Adapun kali ini kita membicarakan tentang "bila dan bila" yang mana fokus utama penulis adalah berkenaan dengan nikmat pancaindera yang dikurniakan oleh Allah swt kepada makhluk-Nya yang bernama manusia. Penulis ingin menasihati diri penulis dan rakan-rakan pembaca yang lain agar lebih bersyukur dengan apa yang dikurniakan agar mudah-mudahan ianya dapat dijawab dihadapan Allah swt suatu masa nanti tentang nikmat pancaindera ini.
Pada hari ini, dunia yang penuh dengan kemodenan dan ketamadunan, manusia sudah lupa untuk memanfaatkan nikmat tersebut di dalam kehidupan mereka. Kebanyakkan dari mereka sudah menyalahgunakan nikmat tersebut kejalan yang tidak diredhai oleh Allah swt malah ada yang ke tahap murka Allah swt. Penulis teringat dengan firman Allah swt di dalam Al-Quran yang bermaksud:
" Dan sesungguhnya Kami penuhi neraka jahanam itu kebanyakkan dari kalangan manusia dan jin, bagi mereka ada hati, tetapi tidak memikirkan dengannya (tentang kebesaran Allah swt), dan bagi mereka ada mata, tetapi mereka tidak melihat dengannya (melihat kebesaran dan kekuasaan Allah swt), dan bagi mereka telinga, tetapi mereka tidak mendengar dengannya (mendengar nasihat dan kebesaran Allah swt). Mereka itulah seperti binatang ternakkan bahkan lebih sesat lagi....Al-Ayat).
Inilah bukti yang menunjukkan bahawa setiap nikmat kurniaan Allah swt itu pasti akan ditanyakan tentang penggunaannya. Disebabkan orang-orang yang tidak menggunakan nikmat tersebut, meraka akan diseksa oleh Allah swt. Oleh yang demikian, kita sebagai hamba Allah swt di dunia dan di akhirat, marilah kita berfikir sekejap untuk merenung kembali apakah kita termasuk di dalam orang-orang yang kufur dengan nikmat Allah swt atau adakah kita orang yang benar-benar bersyukur kepada-Nya.
Hari ini, di mana jua, bila-bila masa jua, penulis yang sentiasa berhadapan dengan masyarakat umum, dapat melihat sendiri gelagat manusia, ada mereka yang sangat-sangat bersyukur dan ramai lagi yang tidak bersyukur. Ini kerana sepanjang perjalan hidup penulis yang sentiasa berhijrah ke negeri orang, melihat sendiri betapa ramainya manusia yang lupa dengan nikmat kurniaan Allah swt ini. Sebagai contoh, kebanyakkan manusia bukan sahaja tidak mahu mengguna nikmat tersebut kejalan yang diredhai oleh Allah swt malah mereka lebih suka melakukan maksiat kepada Allah swt dengan nikmat tersebut. Penulis tidak mahu menyatakan apakah dan macam manakah bentuk maksiat yang dilakukan oleh orang lain kerana penulis tidak suka membicarakan hal yang tidak memberi manfaat kepada penulis. Adapun contoh yang sentiasa diperhatikan oleh penulis ialah manusia tidak memanfaatkan nikmat tersebut. Contoh yang paling mudah ialah kebanyakkan mereka tidak waras dikala akal mereka masih boleh berfikir, mereka buta dikala mata mereka masih boleh melihat dan mereka pekak di kala telinga mereka masih mendengar.
Contoh di atas ini selalu diumpakan oleh penulis setiap kali memberi kuliah magrib ialah berkenaan dengan kurangnya jemaah di masjid pada masa sekarang. Ini kerana kebanyakkan manusia, mereka mendengar azan yang dilaungkan di setiap masjid kerana kebanyakkan masjid mempunyai pembesar suara. Namun tidak ramai yang hadir ke masjid atau membenarkan apa yang didengar oleh mereka. Mereka seolah-oleh pekak apabila mendengar azan. Adapun orang yang buta ketika mereka melihat ialah mereka yang lalu di hadapan masjid dan mereka tidak singgah untuk solat di situ malah lebih suka untuk solat di rumah. Tapi yang paling parahnya ialah ramai hari ini terutama pemuda dan pemudi yang langsung tidak menunaikan fardu solat. Di samping itu, bagi mereka yang tidak waras ketika akal mereka mampu berfikit ialah mereka tidak mampu untuk menilai sebarang nasihat yang diberikan kepada mereka sama ada nasihat itu baik ataupun tidak. Ini kerana berapa banyak nasihat yang diberikan kepada seseorang itu, namun nasihat itu tidak langsung dinilai malah tidak juga diambil berat, bak kata orang Kelantan "Buat dok jer"..
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua sahabat dan rakan-rakan sekalian, marilah kita tingkatkan kesyukuran kita kepada Allah swt setiap masa, sebaik kita bangun daripada tidur sehinggalah kita hendak tidur kembali. Jagalah nikmat yang dikurniakan-Nya itu sebaik yang mungkin agar kita tidak kufur dengan nikmat-Nya. Janganlah kita termasuk daripada orang-orang yang ditutup pintu hati, pendengaran dan penglihatan oleh Allah swt daripada mendapat cahaya keimanan daripada-Nya. Janganlah kita membutakan mata kita daripada melihat tanda-tanda kebesaran Allah swt, janganlah kita memekakkan telinga daripada mendengar berita-berita keagungan dan nasihat daripada Allah swt serta janganlah kita membisukan mulut kita daripada menyebut dan mengingati Allah swt. Mudah-mudahan Allah swt memasukkan kita di kalangan hamba-Nya yang bersyukur dan menetapkan serta mempertingkatkan keimanan kita seperti pergerakkan masa yang sentiasa kehadapan.
"Ya Allah, aku memohon ampun ke atas segala kesalahan dan kesilapanku semasa aku meneruskan hidup ini sebelum Engkau menjemputku. Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku serta rahmatilah hidup mereka. Ya Allah, tetapkanlah hatiku di atas kalimah cinta-Mu walaupunku tahu tiada manusia yang mencintaiku. Ya Rahman, janganlah Engkau memesongkan hatiku dan tetapkanlah hati ku di atas dasar keredhaan Mu Ya Rahim."
Sekian
Nukilan,
Ibnusoleh
Machang.
No comments:
Post a Comment