Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Thursday, March 11, 2010

Di Persimpangan Cinta....



Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur pada Mu Ya Allah, di atas nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku, dan nikmat yang paling agung adalah nikmat Islam dan nikmat sihat. Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluargan dan sahabat baginda yang bertungkus lumus membantu baginda dalam menyampaikan risalah Islam sehingga ke hari ini. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosaku dan dosa kedua ibu dan ayahku, tiada apa yang bolehku balaskan untuk jasa mereka melainkan doaku untuknya.

Alhamdulillah, dalam kepantasan masa yang berlalu, dalam kesibukkan untuk menguruskan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadaku, terpaksa juga ku luangkan sedikit masa di sini untuk memberi manfaat kepadaku dan pembaca semua. Biarlah manfaat yang sedikit ini diperolehi kepada kita asalkan ia berterusan hingga ke akhir hayat kita semua. Untuk kali ini saya ingin mencoretkan sedikit pandangan peribadi bagi menjawab soalan daripada sahabat yang berada di UUM. Semoga dengan pandangan peribadi ini membuka pemikiran sahabat yang berada di persimpangan cinta untuk terus berjuang dalam mencari cinta yang kekal abadi seterusnya mencapai mardhatillah (keredhaan Allah swt).

Baru-baru ini saya ditanya oleh sahabat dari UUM, antara pilihan hati dan pilihan keluarga, yang mana dibolehkan? Kerana pilihan hati membawa kepada kemaksiatan kerana nafsu yang memimpinnya. Manakala pilihan keluarga kadang kala tidak juga membawa kepada kebahagiaan. Jadi untuk menyambung jawapan saya kepada sahabat dari UUM itu dan semua pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian, saya menulis hanya sebagai pandangan peribadi dan semoga ia dijadikan punca penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekian lama.

Memang tidak dinafikan, setiap insan yang waras pemikirannya, yang mempunyai hati dan perasaan, akan mengalami suatu perasaan ingin DICINTAI dan ingin juga MENYINTAI. Kerana sudah menjadi fitrah manusia, lagenda cinta bermula sejak Allah swt menciptakan Nabi Allah Adan as. Dan kerana itulah Allah swt menciptakan kekasih yang bernama Hawa. Bermula kisah cinta mereka, mereka diuji oleh Allah swt kerana atas nikmat cinta itulah akan menentukan ketaatkan mereka berdua kepada perintah Allah swt. Kerana kisah cinta mereka yang sempurna itu mereka ditempatkan di Syurga Allah swt dan kerana kisah cinta mereka juga timbullah perasaan dengki dan cemburu oleh musuhnya yang bernama syaitan laknatullah. Kisah cinta mereka berpisah dari syurga, membawa diri ke alam dunia dan seterusnya kembali ke syurga Allah swt. Itulah matlamat akhir sebuah cinta apabila ia disulami dengan keikhlasan dan keimanan pasti akan membawa ke syurga.

Kisah cinta Adam dan Hawa tidak berakhir di situ sahaja, malah turut diwarisi kepada anak cucunya sehingga sekarang ini dan juga akan datang. Kerana fitrah cinta yang merupakan rahmat dari Allah swt inilah kita semua berkasih sayang sesama makhluk di bumi ini. Firman Allah swt di dalam surah Ar-Rom ayat yang ke 21 yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
(Surah Ar-Rom ayat yang ke 21)


Dengan perasaan kasih sayang inilah secara fitrahnya menjadikan semua makhluk inginkan keadaan yang aman damai, berkasih sayang, harmoni dan sebagainya. Kerana itulah manusia yang benar-benar taat kepada Allah swt pasti akan mengasihi sesama makhluk dan mereka yang ingkar dengan syariat Allah swt inilah yang menjadi punca kepada peperangan dan sebagainya.

Jadi berbalik kepada persoalan sahabat saya dari UUM (yang atas sebagai muqaddimah jer.....), saya akan menjelaskan erti cinta berdasarkan pandangan saya. Ini kerana setiap orang mempunyai pandangan tersendiri. Bagi saya cinta boleh di dimensikan kepada 3 bahagian atau kategori utama.

Bahagian cinta 1: Cinta Fizikal.
Cinta fizikal inilah yang sering terjadi dikalangan muda-mudi hari ini. Dan kerana inilah kebanyakkan ulama'-ulama' hari ini lebih mengharamkan perbuatan cinta itu sendiri atas alasan untuk mengelakkan dari perbuatan maksiat kepada Allah swt. Cinta fizikal ini senang diungkapkan dan semamangnya terlalu mudah untuk diungkapkan. Hari pertama berkenalan sudah terus melafazkan cinta. Cinta fizikal merujuk kepada cintanya seseorang kepada orang lain, baik lelaki mahupun perempuan mencintai orang lain adalah kerana fizikal yang dimiliki oleh orang yang dicintai itu. Ini merujuk kepada cintanya itu timbuk kerana si dia memiliki kecantikkan/ kehensoman, harta yang bertimbun-timbun, duit yang berjuta-juta, susuk tubuh yang cantik, perfiumnya yang wangi sewangi nilai harganya dan apa-apa jua yang berbentuk fizikal. Cinta ini tidak langsung mengharapkan keberkatan di sisi Allah swt. Dan cinta inilah yang membawa kepada kehancuran kerana matlamatnya tidak bersandar kepada Allah swt. Wahai sahabatku, ingatlah jika kamu cintakan kepada harta, harta akan menjadikan kamu miskin dan jika kamu tidak mampu menguruskan harta dengan baik, kamu termasuk dalam golongan orang yang akan dikumpulkan bersama dengan Qarrun, Hamman dan Firaun. Wahai sahabatku, ingatlah harta yang kamu kumpulkan itu akan mengkayakan orang yang hidup setelah engkau kembali bertemu dengan Allah swt. Jika kamu mengajarkan anak-anak kamu dengan harta, insyallah mereka akan bermusuhan sesama sendiri kerana harta kamu.

Bahagian cinta 2 : Cinta Emosional (Emosi)
Cinta yang ke 2 ialah cinta emosi. Cinta ini biasa akan lahir dari sudut hati seseorang kerana perasaan yang timbul akibat daripada sifatnya yang penyayang, lemah lembut dan sebagainya. Cinta emosi ini timbul kerana mereka yang bercinta itu saling berhubung atau ber-sms dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat, memberi hadiah dan sebagainya. Dari sini mulalah muncul perasaan inginkan sang kekasih berada di sisi, dan kerana cinta emosilah maka lahirnya pelbagai ungkapan "lautan api sanggupku renangi".

Wahai sahabatku, ingatlah cinta emosi ini sering manis diperingkat awal percintaan, dan selalunya berakhir dengan kepahitan. Cinta emosi jika tidak diteliti dengan betul membawa kepada keburukan yang mana jika disalahgunakan, makan terjadilah si lelaki menabur budi untuk membeli body. Ingatlah, jika cinta emosi inilah yang meletakkan nafsu dihadapan dan kerana cinta inilah kita akan menjadi buta dan tuli. Tiada lagi nasihat ibu dan ayah yang kita dengarkan, kerana kita ada si dia yang sangat kita cintai. Kata orang "kentut si dia adalah wangi". Begitulah hebatnya cinta emosi.

Bahagian 3 : Cinta Rohaniyah (Spiritual)
Dimensi cinta yang ke 3 ini merujuk kepada cintanya dua orang insan untuk mengharapkan mardhatillah dan cinta inilah yang berkekalan sehingga ke Jannah (syurga). Cinta ini terhasil apabila 2 orang insan saling bertemu dan bercinta kerana mengharapkan keredhaan Allah swt. Dengan cintanya mereka tidak melakukan maksiat kepada Allah swt malah menggunakan cinta ini untuk saling nasihat menasihati antara satu sama lain tentang kejayaan dalam pelajaran, kehidupan, menasihati tentang kebaikkan dan sering mengingatkan kepada keagamaan. Mereka saling berhubung dalam perkara yang baik, ber-sms or mms tentang perkara yang baik serta mencegah perkara yang mungkar. Perhubungan yang mereka bina bukan hanya setakat mereka berdua sahaja malah turut diketahui juga oleh ahli keluarga masing-masing dan dengan itu cinta mereka mendapat restu daripada kedua orang tua mereka. Mereka tidak pernah melakukan maksiat kepada Allah swt hatta untuk bertemu sekalipun melainkan adanya mahram. Itulah keikhlasan cinta mereka kerana mereka mengharap cinta mereka berputik hingga ke syurga.

