Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Monday, October 20, 2008

Tidak Perlu Berfikir Bila Mati.....

Wahai sahabat sekalian, di sini saya ingin membahaskan tentang peranan kita sebagai manusia untuk menghadapi hari-hari yang berlalu agar perjalanan hidup kita dirahmati Allah swt. Jadi terlebih dahulu marilah kita perbanyakkan kesyukuran kepadaNya di atas kerahmatan yang tidak dapat tidak semua manusia merasainya.
Di ruangan kali ini saya ingin menjelaskan peranan manusia di dalam menuju ke alam yang lain suatu masa nanti. Kita sebagai manusia tidak perlu bersusah payah untuk memerah otak untuk berfikir bilakah kita akan mati. Cukuplah sahaja kita tahu dan wajib mengimani bahawa mati itu tetap akan berlaku ke atas hidupan di alam ini. Yang hidup pasti akan mati, tetapi kita tidak perlu tahu bilakah kita akan mati dan tiada seorang pun manusia yang tahu bilakah dia akan mati. Ini kerana perkara berkaitan dengan mati ini juga merupakan salah satu daripada perkara-perkara ghaib yang wajib kita beriman dengannya.
Jadi apa yang saya ingin tekankan di sini ialah kita sebagai insan yang pasti akan mati seharusnya berfikir apakah persediaan dan bekalan yang kita ingin bawa setelah kita mati untuk kita mengadab bertemu dengan Allah swt di hari akhirat nanti. Oleh itu saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk kita memikirkan sudahkah kita bersedia dengan bekalan yang cukup untuk kita bawa mengadab Allah setelah kita mati. Marilah kita semua tingkatkan ibadah seharian kita dan hendaklah kita beramal dengan penuh keikhlasan agar segala ibadah kita akan diterima olah Allah swt. Untuk mendapat ibadah yang ikhlas kita wajib beramal dengan ilmu yang dikurniakan Allah kepada kita. Kata imam Al- Ghazali, orang yang beribadah tanpa ilmu adalah sia-sia kerana ibadahnya itu hanyalah ikutan semata-mata. Oleh itu ilmu itu penting dalam konsep penerimaan ibadah oleh Allah swt. Kita hendaklah melakukan ibadah seolah-olah kita akan mati selepas ibadah ini sahaja dan ibadah ini merupakan ibadah yang terakhir dalam hidup kita. Jadi kita buatlah ibadah tersebut dengan sebaik yang mungkin.
Sahabat sekalian, kita tidak perlu melakukan banyak ibadah sekiranya ibadah yang kita lakukan itu tidak ikhlas, kerana ibadah yang kita lakukan itu sudah pasti tidak akan di terima olah Allah swt. dan sudah pasti ibadah itu sia-sia. Lebih baik kita melakukan ibadah yang sedikit atau sekadar kemampuan kita tetapi apa yang penting ialah ikhlas di hati kita yang mana kita melakukan ibadah itu bukan kerana yang lain melainkan ianya adalah perintah Allah swt ke atas kita. Jangan sesekali kita melakukan ibadah kerana syurga, ataupun kerana kita takut terhadap neraka Allah swt tetapi lakukanlah kerana ianya adalah perintah Allah swt. sepertimana firman Allah swt yang bermaksud :" sesungguhnya Aku (Allah swt) tidak jadikan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah kepadaKu".
Oleh yang demikian sekali lagi saya ingin memperingati diri saya dan rakan-rakan sekalian agar kita sama-sama memikirkan tentang apakah persediaan kita untuk bertemu dengan Allah swt. Marilah kita beribadah kerana ibadah itu adalah perintah Allah swt kepada kita sebagai hambaNya dan bukan ibadah yang kita lakukan itu hanya untuk mendapat balasan syurga semata-mata atau kerana kita tidak mahu di azab dalam neraka Allah swt.
Sekian sekadar renungan bersama.

No comments:

My Picture