Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, June 18, 2011

"Solat Yang Menjauhkan Diri Kepada Allah swt."

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang dan kesempatan dalam kesuntukkan masa, selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda, para sahabat yang banyak memperjuangkan dan menegakkan agama Islam yang mulia, seterusnya seluruh ummat Islam.

Alhamdulillah, di kesempatan ini saya menulis bagi menjawab persoalan yang ditanya oleh salah seorang pembaca blog saya. Diharapakan penulisan yang sedikit ini memberi gambaran yang jelas untuk dikongsi bersama kerana sebagai ummat Islam, perkara ini dipandang serius kerana melibatkan perkara besar iaitu solat. Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat yang ke 45 yang bermaksud:

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah swt) dengan sabar dan solat, dan (solat) itu sesungguhnya berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"

Solat merupakan suatu perkara asas bagi ummat Islam untuk dilaksanakan sebagai ibadah wajib. Ini kerana solatlah yang membezakan seseorang itu sama ada ia Islam atau bukan Islam. Hari ini ramai yang kita jumpa di sekitar kita, baik dalam ahli keluarga kita, jiran tetangga kita, orang kampung kita, negeri kita, malah skop yang lebih luas dalam negara kita. Jika kita membuat semakan di dalam kad pengenalan mereka, sudah semestinya tertera status agama mereka ialah Islam, namun mereka tidak solat, sedangkan solatlah yang membezakan seseorang itu Islam atau bukan Islam.

Sekadar hiasan

Menurut pandangan sesetengah ulama, mereka mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat ini terkeluar daripada Islam dan mereka perlu melafazkan shahadah balik bagi mengembalikan mereka kepada Islam. Namun begitu, dalam mazhab Syafie, seseorang yang meninggalkan solat tidaklah terkeluar ia daripada agama Islam, namun seseorang itu berdosa besar dan wajib bertaubat dengan taubat nasuha serta menggantikan solat yang mereka tinggal itu.

Adapun dalam bab rezeki orang yang meninggalkan solat, rezeki yang mereka perolehi adalah tidak berkat malah kebanyakkan ulama mengatakan ianya haram walau pun pekerjaan yang mereka lakukan itu halal. Hal ini kerana mereka bekerja di dalam waktu solat, sebagai contoh, mereka melakukan sesuatu kerja bagi mendapatkan rezeki dan kerja yang mereka buat itu jelas halal, namun mereka meninggalkan solat zohor sehinggalah masuknya waktu asar. Maka rezeki di antara waktu zohor hingga ke waktu asar itu sudah menjadi haram dengan sebab mereka meninggalkan solat. Begitulah seterusnya jika dari asar hingga ke maghrib dan seterusnya.

Berbalik kepada tajuk di atas dan soalan yang dikemukan oleh pembaca, solat juga boleh menjauhkan seseorang kepada Allah swt. Sedangkan kita tahu bahawa solat dapat mencegah seseorang kepada perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
(al-Ankabut: 54)
Ini janji Allah swt kepada mereka yang mendirikan solat denga khusyuk. Kerana solat yang dapat mencegah seseorang daripada perkara keji dan mungkar. Namun hari ini ramai yang kita temui bahawa seseorang yang mendirikan solat, namun masih ramai juga yang melakukan dosa dan maksiat kepada Allah swt, maka sudah pasti ia bercanggah dengan janji Allah swt di atas dan di situ akan timbul pula persoalan "adakah solat kita tidak diterima oleh Allah swt, kerana Allah swt berjanji bahawa sesiapa yang mendirikan solat maka solatnya dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar".

Persoalan ini seharusnya sentiasa bermain di fikiran kita, apakah kita sering melakukan dosa dan maksiat dengan sengaja? atau apakah solat kita tidak diterima oleh Allah swt kerana kita mendirikan solat dan mengapa kita masih mel akukan maksiat?..Fikir-fikirkan....


Di manakah solat kita, adakah kita seperti ini....fikir-fikirkan..


Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya.” (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : “10 orang yang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

4. Orang lelaki yang melarikan diri.

5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba’.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan menjauhkan dirinya dari Allah.”


Hassan r.a berkata : “Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.”

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memuhasabah diri kita sejenak, adakah kita dalam kelompok mereka yang mendirikan solat tetapi masih melakukan dosa dan maksiat kepada Allah swt. Jika ya, maka marilah kita bersegera untuk bertaubat kepada Allah swt dan memeohon keampunan dari-Nya serta menerima solat kita. Ingatlah bahawa solatlah yang merupakan amalan yang pertama kali dihitung oleh Allah swt di hari akhirat kelak.

Akhir kata, jangan kita tinggalkan solat, sentiasa muhasabah solat kita, dan perbaikilah solat dari semasa ke semasa agar solat kita menjadi amalan yang diterima oleh Allah swt dan menjadi bekalan di hari yang tiada seorang pun yang dapat membela orang lain sedikit pun iaitu hari pembalasan (akhirat).

Sekian (**pss: Hayati video di atas...jika kita tiada ilmu dalam solat, akhirnya beginilah jadinya..sekadar lawak dalam nasihat...)

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture