Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Tuesday, November 9, 2010

Saham Dunia & Saham Akhirat: Suatu Penilaian...

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah dipanjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt, Tuhan yang Maha Pemurah. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw, nabi yang membawa rahmat.

Saham dunia dan saham akhirat, suatu penilaian. Merupakan tajuk yang ana akan kupaskan secara ringkas untuk membuka fikrah pembaca bagi memahami kepentingan hidup dan erti sebuah kehidupan. Apabila kita menyebut tentang saham, mesti ramai diantara kita akan fikirkan tentang instrument pelaburan, pemilikan hak milik dan kepentingan atau apa-apa sahaja yang seerti dengannya. Pendek kata, bila sebut sahaja saham, semua orang tahu terutamanya mereka yang memiliki aset dan harta kekayaan. Namun begitu, inilah yang dikatakan saham dunia yang sering menjadi rebutan hingga ada yang sanggup bunuh membunuh untuk memilikinya.

Saham dunia, adalah suatu pelaburan yang dibuat oleh seseorang individu untuk memiliki kepentingan di dalam sesebuah organisasi atau syarikat. Dalam erti kata mudah, seseorang yang membeli saham, bermakna mereka telah membeli hak ke atas sesebuah syarikat dan mereka juga adalah sebahagian daripada pemilik syarikat berkenaan dan hasilnya mereka beroleh keuntungan dan kekayaan hasil daripada perniagaan yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Namun jika syarikat mengalami kerugian, maka mereka juga terpaksa menanggung kerugiaan tersebut. Saham dunia ini sering diperbincangkan secara meluas di dalam universiti, media masa dan elektronik dan sebagainya. Pendek kata ia merupakan suatu kepentingan untuk diri dan negara. Jika sesebuah negara dapat ramai pelabur, maka ia mampu untuk menjana ekonomi negara tersebut dan ia amat penting jika dibincangkan di dalam subjek yang berteraskan ekonomi. Dari segi hukumnya, ia adalah harus untuk ummat Islam.

Saham dunia yang menjadi rebutan orang-orang kaya

Saham dunia, merupakan aset yang dimiliki oleh individu untuk menunjukkan kestabilan ekonomi yang dimiliki oleh mereka. Biasanya, semakin kaya seseorang, maka semakin besar jumlah saham yang dimiliki. Ini kerana saham merupakan aset jangka panjang yang dapat membantu untuk mengembangkan jumlah kekayaan yang mereka miliki. Inilah yang dikatakan sebagai salah satu dari tanda-tanda kiamat kerana yang kaya terus kaya dan yang miskin terus menerus dalam kemiskinan.

Saham di dunia ini biasanya menjadi rebutan antara manusia. Kerana sifat manusia yang tamak dengan harta dunia, maka mereka sentiasa berebut untuk mengumpulkan kekayaan sehinggakan ada di antara manusia yang tidak mengambil kisah sama ada saham yang dilaburkan itu halal atau pun haram. Bagi mereka, yang penting kekayaan dan kemewahan. Ada juga yang sanggup dakwa mendakwa di mahkamah untuk menguasai saham ini, hingga berlaku penindasan kepada sesetengah pihak. Dan yang lebih parah lagi ialah mereka juga sanggup bunuh membunuh sesama ahli keluarga dan masyarakat kerana kepentingan saham yang mereka ingin miliki. Ingatlah saham atau harta dunia ini tidak kekal, kerana apa yang kita ada, pasti kita akan habiskan. Setidak-tidaknya kita pasti akan tinggalkan sebagai harta wasiat atau pusaka untuk anak cucu nanti. Akhirnya, ada juga yang bergaduh sesama mereka kerana harta dan saham peninggalan kita sesama hidup dahulu. Ingatlah, sesungguhnya harta kekayaan dan saham pelaburan dunia bukan dari warisan Nabi saw. Sabda Nabi saw yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya Ulama' itu adalah pewaris para Nabi dan para Nabi tidaklah mewariskan Dinar mahupun Dirham. Namun mereka mewariskan ilmu, barang siapa yang telah menerimanya maka ia telah menerima bahagian yang paling besar." (Darimi 1 / No. 342)

Apa yang diwariskan oleh para Nabi ialah ilmuan iaitu para ahli ilmu. Dan barang siapa yang menerimanya iaitu ilmu, maka sesungguhnya dia telah menerima bahagian yang paling besar. Ini kerana ilmu merupakan saham untuk akhirat bagi mereka yang memanfaatkan ilmu. "Berkata Ibnu Abbas ra., beza darjat ahli ilmu (ulama') dengan ahli ibadah ('abid) ialah 700 darjat di sisi Allah swt. Perbezaan antara setiap darjat itu ialah 500 tahun perjalanan". Ini menunjukkan kedudukan orang yang berilmu teramat dekat di sisi Allah swt.

