Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, January 17, 2009

Peranan Pemerintah Dalam Mentadbir Negara.

Allah sudah memberi petunjuk dan panduan kepada pemerintah yang diberi kuasa memerintah.
Apa yang sepatutnya dilakukan, misalnya dalam firman Allah SWT (mafhumnya):
"Golongan yang diberi kuasa untuk memerintah di muka bumi ini, hendaklah mereka (memperkukuhkan hubungan dengan Allah) mendirikan sembahyang dan (menjaga kepentingan golongan bawahan) menunaikan zakat, dan menegakkan yang makruf, membasmi yang mungkar dan berserahlah kepada Allah, yang kepada-Nya kembali segala urusan."
(Surah al-Hajj, ayat 41)


Nabi Sulaiman a.s., ketika Allah mengurniakan kepadanya kekuasaan dan kelebihan yang nyata dengan pelbagai keajaiban, baginda menyebut seperti yang dalam al-Quran (mafhumnya):
"...Ini adalah suatu kurnia dari Tuhanku, untuk menguji daku, apakah aku bersyukur atau aku kufur kepada-Nya. Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya, dan barangsiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah."
(Surah an-Naml, ayat 40)


Ingatlah apa yang berlaku dalam sejarah awal Islam pada zaman silam, ketika Allah menguji para sahabat dengan kesusahan dan bala bencana, termasuk kezaliman musuh ke atas mereka sehingga ada yang korban syahid, mereka tahan diuji. Apabila Allah menguji mereka dengan kemenangan, maka ada yang kecundang, khususnya dalam Perang Uhud, apabila harta rampasan perang bersepah di hadapan mata, tentera Islam yang diperintah mempertahankan Bukit Rumaah di Uhud, tidak sabar berhadapan dengan kilauan kemenangan sehingga sanggup melanggar perintah Rasulullah s.a.w. Hasil daripada kesilapan itu, akhirnya mereka kecundang. Allah menceritakan perihal ini dalam firman-Nya (mafhum):
"Dan sesungguhnya Allah telah menunaikan janji-Nya kepada kamu, ketika kamu mengalahkan musuh kamu dengan izin-Nya (di awal Perang Uhud), sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih faham, sama ada hendak terus mematuhi perintah Rasulullah, ataupun melanggarinya, setelah Allah menguji kamu dengan memperlihatkan kemenangan yang sementara. Antara kamu yang mengkehendaki kesenangan dunia, ada yang mengkehendaki akhirat, (oleh kerana ada yang mengkehendaki kesenangan dunia) kemudian Allah menewaskan kamu untuk menguji kamu. dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah memberi limpah kurnia yang banyak untuk orang-orang yang beriman)."
(Surah ali'Imran, ayat 152) .


Kemenangan ini juga suatu nikmat dari Allah. Nikmat wajib ditangani dengan sebaik-baiknya. Allah memperingatkan kita dalam firman-Nya (mafhum):
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan bahawa sesungguhnya jika kamu bersyukur di atas nikmat-Ku, pasti akan ditambahkan lagi nikmat itu. Dan jika kamu mengkufurinya, maka sesungguhnya azab Aku tersangat pedih."
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Ambillah iktibar tersebut, sentiasa beringat dengan nikmat tersebut dan hargai anugerah-Nya, jangan lupa diri dan berlaku adil dalam semua urusan kerana sifat adil itu mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan kerana kemenangan itu sifatnya sementara, melainkan dengan pertolongan Allah jua ia akan kekal.

Waalhua'lam.

No comments:

My Picture