Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Thursday, November 4, 2010

Konvokesyen : Suatu Perbandingan...

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah, Alhamdulillah dan alhamdulillah. Ku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt atas nikmat kurniaan-Nya yang tidak dapat dihitung oleh kalkulator dunia, apatah lagi akal manusia. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam yang terus menerus memperjuangkan agama Allah swt.

Bertarikh 01/11/2010 merupakan tarikh keramat bagi ana dan sahabat-sahabat yang telah bergelar graduasi daripada Universiti Utara Malaysia. Tahniah ana ucapkan untuk sahabat semua. Moga kejayaan ini adalah pencetus kepada kejayaan yang lebih besar lagi untuk menuju ke negeri akhirat. Kejayaan ini adalah kejayaan kecil yang kita sama-sama perolehi tatkala kita berpenat lelah selama tiga atau empat tahun, dan hari ini kita bersyukur dengan apa yang telah kita usaha sekian masa. Inilah kejayaan pencetus untuk kita terus lebih berjaya. Oleh yang demikian, kejayaan yang kita perolehi hari ini, perlulah kita gunakan untuk menyumbang kepada Agama, bangsa dan negara.




Konvokesyen adalah hari untuk ayah dan ibu kerna pengorbanan yang diberikan untuk melihat kejayaan anak-anak. Ibu dan ayah-lah merupakan orang yang paling bahagia disaat anaknya menerima ijazah. Tiada ungkapan kata yang mampu diucapkan oleh ibu bapa melainkan kegembiraan yang teramat sangat. Tahniah daripada sahabat-sahabat dan penerimaan hadiah dan bunga merupakan saat indah yang merupakan suatu pengalaman yang dinikmati oleh setiap graduasi.

Namun kali ini ana tidak mahu menceritakan pengalaman indah di saat konvokesyen, kerana ia pasti akan dilalui oleh mereka yang bergelar graduasi. Apa yang ana ingin kongsikan di sini ialah berkenaan dengan tajuk "Konvokesyen : Suatu Perbandingan" yang mana ana ingin mengupas berkenaan dengan perbandingan di saat konvokesyen di hadapan Allah swt iaitu di akhirat kelak. Ini kerana apa yang terbayang dibenak fikiran disepanjang ana berada di dalam majlis konvokesyen ialah mungkin beginilah keadaan konvokesyen di hadapan Allah swt di ahkirat kelak. Apa yang membezakan ialah masa, keadaan dan beberapa lagi yang lain. Yang sama mungkin laluannya.

Semasa konvo, ramai yang hadir, baik sanak saudara, sahabat handai, para pensyarah dan pelbagai lagi untuk menyaksikan hari yang perhitungan dan penentu untuk masa hadapan kita. Para graduasi dikerah dan dipanggil berkumpul sebelum masuk ke dewan konvo. Maka berduyung-duyung datang untuk berkumpul dengan hati yang penuh berdebar menanti saat diijazahkan. Ahli keluargan dan sanak saudara menanti dengan penuh debaran mengharapkan sesuatu yang terbaik diperolehi oleh anak-anak mereka. Jika baik keputusan ijazah yang kita perolehi maka kita akan dilayan dengan sebaik mungkin. Ini kerana ada mereka yang menerima pelbagai anugerah, 1st class, anugerah diraja, anugerah Naib Canselor dan pelbagai lagi anugerah. Dan anugerah ini semestinya untuk mereka yang benar-benar terbaik di antara yang terbaik. Kebaikkan yang diterima pada hari konvokesyen ini biasanya penentu kejayaan di dalam kerjaya pada masa hadapan dan seterusnya kebaikkan untuk kehidupan diri kita. Namun tidak semesti membawa kejayaan di sisi Allah swt. Ada juga dikalangan kita yang mendapat keputusan cukup makan atau ijazah paling rendah dan tiada langsung anugerah yang diterimanya. Keputusan ini langsung tidak dipandang oleh pihak universiti. Biasanya keputusan ijazah sebegini sukar untuk memperolehi kerjaya yang baik seterusnya membawa kebaikkan di dalam hidupnya. Namun kegagalan dalam peringkat ijazah ini tidak bererti ia turut gagal di sisi Allah swt.

