Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Friday, March 19, 2010

Sabar Dalam Membantu...

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan setinggi syukur kepada Allah swt atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga banyaknya kepadaku, dan sebaik-baik nikmat adalah nikmat Islam dan nikmat sihat. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga baginda, sahabat dan ikutan sepanjang zaman. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan dan dosaku, dosa kedua ibu dan ayahku dan seluruh ummat Islam baik yang telah kembali kepada Engkau dan yang masih hidup.

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangannya)?"
(surah Al-Imran ayat 142)

Setelah lama jari jemari ana tidak ditugaskan untuk menulis di dalam blog ini kerana ana mempunyai tugas yang lebih penting lagi iaitu untuk menyiapkan report praktikum. Sepuluh jari ana mohon maaf kepada semua sahabat pembaca kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ana ini yang sudah ketinggalan banyak artikel untuk dikongsi bersama. Untuk ruangan kali ini ana ingin berkongsi pengalaman dengan sahabat semua berkaitan dengan sabar. Seingat ana, ana pernah menulis berkaitan dengan kesabaran. Namun di dalam tulisan mana ana sudah lupa.

Apabila menyebut tentang sabar, majoriti di kalangan kita akan beranggapan bahawa sabar itu perlu setelah kita ditimpa sesuatu musibah atau bencana atau juga jika kita diuji oleh Allah swt. Memang setiap perkara sedemikian kita sebagai orang Islam yang muslim, wajib kita bersabar di atas apa yang berlaku terhadap diri kita. Walau bagaimana pun, konsep kesabaran yang sebenarnya bukanlah berlaku setelah kita ditimpa sesuatu bencana atau ujian semata-mata, malah konsep kesabaran ini juga merangkumi dalam kehidupan kita seharian. Dalam erti kata yang mudah, sabar juga perlu di dalam melaksanakan perintah Allah swt.

Di sini ana akan berkongsi pengalaman ana dengan salah seorang ahli jemaah di sebuah masjid yang bertanya kepada ana. Kejadian ini berlaku sambil minum kopi selepas solat Isya' di masjid. berkenaan. Dia bertanya kepada anak, "kenapa masih ada orang miskin di negara kita sedangkan pendatang asing pun boleh jadi kaya raya datang ke negara kita." Ana jawab ringkas sahaja, di mana-mana pun tetap ada orang miskin. Baik di Amarika, China dan sebagainya tetap ada mereka yang miskin. Terus dia menambah:"ialah tapi masalahnya rakyat di negara kita ini malas untuk berusaha. Kalau mereka berusaha mereka boleh berjaya. Ini hanya sekadar menunggu dan meminta sedekah daripada orang lain." Lalu ana jawab balik,:" bukan semua mereka malas, ada juga yang berusaha lebih, tapi tetap miskin. Bukan mereka meminta untuk jadi miskin. Tapi ia adalah ketetapan Allah swt untuk mereka. Orang miskin pun ramai yang bekerja keras jauh lebih kuat bekerja berbanding dengan orang yang kaya. Tapi mereka bekerja tidak menggunakan ilmu dan hanya kerja semata-mata. Ada pun kebanyakkan orang yang kaya ini kerjanya sedikit, tapi pulangannya banyak kerana mereka banyak menggunakan ilmu.

Lantas dia bertanya kepada ana," jadi kenapa orang miskin ini tidak menggunakan ilmu? Ana menjawab, "seperti mana saya katakan tadi saudara, mereka telah ditakdirkan untuk dilahirkan dalam keadaan sedemikian dan setiap manusia tidak mampu untuk memilih keadaan macam mana mereka dilahirkan, sama ada dilahirkan dalam keluarga yang kaya ataupun miskin, namun setelah mereka dilahirkan, mereka perlu menghabiskan sisa-sisa hidup mereka sehingga ke saat yang terakhir. Baik berbalik kepada soalan saudara, kenapa masih ada orang miskin dan kenapa orang miskin malas untuk berusaha. Saudara bayangkan jika tiada orang miskin di dunia ini, apakah yang akan jadi? Jika saudara ingin makan nasi, mungkin saudara perlu turun ke sawah sendiri untuk menanam padi kerana ramai yang dah jadi kaya raya dan tidak mahu lagi untuk tanam padi sebagai bahan makanan (nasi). Jika saudara ingin makan ayam, mungkin saudara perlu menternak sendiri kerana orang lain semuanya dah kaya dan tidak lagi mahu menternak ayam. Jika saudara buat rumah, mungkin saudara kena buat sendiri kerana tiada siapa yang mahu bekerja untuk buat rumah saudara kerana mereka semua sudah kaya raya.

Orang miskin ini telah ditetapkan oleh Allah swt di dunia ini. Kemiskinan mereka telah ditulis di dalam al-Quran. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah dan untuk RasulNya dan untuk kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari Al-Furqan, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar) dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

(al-anfal ayat ke 41)

Oleh yang demikian sememangnya di dalam dunia ini tetap ada orang miskin untuk membantu orang kaya seperit saudara. Bukan mereka malas untuk berusah, tetapi usaha mereka tidak sebijak usaha saudara. Saudara janganlah risau kerana setiap orang yang miskin ini Allah swt telah menjanjikan rezeki kepada mereka. Apa yang penting saudara kena ingat bahawa kekayaan saudara itu bukan untuk saudara semata-mata, tetapi harta yang saudara kumpulkan itu sebenarnya ada juga hak-hak orang miskin dan saudara perlu memberikan atau mengembalikan harta tersebut kepada mereka kerana itu perintah Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

(adz- Dzariyat ayat ke 19)

Dengan sebab itulah dalam Islam, kita sebagai orang yang berada wajib membantu orang yang berada di dalam kesusahan kerana membantu atau menolong mereka adalah suatu yang diperintahkan oleh Allah swt. Ini kerana di dalam harta kekayaan saudara itu ada hak orang yang miskin. Jadi saudara perlu memperbanyakkan bersedekah, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Ini kerana saudara orang yang berada dan harta saudara itu mungkin ada hak orang miskin.

Lantas dia bertanya kepada ana: "Saya selalu bersedekah kepada orang miskin, tapi tiada perubahan pun yang berlaku. Orang miskin tu kerja dia meminta-minta je. Bukan nak berusaha langsung untuk mendapatkan rezeki."

Dengan senyuman saya memberitahu kepada saudara yang bertanya tadi. "Saudara jangan berputusa asa dalam menolong. Kita perlu sabar kerana apa yang kita bantu itu tidak sedikitpun dikurangkan oleh Allah swt. Allah menggantikan berlipat kali ganda malah dibalaskan dengan ganjaran pahala oleh-Nya. Bersabar ini penting dalam melakukan amal kebaikkan kerana dengan sabarlah akan menguji setiap kebajikkan yang telah kita lakukan. Jika kita buat kebaikkan kepada seseorang, janganlah kita menghina dia kerana bantuan kita. Ini mungkin boleh menyebabkan mereka berduka cita dan azab Allah swt mungkin ditimpa kepada saudara. Ingatlah, hari ini kita berada dalam kesenangan dan tidak mustahil hari esok kita pula dalam kesusahan dan kemiskinan. Bantulah mereka dengan penuh kesabaran dan jangan kita membuatkan mereka berduka cita dengan bantuan kita. Bantulah sepenuh hati kepada mereka atas dasar suatu perintah Allah swt kepada kita orang yang berada ini."

Lalu sahabat jemaah tadi mengucapkan ribuan terima kasih kepada ana kerana penjelasan ringkas berkenaan dengan kenapa ada orang miskin. Ana teringat pesanan ustaz ana dulu yang mana berbuat baiklah terhadap orang miskin dan anak-anak yatim kerana taraf mereka sangat dekat di sisi Allah swt. Apa yang mereka minta pasti Allah swt akan makbulkan sama ada lambat atau cepat tapi Allah swt akan menerima doa mereka di dunia ini lagi.

Kesimpulannya, apa yang saya dapat simpulkan ialah, kita hendaklah sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan sekalipun, baik sabar apabila ditimpa musibah, ujian dan sebagainya. Sabar juga perlu kita amalkan semasa kita melaksanakan ibadah kepada Allah swt kerana dengan sabar, setiap amalan kita pasti akan mendapat balasan yang terbaik di sisi Allah swt. Selain itu, kita perlu membantu mereka yang miskin dan bersabar di dalam membantu mereka. Ini kerana dalam kekayaan harta yang kita miliki pasti ada hak-hak mereka dan untuk membersihkan harta kita daripada bercampur dengan harta mereka, hendaklah kita selalu mengeluarkan zakat dan bersedekah di jalan Allah swt. Janganlah sesekali kita membuatkan mereka berduka cita atas pertolongan kita. Bantulah mereka dengan seikhlas yang mungkin.

Sekian

"erti hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah swt"

Ibnusoleh
18500 machang kelantan

No comments:

My Picture