Selamat Datang..

Selamat Datang kepada semua pengunjung ke blog ini untuk kita sama-sama berkongsi idea, buah fikiran dan bertukar-tukar pandangan demi memartabatkan Islam yang ada di dalam diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Friday, July 30, 2010

Siri Sirah An-Nabawiyyah s02 - Kelebihan Orang Yang Berilmu..

In The Name Of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful

Alhamdulillah, marilah kita sentiasa membasahi bibir kita dan hati kita agar sentiasa memuji kebesaran dan kerahmatan Allah swt atas kurniaan nikmat dan hidayah-Nya kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga baginda serta seluruh ummat Islam seluruhnya.

Alhamdulillah kali ini ana ingin menyambung tentang Siri Sirah An-Nabawiyyah bersempena dengan bulan Sya'ban ini. Tajuk yang ana pilih seperti di atas adalah sambungan kepada tafsir al-Quran di dalam surah An-Naml iaitu sambungan kepada kisah Nabi Allah Sulaiman as.

Di kisahkan di dalam al-Quran bahawa ada seorang Raja di negeri Saba' yang menyembah kepada matahari (ahli-ahli sejarah menyatakan raja tersebut bernama Balqis, namun saya tiada sumber yang sahih tentang kebenaran nama tersebut). Lalu Nabi Sulaiman menyuruh burung Hud-Hud (burung Belatuk) untuk menyampai surat kepada ratu negeri Saba'. Sejarah ini dikisahkan di dalam al-Quran seperti mana firman Allah swt yang bermaksud:

"(28) Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka.
(29) (Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': Wahai ketua-ketua kaum! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.
(30)Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,.
(31)Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).

(An-Naml: ayat 28 - 31)

Surat Nabi Allah Sulaiman itu meminta agar Ratu Negeri Saba' datang menyerah diri untuk tunduk kepada Allah swt bersama-sama dengan baginda. Namun kebijaksanaan Ratu Saba' dalam mentadbir sesebuah negara terbukti dan ianya dikisahkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran yang bermaksud :

"(32) Raja perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya.
(33) Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.
(34) Raja perempuan itu berkata: Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.
(35) Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita
(36) Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).
(37) Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.

(surah An-Naml: 32 - 37)

Kebijaksanaan Ratu Saba' dalam membuat keputusan memang tidak dinafikan lagi kerana apabila surat Nabi Sulaiman datang kepadanya, baginda terus mengumpulkan semua pembesarnya untuk mendapatkan pandangan dan nasihat. Sedangkan baginda merupakan ketua negara dan segala keputusan adalah ditangan baginda. Namun, kerana kebijaksanaannya dalam membuat keputusan dengan sifat terbuka baginda untuk mendengar nasihat daripada orang bahawan mereka. Sifat seperti ini seharusnya ada pada diri setiap pemimpin negara agar keputusan yang dibuat tidak membebankan rakyat.

Walau pun para pembesarnya membuat keputusan untuk berperang dengan Nabi Sulaiman, Ratu Saba' tidak mengambil langkah yang menyebabkan kehinaan dan penderitaan kepada rakyatnya. Ini dikisahkan oleh Al-Quran seperti dalam ayat 34 di atas, apabila seseorang raja memasukki sesebuah negeri, mereka akan merosakkan dan menyebabkan penduduk yang mulia menjadi hina. Ini menunjukkan Ratu merupakan seorang yang berilmu dan bijak serta tidak mementingkan diri malah lebih memihak kepada rakyat negeri Saba'. Inilah yang sepetutnya ada di dalam diri setiap pemimpin agar semua negara akan menjadi aman dan makmur.

Di dalam ayat yang ke 35 pula, sekali lagi Allah swt menggambarkan tentang kebijaksanaan ratu Saba', iaitu baginda ingin menghantarkan hadiah kepada Nabi Sulaiman. Hadiah ini diibaratkan sebagai rasuah, dan apa yang dibuat oleh Ratu Saba' adalah untuk menguji kehebatan Nabi Sulaiman apakah baginda akan tunduk kepada hadiah tersebut dan tidak akan menyerang negeri Saba'. Namun semua itu tidak memberi apa kesenangan kepada Nabi Sulaiman kerana pemberian Allah swt lebih hebat dan lebih baik.

