Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Thursday, August 27, 2009

Aku Lupa.....


"Alhamdulillah aku bersyukur pada-Mu Ya Allah, kerana Engkau banyak membantuku dalam meneruskan perjalanan hidupku ini dan Engkau tidak sekali-kali membiarkan diriku berjalan bersendirian. Engkau amat mengetahui bahawa diriku ini terlalu lemah dalam segenap hal, sebagai hamba-Mu, aku sering lupa dan lalai dalam perjalananku, oleh itu aku amat memerlukan pertolongan Mu Ya Allah."

Sekadar Hiasan



Sejak kedatangan Ramadhan ini, dari awal lagi aku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna untuk diriku. Aku menganggapnya sebagai ramadhan ini adalah yang terakhir dalam hidupku kerana aku ingin memanfaatkannya dengan sebaik yang mungkin. Namun dalam pengharapan aku ini, aku sekali lagi diuji dengan perasaan sedih, sebak dan risau. Aku sering menghabiskan masa aku dengan termenung dan sekadar memerhati kejadian ciptaan Tuhan. Dalam ketermenungan aku itu, banyak yang aku belajar daripada ayat-ayat Allah swt. Mungkin itu merupakan salah satu jalan bagi Allah swt ingin mengajar aku suatu ilmu yang tidak terdapat di dalam mana-mana kitab. Aku bersyukur pada Mu Ya Rabb...


Dalam mengharungi perjalan hidup ini, semua orang pasti akan diuji termasuk juga diriku. Dalam setiap ujian, kita harus bersabar dan cara untuk bersabar itu yang membezakan antara kita. Bagiku, seperti yang aku katakan tadi, termenunglah cara untuk menghilangkan keresahan jiwa. Termenung dengan memerhatikan di mana kebesaran Allah swt. Melihat tanda-tanda kebesaran-Nya. Aku terlupa dalam ujian tersebut ada kesabaran dan solat. Aku sekadar solat fardu dan sangat sedikit solat sunat. Dalam mengharungi cabaran dan ujian ini, aku terlupa untuk meningkatkan solat sunat kerana dengannya (solat) akan menenangkan jiwa-jiwa yang resah semasa diuji.

Aku bersyukur kerana aku sempat lagi sedar sebelum keterlupaanku itu membawa parah yang bakal tumbuh mencengkam jiwa ibarat ketumbuhan kenser di dalam badan. Aku terus sujud mengharapkan bantuan Ilahi kerana kita sebagai hamba Allah swt, kita perlu bersabar. Kemudian kita perlu mengharapkan kepada Allah swt jua yang membantu kita dalam menghadapi ujian tersebut kerana kita insan yang lemah yang serba kekurangan. Di dalam sujud itulah tempat aku mengadu kepada Allah swt tentang masalah yang aku hadapi. Aku insan yang lemah, aku tidak mampu untuk menghadapinya sendiri melainkan dengan bantuan Allah swt.

Aku juga semakin hari semakin lalai daripada mengingati Allah swt. Jikalau dahulu, aku menghabiskan masaku dengan membaca dan mengkaji al-Quran. Namun sejak kebelakangan ini, jiwaku terlalu busy untuk mengejar kejayaan dunia. Aku tahu, dunia itu keperluan yang harus dicari, tetapi jangan pula aku mengejarnya. Namun aku menjadi semakin ganas dengan menjadi pemburu kepada dunia yang akan aku tinggalkan ini. Aku lupa tujuanku di dunia ini untuk mengejar persiapan akhirat sebagai bekalan untuk suatu perjalanan yang jauh. Namun aku terlupa akhiratku, setelah aku lihat indahnya dunia ini. Namun aku masih selamat kerana Allah swt mengingatkan aku yang alpa ini, mungkin ini kerana istikharah menjadi amalanku memberi ruang kepada Allah swt untuk memberi petunjuk dan panduan kepada keputusan aku.

Ya Allah, jika dikira akal yang Engkau kurniakan padaku, nescaya aku tidak mampu berfikir keputusan mana yang terbaik bagi diriku melainkan Engkaulah yang memberi petunjuk di atas kebenaran itu...

Kepada semua sahabat pembaca, kembalilah diri kita kepada Allah swt kerana kebanyakkan diri kita ini semakin hari semakin lupa dengan perjanjian ketuhanan yang kita bina semasa di alam roh lagi. Kembalilah kepada Allah swt kerana kita masih belum terlewat untuk kembali. Ingatlah sebelum ajal datang itulah peluang kita kembali kepada Allah swt, namun setelah ajal, itulah bekalan kita untuk mengadap Allah swt. Persoalannya, siapakah di antara kita yang mengetahui hakikat ajal mautnya? Fikir-fikirkan..
Wallahu A'lam.

Rozlan Daud
Machang

No comments:

My Picture