Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Friday, January 16, 2009

Dia Yang Bergelar Ibu.

Bila aku termenung melihat wajah perempuan, aku teringat pada kekasihku yang aku sayang dalam hidupku. Wajah itu bagaikan sinar mentari yang keluar dari ufuk timur yang memancar di pagi hari. Aku tersenyum setiap kali aku teringatkan wajahnya, sejuk hati bila mengenangkan pengorbanannya terhadapku namun ada kala aku menangis terhadapnya kerana mengenangkan kesusahannya membesarkan diriku ini. Itulah kekasihku yang bergelar umie yang merupakan seorang ibu kepada aku dan adik beradikku yang lain. Dia merupakan isteri kepada ayahku dan anak kepada datuk aku.
Ibu, ungkapan namamu yang aku letakkan di sudut hatiku mengenangkan pengorbanan hidupnya bagi membesarkan aku. Aku tahu dan aku mengerti bahawa umie sanggup menghabiskan keseluruhan hayatnya untuk kebahagian anak-anaknya. Bermula dari saat aku disatukan di dalam badannya, aku tahu bahawa aku terlalu menyusahkannya. Kerana kepenatan yang terpaksa engkau alami selama 9 bulan dan 10 hari tidak dapat aku gambarkan betapa sukarnya engkau membawa aku bersamamu. Aku tidak mampu untku menceritakan penderitaan yang kau alami kerana aku seorang lelaki dan hanya sebilangan ibu sahaja yang merasainya.
Kepenatan yang kau alami itu bukanlah tamat setelah aku dapat melihat keindahan dunia ini. Namun saat yang paling mencabar ialah apabila engkau sanggup bertarung nyawa untuk mempertahankan diriku agar aku dapat melihat kebesaran Ilahi dalam penciptaan alam ini. Pengorbanan engkau aduhai ibu, tidak ada seorang anak pun yang boleh merasainya. Mendidikkan aku supaya menjadi insan yang berjaya, engkau sanggup tidak menikmati keselesaan hidup. Aku masih lagi ingat ketika aku kecil suatu ketika dahulu, dalam kesusahan yang ibuku alami, engkau sanggup berlapar kerana kekurangan sumber makanan, kalau ada sekerat ikan pun kami makan 2 atau 3 orang adik beradik. Tatkala masuk ke sekolah menengah, hanya 50 sen sehari menjadi duit poket aku sebagai bekalan. Aku dapat merasai betapa kesukarannya hidup ibuku dan aku tahu bahawa semangatnya itu begitu cekal kerana kesukaran yang dia alami dia langsung tidak meminta bantuan apatah lagi ingin menyusahkan orang lain.
Aku tahu bahawa perasaan kecil di sudut hatimu ibu, betapa sukarnya menghadapi kesukaran hidup kerana aku tahu bahawa kami tidak mampu memilih untuk hidup, namun setelah hidup kami terpaksa meneruskan sehingga ke saat yang terakhir. Kami tidak mampu memilih untuk dilahirkan dalam keadaan senang dan mewah, namun kami amat bersyukur kerana kebahagiaan yang kami perolehi.
Aduhai ibu, pengorbanan dan jasamu itu tidak dapat untukku rasainya. Namun aku cuba memahami perasaan engkau itu, kerana engkau seorang perempuan yang bergelar isteri kepada ayahku dan menjadi ibu kepada aku dan 8 orang adik-beradikku yang lain. Inilah pengorbanan seorang yang bergelar ibu.
Hanya Tuhan yang maha mengetahui betapa sukarnya hidupmu wahai ibu. Aku mendoakan agar engkau sentiasa diberi petunjuk dan hidayah Allah swt. Ya Allah, Ya Rahman, Engkau ampunilah segala dosaku terhadap ibuku, engkau ampunilah dosa ayahku yang merupakan suami kepada ibuku, Engkau ampunilah dosa ibuku dan berikanlah hidayah dan rahmat-Mu kepadanya dan redhailah dia sepertimana dia meredhai hidupku.
amin.....

No comments:

My Picture