Semasa graduasi diseru untuk berkumpul untuk masuk ke dewan, dan mereka akan menerima ijazah, begitulah persamaan di akhirat kelak apabila kita deseru untuk berkumpul di padang mahsyar untuk menerima surat amalan kita di dunia ini. Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!

(al-Jatsiah 28)


Begitulah setiap graduasi dipanggil satu persatu untuk menerima ijazah seperti mana yang telah mereka usahakan setelah sekian lama belajar di universiti. Dan begitu jugalah diri kita ini dipanggil oleh Allah swt untuk menerima surat amalan kita berdasarkan apa yang telah kita usahakan di dunia ini. Apa yang membezakan antara konvo di universiti dan konvo di hadapan Allah swt ialah, konvokesyen di universiti tiada yang menerima ijazah dengan tangan kiri melainkan seseorang itu hanya ada tangan kiri sahaja.

Setelah graduasi menerima ijazah, mereka pasti akan kembali kepada ahli keluarga untuk berkongsi atau menceritakan tentang kejayaan mereka. Begitu juga dengan mereka yang gagal, pasti akan kembali kepada keluarganya dengan perasaan hampa.

Begitu juga pada hari konvokesyen Allah swt di akhirat kelak, setiap orang akan diberi surat amalannya berdasarkan dengan apa yang telah diusahakannya dan mereka akan kembali kepada ahli keluarga setelah amal mereka diperhitungkan. Firman Allah swt yang bermaksud :

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya). Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya;Maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.
surah al-Insyiqaq ayat ke 6-9

Namun begitu, kegembiraan semasa konvokesyen di universiti adalah suatu perkara yang boleh diulangi. Jika kita gagal semasa belajar di universiti, kita masih boleh mengulanginya untuk kali ke dua atau keberapa sahaja berdasarkan kemahuan kita. Namun demikian di majlis konvo Allah swt, tiada ulangan boleh dibuat dan setiap orang hanya diberi peluang sekali sahaja. Ini kerana, perhitungan amalan dibuat semasa kontrak hidup berjalan dan setelah kontrak hidup tamat, ianya tidak lagi diperhitung dan tiada peluang kedua untuk kita. Jika kita berjaya di majlis konvokesyen Allah swt, semestinya kita berjaya untuk selama-lamanya dan jika kita gagal maka kitalah manusia yang betul-betul yang rugi. Firman Allah swt di dalam surah As- Sajadah ayat ke 12, yang bermaksud:

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.

Di dalam surah al-Mukminun ayat ke 107, firman Allah swt yang bermaksud:

Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari Neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.

Ayat ini menunjukkan bahawa, setiap dari kita yang gagal di dalam konvokesyen Allah swt meminta dan merayu kepada Allah swt untuk dihantarkan kembali ke dunia ini untuk melaksanakan amal ibadah, namun Allah swt tidak melayan sedikit pun dari permintaan mereka.

Kesimpulannya, secara ringkas dapatlah diambil pengajaran daripada majlis konvokesyen bahawa halauan perjalanannya sama dengan konvokesyen kita dihadapan Allah swt di akhirat kelak, namun yang membezakannya ialah waktu dan masa, ruang dan peluang, dan pelbagai lagi. Ingatlah, kejayaan di dunia ini sementera dan kejayaan itu tidak semestinya membawa kepada kejayaan di akhirat kelak. Mereka yang menerima pelbagai anugerah di majlis konvokesyen universiti diucapkan tahniah dan diharapkan mereka juga menerima pelbagai anugerah di majlis konvokesyen dihadapan Allah swt kelak. Bagi mereka yang mendapat keputusan kurang cemerlang, ingatlah bahawa kegagalan kita hari ini tidak semestinya kita turut gagal di hadapan Allah swt. Kita perlu berusaha lebih bersungguh-sungguh kerana kegagalan hari ini tidak bererti kita gagal untuk selama-lamanya.

Apa yang baik itu daripada Allah swt dan apa yang kurang itu adalah daripada kelemahan diri ana sebagai insan yang masih belajar dan terus belajar, yang lemah lagi kerdil yang masih mengharapkan bantuan daripada semua.

sekian terima kasih

"erti hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah swt"

Rozlan Ibnusoleh
18500 Machang.

No comments:

My Picture