Saham dunia tidaklah kekal seperti mana saham akhirat. Ini kerana sekiranya kita mempunyai saham yang berjuta-juta di dunia ini, kita pasti akan meninggalkannya untuk waris yang ada di dunia ini. Ini kerana apabila matinya anak Adam, maka yang akan menghantarnya ke kubur ialah 3 perkara, iaitu hartanya, ahli keluarganya dan juga amal ibadahnya. 2 antara perkara tersebut akan pulang ke rumah manakala yang menemaninya di dalam alam barzah ialah amal ibadahnya. Harta dan ahli keluarga pulang ke rumah masing-masing selepas sahaja mayat di tanam ke dalam liang lahad. Sebab itu, saham dunia ini tidak kekal dan hanya sementara kita hidup di dunia ini sahaja ianya memberi manfaat kepada kita. Namun saham akhirat jualah yang berkekalan kerana hidup kita di negeri sana yang pasti kekal. Sebab itulah sebaik-baik pelaburan ialah dengan menukarkan saham dunia kepada saham akhirat iaitu daripada harta kekayaan di dunia ini dengan amal bakti yang baik sebagai bekalan untuk akhirat.

Biasanya saham dunia ini lebih menjerumuskan pemiliknya kepada dosa dan maksiat. Ini kerana kebanyakkan mereka yang berada itu sentiasa menggunakan harta untuk melakukan maksiat kepada Allah swt. Dan maksiat yang paling "simple" terhadap Allah swt ialah dengan tidak bersyukur kepada Allah swt dengan nikmat kurniaan. Dosa tidak bersyukur itu simple sahaja nampaknya namun kesan buruk teramat besar. Kebanyakkan dosa dan maksiat ini berlaku dengan saham dunia, iaitu mereka yang memiliki harta kekayaan. Anda bayangkan biasanya orang miskin jarang terlibat dengan rasuah, riba dan sebagainya, orang miskin tidak terlibat dengan memonopoli dan memanipulasikan harta orang lain dan sebagainya lagi. Pendek kata yang paling ramai terlibat dengan maksiat adalah mereka yang banyak memiliki saham dunia.


Sebaik-baik mereka yang berdosa ialah dengan bertaubat

Ada pun saham akhirat itu adalah pelaburan di dunia ini dan hasilnya diperolehi di akhirat kelak. Semua orang boleh memiliki saham akhirat ini dan ianya tidak seperti saham dunia kerana saham dunia hanya orang yang kaya sahaja mampu memilikinya. Kebanyakkan saham akhirat dimiliki oleh orang miskin kerana mereka mampu mengumpulnya dan mereka tidak disibukkan oleh saham dunia semasa hidup mereka di dunia ini. Jadi, saham akhirat ini bersifat flaksibel yang mana ianya tidak hanya mampu dimiliki orang orang tertentu sahaja. Siapa sahaja mampu memilikinya.

Jika di dunia ini mata wang menjadi alat pertukaran yang diterima pakai untuk kita memiliki sesuatu barangan, keperluan dan kemewahan hidup di dunia ini. Tetapi di akhirat kelak, mata wang yang diterima pakai ialah pahala. Pahalalah yang akan menjadi alat pertukaran untuk seseorang itu mendapat kesenangan dan kemewahan di sana. Ini kerana sesiapa yang memiliki pahala yang berlipat ganda dari Allah swt yang maha pemurah, maka seseorang itu akan beroleh syurga mengikut darjat orang tersebut. Namun jika seseorang itu membawa pahala yang banyak, dosa juga banyak, maka dosa itu dianggap sebagai hutang yang pasti mereka perlu membayarnya. Jika seseorang itu berdosa dengan manusia yang lain, maka mereka perlu membayarnya dengan pahala yang mereka ada. Jika pahala yang mereka ada itu sedikit dan tidak mampu untuk membayar dosanya, maka mereka akan mengambil dosa orang lain sebagai gantinya. Dengan itu, menjadilah mereka orang yang muflis di sisi Allah swt. Inilah yang kita paling takut, kita bawa pahala yang banyak sebagai bekalan di akhirat, namun kita menjadi orang yang muflis di hadapan Allah swt akibat kita ada dosa dengan orang lain. Na'uzubillahi min zalik.

Akhir kata, sebagai nasihat untuk diri sendiri dan juga untuk sahabat sekalian, marilah kita kumpul saham akhirat kita bermula saat ini dan jangan kita berhutang dosa dengan makhluk Allah swt yang lain. Apa yang kita takut kita dikhuatiri akan menjadi orang yang muflis di hadapan Allah swt di akhirat kelak. Beramalah walau sedikit, tetapi ikhlas dan istiqamah untuk mengabdikan diri kepada Allah swt. Tingkatkanlah ilmu kita agar kita mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda di sisi Allah swt hasil daripada ibadah yang dibuat berdasarkan ilmu yang kita ada.

Sekian terima kasih

"erti hidup pada mengabdikan diri kepada Allah swt"

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture