Apabila ditulis tangisan hati ini, penulis mengalami tangisan hati ini. Ini kerana jikalau tidak, mana mungkin penulis menjiwai dan mengetahui sejauh mana hubungan antara hati dan anggota yang lain. Kata orang, pengalaman sebenarnya juga merupakan guru kepada kita dalam mengajar erti kata sebuah kehidupan. Kehidupan tidaklah manis sekiranya satu keadaan sahaja yang dialami oleh setiap yang hidup. Kehidupan mesti ada suka, duka, sedih, sayang, disayangi dan sebagainya. Inilah ukiran kemanisan hidup sebenarnya. Berbalik kepada tangisan hati, sudah pasti menyentuh suatu kesedihan dihatiku sehingga hati tidak dapat untuk berbuat apa-apa dan hanya yang mampu ialah menangis tanpa lagu apatah lagi untuk bermuzik dan bergendang. Hati mengarahkan semua anggota bersimpati dengan kesedihan yang dialami ini.
Apabila arahan dikeluarkan oleh seorang raja, semua rakyat mesti patuhi kerana ini adalah titah baginda. Baginda sudah pasti ada penasihat-penasihatnya sama ada penasihat yang membawa kebaikkan kepada raja dan juga rakyat manakala ada juga penasihat yang memberi nasihat kearah keburukan supaya rakyat dianiyai oleh pentadbiran raja dengan menerima akibat daripada arahan tersebut. Begitu juga di dalam pentabiran yang ada di dalam diri setiap jasad manusia, apabila arahan yang dikeluarkan oleh maharaja hati kepada rakyatnya iaitu anggota badan yang lain, arahan tersebut mesti dipatuhi oleh setiap anggota. Raja akan membuat keputusan berdasarkan kepada penasihat-penasihat diraja, iaitu sama ada Iman dan hawa nafsu atau syaitan. Apabila raja ingin membuat sesuatu arahan, maka berebutlah antara iman dan hawa nafsu untuk menjalankan khidmat nasihat mereka. Jika nasihat itu diterima daripada iman, maka baik dan sejahteralah seluruh rakyatnya. Adapun sekiranya nasihat itu diterima datangnya daripada nafsu, maka rosaklah kepada seluruh rakyatnya.
Berbalik kepada kesedihan hati yang dialami olehku, memanglah sesuatu kesediahan itu ada puncanya. Dan punca itu semua orang tahu bahawa setiap yang membawa kepada kesedihan itulah punca hati menangis. Kata orang-orang lama, luka ditangan dapat dilihat, luka dihati siapa tahu. Begitulah hakikatnya tangisan dihati ini tiada siapa yang mengetahui kesediahannya. Namun tangisan hati itu akan ditunjukkan oleh anggota yang lain yang sama turut sedih dengan apa yang berlaku kepada hati, mata akan mengeluarkan airnya, menandakan sedih, mulut akan senyap daripada berkata-kata apatah lagi jauh untuk gelak ketawa, tangan akan senyap tanda sayunya kesediahan itu, dan lain-lain anggota yang turut merasai kesedihan itu.
Banyak faktor yang membawa kepada kesedihan dan semua orang mengetahuinya. Antaranya ialah apabila kehendak diri tidak diperolehi maka hatilah yang menangis kesedihan, apabila janji tidak dipenuhi, hati juga turut kecewa, bila amanah tidak dijaga haknya, maka juga menderita, apabila gagal di dalam apa-apa perbuatan atau tingkah laku, hati juga yang putus asa, apabila putus cinta, hati juga yang merana dan lain-lain lagi. Itulah kesedihan hati. Namun dalam kesedihan ini, penasihat kepada hati akan memainkan peranannya, kata si iman, " Hai hati, janganlah kamu bersedih, ini adalah ujian kepada kamu, dan jika kamu bersabar menerimanya sudah pasti Allah swt akan membalas kesabaran engkau itu dan sesungguhnya Allah swt itu bersama dengan orang-orang yang sabar. Engkau hendaklah kembali kepada Allah swt dan memohon kepada-Nya supaya engkau dikurniakan terus daripada Allah swt. Biar Allah swt lah yang memberi kata putus dalam hal kamu ini. Ingat Allah swt maha pemberi, jika ini yang kamu hendak tidak dapat, Allah swt akan kurniakan yang lebih balik lagi daripada ini kerana sesungguhnya Dia-lah yang maha mengetahui. Kamu menyangka inilah yang terbaik bagi kamu, tetapi sebenarnya ia tidak baik di sisi Allah swt dan sekiranya kamu menyangka ini yang tidak baik di sisi kamu sedangkan ia adalah yang terbaik di sisi Allah swt, maka berdoalah kepada Allah swt semoga Dia yang maha mengetahui itu memberikan yang terbaik untuk kamu." Adapun dalam kesedihan hati itu, nafsu turut memberi khidmat nasihatnya, dan biasanya nafsu ini akan meminta pertolongan daripada syaitan. Kata nafsu, "kenapa kamu nak bersedih, biarkan apa yang telah berlaku itu, kamu tinggalkan, lupakan dan jangan kecewa sebab ada lagi yang lebih baik. Kamu tidak layak sebab kamu hebat darinya (*inilah keangkuhan yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan setiap orang yang baik, mereka tidak menyuruh untuk mencuri atau membunuh orang, kerana orang yang beriman tidak akan buat benda semacam itu. Tetapi syaitan akan menyuruh seseorang itu riak dan bangga pada diri sendiri, ini adalah seburuk-buruk perbuatan. Syaitan tidak menyuruh orang alim membuat jahat kerana mereka tidak akan buat, tetapi syaitan menyuruh mereka buat baik dan bangga dengan kebaikkan tersebut.), kamu tidak perlu untuk beralih kebelakang kerana masa kehadapan dan banyak lagi kebaikkan yang ada dihadapan. Kata syaitan lagi, lepas ini kamu balaslah apa keburukan yang mereka pernah buat pada kamu, setiap perbuatan mesti terima balasannya dan lain-lain lagi bentuk hasutan yang dinasihatkan oleh nafsu kepada hati.
Dalam hal ini, hati perlu menimbang balas baik buruk keputusan yang diberikan oleh mereka berdua, adapun keputusan itu sebenarnya bergantung kepada tahap keimanan yang menjadi santapan kepada hati. Sekiranya hati itu dipenuhi dengna iman, segala nasihat daripada Iman akan menjadi panduan. Adapun sekiranya hati itu tidak dipenuhi dengan iman, segala keputusan yang diberikan oleh iman itu tidak diterima pakai, malah nasihat daripada nafsu itu juga yang diambil kehakiman.
Kesimpulannya, marilah kita semua meningkatkan keimanan kita kepada Allah swt agar kita diberi petunjuk oleh Allah swt di dalam apa jua keadaan kita. Biarlah Allah swt akan memandukan dan memimpin hati kita untuk hati membuat keputusan. Ini kerana hati itu bersifat makhluk dan ianya sama dengan makhluk yang lain yang tidak mampu untuk membuat keputusan dalam keadaan yang sebenarnya. Hati tidak mampu menilai sesuatu keputusan sekiranya ia berada di dalam keadaan yang sedih dan kecewa, sebab itulah kebanyakkan orang yang berada di dalam kesediahan dan kekecewaan tidak mampu membuat penilaian yang terbaik. Oleh itu, marilah kita kembali kepada Allah swt agar Allah swt memimpin kita di dalam membuat keputusan walaupun keadaan hati kita dalam kesusahan atau kesedihan.
Wallahu a'lam
sekian
Nukilan
Rozlan Daud
No comments:
Post a Comment