Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Wednesday, October 13, 2010

PERINGATAN UNTUK DIRI DAN MEREKA YANG MAHU MENDAPAT MANFAAT

(Siri 1)

In The Name Of Allah swt, The Most Merciful, The Most Graciuos.

Segala puji hanya yang berhak adalah untuk Allah swt, selawat dan salam untuk nabi Mulia Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan seluruh para sahabat yang memperjuangkan agama Islam yang benar. Sebaik-baik ucapan adalah kitab Allah swt, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad saw, sebaik-baik agama adalah agama Nabi Ibrahim as. Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan, dan setiap yang diada-adakan adalah bid'ah, dan setiap yang bid'ah itu tempatnya di neraka.

Demi Allah swt yang jiwaku berada di dalam genggaman tangan-Nya, inilah peringatan yang aku tulis untuk mengingatkan diriku dan juga kepada sesiapa yang mahu mengambil peringatan.

Bismillahi Rahmani Rahim.
Ku mulakan dengan puji dan puja untuk Allah swt, Tuhan yang layak disembah dan yang memiliki seluruh alam. Wahai diri yang lemah, ketahuilah bahawasanya engkau tiada sedikit pun kekuasaan melainkan kudrat yang engkau miliki adalah anugerah yang dikurniakan oleh Allah swt kepada diriku dan dirimu. Oleh yang demikian, manfaatkanlah kudrat yang diberikan ini sebelum engkau tidak berupaya pada suatu hari yang melemahkan kamu nanti. Sesungguhnya kudrat atau tenaga yang engkau miliki hari ini semakin hari semakin berkurangan dimamah usia. Oleh itu, manfaatkanlah ia untuk tujuan mengabdikan diri kepada Allah swt yang memberikan kudrat itu.

Sesungguhnya diri engkau adalah amanah, yang akan dipersoalkan oleh Allah swt pada hari keadilan kelak. Sesuatu yang diamanahkan pasti dipertanggungkan hari ini untuk tujuan menjawabnya nanti. Adakah kamu meletakkan diri kamu dan anggota seluruhnya untuk mengabdikan diri tunduk kepada segala perintah Allah swt dan meninggalkan larangan-Nya. Ketahuilah bahawasanya diri kamu itu adalah arena atau gelanggan untuk kamu bertarung sebelum kamu menghadapi sebarang musuh. Jika kamu sudah mampu menawan atau menguasai diri kamu mengikut landasan syariat yang ditetapkan oleh Allah swt, yakinlah bahawa kamu juga mampu untuk menawan musuh kamu. Jika kamu tidak mampu untuk menguasai diri kamu mengikut kehendak Allah swt, jangan berharap kamu dapat menguasai musuh kamu yang nyata lagi yang tersembunyi.

Ketahuilah di dalam diri kamu ada seketul daging yang menjadi raja kepada diri. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota yang lain dan jika buruk daging itu, maka rosaklah seluruh anggota yang lain. Ketahuilah bahawa yang dikatakan itu adalah hati. Bersihkanlah hati setiap masa kerana segala punca perbuatan adalah terbit dari hati. Jika hati tidak dibersihkan setiap masa, ia pasti akan berkarat, setidak-tidaknya berdebu dan hitam. Pentingnya pembersihan hati ini adalah seperti pentingnya wudu' untuk menunaikan solat. Ini kerana Allah swt tidak melihat pada muka kamu, tidak pula kepada pakaian kamu, tetapi Allah swt melihat kepada hati kamu. Oleh yang demikian, hati yang bersih pasti akan disukai oleh Allah swt. Penawar bagi hati adalah dengan zikrullah, iaitu dengan mengingati Allah swt dalam pelbagai keadaan sama ada ketika duduk mahupun berdiri. Orang yang sentiasa ingatkan Allah swt pasti hatinya bersih.

Ketahuilah di dalam dirimu ada satu senjata yang paling berbisa. Sekali keluar ia susah untuk ditarik balik. Kesan langsung tidak dapat dilihat namun kesannya amat mendalam dan lama jika tidak dirawat. Senjata itu adalah lidah. Jagalah ia sebaik-baiknya kerana lidah sangat berbisa. Dengan lidah, ramai orang memperolehi manfaat darinya, ramai pula yang mendapat dosa darinya. Kerana lidah, suami isteri boleh bercerai berai, kerana lidah juga ramai sanak saudara bergaduh tanpa sempadan. Pendek kata, kerana lidah manusia boleh hidup normal dan kerana lidah juga manusia binasa. Tajam lidah, jauh lebih tajam jika dibandingkan dengan pedang, kerana lidah boleh mengguris hati dan perasaan orang lain dan kesannya sukar untuk dilihat apatah lagi untuk dirawat. Setiap kali apa yang terkeluar dari lidah, sukar untuk ditarik balik kerana ia bukan jenis yang berbentuk dan bukan pula berobjek. Lidah dijadikan untuk menyebut, berzikir, dan membaca ayat-ayat al-Quran untuk mengingatkan kita kepada Allah swt. Janganlah kita menjadikan lidah yang dianugerahkan oleh Allah swt ini untuk berkata sesuatu yang tidak elok kepada orang lain. Tetapi gunalah ia untuk mendapat keredhaan dan keampunan kepada Allah swt.

Ketahuilah, yang berhak dan yang berkuasai memperkatakan tentang hati ini adalah kuasa Allah swt. Manusia tidak mampu untuk memperkatakan soal hati orang lain sama ada mereka itu ikhlas ataupun tidak. Kerana sifat ikhlas ini adalah sifat hati. Jangan kita memperkatakan orang lain melakukan kerja atau perbuatan tidak ikhlas. Ini kerana soal ikhlas itu adalah sifat hati dan yang maha mengetahui soal hati ini ialah Allah swt sahaja. Manusia lain tidak mengetahui apa-apa yang tersirat di dalam hati orang lain. Oleh itu janganlah kita melebelkan perbuatan orang lain dengan label yang tidak elok kerana dikhuatiri kita menfitnahnya. Seperti kita mengatakan orang yang menderma itu tidak ikhlas kerana dia mengwar-warkan di dalam media, sama ada elektronik atau cetak. Kita tidak mengetahui sifat hatinya sama ada ikhlas atau tidak. Ini kerana, mungkin dia memberitahu orang lain di dalam media sebagai dorongan untuk orang lain turut menderma, ini kerana mungkin dia boleh memberi sebagai membantu kepada orang yang susah, kenapa orang kaya yang lain tidak turut sama untuk membantu orang susah seperti di dalam kes "program bersamamu". Jika kita tidak berbuat demikian, kemungkinan besar orang yang susah terus berada di dalam kesusahan, namun jika buat sedemikian, sekurang-kurangnya orang lain yang melihat turut memberi sumbangan sekadar yang kita mampu. (orang yang memberi sumbangan derma melalui replika cek yang besar-besar dan dipamerkan dalam media, kita tidak boleh mengatakan mereka itu tidak ikhlas. Ini kerana kita tidak ada hak untuk mengatakan tentang soal hati mereka. Mungkin mereka yang memberi sumbangan itu mahu mengajak orang lain untuk turut memberi sumbangan kita juga tidak mengetahuinya.) Oleh yang demikian, jangan kita melebelkan orang lain tentang soal hati kerana kita tidak ada hak untuk memperkatakan rahsia hati seseorang.

Sambungan......

Sekian terima kasih

No comments:

My Picture