Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Friday, October 1, 2010

Tiada Tempat Seindahnya...Dikelilingi Al-Quran Bergerak...

In The Name Of Allah swt, The most Gracious, The Most Merciful.

Alhamdulillah, ku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, para ahli bait baginda, sahabat-sahabat dan tabi'in. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku maghfirah dari-Mu, ampunkanlah segala dosa-dosaku dan kedua ibu dan ayahku. Kurniakanlah ilmu yang bermanfaat kepadaku dan seluruh ummat Islam.

Pertama sekali ana memohon jutaan kemaafan yang tidak terhingga kerana sudah sekian lama ana tidak menulis di dalam blog ana ini. Maklumlah kesuntukkan masa yang ada. Sekarang ini pun masih dilingkungi kesibukkan dengan mesyuarat PAS bagi peti undi dan majlis hari keluarga DUN Kemuning.Walau bagaimana pun ana ambil peluang yang ada ini untuk berkongsi dengan sahabat pembaca sekalian. Peristiwa ini benar-benar berlaku pada diri saya yang saya rasa selama 25 tahun ana hidup ini, melata masjid dan rumah ibadah yang ana kunjungi dan inilah yang pertama ana rasakan kelainan dirasai oleh diri ana.

Peristiwa yang ana alami ialah jiwa ana betul-betul tenang apabila ana masuk ke sebuah masjid dan ini merupakan kali pertama ana masuk ke masjid tersebut. Peristiwa berlaku apabila ana dijemput untuk menghadiri solat hajat perdana di masjid Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat di Pulai Chondong. Semasa tiba di masjid tersebut, ana disambut dengan alunan ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh seluruh pelajar Maahad tersebut dan ayat yang dibaca menyambut kedatangan ana ialah dari surah Al-Kahfi. Ana teringat, masa menjadi pemimpin pelajar dahulu, atau dijemput mana-mana majlis, ana disambut dengan alunan musik dan setidak-tidak pun ana disambut dengan alunan nasyid. Namun inilah kali pertama ana dijemput hadir ke suatu majlis dan disambut dengan alunan ayat suci al-Quran dan ianya dibaca oleh seluruh pelajar yang ada.

Sekadar Hiasan

Bila kaki melangkah, hati mula merasa gementar, badan merasa sejuk semacam, jiwa berasa layu dan air mata mula mengalir membasahi pipi. Ianya berlaku tanpa dipaksa dan diduga. Namun bagi diri ana, tiada lain yang menjadikan ini ialah kerana kekuasaan Allah swt. Selepas solat tahyatul masjid, ana melabuhkan punggung bersama-sama dikalangan pelajar yang lain. Ketenangan demi ketenangan mula terasa di dalam jiwa hingga ana tidak mampu menceritakan bagaimana nikmat yang dirasai.


Masjid Maahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat, Pulai Chondong.

Ana termenung mengenangkan sejarah diri ana, pusing kanan melihat adik-adik kecil mengalunkan surah Al-Kahfi fasih dilidah tanpa melihat pada Al-Quran untuk menyambut tetamu yang hadir. Pusing kiri, begitu juga keadaanya. Toleh belakang, makin ramai adik-adik membaca semacam artis menyanyi kerna ingatkan lagu. Hati ana mula insaf, ana tahu keinsafan ini hanya lahir dari hati yang tenang kerana ingatkan kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan keagungan Allah swt. Keinsafan juga lahir apabila mengenangkan kelalaian diri akibat terpengaruh dengan bau-bau dunia dan seangkatan dengannya.

Ana teringat, mengenangkan diri ana. Jika dahulu, ana boleh dikatakan sealiran dengan adik-adik yang fasih membaca al-Quran tanpa membukanya kerna ianya telah terbuku di dalam dada. Namun ana, keluar dari jemaah itu untuk mencari arus kemajuan dan kemodenan dunia. Maka buatlah keputusan untuk mempelajari sains. Kerna keputusan itu ana keluar dari jemaah agama ini dan terus mencari aliran duniawi. Dan kini, ana sedar dan insaf, jika ana tidak keluar dahulu, sudah pasti ana juga seperti adik-adik yang ada pada hari ini.

Persekitaran dalaman masjid (sekadar hiasan).

Ketenangan ini adalah ketenangan yang tidak pernah ana rasai walau pun beribu masjid dan rumah ibadah yang ana pernah masuk dan solat. Tambah pula dikelilingi ana adalah al-Quran yang bergerak. Ini kerana ana dikelilingi oleh mereka yang menghafal al-Quran di dada mereka. Alhamdulillah, tenangnya tidak dapat ditafsirkan. Nasihat ana, jika sahabat ada peluang, kunjungilah masjid tersebut dan rasailah ketengannya nanti kerna ana telah melaluinya.

Kepada adik-adik, ana doakan suatu hari nanti adik-adiklah yang akan mentadbir negara, kerana abang mahu melihat Malaysia ditadbir oleh mereka yang terkumpul di dadanya al-Quranul Karim. Abang juga mahu melihat, suatu hari nanti di Parlimen Malaysia dipenuhi oleh mereka seperti adik-adik dan pada masa itu nanti semua rakyat yang ada di Malaysia merasi ketenangan jiwa kerna negara diurus oleh mereka yang dekat dirinya dengan Allah swt. Ameen dan Insyallah..

Sekian Terima Kasih.

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture