Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, February 27, 2010

Entah Mengapa.......

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah ku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Mu Ya Allah atas segala nikmat yang Engkau Kurniakan untukku menjalani hidup ini. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat yang banyak berjuang dalam menyampaikan dahwah Islamiah. Ku mohon keampuanan daripada Allah swt atas kelemahan dan kesilapan diriku, kedua ibu dan ayahku serta kaum muslimin seluruhnya.

Sudah hampir 1 minggu telah berlalu aku meninggalkan kampung laman untuk meneruskan pengajian aku. Namun setelah kembali ke Pekan ini, jiwa aku tidak tenang "Entah Mengapa". Pelbagai kesimpulan yang aku buat dan pelbagai cara untuk rawatan telah aku usahakan. Namun jawapannya telah aku temui tetapi ketenangan belum mencapai sepenuhnya. Hampir setiap hari, aku banyak termenung mengenangkan nasib diriku. Tidak banyak bercakap dan lebih bersendirian sehinggakan kawan-kawan tempat aku berkerja semuanya perasan mengenai sikap perubahan yang berlaku pada diriku. Kekadang mereka ada juga mengusik diriku, katanya aku termenung kerana teringat isteri kat kampung, maklumlah balik kampung baru ni cuti panjang, mana tau kot-kot dah kahwin. Aku hanya tersenyum mendengar usikkan mereka itu. Maklumlah itu hanya senda gurau dari kawan-kawanku sahaja.

Hakikat sebenar jiwaku mengalami sedemikian tidak terjawab kerana aku tidak mengetahui puncanya. Hampir setiap malam aku akan berisra' untuk mencari ketenangan jiwa. Namun jiwaku semakin hari semakin mencapai ketenangannya. Isra' aku adalah dengan "buraq" putihku dan aku mengambil iktibar daripada isra' Nabi SAW yang diisra'kan oleh Allah swt adalah untuk menenangkan jiwanya Nabi SAW. Aku teringat seerah nabi yang mana Allah swt mengisra'nya untuk menenangkan jiwa Nabi SAW yang berada dalam keadaan sedih di atas kesedihan, maknanya 2 kali sedih. Iaitu sedih di atas kematian Isteri tercinta Saidatina Khadijah dan juga bapa saudaranya Abdul Muttalib. Kematian 2 orang insan yang banyak membantu Rasulullah dalam meneruskan perjuangan membawa risalah Allah swt dikala manusia lain membencinya. Lalu terlintas juga difikiran aku ayat al-Quran dalam surah Al-Isra' iaitu ayat 1 yang bermaksud :

"Maha suci (Allah swt) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad saw) pada waktu malam daripada Masjidi Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin) yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat".
(surah al-Isra' : 1)

Dalam kerisauan dan keceruan jiwa ini aku kembali kepada Al-Quran untuk merawat jiwaku yang dalam keresahan yang tidak diketahui puncanya. Al-Quran adalah ibu segala penawar seperti mana yang difirmakan oleh Allah swt di dalam surah al-Isra' ayat yang ke 82 yang bermaksud :

" Dan Kami turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (al-Quran) hanyalah menambahkan kerugian"
( surah al-Isra' : 82)

Begitu juga di dalam surah Al-Fushshilat, Allah swt menjelaskan al-Quran ini sebagai penawar seperti firman-Nya yang bermaksud:

" Dan sekiranya Al-Quran kami jadikan sebagai bacaan dalam bahasa selain bahasa Arab, nescaya mereka mengatakan, mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya? Apakah patut (al-Quran) dalam bahasa selain bahasa Arab sedang (rasul) orang Arab? Katakanlah, Al-Quran itu adalah pentunjuk dan penawar bagi orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, dan al-Quran itu merupakan kegelapan bagi mereka. Mereka itu, (seperti) orang-orang yang dipanggildari tempat yang jauh.
(surah Al-Fushshilat: 44)

Justeru itu aku kembali mencari penawar untuk menenagkan jiwa dalam keresahan ini. Aku mengambil iktibar daripada ayat al-Quran dari surah al-Isra' yang mana Allah swt sendiri yang menenangkan jiwa Nabi saw yang dalam kesedihan. Allah swt sendiri yang membawa Nabi SAW dalam ekspidisi kembara ke Sidratul Muntaha dan seterusnya mengadap Allah swt. Berdasarkan seerah inilah aku turut mengisra'kan diriku untuk mencari ketenangan. Namun isra yang aku buat juga pada malam hari iaitu "minal masjid ilal masjid"(daripada masjid ke masjid) sepertimana isra' Nabi saw daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Aku mulakan isra' pada waktu magrib di majid Tg Selangor di tempat rumah sewa aku, kemudian ke masjid Sultan Abdullah, Pekan untuk kuliah magrib dan solat Isya'. Semasa melangkah kaki menjejak ke masjid Sultan Abdullah, aku terasa yang diriku ini adalah yang paling hina sekali. Jiwaku mula merasakan suatu kelainan yang tidak mampu untukku ungkapkan perasaan itu. Perasaan takut mula meredah ke dalam sanubariku. Kekesalan turut meluntutkan jiwa yang megah selama ini. Aku duduk di sudut yang paling hujung semasa menunaikan solat isya' dan mendengar alunan bacaan oleh imam muda, bertambah gementar jiwaku yang sering lupakan Allah swt sedangkan Allah swt tidak pernah melupakan kepadaku walau sesaat. Gementarnya jiwa mencairkan titisan air mata, kekesalan mulai wujud di hati dan perasaan. Hanya kepada Mu aku mohon keampunan di atas keterlanjuran diriku ini Ya Allah.

Selesai solat isya' aku terkedu melihat imam muda yang terlalu muda usianya daripadaku yang mana hebatnya dia adalah kerana dapat menjadi imam kepada sekalian jemaah di bandar Pekan, Pahang. Bertuahnya kedua ibu dan ayah dia kerana memiliki seorang anak yang sudah menjadi sebahagian daripada pemimpin agama. Lantas dihatiku berdoa "Ya Allah, kurniakanlah kepadaku zuriat dan keturunanku dari kalangan orang-orang yang soleh yang terdidik jiwanya dengan didikan al-Quran untuk mereka menjadi generasi al-Quran."

Setelah semuanya selesai, jiwaku bertambah tenang sedikit. Kemudia aku meneruskan perjalanan ke masjid yang lain pula untuk aku bermalam di sana dan seterusnya menunaikan solat fardu subuh nanti. Memang sepanjang malam aku memperjalankan diriku dari masjid ke masjid dan tidur pun di masjid. Mendengar alunan ayat-ayat al-Quran yang sememangnya menenangkan jiwa. Wahai sahabatku, aku berkongsi pengalaman yang aku alami agar menjadi manfaat buat diriku dan sahabat sekalian. Isra'lah diri kamu dari masjid ke masjid untuk mencari kebaikkan kerana aku telah menjumpai dan mengalami sendiri ketenangan jiwa aku setelah berhijrah dari masjid ke masjid. Semoga Allah swt memberi ketenangan kepada diriku dan kepada mereka yang mencari ketenangan dijalan yang benar.

Wahai sahabatku, didiklah diri kamu menjadi ahlul Quran agar dengannya kamu mendapat petunjuk daripada Allah swt dan juga generasi yang bakal menjadi anak-anak kamu nanti. Ingatlah, sebaik-baik harta adalah anak yang soleh yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab Allah swt dengan doa-doa mereka nanti.

Sekian
Erti hidup dalam mengabdikan diri pada Allah swt

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture