Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Wednesday, July 25, 2012

Ramadhan Adalah Bulan Penuh Dengan Ujian...

In The Name Of Allah swt, The Most Gracious, The Most Merciful.


Assalamualaikum wbt.


Alhamdulillah, dipanjatkan syukur kepada Allah swt yang tidak terhingga atas anugerah-Nya memberi peluang untuk kita semua menjalani latihan Ramadhan. Selawat dan Salam buat Junjungan Mulia, Utusan Allah, Nabi Muhammad saw., ahli keluarga baginda dan para sahabat dalam Islam.

Alhamdulillah, di kesempatan masa dalam bulan yang penuh barakah ini, saya ruangkan sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama. Sememangnya pentas Ramadhan ini adalah pentas ujian yang disediakan Allah swt untuk hamba-Nya, bagi menguji keimanan seseorang hamba lantas penghijrahan dari yang baik ke arah yang lebih baik.

Ujian keimanan ini adalah untuk menilai kesungguhan seseorang hamba melaksanakan ibadah kepada-Nya. Meningkatkan darjat hamba-Nya dari satu darjah kepada beberapa darjat kelebihan di sisi Allah swt. Bulan Ramadhan merupakan arena untuk semua itu, jadi sebagai hamba, kita perlu menghayatinya dengan kesungguhan. Dalam erti kata yang mudah, kita perlu berusaha untuk mencari keredhaan Allah, berusaha mencari keampunan-Nya, berusaha memperolehi tingkat darjat yang tinggi di sisi-Nya. Jadi untuk mencapai semua itu, bulan yang mulia ini adalah pentasnya. Ruang masa yang dikurniakan Allah swt untuk ummat Islam yang mana tidak dikurniakan kepada ummat sebelumnya.

Ruang masa yang setiap saatnya adalah barakah, merupakan masa latihan yang amat sesuai untuk pengabdian kepada Allah swt. Dibelenggu pula syaitan-syaitan agar tidak menghasut hamba-Nya dalam bulan ini. Dikurniakan puasa pada siang harinya, agar mengawal segala roh-roh jahat yang berkuasa di syahwat. Dikurniakan tarawih pada malamnya yang tiada pada malam-malam bulan yang lain, sebagai latihan pendekatan diri kepada Allah swt.

Pada awalnya dikurniakan rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka. Disediakan pada malam bulan Ramadhan ini bonus iaitu lailatul Qadar yang tidak diberikan kepada ummat-ummat Nabi yang lain. Inilah Ramadhan dengan pelbagai anugerah yang disediakan Allah swt. Setiap amalan-amalan sunnat diberi ganjaran dengan pahala amalan wajib manakala amalan wajib digandakan dengan berlipat kali ganda.

Jadi, untuk mendapat kelebihan demi kelebihan pada bulan yang mulia ini bukan mudah. Pasti Allah swt akan menguji kamu. Pada hakikatnya Dia Yang Maha Mengetahui teramat tahu hal dan keadaan diri kamu. Namun begitu, Dia menguji kamu dengan pelbagai ujian. Antaranya, lapar pada siang hari bagi menahan nafsu amarah. Mungkin diuji dengan kesenangan yang banyak, untuk mengetahui hakikat syukur yang ada pada kamu. Mungkin diuji dengan kesedihan, untuk mengetahui hakikat pengharapan kamu kepada-Nya. Atau diuji juga kamu dengan sedikit kesusahan, untuk mengetahui sejauh mana kamu ingat pada nikmat kesenangan yang telah dikurniakan Allah swt kepada kamu. Mungkin kamu diuji dengan wanita (isteri), dan anak pinak. Mungkin juga kamu diuji dengan perasaan yang mana setiap apa yang kamu inginkan Allah swt belum kurniakan kepada kamu.

Pelbagai lagi ujian demi ujian yang disediakan Allah swt untuk hamba-Nya. Dan saya sendiri tidak terlepas dari ujian ini. Yang pasti ujian itu merupakan kesedihan, kelaparan, harta, kesusahan, dan sebagainya. Tetapi ingat, setiap ujian pasti Allah swt sediakan balasan untuk kamu sama ada ianya cepat ataupun lambat. Yang pastinya ia tetap ada.

Wahai hamba yang diuji, bersabarlah...Ingatlah janji Allah swt kepada kamu dan sesungguhnya Allah swt itu tidak memungkiri janji-Nya. Berdoalah kepadanya, kerana kuasa kamu adalah doa. Pengharapan kamu kepada-Nya melalui doa, rintihan kamu untuk-Nya juga melalui doa. Ingatlah, mintalah pertolongan kepada Allah swt dengan sabar dan solat. Setelah kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah swt kerana sesungguhnya Dia maha menerima doa orang-orang yang berpuasa.

Kepada pembaca semua, doalah untuk kebaikkan saya juga ye. Dan saya sendiri berdoa untuk kebaikkan kalian semua. Ingatlah, Ramadhan ini pentas ujian, dan sememangnya terdapat banyak ujian di dalamnya. 

"erti hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah swt. adat hidup orang berilmu, jiwanya lembut tuturnya indah."

sekian.

No comments:

My Picture