Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Friday, August 12, 2011

Setiap Insan Pasti Merasainya.....


In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."


Alhamdulillah dipanjatkan syukur yang tidak terhingga kehadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan usia untuk terus bernafas dibumi-Nya dan diberi peluang untuk menikmati segala rahmat-Nya. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan seluruh ummat Islam.

Hari ini (Jumaat, 12 Ogos 2011) genap 1 minggu nenek pergi meninggalkan kami. Pergi untuk selama-lamanya, pergi untuk mengadap Ilahi. Nenek dijemput oleh Allah swt tepat waktu azan maghrib (khamis, 4 Ogos 2011) bersamaan dengan 4 Ramadhan 1432H setelah 1 minggu diuji oleh Allah swt dengan sakit tua.

Tepatlah janji Allah swt, setiap insan yang hidup pasti akan merasai saat kematian, saat untuk berpisah dengan dunia yang fana', saat untuk berpisah dengan insan tersayang, saat di mana segala janji-janji Allah swt ditunaikan. Dan apabila tiba saat perpisahan ini, ianya tidak dipercepatkan atau diperlewatkan walau dalam 1 saat sekali pun. Firman Allah swt di dalam surah al-Munafiqun ayat ke 11 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan. "


Inilah janji Allah swt, kematian itu pasti, alam kubur itu benar, syurga dan neraka itu benar, hari akhirat itu benar, pembalasan terhadap amal di dunia ini benar, pertemuan dengan Allah swt itu benar. Oleh itu, dengan kebenaran itu wajiblah bagi kita yang hidup ini perlu yakin dengan sungguh-sungguh dan beramal sebagai bekalan untuk perjalanan yang jauh nanti.


Firman Allah swt di dalam ayat yang lain pula bermaksud:

"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)." (surah Nuh ayat 4)


Untuk nenek, pergilah mengadap Tuhanmu dan Tuhanku iaitu Allah swt dengan jiwa yang tenang. Ingatlah kebenaran janji-janji-Nya tatkala Dia menjadikan kita dahulu. Redhailah-Nya agar Dia meredhaimu.

Buat nenek, tiada apa yang dapat ku hulurkan melainkan kiriman doa dan pahala untukmu. Tiada lagi harta kekayaan yang bernilai buatmu melainkan setangkai doa dan juga fatihah sebagai bekalan untuk mengadap Ilahi.

Semoga nenek ditempat bersama dengan orang-orang yang beriman sepertimana firman Allah swt di dalam surah Yusuf ayat ke 101 yang bermaksud:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".


No comments:

My Picture