Apabila disebut perkataan dengki, memang terfikir dibenak fikiran kita bahawa dengki ini merupakan satu perbuatan buruk atau merupakan salah satu sifat mazmumah yang terlarang di dalam ajaran Islam. Dengkilah yang menjadi punca runtuhnya kerajaan Islam selepas pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah yang melenyap terus pemerintahan Khalifah Islam, dengki juga menjadi punca runtuhnya kerajaan Kota Melaka kepada penjajahan Inggeris sehingga orang Melayu dijajah lebih daripada 400 tahun.
Hari ini kita lihat dikalangan orang-orang Melayu, sifat dengki ini sering bermain disekeliling kita dan inilah punca orang melayu lemah dalam pelbagai sektor dan sudut sebagai contoh di dalam bidang ekonomi yang pada hari ini dikuasi oleh orang cina, di dalam sudut pendidikan yang mana hari ini bangsa lain yang jauh lebih cemerlang daripada bangsa melayu dan banyak lagi contoh-contoh perbuatan yang menghancurkan orang melayu daripada maju yang berpunca daripad sifat dengki.
Di dalam sektor ekonomi terutamannya dalam bidang perniagaan, orang melayu tidak boleh lihat perniagaan di sebelahnya maju. Ini kerana ia telah menjadi pesaing dan musuh perniagaannya sehingga ada yang sanggup mencari bomoh untuk merosakkan perniagaan disebelah kedainya. Hari ini kita masih boleh jumpa lagi ada orang melayu yang sanggup menggunakan khidmat bomoh untuk menghancurkan perniagaan jiran mereka yang merupakan juga orang melayu. Ada di antara mereka yang menggunakan sihir, santau dan lain-lain cara untuk merosakkan jirannya. Oleh yang demikian, perbuatan inilah yang meruntuhkan ekonomi orang melayu yang berpunca daripada sikap orang melayu itu sendiri yang selalu dengki.
Namun dengki ini bukan sahaja bermain di dalam bidang ekonomi semata-mata, malah di pelbagai sudut. Antaranya dalam skop jiran tetangga, persahabatan, kekelurgaan, perkongsiaan hak dan sebagainya.
Di sini penulis ingin menceritakan satu kisah yang berlaku di utara semenanjung tanah air dan ia melibatkan penulis sendiri. Kisah ini bermula di sebuah Jabatan Sastera dan sains di salah sebuah organisasi di wilayah utara. Kisah dengki ini bermula dengan kehadiran orang baru di dalam Unit Kaunseling yang dirasakan dengan kehadirannya boleh menggugat kedudukan beberapa kaunselor di unit berkenaan. Namun seperti biasa sahabat kita ini yang saya namakan sebagai Dr. Fahmi (bukan nama sebenar) hadir ke unit berkenaan untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya serta mencari pengalaman baru dengan beberapa orang kaunselor. Ini kerana Dr Fahmi merupakan staf di unit Pertanian. Pada awal kehadirannya memang tiada apa yang berlaku kerana ia dianggap biasa dan sebagai kawan di jabatan yang sama, namun setelah beberapa lama kehadirannya tidak lagi disenangi oleh sebilangan kaunselor kerana ia dianggap boleh menggugat kedudukan kaunselor berkenaan.
Setiap kali kehadirannya (walau dijemput) ke unit kaunseling tidak dirasakan apa-apa yang berlaku sehingga salah seorang kaunselor itu sendiri mengzahirkan ketidakpuasan dalam hatinya dengan kehadiran Dr. Fahmi. Namun sebagai seorang yang profesional, Dr Fahmi tidak melengting terus dan dia banyak bersabar. Walaupun orang benci, tidak suka dan dengki padanya, dia tetap datang ke unit berkenaan kerana baginya setiap manusia bebas ke mana-mana, bebas buat apa-apa yang tidak bercanggah dengan adat dan agama, dan bebas segala-galanya di bawah syariat. Dr. Fahmi tetap sabar dengan apa yang dibuat oleh mereka sehingga ada yang tidak bercakap dengan dia dan ada juga yang menghasut orang lain untuk tidak mengendahkannya.
Sebagai manusia, sabarnya juga ada had yang tidak boleh ditanggung lagi sekiranya ia sampai ke peringkat diperbodohkan sedemikian rupa. Namun bagi orang yang ada ilmu pengetahuan, Dr.Fahmi mengatasinya dengan penuh profesional agar perkara-perkara buruk tidak diingini berlaku. Menurut apa yang diceritakan oleh Dr Fahmi, kehadirannya dipandang serong dan selalu diperlekehkan sehingga ke tahap diperbodohkan. Adakalanya Dr Fahmi dikatakan sebagai "pengganggu" kepada di unit kaunseling. Bila ditanya, Dr Fahmi menceritakan yang kaunselor ini merupakan anggota persatuan dakwah (NGO) dan sepatutnya dia tidak bersifat sedemikian.
Semalam Dr Fahmi datang jumpa penulis untuk meminta pandangan dan alhamdulillah penulis dapat menasihati Dr Fahmi dan keputusan untuk meneruskan perjalanan hidup ini hanya bergantung kepada Dr Fahmi untuk menentukan. Sebagai seorang profesional kita kena akur dengan apa yang berlaku demi menjaga perhubungan dan persahabatan walaupun Dr Fahmi mengatakan yang dia sanggup hilang segala-galanya termasuk kawan dan sahabat (yang suka dengki) kerana jika menyimpan kawan yang dengki ini bagaikan api di dalam sekam yang boleh membakar kita pada bila-bila masa.
Namun apa yang hendak disampaikan oleh penulis ialah, dengki ini sinonim dengan perbuatan buruk yang dilakukan oleh manusia kepada manusia lain demi untuk kepentingan diri sendiri. Namun adakalanya dengki ini ada kebaikkan kerana ia merupakan satu rahmat Allah swt kepada hamba-Nya. Kita sebagai manusia tidak perlu dengki dalam bentuk negatif tetapi kita perlu bersifat dengki dan bentuk yang positif seperti contoh dengki kerana orang lain kaya dan kita berusaha untuk jadi kaya namun jalan untuk mencapai kekayaan itu perlu dilakukan dengan cara yang betul. Kita dengki sahabat kita berjaya di dalam peperiksaan dan kita berusaha bersungguh-sungguh agar kita juga mencapai kejayaan tanpa menghancurkan dan meruntuh serta menjatuhkan maruah dan memberi kemudharatan kepada orang lain. Dengki yang positif ini sangat susah untuk dilakukan kerana sikap orang melayu yang suka melibatkan orang lain. Orang kita suka melihat orang lain binasa dan kecewa, mereka diibaratkan oleh sarjana seperti ketam yang tidak boleh melihat orang lain naik ke atas dan cuba untuk menarik orang yang di atas ke bawah.
Kepada pembaca, ingatlah bahawa kita jangan mudah dengki dengan orang lain lebih-lebih lagi jangan dengki dalam bentuk negatif yang membawa kemudharatan kepada orang lain. Dengki yang positif diharuskan dan jangan dilebih-lebihkan kerana takut ia membawa kepada perkara negatif pula.
Akhir kata, penulis ingin memohon maaf atas apa yang berlaku dan kisah ini tidak melibatkan mana-mana yang hidup mahupun yang sudah meninggal walaupun ia merupakan kisah benar untuk dijadikan tauladan kepada kita yang masih dalam perjalanan menuju ke penghujung kehidupan. Penulis memohon jutaan maaf kerana kisah yang sebenarnya terpaksa dirahsiakan dan banyak fakta-fakta kes terpaksa disembunyikan demi kepentingan semua pihak.
Wallahu a'lam.
Ibnusoleh
Machang.
No comments:
Post a Comment