsu dihadapan dan kerana cinta inilah kita akan menjadi buta dan tuli. Tiada lagi nasihat ibu dan ayah yang kita dengarkan, kerana kita ada si dia yang sangat kita cintai. Kata orang "kentut si dia adalah wangi". Begitulah hebatnya cinta emosi.

Bahagian 3 : Cinta Rohaniyah (Spiritual)
Dimensi cinta yang ke 3 ini merujuk kepada cintanya dua orang insan untuk mengharapkan mardhatillah dan cinta inilah yang berkekalan sehingga ke Jannah (syurga). Cinta ini terhasil apabila 2 orang insan saling bertemu dan bercinta kerana mengharapkan keredhaan Allah swt. Dengan cintanya mereka tidak melakukan maksiat kepada Allah swt malah menggunakan cinta ini untuk saling nasihat menasihati antara satu sama lain tentang kejayaan dalam pelajaran, kehidupan, menasihati tentang kebaikkan dan sering mengingatkan kepada keagamaan. Mereka saling berhubung dalam perkara yang baik, ber-sms or mms tentang perkara yang baik serta mencegah perkara yang mungkar. Perhubungan yang mereka bina bukan hanya setakat mereka berdua sahaja malah turut diketahui juga oleh ahli keluarga masing-masing dan dengan itu cinta mereka mendapat restu daripada kedua orang tua mereka. Mereka tidak pernah melakukan maksiat kepada Allah swt hatta untuk bertemu sekalipun melainkan adanya mahram. Itulah keikhlasan cinta mereka kerana mereka mengharap cinta mereka berputik hingga ke syurga.

Maka di sini timbullah persoalan "Di mana kita ingin mencari cinta spiritual ini?. Perasaan cinta ini sukar menjelma jika tidak dirasai melalui suara hati. Kerana ia tidak dimengerti, maka ia tidak pula dicari. Oleh kerana ia tidak dicari, ia sukar ditemui. Perasaan mawaddah wa rahmah, atau cinta dan kasih akan menghiasi kehidupan yang menenangkan.

Pasangan yang mengalami cinta spiritual akan saling membantu, saling bersama, saling intim, malah saling doa mendoakan agar kedua-duanya terus dapat bertemu di akhirat. Cinta fizikal dan cinta emosional akan gugur, tetapi cinta spiritual makin bersinar bila usia merangkak senja.

Wahai sahabat pembaca, ingatlah sinar cinta rohaniyyah ini bukan senang untuk kita perolehi. Kerana cinta yang kita bina itu adalah suatu cinta yang murni dan hakiki. Permulaan cinta adalah bermulanya cinta kepada Allah swt dan Rasul-Nya kerana di situlah titik pertemuan cinta yang sejati sebelum kita bercinta sesama manusia. Allah swt yang Maha menjadikan dan Dia-lah yang menjadikan kita dan Dia-lah yang memberikan nikmat cinta kepada kita. Oleh itu, cinta rohaniyyah bermula dengan cinta kepada Maha Pencipta.

Jadi dengan huraian berkaitan dengan dimensi cinta, maka kita seharusnya bijak membuat penilain sama ada cinta yang kita ingin bina itu adalah berdasarkan kepada apa. Jadi penilaian sama ada pilihan hati atau pilihan keluarga pasti akan mencapai tingkat mardhatillah sekiranya kita memilih cinta Rohaniyyah (spritual). Janganlah kita risau dengan pilihan hati ini, kerana kita takut tidak bahagia. Janganlah pula kita mengharapkan cinta pilihan keluarga itu membawa kebahagiaan. Tapi, ingatlah cinta yang bahagia adalah apabila kita bersama dengan pasangan cinta kita saling bercinta atas dasar lillahi taala (kerana Allah swt). Dalam erti kata yang cukup mudah, cinta yang kita bina itu adalah berdasarkan kepada agama. Dan jika agama dijadikan asas pemilihan suami atau isteri, maka janganlah dirisaukan sama ada ia adalah pilihan hati atau pilihan keluarga kerana kebahagiaan pasti akan menjadi milikmu. Ini telah disabdakan oleh Rasullullah saw dalam hadis baginda yang bermaksud :

"Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

Oleh yang demikian, kesimpulannya jelaslah bahawa pilihan hati akan membawa kebahagiaan jika ia di dasarkan kepada agama sebagai asasnya. Begitu juga dengan piliha keluarga, pasti akan bahagia kerana asasnya adalah agama. Walau bagaimana pun pilihan keluarga lebih hampir kepada kebahagiaan kerana pilihan keluarga sudah pasti ingin melihat anak-anaknya hidup bahagia. Tiada seorang ibu dan ayah mahu melihat anaknya hidup derita dan dengan itu mereka pasti akan mencari yang terbaik untuk kehidupan anak-anaknya.

Harap dengan tulisan ringkas ini menjadi pencetus formula kepada mereka yang berada di persimpangan cinta antara pilihan hati atau pilihan keluarga.


Sekian

"erti hidup pada mengabdikan diri kepada Yang Esa"

Rozlan Daud
18500 Machang.

Tuesday, March 9, 2010

Malunya Kenal Engkau....

Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah swt di atas segala nikmat-Nya yang tidak mampu aku menghitung banyaknya. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan, Muhammad saw, para ahli keluarga dan sahabat baginda. Ku mohon keampuanan dari-Mu Ya Allah di atas segala kekurangan diriku ini, ampun juga buat kedua ibu bapaku yang tidak putus-putus memberikan kebaikkan kepada diriku.

Alhamdulillah, sudah lama saya tidak bersama dengan blog saya ini kerana kesibukkan dalam menyiapkan beberapa tugasan yang lebih penting untuk memperolehi ijazah nanti insyallah. Buat pengunjung sekalian, saya mendoakan kebahagiaan atas kesetiaan mengunjungi blog saya yang tidak seberapa ini, maklumlah menulis dalam kejahilan. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya kepada pembaca sekalian dan harap kita semua mengambil iktibar dari pengalaman ini. Pengalaman ini berlaku sendiri pada saya dengan salah seorang bekas pensyarah saya.

Kejadian ini berlaku di salah sebuah hotel Sri Malaysia di dalam salah sebuah negeri yang mana saya pada malam itu lepas je solat isyak saya ada forum perniagaan di hotel berkenaan. Lepas sahaja solat isyak saya memandu Grand Livina milik kawan kerana dia malas nak memandu katanya. Tiba di hotel, saya mencari tempat parking dan alhamdulillah tempatnya betul-betul di hadapan pintu utama, so tidaklah jauh sangat dan saya dapat masuk terus nanti kerana seminar tersebut telah bermula. Setiba di pintu hotel, saya bertemu dengan salah seorang bekas pensyarah saya dan dia juga menjadi kawan baik saya kerana selalu keluar bersama bermain golf di Black Forest, Bukit Kayu Hitam, Saujana Golf Club UUM, dan selalu berlatih bersama semasa di matrikulasi dahulu. Atas sebab kenal dan pertemuan yang tidak disangkakan ini menjadikan kami saling berteguran dan bersalaman. Maklumlah sejak aku meninggalkan alam matrikulasi, dan dia juga telah naik pangkat menjadi salah seorang timbalan pengarah di salah sebuah matrikulasi menjadikan kami memang sudah lama tidak bertemu. Bila bertemu, bersalam dan bertanya khabar seterusnya dia memberi satu ucapan yang membuatkan aku terasa sedikit dan terus menegur sikapnya. Bagiku, sebagai seorang anak murid tidak salah memberi teguran kepada gurunya, begitu juga sebagai seorang sahabat yang sayangkan sahabatnya seharus menegur sekiranya sahabat tersebut membuat sesuatu yang silap dan tidak membencinya.

Kata-kata yang keluar dari mulutnya "nasib baik awak baru datang, kalau datang 10 minit awal tadi malu saya". Lantas aku bertanya kenapa encik? Jawabnya, "kalau tidak MALU AKU KENAL KAU....."Tadi ada rombongan ketua bahagian matrikulasi datang, so aku kena hantar dia... Kalau kau(merujuk kepada saya) ada tadi, tidak tahu la aku nak cakap apa nanti." Itulah kata-kata yang keluar dari seorang pensyarah yang memiliki master. Namun bagi aku, aku sedar yang aku ini hanyalah seorang yang jahil, belum ada kerja dan masih lagi belajar. Seorang pelajar tidak boleh bertegur sapa dengan pensyarahnya (itu mungkin bagi pandangan dia lah)... Lantas aku katakan padanya, encik maafkan saya kerana saya membuatkan encik malu. Kerana encik kenal saya menjadikan encik bertambah malu. Maklumlah encik, saya ini hina dan lebih hina dari seorang tukang sapu di hotel ini sehingga encik malu kenal dengan saya. Tetapi encik kena ingat, hari ini encik ada jawatan, encik kenal dengan menteri, encik berkawan baik dengan ketu-ketua pengarah, encik kenal ramai orang dan semua yang terbaik adalah milik encik. Bagi saya semuanya hina kerana saya masih lagi hina. Tapi encik, jawatan yang encik ada sekarang ini tidak kekal dan saya akan tunggunya nanti. Ingat encik, encik boleh bermegah dengan jawatan encik kerana dia milik encik sekarang ini. namun jawatan tidak kekal encik, orang pandang encik ketika encik ada jawatan, nanti bila jawatan sudah tiada lagi saya ingin melihat bagaimana kedudukan encik. Encik jangan lupa, saya yang hina ini tidak hina untuk selama-lamanya. Kerana mungkin jawatan encik sekarang ini akan saya gantikannya nanti. Encik, kita jangan hina orang walau kita rasa diri kita hebat. Kalau encik malu nak jumpa saya, encik jangan tegur saya lagi.

Itulah kata-kata akhir dariku untuk bekas pensyarah aku. Kemudian aku mohon diri untuk masuk ke seminar perniagaan di hotel Sri Malaysia dan meninggalkannya dengan kata-kataku yang mungkin membuatkannya terfikir sejenak. Semasa dalam seminar, aku terfikir kenapa dia boleh mengeluarkan kata-kata " Malunya aku kenal Engkau" sedangkan sebelum ini dia memang baik denganku. Bukan dia sahaja, malah anak-anak dan isterinya cukup mengenali diriku kerana mereka selalu menjemputku untuk menjadi khalifah bacaan yassin di rumah mereka setiap 2 minggu sekali. Aku membiarkan apa yang dikatakan kepadaku kerana sememangnya benar apa yang dikatakannya. Aku yang tidak mempunyai apa-apa ini tidak boleh berkawan dengannya yang memiliki jawatan yang tinggi. Aku ingat lagi macam mana ayah angkat aku dahulu hilang jawatan kerananya...

Bagi sahabat pembaca sekalian, nasihat dariku adalah kita jangan menghina orang hatta kepada seekor binatang sekali pun kerana kita tidak layak untuk menghinanya. Apa hak kita untuk kita menghina orang lain sedangkan mereka itu adalah Allah swt yang menciptakan dan kita juga adalah dicipta oleh Tuhan yang sama. Kita tiada hak untuk menghina mereka kerana kita adalah sama-sama hamba kepada Allah swt. Wahai sahabatku, jika engkau memegang apa sahaja jawatan penting, maka janganlah kamu lupa bahawa jawatan itu tidak kekal untukmu. Kamu boleh buat apa sahaja yang kamu suka semasa kamu ada jawatan, tapi ingat orang akan buat apa sahaja kepada kamu ketika kamu tiada jawatan. Oleh itu, semakin besar jawatan yang kamu pegang, maka semakin rendahkanlah dirimu kerana jawatan itu adalah ujian. Wahai pembaca semua, selalulah kamu mengenang apa sahaja budi orang kepada kamu dan jangan sekali-kali kamu mengenang jasa kamu kepada orang. Kerana dengan mengenang jasa mereka akan membuatkan kamu lebih bersyukur dan mengingatkan erti hidup kamu.

Dengan itu, sekian untuk kali ini. Dalam kesibukkan tugas ku mohon doa semoga Allah swt permudahkan segala urusanku dan kita semua. Insyallah...

Wallahu A'lam.

Erti hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah swt.

Rozlan Daud
Machang

My Picture