Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Thursday, July 16, 2009

Gandingan Hati dan Akal

Semalam penulis ditanya oleh beberapa sahabat berkaitan dalam membentuk personeliti unggul ini, yang mana berperanan dahulu antara hati dan akal? Namun pada awalnya penulis menyatakan bahawa akallah yang berperanan dahulu dalam menentukan setiap aktiviti yang hendak dilakukan. Ini kerana kebanyakkan ( majoriti) manusia zaman moden ini menggunakan akal untuk menimbangkan sesuatu perkara sebelum mereka melakukannya. Banyak kelebihan demi kelebihan yang ada pada akal, buktinya Allah swt menjadikan akal inilah yang membezakan antara kita dengan haiwan. Dengan akal kita mampu membina tamadun, melakukan perubahan demi perubahan untuk kemajuan bangsa, perkembangan teknologi dan alam siber juga dibangunkan oleh akal manusia. Dengan akal manusia mampu menilai sesuatu perkara yang hendak dilakukan itu sama ada baik ataupun buruk, akal juga dapat menentukan sama ada sesuatu perkara itu ada kebenaran dan kepalsuannya, akal juga menentukan jalan kebahagiaan atau penderitaan yang diingini oleh setiap manusia. Pendek kata dengan akal yang waras, manusia dikatakan sebagai makhluk yang hebat di muka bumi ini.



akal manusia yang dikatakan hebat


Kehebatan akal yang ada pada seseorang juga membezakan seseorang itu dengan seseorang yang lain. Orang yang menggunakan akal dengan maksimum yang mungkin ke arah kebaikkan pasti akan dipandang mulia berbanding dengan mereka yang tidak menggunakan akal yang Allah swt kurniakan. Dengan akal, manusia mampu berfikir dengan rasional dalam menentukan kebenaran dan kekuasaan Allah swt. Di dalam al-Quran, lebih kurang 99 kali Allah swt mencabar akal manusia demi membuktikan kekuasaan-Nya. Pada hari ramai saintis barat yang telah memeluk Islam kerana mereka yang suka mengkaji tentang ayat-ayat (tanda kekuasaan) Allah swt iaitu makhluk-makhluk Allah swt. Melalui teori sains setiap apa yang berlaku mesti melalui kajian dan bukti yang boleh diterima akal. Sekiranya kajian yang dijalankan tidak boleh diterima akal, maka kajian sains itu tidak boleh diterima umum. Namun hari kita lihat bahawa melalui kajian demi kajian yang dijalankan, banyak sekali para saintis menemui kekuasaan Allah swt sehinggakan mereka yakin dengan hati bahawa Allah swt sebagai Tuhan sekalian alam.
Sebagai kesimpulan awal yang boleh saya katakan ialah bahawa akal memang penting untuk mengurus alam ini. Dijadikan kita sebagai manusia dan khalifah di muka bumi ini, Allah swt membekalkan kita dengan akal untuk kita terokai seluas-luasnya ilmu yang terdapat di alam ini. Dengan akal juga manusia mampu membina budaya, tamadun dan teknologi.
Adapun hati pula merupakan makhluk Allah swt yang sangat menjadi rebutan antara iman dan syaitan. Ini kerana hati merupakan raja bagi jasad manusia. Sekiranya salah satu dari mereka (Iman dan syaitan) dapat menguasai hati, maka mereka akan menguasi manusia tersebut. Namun di dalam sudut hati hanya ada satu ruang sahaja untuk diisi. Sekiranya iman yang menguasai hati, maka beruntunglah jasad tersebut. Adapun sekiranya syaitan yang menguasai hati, maka celakalah jasad tersebut. Ini sebagai mana yang dijelaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud :" Sesungguhnya di dalam jasad kamu ada seketul daging. Sekiranya baik daging tersebut maka baiklah seluruh anggota badan, sekiranya rosak/buruk daging tersebut maka rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging tersebut adalah HATI"
Namun hati juga ada kepentingan di dalam meneruskan kehidupan. Pentingnya hati sama juga pentingnya akal. Hati juga ada kelebihan yang tersendiri sama seperti akal. Hati dikaitkan dengan emosi dan perasaan. Hati perlu kepada panduan. Allah swt menjadikan fitrah manusia itu di dalam hati. Dan setiap apa yang diingini oleh manusia itu bermula di hati. Ini kerana emosi dan perasaan akan melahirkan kehendak sebelum ianya dilakukan. Orang yang mempunyai hati sudah pasti mempunyai perasaan seperti belas kasihan, penyanyang, gembira dan lain-lain lagi. Fitrah cinta juga dikurniakan oleh Allah swt ke dalam hati. Orang yang mempunyai hati yang bersih akan menemui hakikat dan makrifat Allah swt. Firasat orang yang bersih hatinya jauh lebih tepat kerana ia adalah kehendak Allah swt. Tapi hati bila dikotori, segala-galanya akan membawa kehancuran. Ini kerana secara fitrahnya manusia tidak suka berperang, tetapi disebabkan penyakit hati mereka sanggup berperang sesam sendiri.


Walau bagai mana pun, saya tidak dapat nafikan bahawa kedua-dua ini ada kepentingannya yang tersendiri malah kejadiaannya juga adalah mempunyai fungsi yang berbeza. Persoalan yang timbul sepertimana yang ditanya oleh sahabat saya ialah yang mana dahulu berfungsi apabila seseorang itu ingin melakukan kerja, adakah ianya bermula di hati ataupun di akal. Bagi menjawab soalan ini dengan pendapat dan pandangan yang lebih tepat tanpa memihak kepada majoriti ataupun minoriti, penulis mengatakan bahawa ianya bermula dihati. Di sini penulis berhujjah bahawa:

1. Hati melahirkan atau memproses sesuatu yang bersifat emosi dan perasaan manakala akal pula memproses sesuatu yang bersifat logik.

2. Akal dan logik berupaya menghasilkan tahu manakala hati dan emosi mampu menghasilkan kehendak atau mahu.

3. Sesuatu perbuatan yang ingin dilaksanakan perlu dilahirkan di sudut hati bahawa ianya hendak dan mahu dilaksanakan dan selepas itu barulah ianya dicetuskan di akal untuk menghasilkan tahu bagi membolehkan sesuatu itu dilakukan atau dilaksanakan dengan cara yang bagaimana.

4. Manakala sesuatu yang telah ditafsirkan di akal itu perlu dinilai kembali di sudut hati kerana hatilah yang akan menentukan sama ada sesuatu perkara itu perlu atau tidak untuk dilakukan dengan rasional dan pandangan daripada tahu yang dicetuskan oleh akal tadi.

5. Dan lain-lain lagi.

Adapun untuk melahirkan manusia yang unggul yang bercirikan kepada kemantapan dalam mengaplikasikan atau melakukan sesuatu kerja dengan cara yang terbaik perlulah menggunakan atau menggabungkan kedua-duanya sekali. Ini kerana sekiranya akal sahaja yang digunakan, mereka tidak mampu melahirkan kerasionalan yang boleh diterima umum kerana majoriti menerima apa yang logik dan diterima akal semata-mata. Mereka juga tidak boleh sekadar menggunakan akal sahaja, ini kerana logik juga tidak mampu bertahan tanpa emosi dan kehendak seperti mana yang diukirkan dihati. Tanpa emosi sesuatu perkara yang dibuat belum tentu berjaya kerana tiada kesungguhan untuk melaksanakannya. Sebagai contoh, apabila sesuatu kerja disuruh buat hanya sekadar menggunakan akal tanpa melibatkan emosi, belum tentu kerja itu akan dibuat oleh seseorang. Contohnya "Ayu, hantar buku ini ke libry". Arahan ini tidak langsung melibatkan emosi dan belum tentu Ayu mahu melakukannya. Ada pun jika arahan itu dikaitkan denga emosi seperti contoh K.Zila minta tolong hantar buku ini ke libry, ok terima kasih". Ini arahan yang melibatkan emosi dan menyentuh hati dan sudah pasti ia akan melakukannya kerana emosi akan melahirkan kehendak dan kemahuan sebelum tercetusnya logik di sudut akal. Saya yakin, kita lebih bersungguh dan berkemahuan untuk memenuhi permintaan itu kerana perkataan “hantar buku” memberitahu akal, manakala perkataan “tolong” dan “terima kasih” menggerakkan hati.

Oleh itu, penulis sekali lagi menyatakan bahawa setiap perbuatan yang ingin dilakukan oleh mereka yang mempunyai personeliti unggul perlulah melibatkan kedua-duanya iaitu Hati danAkal. Hati perlu mendahuluinya kerana setiap kerja yang ingin dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan yang hebat perlu melahirkan rasa minat dan mahu melakukannya. Perasaan ini lahir dari hati yang menggerakkannya dan kemudian akal perlu digerak berasama agar kerasionalan untuk melakukan kerja tersebut dilogikkan untuk menghasilkan tahu demi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Penilaian perlu dibuat oleh hati yang berpandukan kepada keimanan kerana ianya akan menilaikan dengan nilai yang sangat tinggi.

Wallahu A'lam.

Rozlan.

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum...jazakallah untuk penerangan yng panjang tu...dengan akal manusia berfikir, dengan hati manusia menafsir..dalam hidup tanpa salah satu akan hilang arah tuju yang sebenar yang kita cari...hm....jazakallah ye..mga dapat lagi kita berkongsi ilmu yang ada dengn shbt2...

My Picture