Maka di sini timbullah persoalan "Di mana kita ingin mencari cinta spiritual ini?. Perasaan cinta ini sukar menjelma jika tidak dirasai melalui suara hati. Kerana ia tidak dimengerti, maka ia tidak pula dicari. Oleh kerana ia tidak dicari, ia sukar ditemui. Perasaan mawaddah wa rahmah, atau cinta dan kasih akan menghiasi kehidupan yang menenangkan.

Pasangan yang mengalami cinta spiritual akan saling membantu, saling bersama, saling intim, malah saling doa mendoakan agar kedua-duanya terus dapat bertemu di akhirat. Cinta fizikal dan cinta emosional akan gugur, tetapi cinta spiritual makin bersinar bila usia merangkak senja.

Wahai sahabat pembaca, ingatlah sinar cinta rohaniyyah ini bukan senang untuk kita perolehi. Kerana cinta yang kita bina itu adalah suatu cinta yang murni dan hakiki. Permulaan cinta adalah bermulanya cinta kepada Allah swt dan Rasul-Nya kerana di situlah titik pertemuan cinta yang sejati sebelum kita bercinta sesama manusia. Allah swt yang Maha menjadikan dan Dia-lah yang menjadikan kita dan Dia-lah yang memberikan nikmat cinta kepada kita. Oleh itu, cinta rohaniyyah bermula dengan cinta kepada Maha Pencipta.

Jadi dengan huraian berkaitan dengan dimensi cinta, maka kita seharusnya bijak membuat penilain sama ada cinta yang kita ingin bina itu adalah berdasarkan kepada apa. Jadi penilaian sama ada pilihan hati atau pilihan keluarga pasti akan mencapai tingkat mardhatillah sekiranya kita memilih cinta Rohaniyyah (spritual). Janganlah kita risau dengan pilihan hati ini, kerana kita takut tidak bahagia. Janganlah pula kita mengharapkan cinta pilihan keluarga itu membawa kebahagiaan. Tapi, ingatlah cinta yang bahagia adalah apabila kita bersama dengan pasangan cinta kita saling bercinta atas dasar lillahi taala (kerana Allah swt). Dalam erti kata yang cukup mudah, cinta yang kita bina itu adalah berdasarkan kepada agama. Dan jika agama dijadikan asas pemilihan suami atau isteri, maka janganlah dirisaukan sama ada ia adalah pilihan hati atau pilihan keluarga kerana kebahagiaan pasti akan menjadi milikmu. Ini telah disabdakan oleh Rasullullah saw dalam hadis baginda yang bermaksud :

"Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

Oleh yang demikian, kesimpulannya jelaslah bahawa pilihan hati akan membawa kebahagiaan jika ia di dasarkan kepada agama sebagai asasnya. Begitu juga dengan piliha keluarga, pasti akan bahagia kerana asasnya adalah agama. Walau bagaimana pun pilihan keluarga lebih hampir kepada kebahagiaan kerana pilihan keluarga sudah pasti ingin melihat anak-anaknya hidup bahagia. Tiada seorang ibu dan ayah mahu melihat anaknya hidup derita dan dengan itu mereka pasti akan mencari yang terbaik untuk kehidupan anak-anaknya.

Harap dengan tulisan ringkas ini menjadi pencetus formula kepada mereka yang berada di persimpangan cinta antara pilihan hati atau pilihan keluarga.


Sekian

"erti hidup pada mengabdikan diri kepada Yang Esa"

Rozlan Daud
18500 Machang.

No comments:

My Picture