Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Saturday, May 1, 2010

Apakah Engkau Belum Memahami?

In name of Allah, The Most Gracious, The Most Graciful

Alhamdulillah,ku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt yang telah memberikan nikmat yang berlimpah ruah kepadaku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, para ahli keluarga baginda dan juga sahabat serta ikutan. Ya Allah, ku mohon keampunan dari Mu di atas segala kesalahan dan dosa yang telah aku buat sama ada aku sedar atau tidak sedar, ampunkanlah juga dosa-dosa ayah dan ibuku serta ahli keluargaku, guru-guru dan rakan semua serta kaum muslimin dan muslimat.

Alhamdulillah, pertama sekali ana bersyukur kepada Allah swt kerana memberikan ruang dan peluang untuk ana kembali menulis demi meneruskan perjuangan dakwah untuk mengingatkan diri ana yang lemah disamping memberi nasihat kepada hati-hati yang mahu mendengar. Ana memohon jutaan kemaafan kepada rakan-rakan pembaca yang melayari blog ana. Ini kerana hampir sebulan ana tidak mengemaskini blog ini kerana dalam kesuntukkan masa yang ada. Banyak perkara yang lebih penting untuk ana siapkan dan ada juga beberapa perkara yang ana perlu siapkan sebelum datangnya perkara lain yang membebankan diri ini.

Di kesempatan ini ana ingin mengucapkan kepada sahabat-sahabat setia yang sudi membantu ana sama ada bantuan yang diberikan secara metarial atau spiritual yang berbentuk nasihat dan semangat. Biasalah dalam perjuangan, bukan ramai orang yang ingin membantu kita. Jika ada pun hanyalah sekadar menghormati kita sebagai sahabatnya, jika tidak mereka sama sahaja dengan kebanyakkan orang.

Di sini ana ingin berkongsi cerita yang menyentuh jiwa ana di sepanjang berehat lama daripada menulis ini. Cerita ini tiada kaitan antara yang hidup dengan yang mati namun jadikanlah pengajaran dan nasihat untuk kita semua.

..............................*************.......................................

Syarifah merupakan seorang pelajar lepasan Program Matrikulasi KPM dan kini menyambung pelajaran di dalam bidang syariah di salah sebuah universiti dalam negara. Kewarakkan dan kesopanan seorang wanita yang bergelar mujahidah Islam itu dipakainya dek kerana dia merupakan seorang pelajar dalam bidang agama yang mengetahui sedikit sebanyak tentang ilmu agama. Hampir setiap masa, waktu akan dihabiskannya dengan aktiviti dakwah dan kerohanian untuk mengajak kebanyakkan rakan-rakan agar kembali kepada agama. Amat bagus sekali sifatnya kerana ingin mengembalikan dan menyedarkan mereka-mereka yang lalai.

Pada suatu hari, semasa di dalam kuliah, Syarifah yang selalu memakai tudung labuh ini memasukki kelas kewangan Islam yang merupakan salah satu subjek di dalam jurusannya. Semasa di dalam kuliah, Syarifah memang dengan ciri kewanitaan Islamnya melambangkan yang dia merupakan seorang yang sangat menitik berat soal agama. Semasa di dalam kelas, dia mencari tempat yang diisi dengan member-member tudung labuhnya untuk duduk bersama, dan dia sukar untuk duduk bersama di dalam kelas bersama dengan wanita lain yang memakai tudung singkat malah lagi tidak dimahunya untuk bersama dengan wanita yang tidak bertudung apatah lagi jika ada lelaki di situ. Kewarakkan dia ini memang bagus kerana menjaga adab seorang wanita, namun dalam bidang dakwah, Syarifah masih banyak lagi perlu mempelajarinya.

Di pendekkan cerita, suatu hari ditakdirkan oleh Allah swt si Syarifah ini disapa oleh seorang lelaki yang bernama Ikram. Di sebalik pertemuan mereka itu membuatkan mereka mengenali antara satu sama lain. Namun disebalik persahabatan yang terbina itu, mereka saling menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kedua-dua memahami ajaran agama. Si Ikram ini tidak langsung menampakkan cirinya seorang yang beragama walaupun kelulusan dan kefahaman agama yang ada padanya teramat tinggi. Perwatakkannya hanyalah biasa sahaja namun keseluruhan jiwa dan raganya adalah di atas kalimah Islam. Pada suatu hari, Ikram dijemput ke satu majlis di masjid di universiti mereka kerana ada satu forum dakwah. Dengan pakaian yang simple si Ikram ini masuk ke masjid. Hampir semua orang melihatnya, maklumlah dengan seluar dan tidak berkopiah. Orang yang melihatnya pula seakan-akan si Ikram ini seorang yang asing yang amat tidak tahu langsung hal-hal agama. Setelah selesai majlis, semua tetamu dijemput makan dan semasa itulah Syarifah bertemu dengan Ikram. Terkejut besar Syarifah apabila melihat Ikram yang hanya memakai pakaian biasa ke majlis ilmu dan tidak seperti orang lain yang berbaju melayu dan berkopiah. Ramai rakan dan sahabat Syarifah tertanya-tanya adakah Syarifah mengenali lelaki yang dianggap asing itu. Dengan nada biasa Syarifah mengatakan dia tidak mengenalinya dan membuatkan hati kecil Ikram terasa dengan sikap Syarifah yang mementingkan diri sendiri. Namun bagi si Ikram, dia tidak kisah langsung jika itulah balasan seorang sahabat yang dianggap baik padanya. Ikram dengan caranya yang simple itu berlalu meninggalkan Syarifah.

Dua hari selepas peristiwa itu, Syarifah menghubungi Ikram dengan mengatakan bahawa dia malu kepada sahabatnya kerana berkawan dengan Ikram yang tidak menampakkan kewarakkan. Mungkin apa yang diingini oleh Syarifah adalah agar semua kawan-kawannya ini tergolong daripada mereka yang tinggi ilmu agamanya dan warak pula sifatnya. Namun bagi Ikram yang menunjukkan ciri yang biasa ini menjadi punca Syarifah malu kepada kawan-kawannya yang lain sehingga sanggup mengatakan dia tidak mengenali Ikram.

Namun Allah swt maha kaya kerana Dia-lah yang mengaturkan pertemuan dan Dia-lah juga mengaturkan perpisahan. Hampir 2 semester Ikram dan Syarifah tidak bertemu dan tidak bertegur sapa. Ini kerana, setiap kali Syarifah menghantarkan mesej atau email, tidak dijawab oleh Syarifah wal hal mesej tersebut merupakan persoalan yang harus dijawab seperti bertanya pasal perkara-perkara yang ilmu dan agama. Namun bagi Ikram, dia tidak mudah mengeluh kerana apa yang berlaku dianggap simple sahaja dan bukanlah suatu perkara yang berat baginya. Ditakdirkan Allah swt bahawa mereka berdua kembali bertemu di dalam satu majlis ilmu yang dianjurkan oleh pusat Islam. Pertemuan yang tidak disangka-sangkan ini terjadi apabila si Ikram dijemput sebagai salah seorang panel penceramah berganding dengan beberapa penceramah jemputan yang lain.

Majlis ilmu tersebut berkisarkan kepada doktrin Islam dan Sains yang mana Ikram menerangkan kebenaran Islam yang dibuktikan dengan Sains. Seperti dahulu juga, si Ikram ini tidak berubah sifatnya, dengan tidak berkopiah apabila dijemput memberi ceramah di majlis agama, apatah lagi untuk berserban seperti yang diimpikan oleh si Syarifah. Apabila masa Ikram memberi ceramah, semua yang ada berasa kagum mendengar setiap hujjah dan bukti yang dikemukakan oleh Ikram. Pendek kata semua yang ada berasa kagum melihat seorang lelaki yang biasa sahaja dari sudut pakaiannya, namum memiliki kefahaman agama yang begitu tinggi.

