Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Monday, July 6, 2009

Belajarlah Hidup Ini Dari Matahari....

Dalam menghabiskan masa cuti baru ini, sempat juga aku ke negeri Pahang untuk mengikuti sesi motivasi di SMK Jengka 16. Selama lebih kurang 1 minggu aku berada di sana dan banyak pengalaman baru yang aku perolehi semasa aku berdagang ke negeri Pahang. Ada pengalaman pahit yang terpaksa aku tempuhi malah banyak pengalaman manis yang aku ukirkan semasa aku di sana bersama dengan sahabat-sahabatku yang lain.


Pengalaman yang paling tidak aku lupakan ialah semasa bersama dengan adik-adik di SMK Jengka 16, kerana aku dengan rakan-rakan yang lain dapat mengukir sedikit jasa untuk membantu adik-adik mencapai kejayaan untuk diri mereka. Namun di dalam perjalanan aku itu banyak pengalaman yang aku temui untuk mengajar diriku supaya lebih mengenali erti sebuah kehidupan. Bermula saat aku turun dari rumah lagi sehinggalah aku kembali ke rumah, aku dapat rasakan jutaan ilmu yang aku belajar dari makhluk-makhluk Allah swt yang ada di sekitar perjalananku itu.

Namun untuk kali ini aku ingin berkongsi sedikit pengalamanku semasa bermusafir ke negeri Pahang. Kisah yang ditajukkan seperti di atas adalah disengajakan kerana matahari bukan hanya terdapat di negeri Pahang sahaja tetapi ianya boleh dilihat di mana-mana. Jadi kepada pembaca, bolehlah juga turut belajar daripadanya.


Bila bercakap tentang matahari, semua orang tahu dan ada yang lebih berpengalaman sebenarnya daripada aku dalam menilai erti sang mentari ini. Namun di sini aku ingin berkongsi sedikit pengalaman apa yang aku peolehi daripada si mentari. Ditegaskan bahawa matahari bukannya yang mengajarkan aku erti hidup, tetapi Allah swt yang mengajarkan kepada aku melalui makhluknya yang bernama matahari.


Aku turun daripada rumah untuk memulakan musafir aku pada jam 7 pagi dan aku melihat sang mentari baru sahaja muncul di ufuk timur. Cahayanya bersinar terang berdalilkan bahawa hari itu tidak akan hujan. Biasalah dilahirkan sebagai anak kampung, aku dapat melihat gelagat orang-orang kampung keluar rumah untuk mencari rezeki yang ditaburkan oleh Allah swt di melata dunia-Nya. Ketekunan mereka untuk mencari rezeki seawal pagi menandakan yang mereka menyahut seruan Hadis Nabi saw yang mana rezeki itu mudah atau senang diperolehi di awal pagi. Namun di lubuk hatiku terpancar suatu firasat yang mengatakan "inilah kehidupan". Kehidupan manusia ini boleh diibaratkan sebagai hadirnya sang mentari di pagi hari. Apabila seseorang yang baru datang kedunia ini (baru dilahirkan), maka ia boleh diibaratkan seperti si mentari yang baru terbit di ufuk timur. Ramailah manusia datang menziarahinya terutama kaum keluarga dan jiran tetangga untuk melihat insan yang baru dilahirkan itu. Begitulah seperti mentari yang baru terbit, ramai yang berduyung-duyung untuk merebut peluang di pagi hari bagi mencari rezeki demi sesuap nasi untuk diri dan keluarga.

sekadar gambar hiasan
Bagitulah bila usia kita muda, muda bagaikan barunya terbit si mentari pagi. Namun tatkala usia meningkat remaja, makin bersinarlah cahaya yang ada di dalam diri kita dari sudut bakat yang kita miliki, ilmu yang kita pelajari, kenalan yang kita cari, matlamat hidup yang ingin kita penuhi dan lain-lain lagi. Bersinarnya semua itu bagaikan bersinarnya cahaya matahari yang memberi manfaat kepada manusia dan dengan itu sewajarnya sinaran yang ada di dalam diri kita sepatutnya kita turut memanfaatkannya kepada manusia yang lain yang lebih memerlukannya. Cuba kita bayangkan sekiranya kita kedekut dengan kelebihan yang ada pada diri kita, kita tidak mahu membantu orang yang memerlukannya, apakah yang akan jadi kepada orang yang memerlukan itu. Ini boleh juga diibaratkan dengan peranan matahari, cuba renungkan sekiranya matahari tidak memancarkan cahayanya selama 1 hari, apakah yang akan kita rasai sebagai makhluk yang memerlukan kepada matahari. Fikir-fikirkanlah.....

Setelah kita melalui usia remaja, kita kena ingat bahawa kita tidak terus kekal remaja. Kita akan menjadi dewasa pula selepas itu, perjalanan usia kita tidak terhenti di tengah jalan, begitu juga perjalanan sang mentari juga tidak berhenti di pagi hari. Sang mentari akan melalui di saat pagi dan akan memanjangkan langkahnya hingga ke tengah hari. Di situ juga sinarnya mula terasa di bumi ini, malah kebanyakkan makhluk akan tunduk kepada kepanasan cahaya si mentari di tengah hari ini. Itulah pembelajaran yang dapat aku simpulkan ialah, apabila kita mencapai usia dewasa, dengan kelebihan yang dikurniakan Allah swt kepada kita untuk kita manfaatkan kepada manusia lain, sudah pasti ramai yang akan tunduk kepada kita sebagai penghormatan di atas kelebihan yang kita guna dijalan yang benar. Namun siapa pun kita, kita harus sedar bahawa kekuatan kita adalah di saat usia kita remaja dan kemuncaknya adalah ketika usia dewasa. Wahai sahabatku, ingatlah bahawa setelah dewasa, kita tidak lagi mencapai tahap kekuatan kerana kekuatan kita akan menghilang seperti kurangnya matahari setelah datangnya waktu tengah hari. Cahaya si mentari juga turut menurun seperti turunnya tenaga yang ada di dalam badan kita setelah kita melalui zaman dewasa. Oleh itu, manfaatlah zaman muda dan dewasa ini untuk tingkatkan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah swt dan bukannya kita menunggu hari tua kerana tengan kita semakin berkurang dimamah usia.

Sekadar hiasan

Wahai sahabat, ingatlah si mentari juga tidak semuanya bersinar hingga ke petang, adakalanya hujan di pagi hari, hujan juga turun di tengah hari, mendung menutupi sinar yang memancar dan banyak lagi. Inilah yang menggambarkan kepada kita bahawa kehidupan dan kematian tiada siapapun yang mengetahui hakikatnya melainkan Allah swt. Begitu juga dengan cahaya mentari, tidak sesiapa pun boleh menjangkankan tentang perjalanan hari itu. Itulah gambaran kehidupan manusia, ada yang pergi mengadap Allah swt pada usia yang muda seawal usia si mentari di pagi hari, ada juga yang meninggal pada usia dewasa seusia dengan mentari di tengah hari. Namun apa yang penting ialah persediaan kita untuk kembali kepada Allah swt.

Mentari apabila tiba waktu petang cahayanya akan malap, sinarnya tidak lagi terik. Begitulah erti kehidupan kita, bila tiba usia tua, tenaga kita semakin berkurang, kudrat kita dimamah usia, ucapan kita tidak lagi diendahkan dan banyak lagi. Namun hakikatnya kehidupan, itulah dia kehidupan. Bila tiba waktu senja, berpusu-pusu manusia akan kembali ke rumah masing-masing tanpa menghiraukan lagi sementari yang akan lenyap diratah malam. Kehidupan juga begitu, apabila sudah tua, manusia akan berjauhan daripada kita. Beruntunglah bagi mereka yang mempunyai harta yang berupa anak yang soleh yang sentiasa mendamping orang tuanya tatkala menanti saat-saat tenggelamnya sinar di ufuk barat.



sekadar berhias

Kesimpulannya, dalam hidup ini Allah swt memberi peluang kepada kita sekali sahaja untuk mengukir kisah kita di dunia ini. Oleh itu manfaatkanlah masa hidup yang singkat ini untuk kita gunakan sepenuhnya ketaatan kita kepada Allah swt kerana kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Kehidupan yang lebih kekal abadi ialah kehidupan di akhirat. Bentuklah diri menjadi insan yang sebaik-baik mungkin, binalah keluarga yang bahagia dan didiklah anak-anak agar menjadi insan yang soleh demi mencapai keredhaan Ilahi.

Wallahu A'lam

Ibnusoleh (Machang).

No comments:

My Picture