Masa merupakan makhluk Allah swt yang paling setia dan patuh sepertimana taatnya para malaikat-malaikat Allah swt. Ini kerana masa tidak pernah berpatah balik setelah ia berlalu.
Firman Allah swt:
" Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugiran. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta perpesan dengan kebenaran dan kesabaran."
Memang jelas kebenaran apa yang difirmankan oleh Allah swt di dalam ayat di atas, iaitu semua manusia ini berada di dalam kerugian. Kerugian yang dimaksudkan ialah rugi untuk kehidupan di akhirat kelak. Kerana kebanyakkan manusia lalai dan lupa akan perjanjiannya dengan Allah swt bahawa kedatangan mereka ini adalah sebagai hamba untuk beribadah kepada-Nya semata-mata. Namun setelah datang ke dunia ini, manusia sudah mulai lupa dan alpa terhadap perjanjian itu. Dan sebab itulah, Allah swt dengan rahmat dan sifat Pemurahnya Dia, Dia selalu mengingatkan setiap makhluk-Nya yang mana kita semua dalam keadaan kerugian tentang kehidupan yang kekal di akhirat nanti.
Walau bagaimana pun, Allah swt juga menjelaskan siapakah orang-orang yang berjaya dan terselamat daripada malapetaka kerugian ini, iaitu mereka yang mempunyai 4 sifat seperti mana ayat di atas. Iaitu yang 1, mereka yang tetap beriman kepada Allah swt. Ada pun yang sifat yang ke 2 ialah mereka yang beramal soleh. Tidak cukup sekadar beriman sahaja jika tidak beramal dengan amalan yang soleh. Manakala sifat yang ke 3 ialah, orang-orang yang tidak berada di dalam kerugiaan ialah mereka yang sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran, iaitu mereka sentiasa menasihati sesama manusia yang lain di dalam perkara kebenaran atau di atas dasar dakwah dan agama. Mereka sentiasa mengajar manusia lain dengan memberi peringatan tentang kehidupan yang lebih kekal iaitu di negeri akhirat kelak. Ini kerana dengan berpesan dan menasihati, ia sebenarnya adalah untuk menasihati diri kita sendiri supaya tidak mudah lupa tentang sesuatu kebenaran. Adapun sifat yang ke 4 pula, ialah mereka yang sentiasa menasihati tentang kesabaran. Iaitu mereka yang sentiasa mengingatkan orang lain supaya sentiasa berada di dalam kesabaran kerana kehidupan dunia ini adalah semuanya ujian daripada Allah swt, baik kita diberi nikmat yang melimpah ruah, kemiskinan, kesakitan, kejayaan dan sebagainya. Ingatlah semua itu adalah ujian dan kita perlu menasihati diri kita dan orang lain supaya sabar di dalam meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini sebelum kita menghadapi kehidupan yang lebih abadi. Sabar juga bukan sekadar untuk kita tabah menhadapi ujian Allah swt semata-mata, tetapi juga sabar dalam melakukan ibadah kepada Allah swt. Sekiranya kita tidak sabar, sudah pasti kita tidak melakukan ibadah kepada Allah swt. Namun bagi penulis, tidak cukup sekadar sabar dalam melakukan ibadah kepada Allah swt semata-mata tetapi juga perlu sabar untuk tidak melakukan maksiat kepada Allah swt. Pada hari ini, ramai orang yang sangat sabar untuk melakukan ibadah kepada Allah swt, namun ramai yang tidak boleh sabar untuk melakukan maksiat dan contoh yang paling mudah adalah mereka tidak sabar di dalam menjaga pandangan mereka. Sedangkan Allah swt memerintahkan baik lelaki mahupun perempuan supaya merendahkan pandangan mereka, namun pada hari ini ramai yang tidak sabar untuk merendahkan pandangan mereka.
Hakikat manusia sememangnya lalai dan alpa. Masa yang ada dihabiskan untuk tujuan duniawi yang sementara dan tidak langsung dimanfaatkan untuk ukhrawi. Namun dalam menjalankan kehidupan ini, kita sering lupa dan lalai sehinggakan masa yang dikurniakan oleh Allah swt sebanyak 24 jam itu disia-siakan tanpa sebarang manfaat untuk kebaikkan. Namun dalam melayari hidup ini aku pasrah kerana aku adalah insan yang bergelar manusia. Sering lupa pada Yang Maha Mencipta, sering sibuk dengan urusan dunia yang pasti aku tinggalkan, sering dilalaikan dengan harta dan kemewahan, sering juga tamak mengejar kegembiraan yang pasti menghilangkan kekhusukkan hati dan sanibariku.
Adakala aku juga bertanya kepada hatiku, bilakah masanya aku akan habiskan perlumbaan dalam mengejar keduniaan ini semua, namun alhamdulillah yang menjawab bagi diri aku adalah iman dan jawapannya ialah :
Firma Allah swt yang bermaksud: "Bermegah-megahan telah melalaikan kamu. Sehingga kamu masuk ke dalam kubur. Sekali-kali tidak!, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Kemudian sekali-kali tidak!, kelak kamu pasti akan mengetahui. Sekali-kali tidak sekiranya kamu mengetahui dengan yang yakin. Nescaya kamu benar-benar akan menyaksikan neraka Jahim. Kemudian kamu adan melihatnya dengan mata kamu sendiri dengan yakin. Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu tentang tentang nikmat yang kamu bermegah-megah itu."
Surah At-Takathur.
Sebagai kesimpulannya, ingatlah wahai sahabat semua, kita masih diberi peluang oleh Allah swt untuk meneruskan perjalanan kita pada saat ini. Dan dengan peluang ini, gunakanlah kesempatan yang ada untuk kita kembali kepada-Nya. Bertaubat dan insaflah dengan kealpaan yang telah kita lakukan dahulu, sesungguhnya Allah swt itu maha pengampun atas segala taubat hamba-Nya. Perbuatan yang paling disukai oleh Allah swt ke atas hamba-Nya ialah mereka yang sedar dengan kesilapan yang telah mereka lakukan dan bersegera bertaubat kepada-Nya berbanding dengan mereka yang langsung tidak berbuat dosa dan tidak bertaubat. Gunakanlah peluang yang ada ini untuk kita kembali kepada Allah swt sebelum kita dikembalikan secara terpaksa pada bila-bila masa yang kita tidak mengetahuinya.
Wallahu A'lam
Rozlan
Machang.
No comments:
Post a Comment