Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Thursday, July 9, 2009

Di Mana Sahabat....


Persahabatan merupakan suatu ungkapan yang tidak asing lagi kepada setiap orang kerana hampir semua orang yang ada di dunia hari ini bersahabat. Ini kerana sahabat amat penting dalam meneruskan perjalanan hidup. Sahabat banyak membantu kita tatkala kita susah dan senang. Hari ini ramai kawan yang ada di sebelah kita yang sentiasa gelak ketawa bersama kita hinggakan jumlahnya tidak terkira. Namun sedikit pula kawan yang benar-benar di sisi kita yang sanggup menangis bersama kita di kala kita berada di kesedihan atau kesusahan.





Namun siapa pun kawan kita, kita ingatlah bahawa tidak semestinya kawan baik yang kita anggapkan hari ini adalah benar-benar menjadi sahabat kita. Ini kerana ada yang ingin berkawan dengan kita untuk mengambil kesempatan semata-mata atas kelemahan kita. Ada juga yang ingin berkawan dengan kita semata-mata untuk kepentingan diri sendiri dan sebagainya. Begitu juga wahai sahabatku, jangan sekali-kali kita menganggap orang yang kita benci itu musuh kita kerana mungkin suatu hari nanti dia yang sudi bersama kita di kala kita berkesedihan atau berkesusahan. Oleh yang demikian berbuat baiklah kepada sesiapa sahaja dengan ikhlas dan rasa kasih sayang untuk berbuat baik. Jangan sekali-kali kita bersedih jika kita mengalami atau menghadapi kesukaran semasa bersendirian tanpa ada sahabat yang sanggup berkongsi susah bersama dalam meneruskan perjalanan hidup.




Ketahuilah wahai sahabat sekalian, bahawa Allah swt itu Maha adil kerana Dia menjadikan kita berlainan jantina ini adalah untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Kita tidak mampu untuk berkenalan dengan semua orang malah kita juga tidak mampu untuk bersahabat dengan semua orang. Cuma apa yang pentingnya ialah kita hendaklah berbuat baik dengan semua orang tanpa mengira siapa dia. Allah swt jadikan kita boleh berkawan baik hanya dengan orang ini dan tidak boleh berkawan baik dengan orang itu, manakala ada orang yang boleh masuk secara terus dengan orang itu dan tidak boleh bersahabat dengan orang ini. Semua itu adalah ketentuan Ilahi dan Dia-lah yang menjadikan setiap insan ini tidak sama. Namun, Allah swt dengan rahmat dan kurniaan-Nya, Dia memberi peluang dan ruang untuk kita semua memilih siapakah yang terbaik untuk menjadi sahabat kita.

Oleh itu kesimpulannya, untuk bersahabat hendaklah kita memilihnya dengan cara yang terbaik kerana sahabatlah banyak membentuk jati diri, suasana dan keperibadian kita. Ingatlah hari ini dunia semakin moden, nilai persahabatan sudah hampir luntur dengan kebangkitan arus kemodenan.

Wallahu A'lam.

Rozlan
Machang.

No comments:

My Picture