Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Wednesday, August 3, 2011

Rahmatnya Ramadhan; Semua Berpuasa, Tapi.....

In The Name Of Allah The Most Gracious The Most Merciful

Alhamdulillah, kemudian Alhamdulillah dan seterusnya Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad swt, ahli keluarga dan seluruh sahabat baginda. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu bapaku dan dosa-dosa seluruh ummat Islam.

Alhamdulillah, sudah enam hari menjalani ibadah puasa ini, diri masih diberi kekuatan dan ketabahan oleh Allah swt untuk menjalani tarbiyyah Ramadhan untuk tahun ini. Ya Allah, aku mengharapkan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya.

Bila bercakap pasal rahmat Ramadhan, seluruh makhluk di dunia ini mendapat rahmat dari Allah swt disebabkan kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Saya fokuskan hanya untuk manusia, maka seluruh ummat manusia mendapat rahmat dari Ramadhan baik orang yang beriman ataupun yang tidak beriman, orang yang hidup dan orang yang sudah meninggal, budak-budak kecil mahupun dewasa, semuanya mendapat rahmat dari Allah swt.

Kedatangan Ramadhan membawa rahmat untuk orang-orang yang beriman ialah dengan melipat gandakan ganjaran pahala di sisi Allah swt. Setiap amalan sunat yang dilakukan diberi ganjaran oleh Allah swt sepertimana amalan wajib, amalan wajib pula digandakan sebanyak lebih 1000 kali ganda. Pada malam ini dikurniakan satu malam yang ganjarannya melebihi 1000 bulan iaitu malam Lailatul Qadr. Pada malam bulan Ramadhan dikurniakan solat sunat Tarawih yang mana tiada pada malam-malam pada bulan lain. Inilah rahmat yang Allah swt kurniakan untuk orang yang beriman iaitu ganjaran yang hebat di sisi Allah swt.
(p/s : amalan yang dilakukan jangan sekadar mengharapkan ganjaran pahala semata-mata, namun amalan tersebut biarlah ikhlas kepada Allah swt untuk mendapatkan redha Allah swt. Ganjaran pahala disebut di sini adalah menggambarkan kelebihan amalan di dalam bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain).

Ramadhan juga turut menjadi rahmat bagi orang yang tidak beriman, yang mana mereka juga dapat menikmati pelbagai kemudahan dan kelebihan yang disediakan pada bulan Ramadhan. Sebagai contoh, pada bulan Ramadhan banyak juadah-juadah berbuka khusus untuk orang-orang yang berpuasa dijual di setiap sudut tempat baik di bandar dan desa, namun orang yang tidak puasa juga boleh membeli dan menikmati pelbagai makanan yang tidak terdapat pada bulan lain. Perhatikanlah di persekitaran anda, rasanya orang yang tidak berpuasa membeli-belah dipasar Ramadhan mengalahkan orang yang berpuasa. Itulah rahmat untuk mereka yang tidak beriman.

Ramadhan juga menjadi rahmat bagi mereka yang sudah meninggal yang mana pada bulan ini Allah swt menutupkan pintu-pintu neraka dan membuka pintu-pintu syurga. Allah swt menangguhkan azab kubur yang sekian lama mengazab orang-orang yang berdosa di alam barkhzah. Itulah Rahmatnya bulan Ramadhan.

Walau bagaimana pun, dalam bulan Ramadhan ini rahmat Allah swt bercucuran tersedia untuk hambaNya. Namun kita perlu ingat, disebalik rahmat ini ada juga sebilangan manusia yang tidak memperolehi rahmat tersebut. Ramai manusia yang tidak sedar, mereka menyangkakan mereka mendapat rahmat di sisi Allah swt namun hakikatnya tiada sedikit pun rahmat Allah swt di sisi-Nya. Mereka yang berpuasa tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Mereka yang beramal namun tidak berjaya memperolehi taqwa selepas tamatnya tarbiyah ramadhan. Oleh itu, beringatlah diri kita agar kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang rugi daripada mendapat rahmat Allah swt.

Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama tingkatkan kesedaran untuk mendapat rahmat di sisi Allah swt. Hendaklah kita perbetulkan niat Ramadhan kita agar ia menjadi suatu yang bermanfaat yang dapat menjadi perawat rohani kita. Ramadhan adalah doktor yang benar-benar dapat merawat penyakit jiwa jika kita melalui perjalanan ramadhan dengan sempurna.

Walau bagaimana pun, perlu diingatkan bahawa ramadhan adalah medan ujian yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ujian yang sangat berat perlu dilalui oleh setiap insan walau di mana dia berada. Sebagai contoh aurat, baik lelaki lebih-lebih lagi wanita. Disebelah paginya kita berpuasa elok, tapi petangnya pahala semakin berkurangan. Puncanya ialah apabila kita mengunjungi pasar/bazar Ramadhan. Bukan kita teringin sangat melihat aurat wanita (saya fokuskan pada aurat wanita kerana pada diri wanita itu terlalu luas skop aurat yang perlu dijaganya), namun terpaksa melihat. Jika kita berjalan pejamkan mata, sudah pasti kita akan melanggar sesuatu, dan yang paling merisaukan melanggar wanita.

Jika ditanya pada wanita tersebut (yang tidak menutup aurat dengan sempurna), sudah pasti mereka menjawab mereka juga berpuasa. Tetapi pakaian mereka hanya Allah swt sahaja yang mengetahuinya. Tengok depan, seksinya pakaian dia. Pusing kiri, lagi seksi. Alih pandangan ke kanan, masya Allah!! nampak pusat lak. Aduh..nak pandang mana pula ye.. Begitulah reaksi sesiapa yang pernah berkunjung ke pasar ramadhan. Jika kita tidak perasan hal tersebut maka terbuktilah kita adalah golongan yang suka melihat wanita yang berpakaian begitu. Jika hal sedemikian berlaku, maka berkuranglah puasa kita setelah berkunjung ke pasar ramadhan.

Sekali terfikir, mana lagi tempat yang sepatutnya dilihat, atau mana lagi tempat yang patut dialihkan pandangan. Jawapan yang sebetulnya, bukan lagi mengalih pandangan tersebut, tetapi mengalihkan diri untuk tidak berkunjung ke pasar ramadhan. Carilah gerai-gerai kecil di jalanan untuk membeli kuih muih atau lauk pauk untuk berbuka, gerai yang tidak menjadi tumpuan orang ramai. Walau tidak banyak aneka pilihan lauk pauk, tetapi cukuplah sekadar untuk berbuka. Asalkan tidak berkumpul dosa dan tidak mengurangkan pahala.



(30) Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

(31)Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(surah an Nur, ayat ke 30 &31)



Itulah disebalik rahmatnya bulan puasa, ada juga yang tidak mendapat rahmat. Ada yang menjadi ujian dan ada juga yang menjadi bahan ujian. Begitulah Allah swt menguji setiap hambaNya kerana Dia ingin melihat siapakah yang paling layak untuk dianugerah pangkat taqwa di penghujung ramadhan.

Sekian.


No comments:

My Picture