Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Tuesday, October 5, 2010

Ingat Pesan Ayah....

In The Names Of Allah, The Most Gracious The Most Merciful.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah azzawajalla di atas kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhitung oleh kalkulator manusia, yang tidak pula terkira banyaknya hingga boleh dikatakan sebagai infiniti. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw dan juga seluruh ummat Islam.

Alhamdulillah sepanjang mengharungi liku-liku hidup ini banyak pula cabaran yang terpaksa kita lalui baik dari sudut positif mahupun negatifnya. Begitu pula dengan perasaan jiwa kita, diri kita dan sebagainya. Adakala perasaan itu lahir dengan sungguh kebahagiaan, kegembiraan, keriangan dan sebagainya yang membawa makna baik sehinggakan tiada kamus di dunia ini dapat menafsirkan tahap kebahagiaan yang kita rasai itu. Kadang kala kesusahan, keresahan dan kesedihan juga datang mengunjungi kita. Dan bila ia datang menziarahi kita, tiada lafaz yang dapat menyatakan melainkan tangisan yang mampu diluahkan hingga hampir semua manusia memahami bahasa tangisan itu. Begitulah indahnya lakaran hidup setiap insan yang bergelar manusia yang waras pula minda dan akalnya.

Semalam, teringat pesan ayah. Walau ayahku tiada kelulusan ijazah dari mana-mana universiti, namun nasihat untuk anak-anaknya amat bermakna. Nasihat ayah "Kita bekerja bukan untuk parti politik, apatah lagi untuk manusia. Tapi hari ini kita bekerja untuk agama Allah swt, kerana dia kita buat kerja ini adalah untuk mendapat balasan pahala di akhirat". Sambung ayah, "Oleh itu buatlah apa yang kita hendak buat, asalkan ia selari dengan kehendak syariah. Jika kita buat kita akan mendapat balasan dari Allah swt dan jika kita tidak buat kita tidak mendapat apa-apa. Jangan mengharap pada manusia kerana manusia juga mengharap pada yang lain".

Mendengar nasihat ayah untuk anaknya ini menjerumuskan diri dalam bidang politik, maka ini adalah nasihat yang penuh bermakna. Ini kerana anaknya yang baru setahun jagung meletakkan diri dalam arena politik memerlukan kepada siraman nasihat dan bajaan idea daripada seorang ayah yang begitu mahir dan berpengalaman dalam rencah politik kepartian. Hampir sepanjang malam diri ini merenung jauh setiap patah nasihat dan ianya amat bermakna untuk dijadikan bekalan sepanjang hayat. Siapa sangka, seorang ayah yang tiada pendidikan formal mempunyai kunci kejayaan untuk mendidik anak-anaknya terjun dalam arena politik. Walau ayah bukan wakil rakyat, namun pengaruh ayah mampu menjatuh dan menaikkan wakil rakyat mana yang diingininya. Ini kerana hampir semua wakil rakyat (sepanjang ingatanku, 3 wakil rakyat yang mengambil calon di tempatku) datang menemui ayah untuk memohon restu bagi mengambil calon di kawasan ayah dan meminta ayah memberi sokongan penuh. Ini juga dibuktikan dengan kejayaan setiausaha perlimen Kementerian Sumber Asli yang memenangi pilihanraya peringkat parlimen suatu ketika dahulu juga turut datang meminta bantuan dan sokongan dari ayahku.

Walau bagaimana pun, bukan cerita politik atau siapa pengaruh atau tidak yang ingin disampaikan. Namun saya ingin berkongsi di sini adalah berkenaan nasihat ayah saya untuk anak-anaknya. Ini kerana nasihat ayah setiap kali kita melakukan kerja, jika kita pesawah, dengan padinya, jika penoreh getah dengan pokok getahnya, jika cikgu dengan anak murid dan sekolahnya, jika pegawai kerajaan dengan amanah yang diberikan kepadanya. Walau siapa pun kita, maka bekerjalah dengan seikhlas yang mungkin untuk Allah swt. Jangan kita mengharapkan balasan daripada manusia, ini kerana manusia itu juga mengharapkan balasan daripada Allah swt. Oleh yang demikian berharaplah kepada Allah swt dan buatlah kerja kerana-Nya.

Namun begitu, jangan kita lupa akan pertolongan orang lain kerpada kita. Walau pun mereka tidak mengharapkan balasan apa-apa dari kita, namun cukuplah kita mengucapkan terima kasih kepadanya sebagai tanda menghargai balasan terhadap orang yang banyak menolong kita. Sebagai contoh, seorang guru yang berkorban masa dan ruangnya untuk mendidik diri kita agar menjadi insan yang berjaya. Namun seorang guru tidak pernah mengharapkan supaya pelajarnya membayar segala jasanya setelah mereka berjaya, namun cukuplah bagi seorang guru daripada pelajarnya dengan ucapan terima kasih dan mengenang segala jasanya selaman ini. Atau setidak-tidak pun, cukuplah bertanya khabar apabila berjumpa.

Jangan sesekali kita lupa terhadap mereka yang telah banyak menolong kita, apatah lagi untuk kita berlaku sombong terhadap mereka. Sebagai contoh kedua ibu dan ayah kita, yang tidak pernah mengharapkan balasan daripada anak-anaknya, namun cukuplah sekadar anak-anaknya mengenang jasa mereka yang membesarkan mereka sekian lama. Balasan mereka tidak perlu dibayar kerana mereka bukan pekerja, pengorbanan mereka tidak perlu dibalas kerana mereka lakukan tanggungjawab dengan seikhlas untuk membesarkan anak-anak. Kita sebagai anak-anak pula perlu mengenang setiap saat jasa mereka dan menjadi tanggung jawab kita pula untuk menjaga mereka tatkala mereka lemah di suatu masa nanti seperti kita lemah dan tidak terdaya sewaktu kecil dahulu.

Akhir kata, kenanglah setiap jasa orang pada kita dan jangan kita mengenang jasa kita pada orang. Berterima kasihlah kepada mereka yang telah menolong kita baik pertolongan itu besar atau pun sekecil-kecilnya. Walau mereka tidak mengharapkan balasan dari kita, cukuplah kita berterima kasih kepada mereka sebagai tanda mengenang jasa mereka dan jangan sesekali kita menjadi seperti kacang lupakan kulit.

Sekian

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture