" Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka sentiasa berpesan dengan kebenaran dan sentiasa berpesan dengan kesabaran"
Pada minggu ini cuti semester kedua aku bermula. Namun begitu aku masih lagi tidak dapat menghabiskan cuti aku ini untuk balik ke kampung halaman kerana ada sedikit tugasan yang diamanahkan. Tugasan ini aku terpaksa ikuti kerana ia memberi suatu input kepada aku dalam mengharungi kehidupan dunia yang pantas ini. Minggu ini juga memang teramat sibuk bagi aku sehinggakan tiada langsung masa rehat untuk aku. Tidur pada jam 3.00 pagi dan bangun pula pada jam 5.30 pagi. Itulah waktu tidurku setiap hari pada minggu ini. Kadang-kadang ada kala aku tidak sempat untuk tidur kerana terlalu banyak tugasan dan amanah yang diberikan kepada aku bersama 60 orang sahabat yang lain yang sama-sama bertugas demi kejayaan adik-adik.
Namun aku bersyukur kepada Allah swt kerana memberikan kepadaku sahabat-sahabat yang banyak membantu untuk menyiapkan tugasan aku terutama dalam menyiapkan kad matrik pelajar di Kolej Matrikulasi Perlis.
Dalam menjalankan tugas itu, kadang-kadang aku terfikir ada kala manusia mengejar masa dan ada juga yang suka membuang masa. Namun aku sedar bahawa manusia akan ketinggalan sekiranya mereka dilalaikan dengan masa. Sekali-sekala terfikir, apakah tujuan manusia bertungkus lumus sehinggakan tidak sempat untuk tidur? Padahal apa yang mereka buat itu tidaklah hanya kerana dunia semata-mata sehinggakan perut mereka di isi dengan tanah barulah mereka akan berhenti daripada mengejar keseronokkan dunia.
Aku amat mengerti bahawa tiada manusia yang mampu mengejar masa kerana masa saat patuh kepada perjalanannya dan manusia tidak selalu mematuhi perjalanan masa. Masa adalah makhluk Allah swt yang tidak sama dengan makhluk Allah swt yang lain. Masa paling setia sepertimana setianya para Malaikat. Dengan masalah semua makhluk Allah swt akur dan tidak ada seorang pun yang tidak terlepas daripada perjalanan masa. Manusia merupakan makhluk yang paling berkehendak kepada masa kerana kehidupan manusia itu seiring dengan perjalanan masa. Sebagai contohnya, apabila tiba saat masa, seseorang itu dilahirkan ke dunia ini, manakala tiba saat perkahwinan, maka diijab qabulkanlah manusia itu. Apabila cukup kehendak Allah swt manusia itu akan kembali kepada-Nya tanpa lewat walaupun sesaat dan tidak pula ditangguhkan oleh Allah swt dan itulah mati. Adapun setelah seseorang manusia itu telah meninggal dunia maka tiada lagi baginya perjalanan masa tersebut. Buktinya tiada seorang pun yang membawa jam ke dalam kuburnya...
Walau bagai mana pun aku mengetahui bahawa manusia yang dikurniakan masa sebanyak 24 jam ini bermula sejak Nabi Allah Adam as lagi dan sehinggalah berakhirnya kehidupan ini, tiada manusia yang tidak dikurniakan masa sebanyak 24 itu. Namun masa yang disediakan itu tidak seorang pun yang cukup dengan masa yang dia ada. Kebanyakkan manusia tidak cukup dengan masa 24 jam itu. Itulah hakikat manusia yang mana sekiranya diberikan masa 1000 jam sekali pun ia tetap tidak cukup kerana itulah sifar semula jadi manusia. Manusia akan merasa cukup setelah mereka bertemu dengan liang kuburnya.
Ada pun bagi mereka yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat tidak akan berada di dalam kerugian walaupun mereka tidak mencukupi masa kerana mereka melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Allah swt seperti mana dengan kehendak-Nya. Ini adalah kerana janji Allah swt kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Secara kesimpulannya yang dapat aku ukirkan tentang masa ini ialah hanya mereka yang benar-benar memanfaatkan masa sahaja yang tidak akan mengalami kerugian. Masa yang dimanfaatkan adalah hanya untuk mendapatkan redha Allah swt
Sekian.
Nukilan
RozDa
Machang
No comments:
Post a Comment