Di dalam surah Al-Naml ini banyak ayat-ayat yang Allah swt jelaskan tentang kehebatan orang yang berilmu baik pada Ratu negeri Saba' dalam menjadi pemimpin kepada sesebuah negara, malah begitu juga kepada Nabi Sulaiman yang mana tidak terpengaruh dengan hadiah dan kurniaan Ratu Saba' malah bersyukur dengan nikmat kurniaan yang Allah swt berikan kepada baginda.

Ayat seterusnya turut menjelaskan tentang kelebihan orang yang berilmu yang mana dalam ayat yang ke 38 - 40 surah An-Naml, firman Allah swt yang bermaksud :

(38) Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?

(39) Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.

(40) Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.

Dalam ayat ke 38, ayat ini Allah swt menjelaskan kepada kita tentang pertanyaan Nabi Sulaiman kepada pembesarnya yang mana siapakah yang mampu membawa singgahsana Ratu Saba' kepada baginda. Inilah kelebihan orang yang memilik ilmu pengetahuan kerana Nabi Sulaiman membuat keputusan dengan bertanya kepada pembesarnya berkenaan dengan cara dan kaedah untuk memindakan istana. Setiap keputusan yang dibuat secara mesyurat dan menerima pandangan orang lain akan menghasilkan satu keputusan yang cukup bernas. Maka di sini timbul beberapa persoalan antaranya jika kita fikir dari segi logik akal, siapakah yang mampu membawa istana Ratu Saba' yang terletak di Yamen ke Palestin. Dan kenapa Nabi Sulaiman bertanya kepada pembesarnya sedangkan baginda seorang utusan Allah swt dan sudah pasti memiliki mukjizat yang dapat memindahkan. Namun setiap persoalan itu dijawab oleh Allah swt di dalam ayat yang berikutnya.


Dalam ayat yang ke 39, jin ifrit meminta untuk membawa istana tersebut dengan cepat yang mana ia boleh mendatangkan dalam masa yang pantas iaitu sebelum nabi Sulaiman bangkit daripada kerusi mensyuarat itu. Dan jin itu mengakui bahawa dia sangat kuat lagi amanah. Inilah sifat jin yang suka riak dan bangga dengan sifat gagah yang dimilikinya.

Namun dalam ayat yang ke 40, Allah swt menjelaskan bahawa seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah swt memohon kepada Nabi Sulaiman untuk membawa istana berkenaan hanya dengan sekelip mata sahaja. Itulah kelebihan orang yang berilmu dan ianya diakui oleh Allah swt yang mana orang yang berilmu mempunyai banyak kelebihan yang dikurniakan oleh Allah swt kepadanya. Namun kebijaksanaan Nabi Sulaiman dengan mengakhir ayat tersebut bahawa baginda menyatakan bahawa " inilah kelebihan nikmat kurniaan Tuhanku, untuk mengujiku dengan nikmat kurniaan-Nya". Ini sekali lagi sifat orang yang berilmu sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepadanya.

Jadi sebagai kesimpulannya, dalam surah An-Naml ini selain daripada Allah swt mengisahkan tentang Nabi Sulaiman dan Ratu negeri Saba', banyak kelebihan dan manfaat yang kita semua perolehi yang mana ianya penting kepada kita untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani dan disayangi oleh Allah swt. Selain itu, Allah swt menjelaskan hampir keseluruhan ayat dalam surah ini tentang kelebihan mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan. Dan Insyallah kita akan menyambung perbincangan pada episod dan siri akan datang insyallah....

Sekian
(erti hidup dalam mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa)

Rozlan Daud
18500 Machang

No comments:

My Picture