Setelah habis majlis berkenaan, Syarifah datang berjumpa dengan Ikran dan bertanyakan beberapa soalan. Antaranya Syarifah bertanya berkenaan latar belakang pendidikan Syarifah kerana apa yang Syarifah tahu tentang diri Ikram ini adalah seorang yang baru ingin berjinak-jinak dengan agama. Tetapi hari ini Ikram datang sebagai seorang yang bercakap pasal agama di hadapan ratusan orang yang mendengarnya. Ikram hanya senyum dan menjawab Masihkah Engkau Belum Memahaninya?
.....................********************..................................

Berdasarkan cerita di atas, bukan perhubungan antara Ikram dan Syarifah yang ingin penulis fokuskan tetapi apa yang ingin dinyatakan adalah berkenaan dengan diri seseorang. Janganlah kita memperlekehkan seseorang kerana pakaiannya, baik orang tersebut adalah orang yang kita kenal apatah lagi orang yang kita tidak kenal. Apalah ada sangat pada pakaian mereka, ini kerana pakaian seseorang tidaklah menggambarkan ilmu yang mereka miliki, tidak pula menggambarkan akhlak seseorang, malah pakaian hanya menunjukkan ketaatan seseorang itu pada Agamanya. Ini kerana sekiranya apa yang mereka pakai itu memang bertepatan dengan kehendak dan syariat agama, maka sudah cukup bagi mereka dan pakai baju melayu bersongkok atau berkopiah itu hanyalah sebagai adat dan budaya sesuatu bangsa atau sunat sahaja.

Kita janganlah merendahkan orang yang kita kenali dengan mengatakan kita tidak mengenalinya dihadapan sahabat kita. Ini kerana kita memperlekehkan dengan mengatakan kita tidak mengenalinya. Biarlah betapa hebatnya ilmu agama yang kita miliki, tetapi ingatlah kita tidak ada hak untuk memperlekehkan atau merendah-randahkan hamba dan makhluk Allah swt yang lain hatta kepada seekor anjing. Begitu juga orang yang diperlekehkan, janganlah kita membencinya kerana kita juga tidak ada hak untuk membenci makhluk Allah swt namun apa yang boleh dibencikan adalah sekadar perangai buruk yang diamalkannya.

Syarifah yang merasakan hebat di dalam agama sehingga merendah-rendahkan Ikram kerana dia tidak mengenali hakikat yang sebenarnya berkenaan diri Ikram. Oleh itu, betapa pentingnya kita mengenali seseorang sahabat sebelum kita mengatakan sesuatu terhadapnya. Syarifah yang dikatakan hebat berjuang di dalam bidang dakwah masih belum memahami erti dan hakikat kedudukan agama yang tidak terletak pada pakaian dan paras rupa. Begitu juga dengan sahabat-sahabat kita, jangan kita memperkecilkannya kerana apa yang dipakainya, ini kerana kita tidak tahu kehebatan mereka dengan hanya melihat pakaian mereka. Ini kerana ada juga mereka yang berjubah dan berserban mengalahkan pak aji, namun hakikat agama yang mereka ada boleh diibaratkan seperti tin kosong yang bila diketuk kuat bunyinya namun tidak ada apa-apa manfaat yang boleh dikongsi bersama.

Kesimpulannya, kepada sahabat, hargailah erti persahabatan yang kita miliki kerana setiap sahabat yang kita ada itu mempunyai kelebihan yang tersendiri terutama sahabat kita yang tidak menunjuk-nunjuk di dalam ilmu yang mereka miliki malah tidak langsung sombong dan bermegah dengannya. Mereka sebenarnya lebih arif berbanding dengan orang yang banyak mengatakan itu haram, ini halal dan sebaliknya. Malah mereka juga lebih dekat kepada Allah swt kerana mereka yang simple biasanya tidak mengejar kebanggaan dan pujian makhluk malah mereka menunggu balasan dan pujian daripada Allah swt. Hargailah sahabat anda.......





(cerita di atas tiada kaitan antara mereka yang hidup atau telah meninggal dunia, tetapi hanyalah rekaan semata-mata berdasarkan kepada pengalaman seseorang sahabat yang dihina moga menjadi pengajaran kepada kita yang memikiki sahabat)

Rozlan Daud
Machang Kelantan

No comments:

My Picture