Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Wednesday, February 24, 2010

2 X 5 = 5 X 2

Siri Kuliah Maghrib di Masjid Tg Gosong, Pekan.
Oleh : Rozlan Daud.

Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana baru sahaja kita selesai menunaikan ibadah solat fardu Maghrib secara berjemaah yang mana kita tahu bahawa solat berjemaah itu pahalanya lebih besar gandaannya berbanding dengan solat bersendirian. Sepertimana sabda Rasulullahi saw, maksudnya : " Daripada Abu Hurairah ra. katanya, sabda Rasulullah saw, "Solat berjamaah lebih baik berbanding dengan solat bersendirian dengan 27 (ada seterngah pendapat mengatakan 25) kali darjat (au kama qal saw.)" Mudah-mudahan setiap amalan yang kita kerjakan ini diterima oleh Allah swt.

Alhamdulillah, pada malam ini kita akan menyambung sesi kulaih maghrib kita sementara peluang antara kita masih ada. Jadi pada malam ini saya akan mengupas tajuk berkaitan dengan "Sejauh mana amalan atau ibadah yang kita persembahkan kepada Allah swt diterima oleh-Nya". Apabila kita bercakap berkenaan dengan ibadah, memang itulah tujuan dan matlamat kita sebagai manusia dijadikan oleh Allah swt di atas muka bumi. Firman Allah swt maksudny: " Dan aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan adalah untuk beribadah kepada-Ku" (al-Quran surah Ad-Dzariat: 56 ). Maknanya, matlamat hidup kita baik saya mahupun tuan-tuan adalah untuk beribadah kepada Allah swt. Allah swt menyatakan bahawa, yang diperintahkan untuk beribadah kepada-Nya adalah dari golongan Jin dan Manusia. Tidak kepada binatang, tidak pula kepada pohon kayu dan sebagainya. Maknaya dua golongan ini yang wajib untuk beribadah kepada Allah swt.

Semua orang tahu tentang tanggungjawab dan amanah yang Allah swt berikan kepada kita semua. Namun pada malam ini kita akan membincangkan berkenaan dengan apakah amalan yang kita lakukan sepanjang hayat kita ini diterima oleh Allah swt atau sebaliknya. Pendek kata ada orang yang umurnya panjang, namun amalannya teramat sedikit berbanding dengan usianya. Manakala ada orang yang usianya pendek, namun ibadahnya menyamai dengan orang yang hidup beribu tahun. Subhanallah.. Allah swt amat pemurah dengan menggandakan pahala sebagai balasan bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam melakukan ibadah. Jadi berbalik kepada tajuk kita, mari kita menghitung diri kita, menghisab diri kita adakah setiap amalan atau ibadah kita seharian ini diterima oleh Allah swt.

Sidang hadirin sekalian.

Ingatlah, darjat kita di sisi Allah swt berbeza dan mengikut amalan dan keikhlasan kita beribadah kepada Allah swt. Ada antara kita yang beramal sedikit, namun ganjarannya berlipat kali ganda, ada pula yang banyak beramal, namun sedikit sahaja pahala yang diberikan oleh Allah swt dan ada pula banyak beribadah namun ibadahnya ditolak oleh Allah swt, wanauzubillah...Baik di sini saya bagi contoh perbezaan pahala yang Allah swt berikan, ada orang yang beribadah hanya selama 2 bulan, namun pahalanya sama seperti orang lain beribadah 5 bulan. Mungkin ibadah yang dilakukan olehnya adalah berdasarkan ilmu yang dia pelajari bertambah keikhlasan yang dia persembahkan kepada Allah swt. Manakala ada orang yang beribadah selama 5 bulan, namun pahala yang diperolehinya adalah sama dengan mereka yang beribadah selama 2 bulan. Ini kerana mungkin dia beribadah kerana paksaan atau ibadah yang dilakukan tidak khusu' sepenuhnya atau dengan kata lain dia melakukan ibadah dengan tidak menghayati erti ibadah tersebut. Ini belum lagi dikira ibadah yang dilakukan hanya sekadar ikut-ikutan atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Sudah pasti tiada sedikit pun ganjaran di sisi Allah swt. Pendek kata, 2 bulan buat ibadah pahala menyamai 5 bulan ibadah, manakala ada orang yang buat ibadah 5 bulan namun pahalanya hanya sebanyak 2 bulan sahaja. Ini jika dikira bulan, cuba dihitungkan dengan tahun, sudah berapa banyak tahun yang kita telah sia-siakan? Astaghfirullahal Azim....

Jadi marilah kita bermuhasabah diri kita dengan setiap amalan yang telah kita kerjakan kerana ia adalah merupakan wakil kita untuk mengadap Allah swt. Terpulang kepada kita, di mana kita ingin meletakkan diri kita di sisi Allah swt. Ini kerana, sekiranya wakil yang kita hantar itu adalah yang terbaik, maka kedudukan kita di sisi Allah swt juga adalah yang terbaik. Manakala sekiranya wakil (ibadah) yang kita hantarkan kepada Allah swt penuh dengan kekurangan atau keburukkan, maka buruklah kedudukan kita di sisi Allah swt. Ingatlah Allah swt membalas setiap amalan kita walaupun hanya sebesar zarah. Firman Allah swt yang bermaksud :" Barang siapa yang berbuat amalan kebajikan walau seberat zarat, nescaya ia akan melihat pahalanya. Dan barang siapa yang berbuat kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya ia akan melihat balasannya" (al-Zalzalah: 7 &8). Walau bagaimana dalam dunia sains hari ini yang paling kecil adalah nano, namun ianya tetap akan diperhitung dan diperlihatkan oleh Allah swt di hari akhirat nanti. Jadi tidak kisahlah walau apa pun istilah yang kita gunakan ianya tetap akan dibangkit dan diperhitungkan oleh Allah swt yang Maha Penghitung.

Jadi, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan kita dan mudah-mudahan setiap amalan yang kita kerjakan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda di sisi Allah swt. Kita sebagai ummat Nabi Muhammad saw ini yang umurnya sekitar 60 - 70 tahun sahaja, memang terlalu pendek jika dibandingkan dengan umur ummat terdahulu daripada kita. Maka setiap amalan yang kita kerjakan jauh berlipat kali ganda yang akan kita perolehi kerana sepadan dengan usia kita. Biarlah usia kita 60 tahun namun ibadah kita menyami 6juta tahun atau lebih. Jangan usia kita 60 tahun namun ibadah yang kita kerjakan sama seperti 6 hari atau kurang. Maka rugilah kita sekiranya kita telah hidup berpuluh-puluh tahun namun ibadah yang kita kerjakan tidak ada sedikit pun dan jikalau ada hanyalah sekadar 4-5 hari sahaja kita beribadah.

Ingatlah kita sebagai ummat akhir zaman ini, setiap amalan kebaikkan yang kita kerjakan akan dilipat gandakan oleh Allah swt sekiranya ibadah kita itu ikhlas kepada Allah azzawajalla. Namun kejahatan yang kita buat hanyalah memadai dengan kadar kesalahan kita dan itupun sekiranya kita melakukan dosa dengan sengaja. Allah swt tidak mengira dosa sekiranya kesalahan yang kita buat itu tanpa sengaja. Jadi tingkatkanlah ibadah kita kepada Allah swt bermula dari saat ini dan usia kita yang telah berlalu, kita mohonlah kepada Allah swt agar Dia mengampuni kesalahan dan kekurangan kita dan menerima segala amalan kita. Kita tidak tahu mungkin usia kita hanya tinggal beberapa hari lagi, atau beberapa jam sahaja lagi, atau beberapa minit sahaja lagi, atau beberapa saat sahaja lagi. Mungkin selepas kita mendengar kuliah ini kita akan pergi bertemu Allah swt. Tidak ada di antara kita yang boleh menyatakan bila dia akan mati. Yang Maha Mengetahui adalah Allah swt. Jadi beramallah dari sekarang mudah-mudahan amalan yang kita kerjakan mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa yang telah dijanjikan oleh Allah swt kepada kita sebagai hamba-Nya.

Sidang jemaah sekalian. Ingatlah, ibadah yang kita kerjakan di dunia ini akan dibalas oleh Allah swt dengan pahala di akhirat nanti. Dan pahala itu merupakan mata wang di negeri akhirat. Ketahuilah bahawa semua kita akan dibangkitkan suatu hari nanti dan pahalalah yang akan menjadi bekalan atau sebagai duit untuk kesenangan kita di sana nanti. Sekiranya kita orang yang kaya dengan pahala, makan kesenanganlah yang akan kita perolehi di sana nanti. Sekiranya kita miskin dengan pahala, maka kita adalah orang yang berada dalam kesusahan. Dan yang lebih teruknya kita mempunyai pahala yang banyak sebagai mata wang, namun kita mempunyai banyak hutang dengan orang lain. Dan pahala yang banyak itu kita habiskan untuk membayar hutan kita kepada orang lain. Sekiranya kita sudah kehabisan pahala untuk membayar hutang, maka dosa orang lain pula terpaksa kita pikul. Tahukah kita semua apakah hutang kita dengan orang lain yang akan dihitungkan oleh Allah swt nanti, hutang itu ialah jika kita mengumpat kepada orang lain, maka hutang mengumpat kita kena jelaskan. Jika kita mengambil barang orang lain tanpa minta izin dengannya maka hutang mencuri kita kena bayarkan, kita pinjam duit orang dan kita tidak membayarnya dan bermacam-macam hutang lagilah sekiranya dosa yang kita buat itu bersangkutan dengan orang lain. Maka rugilah kita sekiranya kita membawa pahala yang banyak di akhirat nanti dan pahala tersebut habis membayar hutang orang lain dan kitalah dianggap muflis pada hari hisab nanti.

Jadi perhitunglah diri kita sebelum kita dihitung oleh Allah swt nanti, bersegeralah kita bertaubat kepada-Nya atas kesalahan kita setiap masa. Minta maaflah kepada jiran-jiran kita, orang lain yang mana kita telah melakukan kesalahan terhadapnya sebelum kita membayar hutangnya di akhirat nanti. Biarlah kita miskin di dunia tetapi kitalah orang yang paling kaya di akhirat nanti, insyallah.

Jadi sebagai kesimpulannya, apa yang baik itu datangnya daripada Allah swt dan apa yang kurang itu adalah daripada kelemahan diri saya yang bergelar insan yang lemah ini. Marilah kita tingkatkan amalan dan ibadah kita kepada Allah swt agar kita menjadi hamba-Nya yang paling muia di sisi-Nya sebaris dengan kedudukan para nabi, syuhada', wali dan seangkatan dengannya. Jadi saya akhiri dengan wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian.

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture