Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Monday, February 22, 2010

Lunturnya Sifat Ikhlas....

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah, ku panjatkan syukur pada Allah swt yang telah memberi pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya kepada kita semua. Selawat dan Salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan seluruh ummat Islam.

Perkembangan teknologi dunia seban hari semakin hebat sehinggakan aku sendiri tidak dapat untuk mengejarnya. Semalam aku melihat telefon model terbaru yang boleh akses internet dan terdapat pelbagai software di dalamnya untuk menggerakkan hardware yang ada padanya. Hari ini pula aku melihat satu alat GPS yang bukan sahaja untuk mengesan jalan raya bagi kemudahan memandu, malah juga dapat mengesan ikan di laut. Tidak hairan kerana alat ini dah lama dicipta namun yang menghairankan aku ialah kelebihannya untuk menentukan jadual waktu air pasang surut dan keadaan ikan di laut makan pada jam sekian dan sekian. Alat ini boleh menentukan pukul berapa ikan paling suka makan dan ianya amat sesuai bagi mereka yang jenis kaki pancing.

Namun kali ini bukan topik teknologi yang kita ingin bincangkan kerana manusia hari ini memang canggih dengan ciptaan demi ciptaan. Yang ingin dikupaskan adalah berkenaan runtuhnya sifat Ikhlas di kalangan kita sebagai ummat Islam seiring dengan pembangunan dan perkembangan teknologi yang ada hari ini, maknya sifat ikhlas itu runtuh dengan pantas sekali. Hari ini juga ramai dikalangan kita yang bercakap tentang pentingnya pembangunan. Di kalangan ahli politik sendiri pun tidak kurang hebatnya mengatakan pembangunan untuk rakyat dan rakyat rata-rata inginkan pembangunan. Namun apa yang ramai dikalangan kita mengejar pembangunan fizikal semata-mata dan tidak pada pembangunan jiwa. Jadi fikir-fikirkanlah...

Tergerak tanganku untuk menulis kali ini kerana pagi tadi ada suara-suara yang aku dengar sambil menghirupkan kopi panas tentang "Saya akan tolong awak untuk dapatkan projek XXXXX (terpaksa dirahsiakan kerana takut nanti kena saman fitnah semacam Dr MAZA oleh XXXXX....hehehehe). Tapi saya mahu juga percentnya (keuntungan disebalik projek). Dunia hari ini no money, no talk". Begitulah ada suara yang keluar dari mulutnya. Memang benar kata-katanya kerana semasa di UUM dulu aku sering dengan kawan-kawan aku termasuk juga dikalangan pensyarah yang mengatakan perkataan sedemikian "No money, no talk". Terbayang juga difikiran aku, sampai tahap itu sekali punyalah susah untuk cakap kerana jika tidak ada duit, tidak boleh bercakap. Di manakan seruan Nabi kita yang sabdanya " Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat"(aw kama qal saw).... Benar juga apa yang berlaku dikalangan ulama' kita hari ini. Jika tidak dibayar untuk ceramah maka banyaklah alasan untuk mengajar atau memberi kuliah-kuliah secara percuma. Jadi betul la dengan apa yang dikatakan dengan "No money, No Talk".


Inilah yang menjadi kegilaan manusia sehingga sanggup gadai sifat ikhlas - Sekadar gambar hiasan

Jadi di mana sifat ikhlas yang ada dijiwa kita sehinggakan setiap apa yang kita kerjakan kita perlu balasan dari manusia, sedangkan sebaik-baik balasan adalah dari Tuhan kita. Kita membantu manusia lain semata-mata mengharapkan balasan dari manusia dan jika manusia tidak dapat membalasnya maka kita sukar untuk membantu. Kerja yang kita buat terus digantikan dengan nilai wang semata-mata tanpa mengharap balasan di sisi Allah swt. Persoalannya, di mana kedudukan ikhlas di sisi agama?(sila bagi pandangan) Manakala kedudukan ikhlas dihati kita biarlah kita sendiri yang menilainya. Pendek kata pembangunan jiwa semakin runtuh akibat ke kemajuan dalam pembangunan fizikal. Runtuhnya seperti runtuhnya bukit-bukau untuk pembangunan hartanah dan sebagainya. Nilai ikhlas ini semakin luntur bagaikan lunturnya kejernihan air sungai akibat dari pembalakkan untuk pembangunan.

Hari ini nilai ikhlas tidak lagi menjadi penting dalam setiap amalan sedangkan ukuran ibadah adalah terletak kepada ikhlas. Jadi ini juga menjadi punca kepada timbulnya penyakit-penyakit jiwa yang lain kerana semangat ikhlas tidak lagi menjiwai pemiliknya. Teringat ungkapan dari el-farouq suatu masa dahulu, "Allah berfirman, solat akan mencegah dari perbuatan keji dan mungkar (sila rujuk Al-Quran surah Al-Ankabut ayat 45), namun kenapa ramai orang yang solat melakukan perbuatan keji dan mungkar? Kerana mereka tidak ikhlas dalam solat mereka kepada Allah swt. Mereka sekadar menunjuk-nunjuk kepada orang Islam yang mereka itu merupakan orang yang solat". Inilah merupakan nilai perbandingan untuk menunjukkan betapa pentingnya nilai ikhlas di dalam sesuatu ibadah atau amalan. Kerana setiap kerja yang kita lakukan baik menolong orang lain atau sebagainya, ianya akan dikira ibadah oleh Allah swt sekiranya kerja yang kita buat itu ikhlas semata-mata kerana Allah swt.

Akhir kata dari saya, nilailah diri kita adakah kita termasuk dalam golongan "mukhlasin" dalam setiap gerak kerja kita. Sesungguhnya ibadah kita seharusnya ikhlas kita persembahkan kepada Allah swt kerana Allah swt tidak mengharapkan apa-apa dari kita, kerana DIA Maha kaya atas segala sesuatu. Jadi apa yang baik itu adalah dari Allah swt dan apa yang lemah dan kurang itu adalah dari kelemahan diri saya.

Sekian

"erti hidup pada mengabdikan diri kepada Allah swt"

Rozlan Daud
18500 Machang

My Picture