Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Monday, December 6, 2010

"Penghijrahan atau Permulaan: Suatu Analisa dari Kisah Si Beluncas.."

Dengan Nama Allah swt, Yang Maha Pemurah, Dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah, seterusnya alhamdulillah.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam yang berjuang menegakkan kebenaran Agama Allah swt di dunia ini.

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipanjangkan usia untuk melangkah ke tahun baru seiring dengan peredaran masa. Ini kerana masa tidak akan berputar kembali tetapi terus menyusun detik ke detik menanti saat ia dihentikan oleh Allah swt. Alhamdulillah kita ummat Islam telah masuk ke tahun 1432 hijrah, bermakna Nabi saw dan para sahabat telah meninggalkan kita sekian lama dan kita semakin berjauhan dengan saat perjuangan Rasulillah saw. Walau bagaimana pun, kita sebagai ummat akhir zaman ini bertuah kerana walaupun kita tidak sempat bertemu, berjumpa dan beramah mesra, malah kita jua tidak sempat untuk turut sama berjuang dengan Rasulullah, tetapi kita menyintainya lebih dari seorang yang kita kenal. Itulah rahmat yang Allah swt kurniakan kepada kita ummat akhir zaman ini.

Sebelum masuknya waktu maghrib, rata-rata masjid, surau, rumah dan tempat-tempat ibadah bagi orang Islam membaca doa akhir tahun. Manakala selepas azan maghrib mereka membaca pula dia awal tahun untuk tahun yang baru ini. Ada juga yang membacanya selepas solat maghrib. Namun ada sesetengah pihak menafikan ianya adalah amalan dari Nabi saw. Walau bagaimana pun saya menyatakan di sini bahawa amalan membaca doa ini (akhir dan awal tahun) merupakan amalan salaful soleh yang pasti ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Walau tiada nas khusus menyatakan atau menyuruh kita berbuat demikian, tetapi boleh dikatakan ianya adalah amalan yang baik kerana ia dikategorikan sebagai doa dalam setiap peristiwa atau pekerjaan kita seharian dan ingatlah doa itu adalah sunat bagai setiap orang Islam sebelum mereka memulakan pekerjaan harian mereka.

Setiap tahun apabila tiba awal muharam, pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan oleh kebanyakkan institusi-institusi baik sektor awam, mahupun swasta untuk meraikan peristiwa hijrah yang menjadi titik tolak kepada terbentuknya kalendar Islam. Di Malaysia sendiri, kerajaan Malaysia turut meraikan peristiwa hijrah dengan pelbagai aktiviti untuk mengingatkan peristiwa hijrah Rasulillah saw dan juga para sahabat. Antara agenda yang diaturkan seperti perarakkan, pengurniaan tokoh maal hijrah dan sebagainya. Ini menunjukkan kita di Malaysia tidak melepaskan peluang untuk mengenang kembali peristiwa nabi Saw dan para sahabat yang bertungkus lumus memperjuangkan Islam hingga terpaksa berhijrah meninggalkan bumi Makkah, harta benda dan sebagainya untuk berjuang bagi memastikan Islam terus bersinar hingga ke suatu masa yang dijanjikan oleh Allah swt.

Namun begitu, sekadar menyambut tahun baru hijrah dan berselawat pada 1 Muharam ini tidaklah cukup untuk menunjukkan kita kasih dan cinta kepada Rasulullah. Ini kerana cintakan Rasul itu perlu ada setiap saat yang berlalu di dalam diri kita seperti mana kurangnya saat umur hidup kita ini. Cinta itu pula perlu dibuktikan dengan amalan sunat atau sunnah yang telah ditinggalkan oleh Rasul kepada kita untuk diamalkan dan bukan sekadar untuk ditulis di dalam kitab-kitab hadis atau pun bukan sekadar untuk dibahaskan sama ada ianya sahih ataupun dhaif. Yang penting jika ia benar dan diakui kesahihannya menurut syariat maka ia adalah amalan baik dan dikira ibadah jika dengan niat ikhlas kerana Allah swt.

Bermula tahun hijrah ini, maka perlulah antara kita untuk turut berhijrah ke arah yang lebih baik dan diredhai oleh Allah swt. Ini kerana jika kita ingin berhijrah sepertimana yang dibuat oleh Rasul dan para sahabat, maka hijrah seperti itu sudah tiada lagi. Ini kerana Nabi saw bersabda yang bermaksud "Tiada hijrah selepa pembukaan Kota Makkah, tetapi jihad dan niat (yang benar).."Ini menunjukkan kepada kita bahawa tiada lagi penghijrahan dari kota Makkah ke kota Madinah atau apa jua tempat sekali pun. Namun yang ada adalah penghijrahan jihad dan niat dari yang kurang baik kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik. Dan sebaik-baik jihad adalah jihad untuk melawan hawa nafsu.

Setiap insan impikan yang terbaik malah mereka inginkan yang terbaik. Namun menjadi persoalannya adakah diri mereka itu telah berhijrah untuk berada di dalam kebaikkan. Fikir-fikirkan. Ini kerana, kebaikkan tidak akan menetap melainkan pada tempat yang baik begitu jua sebaliknya. Oleh itu, jika kita inginkan yang terbaik, maka hijrahkanlah diri kita untuk menjadi insan yang terbaik. Kita tidak perlu berhijrah terus, tetapi hijrahlah sedikit demi sedikit dan sesuaikanlah diri kita dengan keadaan dan tempat yang baik. Jika dahulu kita tersangat nakal, maka kurangkanlah. Jika dahulu kita solat lewat pada waktunya, maka awalkanlah ia. Jika dahulu kita solat bersendirian, maka hijrahkanlah untuk solat berjemaah. Jika dahulu kita solat dirumah, maka hijrahkanlah untuk solat di masjid dan seterusnya.


semasa masih menjadi beluncas


Permulaan hijrah untuk hidup dikepompongya


Setelah cukup tempohnya dalam mengharungi liku-liku hidup


Setelah beroleh kejayaan..

sekadar hiasan kisah si Beluncas


Saya teringat lagi kata-kata iman Ghazali di dalam kitabnya; "Emas tidak akan bersinar jika tidak keluar dari tempat asalnya (tanah), ia tidak akan ternilai jika tidak berubah untuk diukur cantik dan diletakkan di kepala-kepala raja. Air tidak akan bersih jika tidak mengalir dari lopak-lopak kotornya..." Ini menunjukkan, jika kita mahu diri ini menjadi yang terbaik, maka perlulah kita berubah untuk berada ditempat yang baik. Jika kita ingin berjaya, maka perlu berusaha sepertimana orang yang berjaya berusaha. Jika ingin tingkatkan ilmu agama, maka selalulah merujuk kepada mereka yang arif tentang ilmu agama dan sebagainya.

Sesekali termenung melihat gelagat si beluncas (ulat), yang mempunyai impian menggunung hingga sanggup berkorban untuk berubah. Impiannya adalah untuk menjadi rama-rama yang cantik dan dapat menarik perhatian ramai. Baginya, jika dia terus berada dalam kumpulan beluncas, maka tiada siapa tertarik padanya. Namun dia perlu berubah dan terus berubah. Maka untuk mencapai impiannya menjadi rama-rama, ia perlu berhijrah dan permulaan hijrahnya ialah dengan meninggalkan tempat asalnya dengan memanjat pokok yang tinggi dan terus ke hujung dahan. Setelah itu, dia perlu membina kepompongnya bagi mengelakkan dari pelbagai musibah yang mendatang. Ia perlu berkorban, untuk hidup di dalam kepompongnya hinggakan tidak makan dan minum, berkorban untuk berada di dalam kesusahan, kesempitan ruang dan kepanasan serta sebagainya. Dan akhirnya, si beluncas tadi berjaya menjadi rama-rama yang cantik dan terbang bebas hingga menarik perhatian ramai.

Kisah perubahan demi perubahan yang berlaku pada si beluncas itu perlu dijadikan pengajaran bagi kita semua khususnya orang Islam. Dengan semangat maal Hijrah yang baru ini, kita perlu menanamkan azam dan impian yang baru untuk menjadi insan yang lebih baik seperti yang terjadi kepada beluncas untuk menjadi rama-rama. Saya teringat nasihat Datuk Ahmad Faiz, " tidak banyak benda yang mustahil dalam dunia ini..." Oleh itu, setiap apa yang kita inginkan, perlu kepada usaha dan doa serta tawakal kepada Allah swt. dan insya Allah semua pasti akan berjaya.

Yang penting adalah niat yang ikhlas kerana Allah swt dalam setiap gerak kerja yang kita lakukan. Ini kerana ia bertepatan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud : "....setiap amalan bermula dengan niat. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah untuk Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau apa yang diperolehinya atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya sesuai dengan apa yang diniatkannya.."

Akhir kata, berhijrahlah diri kita dari yang tidak baik kepada yang baik, dari yang baik kepada yang lebih baik agar kita mendapat pahala jihad seperti yang dijanjikan Allah swt untuk hamba-Nya. Ingatlah, tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat yang benar untuk berubah.

Wallahu A'lam. Salam Maal Hijrah....

Rozlan Daud
18500 Machang

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih atras perkongsian diatas ...moga Allah melancarkan tulisan dakwah dan peringatan buat semua manusia n moga semua dapt manfaat bersama dalam melayari bahtera yang dinaiki agar gelombang besar tidak bisa menggoyahkan diri seseorang ..amin ...moga Allah memberikan idea2 yang lebih byak untuk melancarkan penulisan yang terbaik dalam mencari redha Allah ..amin

My Picture